“Hani!..
mengapa termenung jauh sangat tu?...”
Tiba-tiba
khayalan Norsyazwani terbang bagaikan disambar geruda apabila Airil Amri yang
sedang memerhatikannya sejak tadi, menegurnya dengan nada penuh prihatin.
Norsyazwani yang sedang minum petang bersama lelaki itu di restoran Seri Bayu
segera mengalihkan pandangannya kembali ke arah Airil Amri.
“Abang
Long kata awak mahu kita bernikah hujung bulan ni, betul ke?” dengan mata yang
membulat Norsyazwani berkata sebagai jawapan kepada soalan Airil Amri tadi.
“Ya!..
Hujung bulan ni. Kenapa Hani terkejut? Kita ada kira-kira empat minggu lagi
untuk membuat persiapan. Jadi apa yang dirisaukan?” soal Airil Amri lagi dengan
kening yang terangkat.
“Iyalah,
tetapi mengapa perlu tergesa-gesa begitu?”
“Kerana
Am dah tak sabar nak jadi suami Hani…” sambil tersenyum nakal Airil Amri
menjawab, selamba.
“Tapi…”
“Tapi
apa lagi? Semua urusan permohonan nikah, Am dah uruskan. Dah pun serahkan
borang yang perlu tu pada Abang Long untuk diuruskan di pihak Hani. Yang lain-lain
semuanya kita dah ada. Jadi apa lagi yang perlu Hani risaukan?” soal Airil Amri
agak kurang senang dengan reaksi Norsyazwani itu.
“Saya
tak mahu orang bersyak wasangka yang bukan-bukan.” Akhirnya Norsyazwani
meluahkan apa yang membimbangkannya.
“Kenapa
pula orang perlu bersyak wasangka yang bukan-bukan?” Airil Amri mengerutkan
dahinya. Tanda tidak faham apa maksud kata-kata Norsyazwani itu.
Norsyazwani
menjilat bibirnya sebelum menarik nafas panjang. Tidak tahu bagaimana mahu
menjelaskan kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya itu segala apa yang
sedang berlegar di fikirannya sekarang ini.
“Kenapa
sayang? Cuba beritahu Am apa yang sebenarnya Hani fikirkan…” bagaikan dapat
membaca reaksi Norsyazwani itu, Airil Amri cuba memujuk.
Jiwa
Norsyazwani bagaikan melambung-lambung setiap kali Airil Amri memanggilnya
sayang. Lelaki itu memang pandai menggoda hati Norsyazwani lebih-lebih lagi
semenjak kedua keluarga telah pun mengetahui hubungan mereka itu.
Norsyazwani
terus merenung tepat ke dalam anak mata Airil Amri. Seolah cuba mencari sesuatu
dari mata itu. Namun dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Apa yang Norsyazwani
nampak hanyalah sinar mata yang hening yang penuh dengan bayangan keriangan.
Mata mereka terus bertautan buat seketika. Hati Norsyazwani jadi bergetaran dan
jiwanya gelandangan tidak karuan melihat Airil Amri mengukir senyum penuh
menggoda. Menunggu jawapannya penuh setia.
“Saya
takut orang pasti akan terfikir-fikir mengapa kita perlu bernikah secara
terburu-buru begitu. Sedangkan mereka tidak pernah dengar pun kita bertunang
sebelum ini…”
“Bertunang
tu kan hanya adat sahaja. Sedangkan yang wajib dalam Islam adalah Ijab Kabul.” Komen
Airil Amri spontan.
“Betul,
Ijab Kabul itulah yang wajib. Tetapi saya bimbang kalau mereka akan berfikir
yang kita ini mungkin telah ditangkap khalwat atau pun mungkin saya sudah
mengandung anak luar nikah. Mereka mungkin akan berfikir, sebab itulah yang
kita ni perlu dinikahkan segera kerana hendak menutup malu!... Saya tak mahu
mereka berfikiran begitu!..” akhirnya Norsyazwani menjelaskan tanpa mahu
berselindung-selindung lagi.
“Berani
kerana benar, takut kerana salah. Kita tidak buat salah apa-apa. Jadi apa yang
Hani takutkan?” balas Airil Amri penuh yakin.
“Itu
kita yang tahu. Tetapi orang lain tak tahu. Maka boleh sajer mereka akan
berfikiran sebagaimana yang saya katakan tu apabila tiba-tiba sajer kita mahu
bernikah. Lebih-lebih lagi sekarang ini banyak betul kes-kes sebegitu.”
Norsyazwani terus mempertahankan hujjahnya.
Airil
Amri merenung tajam ke anak mata Norsyazwani. Seolah dia pula kini yang cuba
mencari sesuatu dari mata gadis itu. Airil Amri menggigit-gigit bibirnya seolah
sedang menganalisa apa yang dikatakan oleh Norsyazwani itu.
“Hani,
Am teringat satu Hadith diriwayatkan oleh Imam Hakim bahawa Rasulullah SAW pernah
bersabda: ‘Wartakan (umumkan) pernikahan
dan rahsiakan pertunangan’ kerana untuk menjaga nama baik dan kredibiliti
wanita yang dilamar…”
“Kenapa
pula perlu dirahsiakan pertunangan? Bukankah wanita yang sudah bertunang tidak
boleh dipinang oleh lelaki lain?” pintas Norsyazwani agak keliru.
“Rahsia
di sini bermaksud, tidaklah mengadakan majlis besar-besaran dan gilang gemilang
hanya kerana mahu memberitahu pasal anak gadisnya telah dilamar. Kerana
sekiranya terjadi sesuatu yang tidak disangka-sangka seperti pinangan itu
dibatalkan sehingga membatalkan rencana pernikahan, nama baik wanita yang
dilamar dan ahli keluarganya akan terpelihara dari umpatan dan celaan.
Sesungguhnya Rasulullah SAW amat menyayangi umatnya, maka baginda sentiasa
mahukan yang terbaik untuk kita semua.” Bagaikan seorang ustaz, Airil Amri
berhujjah.
“Tapi
apa kena mengena Hadith itu dengan fakta yang saya katakan tentang kita tadi?”
Norsyazwani masih tidak dapat memahami apa yang cuba dikatakan oleh Airil Amri.
Airil
Amri merenung Norsyazwani dengan kening yang terangkat dan dahi yang berkerut. Seolah
merasa amat musykil samada Norsyazwani benar-benar tidak faham atau sengaja
mahu mencari helah untuk mengelakkan dari meneruskan pernikahan mereka.
“Kenapa
Hani? Hani tak mahu ke kita bernikah?” Airil Amri sendiri bagaikan tidak sedar
mengapa soalan itu boleh terlontar dari mulutnya.
Hakikatnya
Airil Amri jadi agak bimbang bila Norsyazwani seolah agak keberatan untuk
bernikah dengannya dalam jangka yang terdekat ini. Airil Amri tidak mahu
rancangannya hendak membawa Norsyazwani ke Alexandria, untuk berdua sahaja
dengan gadis itu dan jauh dari pemerhatian kaum keluarga mereka nanti gagal.
Airil
Amri memang benar-benar mengharapkan segala apa yang dirancangkannya terhadap
Norsyazwani akan terlaksana. Demi membuktikan cintanya terhadap wanita yang
dicintainya. Sebab itu jugalah Airil Amri sungguh-sungguh melarang ibunya atau
pun adiknya Aina bercerita tentang kisah silamnya bersama arwah Norshamsinar pada
Norsyazwani. Airil Amri tidak mahu Norsyazwani tahu walau sedikit pun tentang
keujudan Norshamsinar dalam hidupnya sebelum ini. Demi menjaga kepercayaan
Norsyazwani terhadapnya.
“Berapa
kali saya cakap, bukan saya tak mahu, tetapi cara tergesa-gesa inilah yang saya
agak kurang selesa!..” balas Norsyazwani, tegas.
“Apa
yang tergesa-gesanya?... Kita ada lebih kurang empat minggu untuk menyediakan
segala yang perlu. Lagi pun kita bukan nak buat majlis yang gilang gemilang.
Kita buat yang wajib sahaja dulu iaitu majlis Ijab Kabul.” Dengan suara yang
lirih, Airil Amri terus memujuk.
“Habis
tu, kalau orang-orang bertanya bila kita bertunang, terutamanya kawan-kawan
pejabat saya, apa saya nak jawab?” Agak tegang suara Norsyazwani.
“Beritahulah
yang kita memang dah lama bertunang tetapi sajer tak beritahu orang ramai
sehinggalah kita dah confirmed nak
bernikah. Seperti mana unjuran Hadith Rasulullah SAW yang Am katakan tadi. Apa
susahnya? Yang penting kita tidak melanggar syariat Islam!..” Senang sahaja
Airil Amri memberikan cadangannya.
“Huh!...”
Norsyazwani mendengus sebelum menarik nafas panjang. Bagaikan sudah habis
ikhtiarnya mahu mematahkan hujjah-hujjah lelaki di hadapannya itu. Namun
terdetik juga hati Norsyazwani, mengapa perlu dia menangguhkan perkara yang
baik itu sekiranya lelaki sebaik dan sehebat Airil Amri benar-benar mahu
menikahinya dengan cara yang teratur.
Apa
kurangnya dia? Dia memilikki semua kriteria seorang suami yang ideal.
Berpelajaran tinggi, bekerjaya yang baik, berharta serta wang ringgit, akhlak
yang mulia dan juga bukannya calang-calang pengetahuan ilmu ugamanya. Lelaki
yang berakhlak mulia adalah sebaik-baik calon suami yang soleh. Lelaki macam mana lagi yang kau cari?... Hati
kecil Norsyazwani terus berbisik. Seolah turut memujuknya.
“Hani…
Am harap sangat Hani setuju dengan tarikh yang Am cadangkan itu.” Bagaikan
memujuk, Airil Amri berkata lagi apabila melihat Norsyazwani membisu seketika
tadi.
“Kenapa?”
“Kita
sudah tidak ada masa lagi sekiranya lewat dari tarikh itu!..”
“Kenapa
pula begitu?” soal Norsyazwani agak terkejut.
“Se…
se… sebenarnya Am nak…” Entah mengapa Airil Amri jadi agak susah untuk
menerangkan kepada Norayazwani.
“Sebenarnya
apa, Am?” pintas Norsyazwani agak tegang dengan mata yang membulat.
Airil
Amri merenung anak mata Norsyazwani yang sedang membulat itu dengan pandangan
yang redup seolah memohon simpati.
“Apa
semuanya ini, Am? Awak nak main-mainkan saya ya?” Semakin keras kedengaran nada
suara Norsyazwani menyoal.
“Taaakk!...
Am tak terniat langsung nak main-mainkan Hani. Am memang benar-benar nak
berkahwin dengan Hani secepatnya supaya kita boleh hidup bersama dengan secara
yang sah…”
“Habis
tu, yang awak teragak-agak nak terangkan pasal tarikh tadi tu pasal apa?” Bagaikan
seorang guru sedang menyoal anak muridnya, Norsyazwani segera memintas lagi.
Airil
Amri menelan air liurnya. Cuba melicinkan tekaknya yang agak tersumbat untuk
terus berbicara dengan gadis yang duduk di hadapannya itu.