Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,251
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 19

“Hani!.. mengapa termenung jauh sangat tu?...”

Tiba-tiba khayalan Norsyazwani terbang bagaikan disambar geruda apabila Airil Amri yang sedang memerhatikannya sejak tadi, menegurnya dengan nada penuh prihatin. Norsyazwani yang sedang minum petang bersama lelaki itu di restoran Seri Bayu segera mengalihkan pandangannya kembali ke arah Airil Amri.

“Abang Long kata awak mahu kita bernikah hujung bulan ni, betul ke?” dengan mata yang membulat Norsyazwani berkata sebagai jawapan kepada soalan Airil Amri tadi.

“Ya!.. Hujung bulan ni. Kenapa Hani terkejut? Kita ada kira-kira empat minggu lagi untuk membuat persiapan. Jadi apa yang dirisaukan?” soal Airil Amri lagi dengan kening yang terangkat.

“Iyalah, tetapi mengapa perlu tergesa-gesa begitu?”

“Kerana Am dah tak sabar nak jadi suami Hani…” sambil tersenyum nakal Airil Amri menjawab, selamba.

“Tapi…”

“Tapi apa lagi? Semua urusan permohonan nikah, Am dah uruskan. Dah pun serahkan borang yang perlu tu pada Abang Long untuk diuruskan di pihak Hani. Yang lain-lain semuanya kita dah ada. Jadi apa lagi yang perlu Hani risaukan?” soal Airil Amri agak kurang senang dengan reaksi Norsyazwani itu.

“Saya tak mahu orang bersyak wasangka yang bukan-bukan.” Akhirnya Norsyazwani meluahkan apa yang membimbangkannya.

“Kenapa pula orang perlu bersyak wasangka yang bukan-bukan?” Airil Amri mengerutkan dahinya. Tanda tidak faham apa maksud kata-kata Norsyazwani itu.

Norsyazwani menjilat bibirnya sebelum menarik nafas panjang. Tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya itu segala apa yang sedang berlegar di fikirannya sekarang ini.

“Kenapa sayang? Cuba beritahu Am apa yang sebenarnya Hani fikirkan…” bagaikan dapat membaca reaksi Norsyazwani itu, Airil Amri cuba memujuk.

Jiwa Norsyazwani bagaikan melambung-lambung setiap kali Airil Amri memanggilnya sayang. Lelaki itu memang pandai menggoda hati Norsyazwani lebih-lebih lagi semenjak kedua keluarga telah pun mengetahui hubungan mereka itu.

Norsyazwani terus merenung tepat ke dalam anak mata Airil Amri. Seolah cuba mencari sesuatu dari mata itu. Namun dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Apa yang Norsyazwani nampak hanyalah sinar mata yang hening yang penuh dengan bayangan keriangan. Mata mereka terus bertautan buat seketika. Hati Norsyazwani jadi bergetaran dan jiwanya gelandangan tidak karuan melihat Airil Amri mengukir senyum penuh menggoda. Menunggu jawapannya penuh setia.

“Saya takut orang pasti akan terfikir-fikir mengapa kita perlu bernikah secara terburu-buru begitu. Sedangkan mereka tidak pernah dengar pun kita bertunang sebelum ini…”

“Bertunang tu kan hanya adat sahaja. Sedangkan yang wajib dalam Islam adalah Ijab Kabul.” Komen Airil Amri spontan.

“Betul, Ijab Kabul itulah yang wajib. Tetapi saya bimbang kalau mereka akan berfikir yang kita ini mungkin telah ditangkap khalwat atau pun mungkin saya sudah mengandung anak luar nikah. Mereka mungkin akan berfikir, sebab itulah yang kita ni perlu dinikahkan segera kerana hendak menutup malu!... Saya tak mahu mereka berfikiran begitu!..” akhirnya Norsyazwani menjelaskan tanpa mahu berselindung-selindung lagi.

“Berani kerana benar, takut kerana salah. Kita tidak buat salah apa-apa. Jadi apa yang Hani takutkan?” balas Airil Amri penuh yakin.

“Itu kita yang tahu. Tetapi orang lain tak tahu. Maka boleh sajer mereka akan berfikiran sebagaimana yang saya katakan tu apabila tiba-tiba sajer kita mahu bernikah. Lebih-lebih lagi sekarang ini banyak betul kes-kes sebegitu.” Norsyazwani terus mempertahankan hujjahnya.

Airil Amri merenung tajam ke anak mata Norsyazwani. Seolah dia pula kini yang cuba mencari sesuatu dari mata gadis itu. Airil Amri menggigit-gigit bibirnya seolah sedang menganalisa apa yang dikatakan oleh Norsyazwani itu.

“Hani, Am teringat satu Hadith diriwayatkan oleh Imam Hakim bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: ‘Wartakan (umumkan) pernikahan dan rahsiakan pertunangan’ kerana untuk menjaga nama baik dan kredibiliti wanita yang dilamar…”

“Kenapa pula perlu dirahsiakan pertunangan? Bukankah wanita yang sudah bertunang tidak boleh dipinang oleh lelaki lain?” pintas Norsyazwani agak keliru.

“Rahsia di sini bermaksud, tidaklah mengadakan majlis besar-besaran dan gilang gemilang hanya kerana mahu memberitahu pasal anak gadisnya telah dilamar. Kerana sekiranya terjadi sesuatu yang tidak disangka-sangka seperti pinangan itu dibatalkan sehingga membatalkan rencana pernikahan, nama baik wanita yang dilamar dan ahli keluarganya akan terpelihara dari umpatan dan celaan. Sesungguhnya Rasulullah SAW amat menyayangi umatnya, maka baginda sentiasa mahukan yang terbaik untuk kita semua.” Bagaikan seorang ustaz, Airil Amri berhujjah.

“Tapi apa kena mengena Hadith itu dengan fakta yang saya katakan tentang kita tadi?” Norsyazwani masih tidak dapat memahami apa yang cuba dikatakan oleh Airil Amri.

Airil Amri merenung Norsyazwani dengan kening yang terangkat dan dahi yang berkerut. Seolah merasa amat musykil samada Norsyazwani benar-benar tidak faham atau sengaja mahu mencari helah untuk mengelakkan dari meneruskan pernikahan mereka.

“Kenapa Hani? Hani tak mahu ke kita bernikah?” Airil Amri sendiri bagaikan tidak sedar mengapa soalan itu boleh terlontar dari mulutnya.

Hakikatnya Airil Amri jadi agak bimbang bila Norsyazwani seolah agak keberatan untuk bernikah dengannya dalam jangka yang terdekat ini. Airil Amri tidak mahu rancangannya hendak membawa Norsyazwani ke Alexandria, untuk berdua sahaja dengan gadis itu dan jauh dari pemerhatian kaum keluarga mereka nanti gagal.

Airil Amri memang benar-benar mengharapkan segala apa yang dirancangkannya terhadap Norsyazwani akan terlaksana. Demi membuktikan cintanya terhadap wanita yang dicintainya. Sebab itu jugalah Airil Amri sungguh-sungguh melarang ibunya atau pun adiknya Aina bercerita tentang kisah silamnya bersama arwah Norshamsinar pada Norsyazwani. Airil Amri tidak mahu Norsyazwani tahu walau sedikit pun tentang keujudan Norshamsinar dalam hidupnya sebelum ini. Demi menjaga kepercayaan Norsyazwani terhadapnya.

“Berapa kali saya cakap, bukan saya tak mahu, tetapi cara tergesa-gesa inilah yang saya agak kurang selesa!..” balas Norsyazwani, tegas.

“Apa yang tergesa-gesanya?... Kita ada lebih kurang empat minggu untuk menyediakan segala yang perlu. Lagi pun kita bukan nak buat majlis yang gilang gemilang. Kita buat yang wajib sahaja dulu iaitu majlis Ijab Kabul.” Dengan suara yang lirih, Airil Amri terus memujuk.

“Habis tu, kalau orang-orang bertanya bila kita bertunang, terutamanya kawan-kawan pejabat saya, apa saya nak jawab?” Agak tegang suara Norsyazwani.

“Beritahulah yang kita memang dah lama bertunang tetapi sajer tak beritahu orang ramai sehinggalah kita dah confirmed nak bernikah. Seperti mana unjuran Hadith Rasulullah SAW yang Am katakan tadi. Apa susahnya? Yang penting kita tidak melanggar syariat Islam!..” Senang sahaja Airil Amri memberikan cadangannya.

“Huh!...” Norsyazwani mendengus sebelum menarik nafas panjang. Bagaikan sudah habis ikhtiarnya mahu mematahkan hujjah-hujjah lelaki di hadapannya itu. Namun terdetik juga hati Norsyazwani, mengapa perlu dia menangguhkan perkara yang baik itu sekiranya lelaki sebaik dan sehebat Airil Amri benar-benar mahu menikahinya dengan cara yang teratur.

Apa kurangnya dia? Dia memilikki semua kriteria seorang suami yang ideal. Berpelajaran tinggi, bekerjaya yang baik, berharta serta wang ringgit, akhlak yang mulia dan juga bukannya calang-calang pengetahuan ilmu ugamanya. Lelaki yang berakhlak mulia adalah sebaik-baik calon suami yang soleh. Lelaki macam mana lagi yang kau cari?... Hati kecil Norsyazwani terus berbisik. Seolah turut memujuknya.

“Hani… Am harap sangat Hani setuju dengan tarikh yang Am cadangkan itu.” Bagaikan memujuk, Airil Amri berkata lagi apabila melihat Norsyazwani membisu seketika tadi.

“Kenapa?”

“Kita sudah tidak ada masa lagi sekiranya lewat dari tarikh itu!..”

“Kenapa pula begitu?” soal Norsyazwani agak terkejut.

“Se… se… sebenarnya Am nak…” Entah mengapa Airil Amri jadi agak susah untuk menerangkan kepada Norayazwani.

“Sebenarnya apa, Am?” pintas Norsyazwani agak tegang dengan mata yang membulat.

Airil Amri merenung anak mata Norsyazwani yang sedang membulat itu dengan pandangan yang redup seolah memohon simpati.

“Apa semuanya ini, Am? Awak nak main-mainkan saya ya?” Semakin keras kedengaran nada suara Norsyazwani menyoal.

“Taaakk!... Am tak terniat langsung nak main-mainkan Hani. Am memang benar-benar nak berkahwin dengan Hani secepatnya supaya kita boleh hidup bersama dengan secara yang sah…”

“Habis tu, yang awak teragak-agak nak terangkan pasal tarikh tadi tu pasal apa?” Bagaikan seorang guru sedang menyoal anak muridnya, Norsyazwani segera memintas lagi.

Airil Amri menelan air liurnya. Cuba melicinkan tekaknya yang agak tersumbat untuk terus berbicara dengan gadis yang duduk di hadapannya itu.

Previous: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.