“Assalamualaikum,
Cik Syazwani…” kedengaran suara mersik menegur Norsyazwani yang sedang asyik
menulis sesuatu di dalam buku rekod di hadapannya.
“Waalaikumsalam…”
Norsyazwani menjawab salam lalu segera mendongak, mencari orang yang empunya
suara.
Mata
bertentang mata, lidah kelu untuk berkata. Hati Norsyazwani jadi bergetaran
apabila anak matanya bertembung dengan anak mata Airil Amri yang sedang asyik
merenungnya dengan penuh minat. Keadaan jadi sunyi sepi seketika antara mereka
walaupun sekeliling mereka kedengaran riuh rendah suara pengunjung lain yang
sedang sebuk dengan aktiviti mereka masing-masing.
Tanpa
Norsyazwani sedari, secara automatis bibirnya segera mengukir senyuman manis apabila
matanya bagaikan terpaku di wajah Airil Amri yang sedang tersenyum penuh
menggoda di hadapannya.
“Sibuk
betul nampaknya!..” Airil Amri mengusik.
“Biasalah…
dah kita ni kuli, kenalah kerja keras untuk mencari rezeki halal. Lainlah macam
Encik Amri, boss!...” sambil terus tersenyum mesra, Norsyazwani membalas usikan
lelaki itu.
“Mana
awak tahu saya boss? Saya pun kuli juga macam awak!...”
“Kalau
kuli mana mampu nak beli rumah juta-juta macam yang Encik Amri tengok tu…” ujar
Norsyazwani sengaja menduga.
“Itu
sebab saya masih perlu berfikir-fikir untuk membuat keputusan…”
“Alaaahh…
janganlah fikir-fikir sangat. Sementara peluang ada ni, beli sajerlah. Kalau
tunggu lama-lama nanti harga rumah akan naik lebih tinggi lagi…”
“Wah!..
pandai Cik Syazwani memujuk. Hampir cair saya dibuatnya!..” balas Airil Amri
sambil tersenyum nakal.
“Saya
hanya ingin membantu supaya Encik Amri tidak kerugian. Lagi pun dah tak banyak
unit yang tinggal…” Nosyazwani terus cuba mempengaruhi lelaki itu.
“Kalau
dah bukan rezeki saya nak buat macam mana!.. Tapi kalau ALLAH dah tetapkan
salah satu rumah tu adalah rumah saya, walau macam mana pun pasti saya akan
dapat juga belinya nanti kan?...” selamba sahaja kedengaran suara Airil Amri,
bagaikan pasrah.
“Betul,
betul… saya setuju benar dengan kata-kata Encik Amri tu. Kita hanya merancang
tetapi ALLAH yang menentukan segalanya!... Eeerrr… Encik Amri datang ni nak
tengok rumah-rumah lain ke?...” Norsyazwani menyetujui sebelum bertanya.
“Memang
niat hati tu nak tengok-tengok juga rumah-rumah lain sebelum buat keputusan. Beli
rumah ni bukan macam beli pisang goreng, boleh main ambil sajer. Banyak faktor
yang kena diambil kira…” balas Airil Amri.
“Iya,
iya… apa yang Encik Amri kata tu memang betul. Sebab itulah saya selalu bantu potential customers saya mendapatkan
maklumat-maklumat yang tepat supaya mereka berpuas hati apabila telah membeli
rumah-rumah kami. Eeerrrr… Encik Amri tak bincang dulu atau pun ajak orang
rumah Encik Amri untuk tengok contoh-contoh rumah yang kami ada tu?” dengan
nada prihatin Norsyazwani bertanya sambil ingin merisik.
“Mengapa
Cik Syazwani bertanya begitu?” sebaliknya Airil Amri bertanya.
“Mengapa
apa?” soal Norsyazwani kembali agak keliru.
“Apa
yang buat Cik Syazwani fikir saya dah ada orang rumah?”
Dengan
dahinya yang berkerut, bulat biji mata Airil Amri merenung tajam ke anak mata
Norsyazwani yang kebetulan juga sedang merenungnya. Namun kenakalan suara Airil
Amri juga jelas kedengaran bagaikan perkara yang ditanya itu adalah sesuatu
yang melucukannya.
“Iyalah…
Selalu yang sebuk nak beli rumah kan orang yang dah berumah tangga. Kalau orang
bujang, jarang yang nak sebuk-sebuk beli rumah kerana dia sebuk mencari suri
rumah…” balas Norsyazwani dengan nada nakal juga.
“Oh!..
macam itu ke? Tapi saya tak mahu macam tu!..” komen Airil Amri, selamba.
“Encik
Amri tak mahu yang macam mana?” Norsyazwani pula tambah seronok merisik.
“Saya
nak ada rumah dulu sebelum cari suri rumah supaya suri rumah saya gembira bila
saya bawa balik ke rumah…” balas Airil Amri, terkekeh-kekeh seolah seronok
dapat memutar-belit isu yang dibualkan sebagai bahan bergurau dengan gadis di
hadapannya itu.
“Alhamdulillah…
beruntungnya sesiapa yang menjadi suri rumah Encik Amri. Jadi, sekarang Encik
Amri nak tengok rumah yang mana? Boleh saya bantu…” sambil turut tersenyum
nakal Norsyazwani mempelawa.
“Eeemmm…
kalau Cik Syazwani bantu saya perkara lain dan bukan untuk melihat
contoh-contoh rumah tu, boleh tak?” dengan nada yang bertambah nakal, Airil
Amri menduga.
“Bantu
perkara lain? Apa tu? Encik Amri nak saya carikan bank yang boleh memberi
pembiayaan kewangan ke?” Norsyazwani sebaliknya bertanya, jujur.
“Bukan…
“
“Habis
tu?”
“Saya
nak Cik Syazwani bantu saya cari restoran dekat-dekat sini supaya kita boleh
pergi minum petang bersama!..” balas Airil Amri dengan senyuman yang meleret.
“Hah?..” Norsyazwani menjegilkan biji matanya yang
bulat itu, menentang anak mata Airil Amri yang memang sedang sedia merenungnya
dengan penuh minat.
“Kenapa?
Tak boleh ke kita pergi minum sama?” cabar Airil Amri.
“Taak…
bukan…” Norsyazwani jadi gubra kerana tidak menyangka lelaki itu begitu berani
mengajaknya minum waktu-waktu begitu.
“Apa
yang tak, apa yang bukan?”
“Saya
sedang bertugas sekarang. Saya tak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan tugas
saya tanpa sebab…” ujar Norsyazwani, jujur.
“Okey!..
pukul berapa Cik Syazwani habis bertugas?” soal Airil Amri sebaliknya.
Lelaki
itu terus merenung Norsyazwani tanpa berkelip-kelip bagaikan memaksanya untuk
memberikan jawapan segera. Norsyazwani jadi resah tidak menentu apabila
terpandang beberapa pengunjung lain dan juga pegawai-pegawai lain bagaikan sedang
memerhatikan dia dan Airil Amri yang sudah agak lama berbicara sejak tadi.
“Pukul
lima setengah…” akhirnya Norsyazwani menjawab.
“Eeemmm…
tak mengapa, sekarang dah dekat pukul lima, saya akan tunggu sampai Cik
Syazwani habis bertugas. Kemudian kita pergi minum, boleh?” tanpa kenal putus
asa, Airil Amri terus memujuk.
“Saya
nak ke surau dulu sebab belum Solat Asar. Jadi takut lewat sangat pulak nanti
Encik Amri nak tunggu saya. Lain kali sajerlah kita minum sama…” Norsyazwani
memberi alasan.
Hakikatnya
Norsyazwani memang mahu mengelak dari minum-minum bersama lelaki itu.
Sebolehnya dia tidak mahu melanggar etika kerjanya. Dia tidak boleh sewenangnya
menerima pelawaan untuk makan minum bersama pelanggan syarikat. Terdetik juga rasa
menyesal di dalam hati Norsyazwani kerana telah menunjukkan sikap yang amat
ramah mesra sehingga boleh bergurau senda dengan Airil Amri tadi.
“Tak
apa, kalau selewat mana pun. Saya bukannya nak balik awal sebab saya tiada suri
rumah yang akan menunggu saya di rumah…” balas Airil Amri, agak nakal.
Norsyazwani
terus memandang ke arah Airil Amri dengan mata yang membulat tanpa sebarang
komen sebagai memprotes sikap degil lelaki itu.
“Lagi
pula, saya pun nak Solat Asar juga. Jadi tak ada masaalah untuk saya tunggu Cik
Syazwani sampai pukul berapa pun…” ujar Airil Amri lagi apabila Norsyazwani
terus membisu.
Airil
Amri terus merenung Norsyazwani sambil mengangkat-ngangkat keningnya bagaikan
tidak sabar menunggu maklum balas Norsyazwani yang kelihatan serba salah itu.
Senyuman mesra tetap terus terukir di bibir Airil Amri seolah sengaja mahu
menggoda gadis yang bertudung litup itu.
Norsyazwani
membalas renungan Airil Amri dengan mata yang masih membulat. Cuba mencari
sesuatu dari mata lelaki itu walau pun Norsyazwani sendiri tidak tahu apa yang
dicarinya. Apa yang Norsyazwani nampak adalah sepasang mata yang tenang dan
redup sedang penuh mengharap. Hati Norsyazwani jadi tersentuh.
“Eeemmm…
kalau dah Encik Amri tak kesah walau pun terpaksa menunggu, saya nak buat macam
mana lagi? Suka hati Encik Amri lah. Tapi saya tak tahu samada dekat-dekat sini
ada restoran atau tidak,” akhirnya Norsyazwani terpaksa mengalah.
“Kalau
tak ada dekat-dekat sini, apa kata kita pergi dekat bangunan seberang jalan tu?
Kalau tak silap, saya ada nampak restoran dan kopitiam kat situ…” Airil Amri
segera mencadangkan.
“Okey.
Jadi di mana saya nak jumpa Encik Amri nanti?” Norsyazwani sudah malas bersoal
panjang.
“Tak
apa, saya tunggu depan surau sampai Cik Syazwani selesai solat lepas pukul lima
setengah nanti. Kalau tunggu kat tempat lain, takut susah pula kita
tercari-cari kerana nampaknya pengunjung semakin ramai petang-petang begini…”
Airil Amri mencadangkan.
“Okey!..
Kalau begitu kita jumpa depan surau nanti ya. Eeerrrr… boleh ma’afkan saya
sekejap sebab saya nak bantu staff-staff
saya yang lain di sana tu. Nampak ramai pulak pengunjung yang sedang
bertanya-tanya tu…” Norsyazwani memohon diri.
“Sila…
silakan… Saya pun mohon ma’af kerana telah mengambil masa Cik Syazwani agak
lama tadi. Okey, saya tunggu Cik Syazwani depan surau lepas pukul lima setengah
nanti ya. Assalamualaikum…” balas Airil Amri sambil berpaling mahu melangkah
pergi.
“Waalaikumussalam…”
Nosyazwani membalas salam lelaki itu sambil turut bangun untuk pergi
menghampiri pegawai-pegawai lain di hujung dewan pameran itu.
Jauh
di sudut hatinya, Norsyazwani terus berfikir-fikir kenapakah Airil Amri begitu
bersungguh-sungguh mahu merapatinya sedangkan mereka baru sahaja berkenalan di
pameran itu kelmarin. Akhirnya Norsyazwani membiarkan sahaja persoalan itu
tanpa sebarang jawapan.