“Betul
ke Wani bersetuju nak kahwin dengan Amri?” Nazmi bertanya adiknya.
Norsyazwani
yang menunduk sejak tadi hanya mengangguk tanpa sebarang suara. Tidak berani
dia mahu menentang mata Abang Longnya yang sedang memerhatikannya.
“Kenapa
selama ni Wani tak pernah cerita pada Abang Long atau Kak Long yang Wani sudah merancang
untuk berkahwin dalam masa terdekat?” soal Nazmi lagi bagaikan terkilan.
“Wani
tak berani kerana masih belum mendapat pengakuan dari Amri yang dia benar-benar
mahu melamar Wani…” Norsyazwani memberi alasan.
“Jadi,
sekarang dia dah betul-betul ke nak kahwin dengan Wani?” Nazmi menduga.
Norsyazwani
menunduk sambil menarik nafas dalam-dalam. Seolah cuba mencari kata-kata yang
terbaik supaya Abang Longnya yakin dan tidak berkecil hati dengan tindakannya
yang telah bersetuju untuk berkahwin dengan Airil Amri.
Tiba-tiba
terbayang wajah Airil Amri yang tampan sedang tersenyum penuh menggoda di tubir
matanya. Renungan Airil Amri yang redup dan romantis telah benar-benar
mencairkan hati Norsyazwani. Sikap ikhlas dan jujur Airil Amri untuk
mengambilnya dengan cara terhormat itu juga telah banyak memberi kesan di hati
Norsyazwani. Dan dengan sikap berani Airil Amri itu jugalah membuatkan hati
Norsyazwani jadi tekad untuk tidak kehilangan lelaki itu dari hidupnya.
“Apabila
dia berani datang bersama keluarganya untuk memohon kebenaran Abang Long, Wani
anggap dia memang benar-benar jujur mahu mengkotakan apa yang dijanjikannya
pada Wani…” Norsyazwani cuba memesongkan jawapannya, walaupun faktanya tetap
betul.
“Dan
Wani dah benar-benar bersedia untuk menjadi isterinya sekarang?” Nazmi terus
mencari kepastian.
“Menagapa
Abang Long tanya begitu? Abang Long tak suka ke Wani berkahwin dengan Amri?”
Norsyazwani pula sebaliknya bertanya apabila melihat reaksi Nazmi yang bagaikan
agak kurang yakin dengan jawapannya tadi.
“Bukan…
bukan tak suka. Sebenarnya Abang Long memang bersyukur benar bila ada lelaki
yang mahu mengambil Wani dengan cara yang terhormat begitu. Itu tanda rezeki
jodoh yang ALLAH tetapkan untuk Wani sudah sampai. Sebagai orang yang bertanggungjawab
ke atas Wani, Abang Long turut gembira. Itu juga tanda ALLAH sayang pada Wani
kerana memberi rezeki jodoh yang awal pada Wani. Cumanya…” Nazmi bagaikan
terputus kata-kata.
“Cumanya
apa, Abang Long?” soal Norsyazwani agak teruja.
“Mengapa
kamu berdua nak bernikah secara tegesa-gesa begini?” sambil merenung muka adik
bungsunya itu dengan penuh keraguan, Nazmi bertanya.
“Maksud
Abang Long?” Norsyazwani pula yang keliru.
“Amri
minta agar kamu berdua dinikahkan sebelum hujung bulan ni. Abang Long jadi agak
musykil kenapa kamu berdua nak nikah cepat-cepat. Ada apa-apa ke yang berlaku
antara kamu berdua?” Nazmi bertanya agak berhati-hati kerana tidak mahu adik
bungsunya itu terasa hati.
Norsyazwani
tergamam mendengar kata-kata abangnya itu. Dia membalas renungan abang longnya
dengan dahi yang berkerut kerana hakikatnya dia sendiri tidak sangka yang Airil
Amri mahu mereka bernikah begitu cepat.
“Kenapa,
Wani? Ada apa-apa ke yang Wani rahsiakan dari Abang Long?” Nazmi terus mendesak
apabila melihat Norsyazwani terdiam begitu.
“Tak!...
tak ada!... Cuma Wani pun agak terkejut juga bila Abang Long kata Amri minta
kami dinikahkan sebelum hujung bulan ni…”
“Eh!...
takkan kamu tak tahu?” soal Nazmi, hairan.
“Me…
memang Amri ada cadangkan agar kami bernikah segera, tetapi tidaklah pula Wani
sangka secepat itu…” agak gabra Norsyazwani menjawab kerana hakikatnya dia juga
agak terkejut dengan infomasi yang baru diketahuinya itu.
“Tapi,
kamu setuju ke kalau kamu berdua dinikahkan sebelum hujung bulan ni?” soal
Nazmi lagi, mencari kepastian.
“Hhmmm…
Wani serahkan pada Abang Long mana yang baik. Wani sendiri pun tak sangka
sehingga begitu sekali Amri mahu segera bersama Wani.” Balas Norsyazwani,
perlahan.
“Tapi,
betul ke kamu dengan dia tidak buat apa-apa yang dilarang ALLAH?” Nazmi
bagaikan masih tidak berpuas hati.
“Apa
maksud Abang Long? Abang Long ingat Wani dah lupa ke dosa pahala? Kalau Abang
Long sangka kami dah terlanjur, Na’uzubillahminzalid!.. Itu tidak benar sama
sekali. Wani berani bersumpah bahawa Wani masih suci!..” agak bergetar suara
Norsyazwani. Cuba membersihkan dirinya dari sebarang syak wasangka Abang
Longnya.
Nazmi
merenung adiknya dengan tidak berkelip-kelip. Seolah cuba mencari sesuatu dari
wajah yang polos itu. Dia tidak nampak apa-apa yang mencurigakan melainkan
kejujuran dan keikhlasan dalam wajah yang manis dan ayu itu. Nazmi tidak
dapat menafikan bahawa adiknya itu
memang seorang yang cantik rupa paras dan juga budi bahasanya. Mungkin sebab
itu jugalah agaknya Airil Amri tidak sabar-sabar mahu menikahinya… hati kecil
Nazmi sempat berbisik.
“Alhamdulillah,
kalau betul apa yang Wani katakan tu. Abang Long percaya pada Wani. Cuma…” lagi
sekali Nazmi bagaikan hilang kata-kata.
“Cuma
apa, Abang Long?” Norsyazwani bertanya, agak musykil.
“Abang
Long takut kalau-kalau ada saudara mara terdekat kita atau pun jiran-jiran yang
akan fikir bukan-bukan. Selama ini mereka tidak pernah dengar Wani bertunang
tapi tiba-tiba sajer terus nak bernikah. Itu sajerlah yang Abang Long
bimbangkan. Abang Long tahu, Wani seorang yang pandai menjaga maruah diri Wani.
Tetapi orang lain mungkin tidak tahu…” Nazmi meluahkan apa yang dirasanya.
Norsyazwani
mengangguk-ngangguk tanda bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Abang
Longnya itu. Namun siapalah dia yang dapat menolak takdir ALLAH kalau ALLAH
sudah menentukan dia bertemu jodoh dengan Airil Amri dalam keadaan begitu.
Norsyazwani hanya mampu berdoa dan berserah kepada ALLAH. Semoga tidak ada syak
wasangka yang buruk-buruk dari jiran tetangga mereka atau saudara mara yang
terdekat.
“Terima
kasih Abang Long, kerana percaya pada Wani. Tetapi bagi Wani, biarlah apa orang
nak kata asalkan kita tidak buat perkara yang salah itu. Wani percaya ALLAH
akan sentiasa bersama orang yang benar. Jadi Wani berserah sajerlah pada ALLAH
segalanya. Apa yang Wani harapkan hanyalah restu Abang Long untuk menerima
Airil Amri sebagai adik ipar Abang Long…” akhirnya Norsyazwani berkata, memohon
restu.
Nazmi
merenung adiknya buat seketika sebelum perlahan-lahan mengangguk dan mengusap
lembut ubun-ubun Norsyazwani. Tanda setuju dan merestui jodoh adiknya dengan
Airil Amri.