Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,291
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 12

“Assalamualaikum dan selamat pagi, Encik Bad!..” Norsyazwani memberi salam sebaik sahaja dia menguak pintu pejabat Badrul.

“Waalaikumussalam. Hah Wani… mana lapuran yang saya minta tu?” Badrul mendongak memandang tepat ke arah wajah polos yang sedang menghampiri mejanya.

“Saya dah emailkan soft-copy nya pada Encik Bad malam tadi. Encik Bad belum tengok lagi ke? Saya ingatkan Encik Bad dah buat semakan. Kan semalam Encik Bad kata nak buat cepat sebelum hantar pada bank pagi ni…” Norsyazwani berkata dengan dahi yang berkerut seolah hairan dengan pertanyaan ketuanya itu.

“Eeemmm… ma’af. Saya ada family matters yang perlu tindakan segera malam tadi. Jadi saya tak sempat nak tengok email yang awak hantar tu…” balas Badrul dengan nada yang agak mendatar, mengakui kekhilafannya.

Terbayang di mata Badrul bagaimana dia terlantar di atas katil seorang diri sepanjang malam. Menahan jiwa yang resah gelisah dan hati yang gundah gulana sehingga badannya jadi lemah dan mindanya bagaikan buntu untuk berfikir. Perasaan nalurinya yang membuak-buak terpaksa dikorbankan demi kasih sayang dan tanggung jawabnya terhadap kedua ibu bapanya.

Ya ALLAH… adakah semua itu adalah dugaanMU untuk menguji keimananku terhadap MU? Jika itulah yang KAU aturkan untukku, aku redha tetapi janganlah aku terus diuji dengan perkara yang tidak mampu aku menanggungnya. KAU yang maha mengetahui segala keinginanku, maka aku memohon kepada MU, KAU permudahkanlah segala usahaku untuk menyelesaikan segala permasalahan yang sedang keluargaku tanggung sekarang ini… sempat hati kecil Badrul memanjatkan do’a.

“Jadi Encik Bad nak saya buat apa sekarang?” Norsyazwani bertanya apabila melihat ketuanya itu hanya merenungnya tanpa suara.

Mata mereka bertembung. Hati Badrul jadi bergetaran setiap kali melihat sinar mata Norsyazwani yang jernih dan wajah yang polos itu. Teringin benar Badrul mengusap lembut pipi yang mulus itu. Meluahkan isi hatinya terhadap gadis itu. Namun semua itu hanyalah bagaikan mimpi di siang hari. Badrul terpaksa memendamkan segala keinginannya. Terpaksa membuang rasa cinta yang tumbuh dalam hatinya kerana tidak mungkin dia boleh berkahwin dengan gadis lain selain dari yang diwasiatkan oleh Tok Wannya.

“Okey!... Awak pergi print report tu dan kita bincang sekejap sebelum awak betulkan mana yang patut..” akhirnya Badrul mengarahkan.

“Sempat ke kita nak serahkan pada bank pagi ni?” soal Norsyazwani pula agak risau.

“Sempat. Saya dah telefon Mr. Khoo dan dia post-pone appointment kita pukul dua nanti…” balas Badrul selamba sambil membelek kertas-kertas yang ada di atas mejanya.

“Hah? Petang pulak?”

“Kenapa?”

“Habis tu pukul berapa saya nak ke pusat pameran?”

“Hari ni awak tak payah ke pusat pameran. Kan dah ramai pegawai-pegawai pemasaran kita yang lain ada di sana!..” agak tegas kedengaran suara Badrul.

“Ta… tapi saya dah…” Norsyazwani agak keberatan mahu meneruskan kata-katanya.

“Dah apa?” Badrul kembali mendongak, memandang tepat ke anak mata Norsyazwani dengan kening yang terangkat.

“Eeerrr… sa… saya dah janji… Eeeemm… tak mengapalah!..” agak tergagap-gagap Norsyazwani mahu menerangkan tetapi akhirnya mematikan sahaja niatnya itu.

Hakikatnya Norsyazwani tidak mahu Badrul tahu apa-apa mengenai perkara-perkara peribadi yang telah dirancangnya. Dia tidak mahu mencampur adukkan urusan kerja dengan urusan peribadinya.

Norsyazwani termenung seketika. Cuba mencari jalan bagaimana mahu menyelesaikan kedua-dua perkara itu tanpa menjejaskan kepercayaan ketuanya terhadap kredibilitinya sebagai seorang pekerja yang komited dan bertanggung jawab.

“Awak dah janji apa sebenarnya, Wani? Janji dengan potential buyers ke? Cuba beritahu saya. Mana tahu saya boleh bantu awak…” dengan nada prihatin, Badrul cuba membantu.

“Eeerr… tak mengapalah Encik Bad. Tak mustahak sangat pun. Saya akan cuba selesaikan kemudian…”

“Betul awak tak perlu bantuan saya?” Badrul cuba mencari kepastian.

“Betul!.. Eeemm… kalau begitu biar saya pergi print dulu report tu sekarang, jadi kita boleh bincang segera…” Norsyazwani mencadangkan sambil berpaling mahu melangkah pergi.

“Eeemmm… okey!..” balas Badrul sambil terus memerhatikan Norsyazwani melangkah laju meninggalkan bilik pejabatnya.

Sampai di mejanya, segera Norsyazwani menguruskan apa yang dimahukan Badrul itu namun tiba-tiba konsentrasinya terganggu apabila telefon bimbitnya berdering-dering minta dijawab.

“Hello!..” Norsyazwani menjawab telefonnya tanpa sempat melihat siapa pemanggilnya.

“Assalamualaikum, Hani!..” kedengaran suara mersik memberi salam.

“Oh!.. Waalaikumussalam!.. Ma’af saya tak perasaan Am yang telefon. Am nak apa?” agak kalut kedengaran suara Norsyazwani menjawab salam.

“Nak cakap dengan Hani lah...” agak nakal kedengaran suara Airil Amri.

“Iyalah!.. Tapi pasal apa?” soal Norsyazwani pula, masih dengan nada agak kalut.

“Kenapa ni? Hani sebuk sangat ke sekarang?”

“Eeemm… memang sebuk sangat kerana boss nak saya siapkan report sekarang…” cuba mengendurkan suaranya, Norsyazwani menjawab.

“Oh, iya ke? Habis tu pukul berapa Am boleh datang jemput Hani untuk lunch dan hantar ke pusat pameran?” dengan nada yang agak bimbang Airil Amri bertanya.

Norsyazwani tersentak. Baru dia teringat yang dia telah berjanji untuk makan tengahari dengan Airil Amri sebelum ke pusat pameran. Sebagaimana yang mereka persetujui ketika lelaki itu menghantarnya balik semalam. Dan janji itu jugalah yang membuat Norsyazwani agak serba salah di hadapan Badrul tadi. Namun tugasnya yang begitu mendesak kini bagaikan telah menutup ingatannya terhadap janjinya dengan Airil Amri itu.

“Eeerrrr… ma’afkan saya, Am. Last minute boss tak beri saya ke pusat pameran kerana ada mesyuarat tergempar petang nanti…” agak berhati-hati Norsyazwani terpaksa memberitahu.

“Mesyuarat dengan boss yang Am jumpa di bank hari tu?” Airil Amri merisik.

“Hhhmmm…” Norsyazwani mengiyakan.

Airil Amri terdiam. Terbayang di tubir matanya wajah Badrul yang tampan sedang merenung Norsyazwani dengan penuh minat. Sebagai lelaki, Airil Amri dapat melihat bahawa renungan itu bukanlah renungan biasa.

Mungkinkah lelaki itu juga meminati Norsyazwani? Atau adakah mereka sedang bercinta, maka sebab itulah mereka sentiasa bersama atas alasan tugas rasmi sedangkan hakikatnya mereka mahu selalu bersama!.. Hati kecil Airil Amri seolah berbisik cemburu.

Aku mesti lakukan sesuatu sebelum terlambat!... Hati kecil Airil Amri memasang tekad.

“Eeemm… kalau macam tu, Am ambil Hani lepas pejabat. Kita pergi minum petang, boleh?” Airil Amri terus mencuba nasib.

“Eeerrr… tak payahlah kot. Menyusahkan awak sajer nanti. Lagi pun saya tak tahu pukul berapa mesyuarat habis…” balas Norsyazwani, memberi alasan.

“Alaaahh… apa pulak susahnya. Am pun ada kerja di pejabat. Jadi Am akan tunggu di pejabat sehingga Hani selesai mesyuarat. Kemudian baru Am pergi ambil Hani. Boleh kan?”

Bagaikan tidak kenal putus asa, Airil Amri terus memujuk dan mengharap. Benar-benar membuat Norsyazwani terkedu. Tidak menyangka yang Airil Amri begitu bersungguh-sungguh mahu bertemunya juga hari itu.

“Tiap-tiap hari awak datang jumpa saya, tak mengapa ke?” duga Norsyazwani.

“Bukan takat setiap hari, kalau boleh setiap sa’at Am nak jumpa Hani…” jelas kedengaran suara Airil Amri yang penuh mengharap.

Norsyazwani tergamam mendengar pengakuan Airil Amri. Hatinya tiba-tiba bergetaran apabila wajah tampan dan senyuman Airil Amri yang menggoda seolah-olah melambai-lambai di tubir matanya. Patutkah aku menerima sahaja pujukkannya sedangkan perkenalan kami hanya baru beberapa hari dan aku pun belum mengenali hati budinya?... soal Hati kecil Norsyazwani terus berbelah bagi.

Kalau kau tak berjumpa dia dan selalu bersamanya, macam mana kau nak tahu hati budinya? Inilah peluang engkau menduga kejujuran dan keikhlasan dia terhadap kata-katanya itu… Sebelah lagi hati Norsyazwani bagaikan turut memujuknya.

“Awak nak jumpa saya petang nanti, nak bawa ke mana?” Norsyazwani terus menduga.

“Agaknya ke manalah yang boleh Am bawa Hani dalam keadaan kita sekarang ini, tanpa melanggar syariat ugama kita?” terdengar Airil Amri tertawa nakal seolah seronok dapat mengusik Norsyazwani begitu.

“Ada!.. Masjid…” jawab Norsyazwani nakal juga.

“Oh, masjid? Boleh!.. Nanti Am telefon Tuan Kadhi dulu ya!..” Airil Amri terus tertawa.

“Tuan Kadhi? Untuk apa?” pintas Norsyazwani, hairan.

“Untuk menikahkan kita!.. Kan selalunya kalau lelaki bujang dan anak dara pergi ke masjid bersama mestilah untuk upacara akad nikah…” selamba sahaja kedengaran suara Airil Amri.

Oh!.. mengapakah aku bertanya soalan yang boleh menjeratku kembali?... Hati kecil Norsyazwani berbisik, kesal. Namun terdetik juga di hati Norsyazwani bagaimanakah agaknya menjadi isteri kepada lelaki yang romantis begitu jika apa yang dikatakan Airil Amri itu menjadi kenyataan. Jantung Norsyazwani tiba-tiba berdenyut laju, tidak keruan.

“Huh!.. itu sajer ke yang awak ingat?” soal Norsyazwani, geram.

“Dah Hani yang cakap masjid, jadi salahkah Am kata apa yang Am fikirkan?” balas Airil Amri seolah membela diri.

“Tapi maksud saya tadi, adakah awak nak bawa saya minum di restoran yang dekat dengan pejabat saya ni sajer ke atau pun ke mana-mana restoran yang istimewa? Awak sajer je nak pusing-pusing soalan saya kan?..” Norsyazwani membalas seolah merajuk.

“Kalau dengan Hani, restoran mana sajer pun Am sanggup bawa. Jangan minta ke langit dan ke bulan sudahlah!...” dengan terkekeh-kekeh Airil Amri menjawab.

“Huh!..” kedengaran Norsyazwani mendengus seolah geram dengan usikan lelaki itu.

“Huhuhuhu… ada orang dah merajuk…” semakin seronok Airil Amri mengusik.

“Eemmm… okey, okeylah… Kalau macam tu, nanti bila dah habis mesyuarat saya beritahu awak. Tapi…” Norsyazwani segera memintas namun terhenti kerana baru teringatkan sesuatu.

“Tapi apa, Hani?” soal Airil Amri seolah tidak sabar.

“Awak kena hantar saya balik ke pejabat selepas kita pergi minum kerana saya pakirkan kereta saya di pejabat ni…” jelas Norsyazwani.

“Oh, iya ke? Kenapa hari ni Hani bawa kereta?” soal Airil Amri macam budak bodoh.

“Eh!.. memang saya bawa kereta sendiri ke pejabat setiap hari…” balas Norsyazwani.

“Tapi semalam Hani tak bawa kereta, kenapa?”

“Sebab semalam saya nak ke pusat pameran lewat sedikit, jadi takut susah nak dapat pakir di sana. Sebab itu saya naik kommuter sahaja…”

“Habis hari ni, tak takut ke susah dapat pakir kalau Hani jadi ke pusat pameran tadi?” soal Airil Amri lagi seolah tidak puas hati dengan jawapan gadis itu.

Hakikatnya Airil Amri bercadang untuk menghantar Norsyazwani pulang ke rumahnya lagi seperti semalam agar mereka dapat lebih berlama-lama bersama.

“Dah semalam awak janji nak hantar saya ke pusat pameran selepas bawa saya makan tengahari, awak lupa ke?” Norsyazwani seolah menempelak.

“Eeemmm… ya. Tapi tu sebab Am ingat Hani tak bawa kereta ke pejabat hari ni…” lagi sekali Airil Amri membela dirinya.

“Saya tak cakap pun yang saya tak akan bawa kereta ke pejabat hari ni. Eeemmm… tapi apa-apa pun petang nantilah kita sambung balik pasal tu kerana sekarang saya nak cepat siapkan report yang boss saya minta ni. Ma’af ya!..” Norsyazwani bagaikan mahu memutuskan talian.

“Okey!.. Ma’af juga kerana mengganggu Hani. Jangan lupa call Am kalau Hani dah habis meeting ya!.. Am tunggu Hani. Assalamualaikum!..” Mahu tidak mahu Airil Amri terpaksa akur.

“Waalaikumussalam!..” balas Norsayzwani sambil segera memutuskan talian.

Airil Amri terus merenung telefon bimbit yang masih di tangannya dengan hati yang penuh debaran. Khuatir kalau-kalau apa yang dirancangnya tidak akan menjadi kenyataan. Bayangan wajah Norsyazwani yang tersenyum manis menambahkan lagi gelora di hatinya. Perlahan-lahan Airil Amri menarik nafas dalam-dalam seolah cuba mententeramkan hatinya yang sedang bergelodak itu.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.