Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,287
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 3

“Eh!.. hari ni kau tak pergi ke pusat pameran ke Wani?” kedengaran Aryna menegur sebaik sahaja terlihat Norsyazwani melangkah masuk ke pejabat mereka pagi itu.

“Taaak… Encik Badrul hendak aku ikut dia mesyuarat dengan pihak bank nanti, sebab itulah aku terpaksa datang ke pejabat pagi ni..” jawab Norsyazwani sambil menyimpan beg tangannya ke dalam kabinet di sebelah mejanya.

“Oooh!.. kenapa pulak kau yang kena mesyuarat dengan pihak bank?” sambil melangkah menghampiri meja sahabatnya itu, Aryna bertanya agak hairan.

“Entahlah!.. mungkin semalam aku ada beritahu Encik Badrul yang ramai potential buyers nak tahu pasal kemudahan pinjaman kewangan. Jadi mungkin dia nak aku ikut dia berbincang dengan pihak bank. Untuk membolehkan kita bekerjasama dengan mereka bagi memudahkan pelanggan membeli rumah-rumah yang kita bangunkan…” Norsyazwani memberitahu apa yang diagaknya.

“Eeemmm… betul juga tu. Kalau dah ada bank-bank yang boleh bekerjasama dengan syarikat kita, lagi senang pembeli yang berminat untuk membeli rumah-rumah yang kita bangunkan itu kerana mereka boleh mendapatkan nasihat kewangan pada masa yang sama..” Aryna menyetujui tindakan yang diambil oleh majikan mereka.

“Itulah tu… aku pun memang dah lama mengharapkan begitu supaya senang kami-kami pegawai pemasaran ni nak closed deal dengan potential buyers bila mereka boleh membuat kiraan budget kewangan mereka pada masa tu juga…” sokong Norsyazwani lagi.

“Hah!.. lagi banyaklah sales engkau nanti. Hai… bertambah sayanglah Encik Badrul pada engkau nampaknya…” sambil tersenyum nakal, Aryna mengusik sahabatnya.

“Heh!.. ada-ada sajerlah kau ni, Rina. Itu fitnah namanya tu. Kang tak pasal-pasal aku kena sumbu oleh girlfriend En. Badrul…” Norsyazwani segera menepis usikan Aryna itu sambil menggoyang-goyangkan kedua bahunya. Takut benar kalau apa yang dikatanya itu menjadi kenyataan.

“Alaaahh… Encik Badrul mana ada girlfriend? Nak tengok perempuan pun takut apatah lagi nak ada girlfriend. Tapi kalau dengan engkau…”

“Kenapa dengan aku?” pintas Norsyazwani dengan mata yang terjegil.

“Kalau dengan kau, sampai nak terkeluar biji mata dia merenung. Aku rasa dia memang minat kat engkau lah, Wani...” Aryna cuba mengukuhkan pendapatnya.

“Hish!.. Jangan merepeklah, Rina. Buat malu aku ajer nanti kalau orang lain dengar!..”

“Apa yang nak dimalukan kalau perkara benar?..”

“Heh!... Kau jangan buat cerita yang bukan-bukan, Rina. Dah aku selalu kena briefdia pasal status pemasaran, sebab tulah dia kena dengar betul-betul setiap apa yang aku katakan…” kedengaran agak serius nada suaranya sebagai tanda tidak selesa, Norsyazwani segera cuba menepis kata-kata Aryna itu.

“Sorrylah… takkan macam tu pun kau nak marah. Aku sajer jer nak gurau dengan kau pagi-pagi ni. Dah dua hari pejabat ni sunyi bila kau orang semua bertugas di pusat pameran. Eeemmm… kau dah minum ke belum? Kalau belum, jom kita minum di cafeteria sementara masih awal lagi ni…” Aryna mengajak seolah mahu memujuk.

“Eeemmm… boleh juga. Aku pun memang tak sempat nak minum kat rumah tadi. Marilah!..” Norsyazwani menyetujui sambil segera bangun untuk ke cafeteria.

Aryna yang memang sudah bersedia hendak ke cafeteria hanya tersenyum lega apabila Norsyazwani setuju untuk menemaninya pagi itu. Beriringan mereka berjalan laju menuju ke tempat yang dimaksudkan kerana mengejar masa sebelum masuk waktu pejabat yang bermula pada pukul 8.30 pagi.

Tidak berapa lama selepas Norsyazwani dan Aryna balik dari cafeteria, kedengaran telefon di meja Norsyazwani berdering-dering minta dijawab.

“Wani… sila masuk ke bilik saya sekejap!...” kedengaran Badrul mengarahkan sebaik sahaja Norsyazwani menjawab telefon yang berdering-dering itu.

“Baiklah…” jawab Norsyazwani lalu meletakkan telefonnya kembali ke ganggang. Kemudian segera dia mencapai dairi dan pen sebelum bergegas ke bilik ketuanya itu.

“Encik Bad nak bincang apa?” Norsyazwani bertanya sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang ada di hadapan meja lelaki itu.

Badrul yang sedang membelek beberapa helai kertas yang bersepah di atas mejanya segera mendongak, memandang tepat ke arah wajah yang polos di hadapannya itu. Ditenungnya wajah itu tanpa berkelip-kelip buat seketika seolah cuba mengingati sesuatu.

“Eeemmm…”

Sememangnya Badrul sendiri tidak tahu entah mengapa hatinya akan sentiasa rasa bergetar setiap kali bertentang mata dengan Norsyazwani sehingga membuatkan lidahnya bagaikan kelu. Perasaan begitu tidak pernah timbul kalau dengan perempuan lain. Perlahan-lahan Badrul menarik nafasnya dalam-dalam sebelum memulakan bicaranya.

“Saya nak awak sediakan statistik semua potential customers yang memerlukan pinjaman kewangan supaya senang kita bincangkan dengan pihak bank nanti. Kalau ramai, mungkin kita boleh minta pihak bank memberikan tawaran yang menarik supaya potential customers itu tidak akan berbelah bagi lagi untuk membeli rumah-rumah yang kita tawarkan…” terang Badrul.

“Kan saya dah beri pada Encik Bad semalam?”

“Itu hanya yang ada pada awak. Saya nak semua, termasuk pegawai-pegawai lain…”

“Oh!.. Encik Bad nak statistik semua ke? Semalam Encik Bad tak beritahu, jadi saya hanya ada statistik yang saya punya sajer. Eeemmm… kalau begitu, biar saya telefon pegawai-pegawai lain dulu untuk minta maklumat itu...” balas Norsyazwani dengan nada agak tegang sambil bangun mahu berlalu.

“Eeerrrr… cuba dapatkan segera ya, kerana kita perlu pergi ke bank dalam setengah jam lagi sebab appointmentkita dengan mereka pukul 9.30 pagi..” ujar Badrul sambil terus memerhatikan Norsyazwani yang sudah mahu melangkah.

“Hah?... Kita pergi ke bank?” soal Norsyazwani agak terkejut, sambil memandang tepat ke arah Badrul.

“Kenapa awak terkejut?”

“Tak adalah… saya ingatkan kita mesyuarat di sini di pejabat kita. Saya tak bawa kereta hari ini sebab lepas mesyuarat saya kena balik ke pusat pameran semula. Di situ tempat pakir agak susah kerana ramai pengunjung yang datang, jadi saya cadang nak naik teksi sajer…” dengan rasa terkilan, Norsyazwani menjelaskan.

“Oooohh… pasal itu ke? Tak mengapa, jangan risau. Awak boleh naik kereta dengan saya. Lagi pun di bank tu pun agak susah juga tempat pakir, jadi memang elok kita pergi satu kereta sahaja. Lepas tu bolehlah kita pergi ke pusat pameran tu sama-sama kerana saya pun nak tengok juga macam mana sambutannya…” jelas kedengaran riak lega dalam suara Badrul.

“Hah!.. naik kereta dengan Encik Bad?”

Sebaliknya Norsyazwani pula yang sekali lagi bagaikan tidak percaya. Dia benar-benar tidak menyangka Ketua Pegawai Kewangan merangkap Pengarah Operasi Teguh Sejati Holding itu mahu mempelawanya. Setahunya, belum ada pun seorang pegawai biasa yang pernah naik kereta bersama Badrul, walaupun untuk urusan rasmi sebelum ini. Jadi pelawaan Badrul pagi itu benar-benar memeranjatkan Norsyazwani.

Boleh dikatakan semua warga kerja di Teguh Sejati Holding tahu yang Badrul seorang yang serius dan tidak suka bercakap banyak terutamanya dengan pekerja perempuan. Sehingga ramai juga pekerja perempuan yang mengatakan Badrul bagaikan batang kayu berjalan, tiada perasaan langsung. Namun Norsyazwani benar-benar keliru kini.

“Kenapa? Awak takut ke?...”

“Eeerrrr… tttaaapi..”

“Tapi apa? Apa yang awak risau sangat nak naik kereta dengan saya? Saya tak makan anak dara orang. Janganlah awak risau sangat, Wani…” dengan nada nakal, Badrul berkata.

“Taaak!.. bukan takut atau risau, cuma…”

“Cuma apa?...”

“Saya tak mahu menyusahkan Encik Bad kerana terpaksa pulak menghantar saya ke pusat pameran selepas itu. Saya tahu Encik Bad sibuk dan banyak tugas-tugas lain yang perlu diselesaikan di pejabat…” dengan agak berhati-hati Norsyazwani menjelaskan kerana tidak mahu ketuanya itu berkecil hati.

Badrul merenung tepat ke anak mata Norsyazwani. Bagaikan sengaja mahu membalas renungan Norsyazwani yang memandang ke arahnya apabila dia terhenti dari meneruskan langkahnya tadi. Mata mereka bertautan buat seketika namun mulut masing-masing bagaikan terkunci untuk sebarang bicara.

Norsyazwani segera menunduk kerana tidak tahan menentang tenungan anak mata Badrul yang bagaikan memanah anak matanya. Hati Norsyazwani jadi resah tidak menentu apabila kata-kata Aryna pagi tadi tiba-tiba terngiang-ngiang di telinganya. Perlahan-lahan Norsyazwani menggigit bibirnya seolah cuba mententeramkan hatinya sambil menunggu reaksi dari ketuanya itu dengan dada yang berdebar-debar.

“Macam saya kata tadi, saya memang tetap hendak ke pusat pameran itu untuk melihat sendiri bagaimana sambutan dari pengunjung walaupun kalau awak tidak naik kereta dengan saya. Jadi tak ada apa pun yang akan menyusahkan saya nanti…” akhirnya kedengaran Badrul berkata seolah mahu meyakinkan pegawainya itu.

Norsyazwani menelan air liurnya sambil cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk menjawab pelawaan ketuanya itu.

“Eeemm... kalau dah macam tu kata Encik Bad, saya ikut sajerlah. Jadi saya minta diri dulu untuk dapatkan maklumat yang Encik Bad hendak tu…” Norsyazwani akhirnya menyetujui sambil mahu meneruskan langkahnya yang terhenti tadi.

“Baiklah. Tapi jangan lupa, pukul 9.00 tunggu saya di lobi. Jangan lambat, nanti lewat pulak kita sampai ke bank…” Badrul segera mengarahkan sambil memerhatikan sahaja Norsyazwani yang hanya mengangguk tanpa suara, melangkah laju meninggalkan bilik pejabatnya.

Tekad yang cuba ditanamkan di sudut hati Badrul terus berdetik lagi seolah mengejeknya kerana masih gagal melaksanakannya walaupun peluang sudah beberapa kali menjengah di depan mata. Badrul jadi buntu seketika. Akhirnya Badrul hanya mampu menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskan kembali perlahan-lahan seolah cuba memujuk dirinya sendiri.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.