Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
70,665
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 13

Jam di dinding bilik mesyuarat itu sudah pun menunjukkan pukul 4.30 petang. Tidak sudah-sudah Norsyazwani menjeling ke arah jam yang tergantung itu. Sesekali terdengar keluhan kecil terpancul dari bibirnya walaupun kelihatan dia cuba menyorokkan segala keluh kesahnya itu.

“Kenapa Wani? Awak tak sehat ke?” Badrul bertanya sebaik semua ahli mesyuarat yang lain telah keluar meninggalkan bilik mesyuarat.

Norsyazwani yang sudah bangun mahu turut melangkah pergi segera berpaling dan mematikan langkahnya. Tanpa Norsyazwani menyedarinya, Badrul telah memerhatikan segala riak resah gelisah gadis itu sejak tadi.

“Eeerrrr… tak adalah. Saya sehat sajer. Kenapa Encik Bad tanya macam tu?” Norsyazwani sebaliknya bertanya dengan kening yang berkerut.

“Saya tengok awak resah sajer sejak tadi. Ada apa-apa ke yang awak tak puas hati semasa mesyuarat tadi?” Badrul cuba merisik.

Norsyazwani tersentak. Tidak menyangka yang ketuanya perasan akan keluh kesahnya tadi. Perlahan-lahan Norsyazwani menggeleng.

“Tak. Semuanya okey sebagaimana yang kita dah bincangkan pagi tadi. Cuma…”

“Cuma apa?” spontan Badrul memintas.

“Saya ada hal sikit petang ni, jadi saya nak minta keluar awal, boleh ke Encik Bad?” Norsyazwani terpaksa berterus terang kerana tidak mahu Badrul bertanya lebih lama lagi.

Hakikatnya Norsyazwani tidak mahu terlalu lewat petang bertemu dengan Airil Amri. Norsyazwani tidak mahu berduaan sahaja dengan lelaki itu ketika hari telah gelap. Sebolehnya Norsyazwani tidak mahu maruahnya sebagai anak dara pingitan tercalar hanya kerana bersama lelaki bukan mahram sehingga malam hari.

“Oh, iya ke? Eeemmm… sekarang pun dah dekat pukul lima, tak sampai setengah jam lagi dah lepas waktu pejabat. Pergilah!… saya benarkan. Cuma, esok Wani jangan lupa dapatkan jumlah budget yang kita perlukan untuk iklan media projek yang akan dilancarkan tu…” Badrul membenarkan sambil mengingatkan.

“Terima kasih, Encik Bad. InsyaALLAH, esok pagi saya akan sediakan maklumat tersebut dan serahkan pada Encik Bad secepat mungkin. Saya pergi dulu, Encik Bad. Assalamualaikum!..” Norsyazwani berkata sebelum melangkah laju meninggalkan bilik mesyuarat itu.

Selesai mengerjakan Solat Asar di surau Menara Teguh Sejati Holding itu, Norsyazwani segera bergegas ke lobi bangunan. Dia yakin Airil Amri telah sedia menunggunya di dalam kereta yang dipakirkan di hadapan bangunan itu, sebagaimana yang mereka janjikan tadi.

Sebolehnya Norsyazwani tidak mahu sesiapa pun dari syarikat itu yang nampak dia keluar dengan lelaki itu, lebih-lebih lagi Badrul. Norsyazwani tidak mahu Badrul menuduhnya melanggar etika kerja kerana keluar dengan potential customer sebab Badrul telah kenal siapa Airil Amri ketika mereka berjumpa di bank tempoh hari.

“Assalamualaikum. Ma’af kerana awak terpaksa menunggu lama. Saya pergi solat sekejap selepas habis meeting tadi...”

Dengan suara yang termengah-mengah kerana tergesa-gesa, Norsyazwani memberi salam dan memohon ma’af sebaik dia membuka pintu kereta. Segera dia melabuhkan punggungnya di tempat duduk penumpang di sebelah Airil Amri.

“Waalaikumussalam. Tak mengapa. Kalau pasal Hani, seribu tahun pun Am akan tunggu..” sambil tersenyum mesra dan merenung gadis di sebelahnya itu dengan penuh minat, Airil Amri menjawab salam.

Mata mereka bertautan buat seketika apabila Norsyazwani yang agak terkejut dengan ucapan Airil Amri itu segera berpaling memandang tepat ke arah lelaki itu. Mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata-kata. Jiwa Norsyazwani bagaikan melayang, jantungnya pula bagaikan berhenti berdenyut apabila Airil Amri mengenyitkan matanya dengan senyuman yang penuh menggoda. Bagaikan memanah ke lubuk hati Norsyazwani yang paling dalam.

Norsayzwani segera menarik nafas dalam-dalam seolah mencari lebih oksigen untuk membolehkan dia bernafas kembali. Segera dia mengalihkan pandangannya ke jalan raya di hadapan mereka bagi mengelakkan Airil Amri terus menelanjangi wajahnya.

“Eeemmm… cepatlah. Kita nak ke mana ni? Nanti kalau lambat-lambat, jem pulak jalan sebab semua orang dah mula balik kerja...” bagaikan baru tersedar yang Airil Amri masih belum memulakan pemanduannya, Norsyazwani segera menyuruh.

“Hani pernah ke Seri Bayu Café?” tanya Airil Amri sambil mula menekan pedal minyak keretanya. Mengharung jalan raya yang sudah mula agak sesak, meninggalkan Menara Teguh Sejati Holding.

“Seri Bayu Café? Kat mana tu?” sebaliknya Norsyazwani bertanya.

“Maknanya Hani tak pernahlah ke situ ya? Okey!.. kalau begitu, kita pergi sana ya!.. Nanti dah sampai sana, Hani tahulah di mana restoran tu!..” dengan suara yang riang Airil Amri sengaja membuat Norsyazwani berteka teki.

“Eeemmm… suka hati awaklah. Asal jangan lupa jalan nak hantar saya balik ke pejabat untuk ambil kereta saya nanti, sudahlah!..” balas Norsyazwani bersahaja, seolah keseronokkan Airil Amri berteka teki itu tidak langsung menarik minatnya.

“Kalau Am lupa jalan balik ke pejabat Hani, Am hantar sajerlah Hani balik ke rumah. Bukannya susah…” sambil terkekeh Airil Amri mengusik.

“Heh!.. Habis tu, kereta saya macam mana?” soal Norsyazwani, terkejut.

“Biarkan sajerlah di pakir pejabat tu sampai esok. Pakir pejabat Hani selamat kan? Orang lain tak boleh masuk pakir tu kan?” sebaliknya Airil Amri pula yang menyoal kembali.

“Memanglah selamat, tapi macam mana saya nak pergi kerja esok…”

“Am kan ada!.. Am boleh datang jemput Hani di rumah esok pagi dan kemudian hantar ke pejabat. Apa yang nak dirisaukan. Semuanya boleh diatur, sayang!...” sambil menjeling ke arah gadis di sebelahnya itu, Airil Amri terus mengusik.

Berdetup jantung Norsyazwani mendengar Airil Amri memanggilnya sayang dengan begitu bersahaja. Bagaikan mereka adalah pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta. Walhal hakikatnya tidak sepatah pun lagi perkataan cinta yang terucap dari mulut mereka walaupun kemesraan bergurau senda sudah sering menyemarakkan perbualan mereka.

Norsyazwani segera berpaling memandang tepat ke arah Airil Amri. Cuba membaca dan mentafsir apa yang tersirat di sebalik wajah yang sedang tersenyum itu. Apakah anggapan lelaki itu terhadap perkenalan mereka yang hanya baru beberapa hari ini sehingga lelaki itu begitu lancar menyebut perkataan sayang terhadapnya.

“Kenapa?...” Airil Amri bertanya sambil turut berpaling memandang ke arah Norsyazwani yang hanya membisu itu. Kebetulan kereta mereka berhenti di lampu merah.

“Tak ada apa… Cuma saya mula terfikir bagaimana awak menguruskan hidup awak. Semua perkara tiada menjadi masaalah bagi awak…” jawab Norsyazwani sambil menunduk. Cuba mengalihkan matanya dari terus bertaut dengan mata Airil Amri yang romantis itu.

“Itulah Amri…” sambil mula kembali menekan pedal minyak keretanya, Airil Amri berkata selamba. Seolah seronok membiarkan Norsyazwani terus berfikir akan perihal dirinya.

“Amri lelaki yang penuh misteri…” Norsyazwani pula menambah, dengan selamba jua.

Kedengaran Airil Amri tertawa terkekeh-kekeh. Bagaikan seronok benar dengan komen Norsyazwani itu. Nosyazwani terus memintal-mintal tali beg tangannya dengan tanpa tujuan. Tidak tahu apa yang harus dilakukan di dalam keadaan Airil Amri kelihatan begitu seronok tertawa terkekeh-kekeh, sehinggalah lelaki itu selesai memakirkan keretanya di tempat pakir Seri Bayu Café. Sempat Norsyazwani memerhati sekeliling restoren kerana belum pernah sampai ke situ.

“Jom!.. Kita dah sampai…” Airil Amri mengajak sebaik dia mematikan engine dan mahu membuka pintu keretanya.

Bagai dipukau, tanpa menjawab apa-apa Norsyazwani turut membuka pintu kereta dan kemudian beriringan dengan Airil Amri masuk ke dalam restoran. Mereka duduk di satu sudut yang agak jauh dari pengunjung lain. Sengaja Airil Amri memilih sudut itu supaya senang dia berbicara dengan Norsyazwani tanpa khuatir didengari oleh pengunjung-pengunjung lain.

“Hani tak pernah makan kat sini?” Airil Amri bertanya sebaik pelayan restoran meninggalkan meja mereka setelah mengambil pesanan makanan yang mereka pilih.

Norsyazwani hanya menggeleng sambil memerhati sekeliling restoran yang sudah mula dipenuhi pengungjung-pengunjung yang mungkin singgah selepas balik kerja.

“Awak selalu ke makan di sini?” Norsyazwani bertanya apabila mereka sudah mula menyuap makanan mereka masing-masing dengan penuh selera.

“Selalu juga. Bila-bila lapar dan tak sempat nak balik rumah selepas kerja, Am akan singgah sini dulu. Makan dan kemudian baru balik…” balas Airil Amri.

“Awak tinggal sorang ke?” Entah kenapa Norsyazwani ingin pula mengetahui lebih dekat mengenai lelaki yang duduk di hadapannya itu.

“Taakk… Bertiga dengan emak dan adik perempuan saya yang masih belajar di UiTM…” jawab Airil Amri sambil merenung wajah Norsyazwani dengan penuh minat.

“Oohh!.. awak tinggal dengan emak awaklah ya? Ayah awak di mana?”

“Kita serupa…”

Norsyazwani mengangkatkan keningnya ke arah Airil Amri menandakan tidak faham apa maksud kata-kata lelaki itu.

“Kita sama-sama anak yatim. Ayah kita sudah meninggal dunia…” sambil tersenyum mesra Airil Amri menerangkan. Seolah sebagai anak yatim itu tidak membuatkan dia berasa sendu.

“Tak sama!.. Awak anak yatim tetapi saya anak yatim piatu!..” selamba juga Norsyazwani membalas. Sengaja mahu melihat reaksi lelaki itu seterusnya.

“Oh ya!.. Betul, betul… Jadi, oleh kerana Am hanya anak yatim manakala Hani pula anak yatim piatu, maka kenalah anak yatim melindungi anak yatim piatu kan?...” Segera Airil Amri mengajukan komennya.

Bagaikan tidak mahu melepaskan peluang, Airil Amri menjadikan fakta yang diperbetulkan oleh Norsyazwani itu sebagai suatu yang boleh memberi menfaat kepada hubungan mereka.

Norsyazwani menjegilkan biji matanya seolah sedang menahan geram. Memandang tepat ke anak mata Airil Amri yang sedang tersenyum nakal melawan panahan anak matanya itu.

Natijahnya Norsyazwani sudah mula seronok berbual mesra dengan Airil Amri. Lelaki itu seorang yang periang, pandai berjenaka dan yang paling menyenangkan hati Norsyazwani ialah gaya dan reaksi Airil Amri yang romantis tetapi sopan.

“Kenapa? Tak boleh ke?” cabar Airil Amri.

“Awak bukan mahram saya. Macam mana awak nak melindungi saya?” Norsyazwani sendiri bagaikan terkejut apabila soalan itu boleh begitu lancar keluar dari bibirnya.

“Bukan susah nak jadikan mahram. Nah, ambil borang ni. Penuhkan maklumat yang diperlukan dan esok pagi beri balik pada Am…”

Seolah mengambil peluang yang datang menggolek, Airil Amri mengeluarkan sekeping kertas dari poket bajunya dan menyuakannya kepada Norsyazwani.

Lagi sekali Norsyazwani mengerutkan keningnya. Mencapai kertas yang disuakan oleh Airil Amri itu dan membeleknya dengan kening yang semakin berkerut. Sementara Airil Amri terus memerhatikan reaksi gadis itu dengan penuh debaran.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.