Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,251
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 18

“Betul ke Wani bersetuju nak kahwin dengan Amri?” Nazmi bertanya adiknya.

Norsyazwani yang menunduk sejak tadi hanya mengangguk tanpa sebarang suara. Tidak berani dia mahu menentang mata Abang Longnya yang sedang memerhatikannya.

“Kenapa selama ni Wani tak pernah cerita pada Abang Long atau Kak Long yang Wani sudah merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat?” soal Nazmi lagi bagaikan terkilan.

“Wani tak berani kerana masih belum mendapat pengakuan dari Amri yang dia benar-benar mahu melamar Wani…” Norsyazwani memberi alasan.

“Jadi, sekarang dia dah betul-betul ke nak kahwin dengan Wani?” Nazmi menduga.

Norsyazwani menunduk sambil menarik nafas dalam-dalam. Seolah cuba mencari kata-kata yang terbaik supaya Abang Longnya yakin dan tidak berkecil hati dengan tindakannya yang telah bersetuju untuk berkahwin dengan Airil Amri.

Tiba-tiba terbayang wajah Airil Amri yang tampan sedang tersenyum penuh menggoda di tubir matanya. Renungan Airil Amri yang redup dan romantis telah benar-benar mencairkan hati Norsyazwani. Sikap ikhlas dan jujur Airil Amri untuk mengambilnya dengan cara terhormat itu juga telah banyak memberi kesan di hati Norsyazwani. Dan dengan sikap berani Airil Amri itu jugalah membuatkan hati Norsyazwani jadi tekad untuk tidak kehilangan lelaki itu dari hidupnya.

“Apabila dia berani datang bersama keluarganya untuk memohon kebenaran Abang Long, Wani anggap dia memang benar-benar jujur mahu mengkotakan apa yang dijanjikannya pada Wani…” Norsyazwani cuba memesongkan jawapannya, walaupun faktanya tetap betul.

“Dan Wani dah benar-benar bersedia untuk menjadi isterinya sekarang?” Nazmi terus mencari kepastian.

“Menagapa Abang Long tanya begitu? Abang Long tak suka ke Wani berkahwin dengan Amri?” Norsyazwani pula sebaliknya bertanya apabila melihat reaksi Nazmi yang bagaikan agak kurang yakin dengan jawapannya tadi.

“Bukan… bukan tak suka. Sebenarnya Abang Long memang bersyukur benar bila ada lelaki yang mahu mengambil Wani dengan cara yang terhormat begitu. Itu tanda rezeki jodoh yang ALLAH tetapkan untuk Wani sudah sampai. Sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas Wani, Abang Long turut gembira. Itu juga tanda ALLAH sayang pada Wani kerana memberi rezeki jodoh yang awal pada Wani. Cumanya…” Nazmi bagaikan terputus kata-kata.

“Cumanya apa, Abang Long?” soal Norsyazwani agak teruja.

“Mengapa kamu berdua nak bernikah secara tegesa-gesa begini?” sambil merenung muka adik bungsunya itu dengan penuh keraguan, Nazmi bertanya.

“Maksud Abang Long?” Norsyazwani pula yang keliru.

“Amri minta agar kamu berdua dinikahkan sebelum hujung bulan ni. Abang Long jadi agak musykil kenapa kamu berdua nak nikah cepat-cepat. Ada apa-apa ke yang berlaku antara kamu berdua?” Nazmi bertanya agak berhati-hati kerana tidak mahu adik bungsunya itu terasa hati.

Norsyazwani tergamam mendengar kata-kata abangnya itu. Dia membalas renungan abang longnya dengan dahi yang berkerut kerana hakikatnya dia sendiri tidak sangka yang Airil Amri mahu mereka bernikah begitu cepat.

“Kenapa, Wani? Ada apa-apa ke yang Wani rahsiakan dari Abang Long?” Nazmi terus mendesak apabila melihat Norsyazwani terdiam begitu.

“Tak!... tak ada!... Cuma Wani pun agak terkejut juga bila Abang Long kata Amri minta kami dinikahkan sebelum hujung bulan ni…”

“Eh!... takkan kamu tak tahu?” soal Nazmi, hairan.

“Me… memang Amri ada cadangkan agar kami bernikah segera, tetapi tidaklah pula Wani sangka secepat itu…” agak gabra Norsyazwani menjawab kerana hakikatnya dia juga agak terkejut dengan infomasi yang baru diketahuinya itu.

“Tapi, kamu setuju ke kalau kamu berdua dinikahkan sebelum hujung bulan ni?” soal Nazmi lagi, mencari kepastian.

“Hhmmm… Wani serahkan pada Abang Long mana yang baik. Wani sendiri pun tak sangka sehingga begitu sekali Amri mahu segera bersama Wani.” Balas Norsyazwani, perlahan.

“Tapi, betul ke kamu dengan dia tidak buat apa-apa yang dilarang ALLAH?” Nazmi bagaikan masih tidak berpuas hati.

“Apa maksud Abang Long? Abang Long ingat Wani dah lupa ke dosa pahala? Kalau Abang Long sangka kami dah terlanjur, Na’uzubillahminzalid!.. Itu tidak benar sama sekali. Wani berani bersumpah bahawa Wani masih suci!..” agak bergetar suara Norsyazwani. Cuba membersihkan dirinya dari sebarang syak wasangka Abang Longnya.

Nazmi merenung adiknya dengan tidak berkelip-kelip. Seolah cuba mencari sesuatu dari wajah yang polos itu. Dia tidak nampak apa-apa yang mencurigakan melainkan kejujuran dan keikhlasan dalam wajah yang manis dan ayu itu. Nazmi tidak dapat menafikan bahawa adiknya itu memang seorang yang cantik rupa paras dan juga budi bahasanya. Mungkin sebab itu jugalah agaknya Airil Amri tidak sabar-sabar mahu menikahinya… hati kecil Nazmi sempat berbisik.

“Alhamdulillah, kalau betul apa yang Wani katakan tu. Abang Long percaya pada Wani. Cuma…” lagi sekali Nazmi bagaikan hilang kata-kata.

“Cuma apa, Abang Long?” Norsyazwani bertanya, agak musykil.

“Abang Long takut kalau-kalau ada saudara mara terdekat kita atau pun jiran-jiran yang akan fikir bukan-bukan. Selama ini mereka tidak pernah dengar Wani bertunang tapi tiba-tiba sajer terus nak bernikah. Itu sajerlah yang Abang Long bimbangkan. Abang Long tahu, Wani seorang yang pandai menjaga maruah diri Wani. Tetapi orang lain mungkin tidak tahu…” Nazmi meluahkan apa yang dirasanya.

Norsyazwani mengangguk-ngangguk tanda bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Abang Longnya itu. Namun siapalah dia yang dapat menolak takdir ALLAH kalau ALLAH sudah menentukan dia bertemu jodoh dengan Airil Amri dalam keadaan begitu. Norsyazwani hanya mampu berdoa dan berserah kepada ALLAH. Semoga tidak ada syak wasangka yang buruk-buruk dari jiran tetangga mereka atau saudara mara yang terdekat.

“Terima kasih Abang Long, kerana percaya pada Wani. Tetapi bagi Wani, biarlah apa orang nak kata asalkan kita tidak buat perkara yang salah itu. Wani percaya ALLAH akan sentiasa bersama orang yang benar. Jadi Wani berserah sajerlah pada ALLAH segalanya. Apa yang Wani harapkan hanyalah restu Abang Long untuk menerima Airil Amri sebagai adik ipar Abang Long…” akhirnya Norsyazwani berkata, memohon restu.

Nazmi merenung adiknya buat seketika sebelum perlahan-lahan mengangguk dan mengusap lembut ubun-ubun Norsyazwani. Tanda setuju dan merestui jodoh adiknya dengan Airil Amri.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.