Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,272
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 7

“Assalamualaikum, Cik Syazwani…” kedengaran suara mersik menegur Norsyazwani yang sedang asyik menulis sesuatu di dalam buku rekod di hadapannya.

“Waalaikumsalam…” Norsyazwani menjawab salam lalu segera mendongak, mencari orang yang empunya suara.

Mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata. Hati Norsyazwani jadi bergetaran apabila anak matanya bertembung dengan anak mata Airil Amri yang sedang asyik merenungnya dengan penuh minat. Keadaan jadi sunyi sepi seketika antara mereka walaupun sekeliling mereka kedengaran riuh rendah suara pengunjung lain yang sedang sebuk dengan aktiviti mereka masing-masing.

Tanpa Norsyazwani sedari, secara automatis bibirnya segera mengukir senyuman manis apabila matanya bagaikan terpaku di wajah Airil Amri yang sedang tersenyum penuh menggoda di hadapannya.

“Sibuk betul nampaknya!..” Airil Amri mengusik.

“Biasalah… dah kita ni kuli, kenalah kerja keras untuk mencari rezeki halal. Lainlah macam Encik Amri, boss!...” sambil terus tersenyum mesra, Norsyazwani membalas usikan lelaki itu.

“Mana awak tahu saya boss? Saya pun kuli juga macam awak!...”

“Kalau kuli mana mampu nak beli rumah juta-juta macam yang Encik Amri tengok tu…” ujar Norsyazwani sengaja menduga.

“Itu sebab saya masih perlu berfikir-fikir untuk membuat keputusan…”

“Alaaahh… janganlah fikir-fikir sangat. Sementara peluang ada ni, beli sajerlah. Kalau tunggu lama-lama nanti harga rumah akan naik lebih tinggi lagi…”

“Wah!.. pandai Cik Syazwani memujuk. Hampir cair saya dibuatnya!..” balas Airil Amri sambil tersenyum nakal.

“Saya hanya ingin membantu supaya Encik Amri tidak kerugian. Lagi pun dah tak banyak unit yang tinggal…” Nosyazwani terus cuba mempengaruhi lelaki itu.

“Kalau dah bukan rezeki saya nak buat macam mana!.. Tapi kalau ALLAH dah tetapkan salah satu rumah tu adalah rumah saya, walau macam mana pun pasti saya akan dapat juga belinya nanti kan?...” selamba sahaja kedengaran suara Airil Amri, bagaikan pasrah.

“Betul, betul… saya setuju benar dengan kata-kata Encik Amri tu. Kita hanya merancang tetapi ALLAH yang menentukan segalanya!... Eeerrr… Encik Amri datang ni nak tengok rumah-rumah lain ke?...” Norsyazwani menyetujui sebelum bertanya.

“Memang niat hati tu nak tengok-tengok juga rumah-rumah lain sebelum buat keputusan. Beli rumah ni bukan macam beli pisang goreng, boleh main ambil sajer. Banyak faktor yang kena diambil kira…” balas Airil Amri.

“Iya, iya… apa yang Encik Amri kata tu memang betul. Sebab itulah saya selalu bantu potential customers saya mendapatkan maklumat-maklumat yang tepat supaya mereka berpuas hati apabila telah membeli rumah-rumah kami. Eeerrrr… Encik Amri tak bincang dulu atau pun ajak orang rumah Encik Amri untuk tengok contoh-contoh rumah yang kami ada tu?” dengan nada prihatin Norsyazwani bertanya sambil ingin merisik.

“Mengapa Cik Syazwani bertanya begitu?” sebaliknya Airil Amri bertanya.

“Mengapa apa?” soal Norsyazwani kembali agak keliru.

“Apa yang buat Cik Syazwani fikir saya dah ada orang rumah?”

Dengan dahinya yang berkerut, bulat biji mata Airil Amri merenung tajam ke anak mata Norsyazwani yang kebetulan juga sedang merenungnya. Namun kenakalan suara Airil Amri juga jelas kedengaran bagaikan perkara yang ditanya itu adalah sesuatu yang melucukannya.

“Iyalah… Selalu yang sebuk nak beli rumah kan orang yang dah berumah tangga. Kalau orang bujang, jarang yang nak sebuk-sebuk beli rumah kerana dia sebuk mencari suri rumah…” balas Norsyazwani dengan nada nakal juga.

“Oh!.. macam itu ke? Tapi saya tak mahu macam tu!..” komen Airil Amri, selamba.

“Encik Amri tak mahu yang macam mana?” Norsyazwani pula tambah seronok merisik.

“Saya nak ada rumah dulu sebelum cari suri rumah supaya suri rumah saya gembira bila saya bawa balik ke rumah…” balas Airil Amri, terkekeh-kekeh seolah seronok dapat memutar-belit isu yang dibualkan sebagai bahan bergurau dengan gadis di hadapannya itu.

“Alhamdulillah… beruntungnya sesiapa yang menjadi suri rumah Encik Amri. Jadi, sekarang Encik Amri nak tengok rumah yang mana? Boleh saya bantu…” sambil turut tersenyum nakal Norsyazwani mempelawa.

“Eeemmm… kalau Cik Syazwani bantu saya perkara lain dan bukan untuk melihat contoh-contoh rumah tu, boleh tak?” dengan nada yang bertambah nakal, Airil Amri menduga.

“Bantu perkara lain? Apa tu? Encik Amri nak saya carikan bank yang boleh memberi pembiayaan kewangan ke?” Norsyazwani sebaliknya bertanya, jujur.

“Bukan… “

“Habis tu?”

“Saya nak Cik Syazwani bantu saya cari restoran dekat-dekat sini supaya kita boleh pergi minum petang bersama!..” balas Airil Amri dengan senyuman yang meleret.

“Hah?..” Norsyazwani menjegilkan biji matanya yang bulat itu, menentang anak mata Airil Amri yang memang sedang sedia merenungnya dengan penuh minat.

“Kenapa? Tak boleh ke kita pergi minum sama?” cabar Airil Amri.

“Taak… bukan…” Norsyazwani jadi gubra kerana tidak menyangka lelaki itu begitu berani mengajaknya minum waktu-waktu begitu.

“Apa yang tak, apa yang bukan?”

“Saya sedang bertugas sekarang. Saya tak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan tugas saya tanpa sebab…” ujar Norsyazwani, jujur.

“Okey!.. pukul berapa Cik Syazwani habis bertugas?” soal Airil Amri sebaliknya.

Lelaki itu terus merenung Norsyazwani tanpa berkelip-kelip bagaikan memaksanya untuk memberikan jawapan segera. Norsyazwani jadi resah tidak menentu apabila terpandang beberapa pengunjung lain dan juga pegawai-pegawai lain bagaikan sedang memerhatikan dia dan Airil Amri yang sudah agak lama berbicara sejak tadi.

“Pukul lima setengah…” akhirnya Norsyazwani menjawab.

“Eeemmm… tak mengapa, sekarang dah dekat pukul lima, saya akan tunggu sampai Cik Syazwani habis bertugas. Kemudian kita pergi minum, boleh?” tanpa kenal putus asa, Airil Amri terus memujuk.

“Saya nak ke surau dulu sebab belum Solat Asar. Jadi takut lewat sangat pulak nanti Encik Amri nak tunggu saya. Lain kali sajerlah kita minum sama…” Norsyazwani memberi alasan.

Hakikatnya Norsyazwani memang mahu mengelak dari minum-minum bersama lelaki itu. Sebolehnya dia tidak mahu melanggar etika kerjanya. Dia tidak boleh sewenangnya menerima pelawaan untuk makan minum bersama pelanggan syarikat. Terdetik juga rasa menyesal di dalam hati Norsyazwani kerana telah menunjukkan sikap yang amat ramah mesra sehingga boleh bergurau senda dengan Airil Amri tadi.

“Tak apa, kalau selewat mana pun. Saya bukannya nak balik awal sebab saya tiada suri rumah yang akan menunggu saya di rumah…” balas Airil Amri, agak nakal.

Norsyazwani terus memandang ke arah Airil Amri dengan mata yang membulat tanpa sebarang komen sebagai memprotes sikap degil lelaki itu.

“Lagi pula, saya pun nak Solat Asar juga. Jadi tak ada masaalah untuk saya tunggu Cik Syazwani sampai pukul berapa pun…” ujar Airil Amri lagi apabila Norsyazwani terus membisu.

Airil Amri terus merenung Norsyazwani sambil mengangkat-ngangkat keningnya bagaikan tidak sabar menunggu maklum balas Norsyazwani yang kelihatan serba salah itu. Senyuman mesra tetap terus terukir di bibir Airil Amri seolah sengaja mahu menggoda gadis yang bertudung litup itu.

Norsyazwani membalas renungan Airil Amri dengan mata yang masih membulat. Cuba mencari sesuatu dari mata lelaki itu walau pun Norsyazwani sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Apa yang Norsyazwani nampak adalah sepasang mata yang tenang dan redup sedang penuh mengharap. Hati Norsyazwani jadi tersentuh.

“Eeemmm… kalau dah Encik Amri tak kesah walau pun terpaksa menunggu, saya nak buat macam mana lagi? Suka hati Encik Amri lah. Tapi saya tak tahu samada dekat-dekat sini ada restoran atau tidak,” akhirnya Norsyazwani terpaksa mengalah.

“Kalau tak ada dekat-dekat sini, apa kata kita pergi dekat bangunan seberang jalan tu? Kalau tak silap, saya ada nampak restoran dan kopitiam kat situ…” Airil Amri segera mencadangkan.

“Okey. Jadi di mana saya nak jumpa Encik Amri nanti?” Norsyazwani sudah malas bersoal panjang.

“Tak apa, saya tunggu depan surau sampai Cik Syazwani selesai solat lepas pukul lima setengah nanti. Kalau tunggu kat tempat lain, takut susah pula kita tercari-cari kerana nampaknya pengunjung semakin ramai petang-petang begini…” Airil Amri mencadangkan.

“Okey!.. Kalau begitu kita jumpa depan surau nanti ya. Eeerrrr… boleh ma’afkan saya sekejap sebab saya nak bantu staff-staff saya yang lain di sana tu. Nampak ramai pulak pengunjung yang sedang bertanya-tanya tu…” Norsyazwani memohon diri.

“Sila… silakan… Saya pun mohon ma’af kerana telah mengambil masa Cik Syazwani agak lama tadi. Okey, saya tunggu Cik Syazwani depan surau lepas pukul lima setengah nanti ya. Assalamualaikum…” balas Airil Amri sambil berpaling mahu melangkah pergi.

“Waalaikumussalam…” Nosyazwani membalas salam lelaki itu sambil turut bangun untuk pergi menghampiri pegawai-pegawai lain di hujung dewan pameran itu.

Jauh di sudut hatinya, Norsyazwani terus berfikir-fikir kenapakah Airil Amri begitu bersungguh-sungguh mahu merapatinya sedangkan mereka baru sahaja berkenalan di pameran itu kelmarin. Akhirnya Norsyazwani membiarkan sahaja persoalan itu tanpa sebarang jawapan.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.