Jam
di dinding bilik mesyuarat itu sudah pun menunjukkan pukul 4.30 petang. Tidak
sudah-sudah Norsyazwani menjeling ke arah jam yang tergantung itu. Sesekali
terdengar keluhan kecil terpancul dari bibirnya walaupun kelihatan dia cuba
menyorokkan segala keluh kesahnya itu.
“Kenapa
Wani? Awak tak sehat ke?” Badrul bertanya sebaik semua ahli mesyuarat yang lain
telah keluar meninggalkan bilik mesyuarat.
Norsyazwani
yang sudah bangun mahu turut melangkah pergi segera berpaling dan mematikan
langkahnya. Tanpa Norsyazwani menyedarinya, Badrul telah memerhatikan segala riak
resah gelisah gadis itu sejak tadi.
“Eeerrrr…
tak adalah. Saya sehat sajer. Kenapa Encik Bad tanya macam tu?” Norsyazwani
sebaliknya bertanya dengan kening yang berkerut.
“Saya
tengok awak resah sajer sejak tadi. Ada apa-apa ke yang awak tak puas hati
semasa mesyuarat tadi?” Badrul cuba merisik.
Norsyazwani
tersentak. Tidak menyangka yang ketuanya perasan akan keluh kesahnya tadi.
Perlahan-lahan Norsyazwani menggeleng.
“Tak.
Semuanya okey sebagaimana yang kita dah bincangkan pagi tadi. Cuma…”
“Cuma
apa?” spontan Badrul memintas.
“Saya
ada hal sikit petang ni, jadi saya nak minta keluar awal, boleh ke Encik Bad?”
Norsyazwani terpaksa berterus terang kerana tidak mahu Badrul bertanya lebih
lama lagi.
Hakikatnya
Norsyazwani tidak mahu terlalu lewat petang bertemu dengan Airil Amri. Norsyazwani
tidak mahu berduaan sahaja dengan lelaki itu ketika hari telah gelap.
Sebolehnya Norsyazwani tidak mahu maruahnya sebagai anak dara pingitan tercalar
hanya kerana bersama lelaki bukan mahram sehingga malam hari.
“Oh,
iya ke? Eeemmm… sekarang pun dah dekat pukul lima, tak sampai setengah jam lagi
dah lepas waktu pejabat. Pergilah!… saya benarkan. Cuma, esok Wani jangan lupa
dapatkan jumlah budget yang kita
perlukan untuk iklan media projek yang akan dilancarkan tu…” Badrul membenarkan
sambil mengingatkan.
“Terima
kasih, Encik Bad. InsyaALLAH, esok pagi saya akan sediakan maklumat tersebut
dan serahkan pada Encik Bad secepat mungkin. Saya pergi dulu, Encik Bad. Assalamualaikum!..”
Norsyazwani berkata sebelum melangkah laju meninggalkan bilik mesyuarat itu.
Selesai
mengerjakan Solat Asar di surau Menara Teguh Sejati Holding itu, Norsyazwani
segera bergegas ke lobi bangunan. Dia yakin Airil Amri telah sedia menunggunya
di dalam kereta yang dipakirkan di hadapan bangunan itu, sebagaimana yang
mereka janjikan tadi.
Sebolehnya
Norsyazwani tidak mahu sesiapa pun dari syarikat itu yang nampak dia keluar
dengan lelaki itu, lebih-lebih lagi Badrul. Norsyazwani tidak mahu Badrul
menuduhnya melanggar etika kerja kerana keluar dengan potential customer sebab Badrul telah kenal siapa Airil Amri ketika
mereka berjumpa di bank tempoh hari.
“Assalamualaikum.
Ma’af kerana awak terpaksa menunggu lama. Saya pergi solat sekejap selepas
habis meeting tadi...”
Dengan
suara yang termengah-mengah kerana tergesa-gesa, Norsyazwani memberi salam dan
memohon ma’af sebaik dia membuka pintu kereta. Segera dia melabuhkan
punggungnya di tempat duduk penumpang di sebelah Airil Amri.
“Waalaikumussalam.
Tak mengapa. Kalau pasal Hani, seribu tahun pun Am akan tunggu..” sambil
tersenyum mesra dan merenung gadis di sebelahnya itu dengan penuh minat, Airil
Amri menjawab salam.
Mata
mereka bertautan buat seketika apabila Norsyazwani yang agak terkejut dengan
ucapan Airil Amri itu segera berpaling memandang tepat ke arah lelaki itu. Mata
bertentang mata, lidah kelu untuk berkata-kata. Jiwa Norsyazwani bagaikan
melayang, jantungnya pula bagaikan berhenti berdenyut apabila Airil Amri
mengenyitkan matanya dengan senyuman yang penuh menggoda. Bagaikan memanah ke
lubuk hati Norsyazwani yang paling dalam.
Norsayzwani
segera menarik nafas dalam-dalam seolah mencari lebih oksigen untuk membolehkan
dia bernafas kembali. Segera dia mengalihkan pandangannya ke jalan raya di
hadapan mereka bagi mengelakkan Airil Amri terus menelanjangi wajahnya.
“Eeemmm…
cepatlah. Kita nak ke mana ni? Nanti kalau lambat-lambat, jem pulak jalan sebab
semua orang dah mula balik kerja...” bagaikan baru tersedar yang Airil Amri
masih belum memulakan pemanduannya, Norsyazwani segera menyuruh.
“Hani
pernah ke Seri Bayu Café?” tanya Airil Amri sambil mula menekan pedal minyak
keretanya. Mengharung jalan raya yang sudah mula agak sesak, meninggalkan
Menara Teguh Sejati Holding.
“Seri
Bayu Café? Kat mana tu?” sebaliknya Norsyazwani bertanya.
“Maknanya
Hani tak pernahlah ke situ ya? Okey!.. kalau begitu, kita pergi sana ya!..
Nanti dah sampai sana, Hani tahulah di mana restoran tu!..” dengan suara yang
riang Airil Amri sengaja membuat Norsyazwani berteka teki.
“Eeemmm…
suka hati awaklah. Asal jangan lupa jalan nak hantar saya balik ke pejabat
untuk ambil kereta saya nanti, sudahlah!..” balas Norsyazwani bersahaja, seolah
keseronokkan Airil Amri berteka teki itu tidak langsung menarik minatnya.
“Kalau
Am lupa jalan balik ke pejabat Hani, Am hantar sajerlah Hani balik ke rumah.
Bukannya susah…” sambil terkekeh Airil Amri mengusik.
“Heh!..
Habis tu, kereta saya macam mana?” soal Norsyazwani, terkejut.
“Biarkan
sajerlah di pakir pejabat tu sampai esok. Pakir pejabat Hani selamat kan? Orang
lain tak boleh masuk pakir tu kan?” sebaliknya Airil Amri pula yang menyoal
kembali.
“Memanglah
selamat, tapi macam mana saya nak pergi kerja esok…”
“Am
kan ada!.. Am boleh datang jemput Hani di rumah esok pagi dan kemudian hantar
ke pejabat. Apa yang nak dirisaukan. Semuanya boleh diatur, sayang!...” sambil
menjeling ke arah gadis di sebelahnya itu, Airil Amri terus mengusik.
Berdetup
jantung Norsyazwani mendengar Airil Amri memanggilnya sayang dengan begitu
bersahaja. Bagaikan mereka adalah pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta.
Walhal hakikatnya tidak sepatah pun lagi perkataan cinta yang terucap dari
mulut mereka walaupun kemesraan bergurau senda sudah sering menyemarakkan
perbualan mereka.
Norsyazwani
segera berpaling memandang tepat ke arah Airil Amri. Cuba membaca dan mentafsir
apa yang tersirat di sebalik wajah yang sedang tersenyum itu. Apakah anggapan
lelaki itu terhadap perkenalan mereka yang hanya baru beberapa hari ini
sehingga lelaki itu begitu lancar menyebut perkataan sayang terhadapnya.
“Kenapa?...”
Airil Amri bertanya sambil turut berpaling memandang ke arah Norsyazwani yang
hanya membisu itu. Kebetulan kereta mereka berhenti di lampu merah.
“Tak
ada apa… Cuma saya mula terfikir bagaimana awak menguruskan hidup awak. Semua
perkara tiada menjadi masaalah bagi awak…” jawab Norsyazwani sambil menunduk. Cuba
mengalihkan matanya dari terus bertaut dengan mata Airil Amri yang romantis
itu.
“Itulah
Amri…” sambil mula kembali menekan pedal minyak keretanya, Airil Amri berkata
selamba. Seolah seronok membiarkan Norsyazwani terus berfikir akan perihal
dirinya.
“Amri
lelaki yang penuh misteri…” Norsyazwani pula menambah, dengan selamba jua.
Kedengaran
Airil Amri tertawa terkekeh-kekeh. Bagaikan seronok benar dengan komen
Norsyazwani itu. Nosyazwani terus memintal-mintal tali beg tangannya dengan
tanpa tujuan. Tidak tahu apa yang harus dilakukan di dalam keadaan Airil Amri
kelihatan begitu seronok tertawa terkekeh-kekeh, sehinggalah lelaki itu selesai
memakirkan keretanya di tempat pakir Seri Bayu Café. Sempat Norsyazwani
memerhati sekeliling restoren kerana belum pernah sampai ke situ.
“Jom!..
Kita dah sampai…” Airil Amri mengajak sebaik dia mematikan engine dan mahu
membuka pintu keretanya.
Bagai
dipukau, tanpa menjawab apa-apa Norsyazwani turut membuka pintu kereta dan
kemudian beriringan dengan Airil Amri masuk ke dalam restoran. Mereka duduk di
satu sudut yang agak jauh dari pengunjung lain. Sengaja Airil Amri memilih
sudut itu supaya senang dia berbicara dengan Norsyazwani tanpa khuatir didengari
oleh pengunjung-pengunjung lain.
“Hani
tak pernah makan kat sini?” Airil Amri bertanya sebaik pelayan restoran
meninggalkan meja mereka setelah mengambil pesanan makanan yang mereka pilih.
Norsyazwani
hanya menggeleng sambil memerhati sekeliling restoran yang sudah mula dipenuhi
pengungjung-pengunjung yang mungkin singgah selepas balik kerja.
“Awak
selalu ke makan di sini?” Norsyazwani bertanya apabila mereka sudah mula
menyuap makanan mereka masing-masing dengan penuh selera.
“Selalu
juga. Bila-bila lapar dan tak sempat nak balik rumah selepas kerja, Am akan
singgah sini dulu. Makan dan kemudian baru balik…” balas Airil Amri.
“Awak
tinggal sorang ke?” Entah kenapa Norsyazwani ingin pula mengetahui lebih dekat
mengenai lelaki yang duduk di hadapannya itu.
“Taakk…
Bertiga dengan emak dan adik perempuan saya yang masih belajar di UiTM…” jawab
Airil Amri sambil merenung wajah Norsyazwani dengan penuh minat.
“Oohh!..
awak tinggal dengan emak awaklah ya? Ayah awak di mana?”
“Kita
serupa…”
Norsyazwani
mengangkatkan keningnya ke arah Airil Amri menandakan tidak faham apa maksud
kata-kata lelaki itu.
“Kita
sama-sama anak yatim. Ayah kita sudah meninggal dunia…” sambil tersenyum mesra
Airil Amri menerangkan. Seolah sebagai anak yatim itu tidak membuatkan dia berasa
sendu.
“Tak
sama!.. Awak anak yatim tetapi saya anak yatim piatu!..” selamba juga
Norsyazwani membalas. Sengaja mahu melihat reaksi lelaki itu seterusnya.
“Oh ya!.. Betul, betul… Jadi, oleh kerana Am
hanya anak yatim manakala Hani pula anak yatim piatu, maka kenalah anak yatim
melindungi anak yatim piatu kan?...” Segera Airil Amri mengajukan komennya.
Bagaikan
tidak mahu melepaskan peluang, Airil Amri menjadikan fakta yang diperbetulkan
oleh Norsyazwani itu sebagai suatu yang boleh memberi menfaat kepada hubungan
mereka.
Norsyazwani
menjegilkan biji matanya seolah sedang menahan geram. Memandang tepat ke anak
mata Airil Amri yang sedang tersenyum nakal melawan panahan anak matanya itu.
Natijahnya
Norsyazwani sudah mula seronok berbual mesra dengan Airil Amri. Lelaki itu
seorang yang periang, pandai berjenaka dan yang paling menyenangkan hati
Norsyazwani ialah gaya dan reaksi Airil Amri yang romantis tetapi sopan.
“Kenapa?
Tak boleh ke?” cabar Airil Amri.
“Awak
bukan mahram saya. Macam mana awak nak melindungi saya?” Norsyazwani sendiri
bagaikan terkejut apabila soalan itu boleh begitu lancar keluar dari bibirnya.
“Bukan
susah nak jadikan mahram. Nah, ambil borang ni. Penuhkan maklumat yang
diperlukan dan esok pagi beri balik pada Am…”
Seolah
mengambil peluang yang datang menggolek, Airil Amri mengeluarkan sekeping
kertas dari poket bajunya dan menyuakannya kepada Norsyazwani.
Lagi
sekali Norsyazwani mengerutkan keningnya. Mencapai kertas yang disuakan oleh
Airil Amri itu dan membeleknya dengan kening yang semakin berkerut. Sementara
Airil Amri terus memerhatikan reaksi gadis itu dengan penuh debaran.