Dewan
yang sedang membuat pameran hartanah oleh Syarikat Teguh Sejati Holding itu
agak sesak dengan orang ramai yang keluar masuk sejak pameran itu dilancarkan
oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pagi tadi. Semua kelihatan amat
teruja dengan jenis-jenis rumah dan harga yang ditawarkan oleh pihak pemaju.
“Maaf
saudari, boleh saya dapatkan brochure
untuk hartanah yang ditawarkan?” kedengaran seorang lelaki bertanya kepada
salah seorang pegawai yang bertugas di pameran itu.
“Semua
brochures ada di atas meja di hujung
sana tu…” balas Norsyazwani sambil tersenyum mesra, menunjukkan meja yang
dimaksudkan.
“Saya
dah tengok tadi tapi tak ada!..”
“Oh!..
Dah habislah tu agaknya. Tunggu sekejap, saya ambilkan yang lain ya!..” ujar
Norsyazwani, mesra.
Segera
Norsyazwani berlalu ke bilik yang ada di penjuru dewan pameran itu untuk
mengambil brochure tambahan yang di simpan di situ.
Lelaki
yang bertanya tadi hanya mengangguk sambil terus merenung Norsyazwani dengan
pandangan penuh minat. Dia terus berdiri di situ memerhatikan pegawai-pegawai
lain melayan pengunjung-pengunjung pameran yang sentiasa bertali arus itu.
“Ma’af
encik kerana terpaksa menunggu…” kedengaran Norsyazwani berkata sebaik dia
kembali ke tempat di mana lelaki itu berdiri tadi.
“Eeerrrr…
tak mengapa. Ada ke brochures yang saya
cari tu?” lelaki itu bertanya sambil segera berpaling memandang ke arah
Norsyazwani yang berada di belakangnya.
Mata
mereka bertautan seketika apabila Norsyazwani juga sedang memandang tepat ke
arah lelaki itu. Entah mengapa hati Norsyazwani tiba-tiba bergetaran dan
jantungnya bagaikan berhenti berdenyut apabila terpandang senyuman yang
menggoda sedang terukir di bibir lelaki itu. Bagaikan dipukau, Norsyazwani
segera turut melemparkan senyuman mesra kepada lelaki itu.
“Maaf
encik. Banyak brochure yang dah habis.
Staff kami tak sempat lagi nak ambil yang
baharu dari pejabat kami. Tak sangka pulak ramai pengunjung yang datang hari
ini…”
“Tu
yang awak pegang tu, brochure apa?”
Lelaki itu memuncungkan bibirnya ke arah brochure
yang ada di tangan Norsyazwani.
“Yang
ni adalah brochure untuk projek kami
yang di Indera Putra dan Bagan Lallang. Encik nak tengok brochure projek hartanah yang di kawasan mana?” cuba terus memaniskan
senyuman dan suaranya, Norsyazwani bertanya.
“Oh,
iya ke?... Saya nak cari hartanah di kawasan Kuala Lumpur atau Petaling Jaya.
Awak boleh bantu ke untuk menunjukkan maklumat-maklumat yang saya cari tu?”
soal lelaki itu dengan nada yang agak terkilan sambil menjelaskan apa yang
dimahunya.
“Ooohhh…
Kami ada beberapa projek di Petaling Jaya dan Puchong. Kalau encik nak tahu
marilah sayan tunjukkan model contoh projek tu di sebelah sana…” sambil terus
tersenyum mesra Norsyazwani mencadangkan.
“Okey!...”
lelaki itu mengangguk sambil membontoti Norsyazwani yang sudah mula melangkah
menuju ke arah yang dimaksudkan.
“Eeerrr…
inilah beberapa model rumah teres dan juga kondominium yang akan didirikan di
sekitar Petaling Jaya dan Puchong…” Norsyazwani memberitahu sebaik sahaja
mereka berdiri hampir dengan model-model bangunan yang dipamerkan itu.
“Eeemmm…
cantik rumah-rumah ni, tetapi macam mana saya nak dapatkan butir-butir
terperinci mengenainya?” lelaki tadi bertanya sambil merenung dalam, tepat ke anak
mata Norsyazwani seolah amat kecewa kerana tidak mendapat apa yang
dikehendakkinya.
Norsyazwani
menelan air liurnya sambil segera mengalihkan pandangannya ke arah model
bangunan yang ada di sebelah kanannya. Tidak tahan untuk bertentang mata dengan
lelaki itu yang bagaikan sengaja memanah anak matanya.
“Eeerr…
Encik…”
“Airil
Amri…”
“Eeerrr…
Encik Airil Amri nak rumah yang macam mana?”
“Cik
Syazwani, itu sebab saya nak tahu butir-butir kedua-duanya, kerana bila dah
tahu barulah saya boleh buat pilihan yang mana satu yang sesuai dengan budget saya!..”
kedengaran suara lelaki itu berubah agak tegang sambil matanya memandang tepat ke arah kad pekerja yang
tergantung di leher Norsyazwani yang jelas memaparkan namanya.
Norsyazwani
tergamam seketika apabila mendengar lelaki itu menyebut namanya dengan begitu
fasih. Dia tidak menyangka lelaki yang bernama Airil Amri itu seorang yang agak
teliti dan peka akan keadaan sekelilingnya sehingga boleh mengetahui namanya
hanya melalui tag nama yang tertera di kad kerjanya. Kecut juga hati Norsyazwani apabila melihat renungan
lelaki itu yang tidak berkelip-kelip seolah tidak sabar menunggu apa yang
dimahunya.
“Oh!..
Okey!... kalau macam tu, ini contoh rumah berkembar dua tingkat yang akan di
bina di atas tapak tanah berukuran 40 kaki kali 80 kaki. Manakala bangunannya
pula adalah seluas 30 kaki lebar dan 50 kaki panjang, yang mana keluasan
keseluruhan bangunan dari tingkat bawah dan tingkat atas berjumlah lebih kurang
2,800 kaki persegi…” sambil cuba terus memaniskan suaranya, Norsyazwani
berkata.
“Berapa
harganya?” pintas Airil Amri, jelas membayangkan perasaan tidak sabarnya.
Norsyazwani
hanya mampu menelan air liurnya melihat telatah Airil Amri itu.
“Oleh
kerana rumah jenis ini ada 3 bentuk rekaan dalaman yang berlainan, maka harganya
juga adalah berbeza-beza. Bagaimanapun harga rumah jenis ini adalah dari RM1.4 juta
ke atas..”
“Wooii!...
mahal juga ya!..”
“Itu
adalah harga asal belum tolak diskaun 7% untuk pembeli bumiputra…”
“Eeemmm…
masih mahal…”
“Tak
mahal, Encik Amri!.. Harga tu dah kira murah kalau dibandingkan dengan harga
rumah oleh syarikat lain yang sama jenis dan keluasan bangunannya di sekitar kawasan
Lembah Klang ni..” Norsyazwani cuba mempertahankan kredibiliti syarikatnya.
“Okey,
kalau dipotong 7% untuk diskaun bumiputra, harganya masih lebih kurang RM1.32
juta. Masih agak tinggi bagi budget yang saya mampu” tanpa segan silu Airil Amri
memberitahu.
Norsyazwani
memandang ke arah Airil Amri dengan dahi yang berkerut.
“Kenapa?”
soal Airil Amri sambil mengangkatkan keningnya.
“Kenapa
apa?” soal Norsyazwani kembali seolah keliru.
“Tu
saya tengok Cik Syazwani macam terkejut ajer bila saya kata harga tu masih di
luar kemampuan budget saya…”
“Oooo…
Eeerrrr… taaaakk… saya cuma masih memikirkan macam mana saya dapat membantu
Encik Amri mencari rumah yang boleh memenuhi citarasa Encik Amri…” dengan agak
gubra Norsyazwani menjawab kerana tidak menyangka lelaki itu sentiasa
memerhatikan segala gerak gerinya.
“Wah!..
bagus!.. Untung syarikat ini mempunyai pegawai pemasaran macam Cik Syazwani
yang begitu prihatin akan kemahuan pelanggan-pelanggannya…” sambil tersenyum
mesra Airil Amri memuji.
“Itu
sudah tanggung jawab saya. Jadi… macam mana dapat saya bantu Encik Amri?” balas
Norsyazwani sambil cuba menstabilkan suaranya.
Airil
Amri terus merenung Norsyazwani dengan mata yang langsung tidak berkedip, bagaikan
cuba menghayati kata-kata wanita di hadapannya itu. Sesekali kelihatan
keningnya terangkat dengan dahinya yang berkerut seolah sedang memikirkan
sesuatu.
Manakala
Norsyazwani terus menunggu jawapan lelaki itu dengan penuh sabar.