Home Novel Cinta Dulu Benci, Sekarang Suka
Dulu Benci, Sekarang Suka
Rose Eliza
18/6/2013 09:30:16
151,174
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“AIN nak tumpang mak su tak?” tanya Humaira.

“Tak apalah, mak su. Ain naik bas aje,” jawab Nur Ain.

“Kalau macam tu, mak su pergi dulu. Ingat, kalau jadi apa-apa, cepat-cepat telefon mak su,” pesan Humaira, tegas.

Nur Ain hanya mengangguk. Ekor matanya sahaja yang menghantar pemergian Humaira. Selepas itu dia bingkas bangun dan melangkah keluar daripada bilik. Hampir tiga tahun dia hidup di perantauan dan menumpang di rumah Humaira, mak sunya. Di rumah itulah tempatnya berlindung dan berteduh selepas kejadian itu.

Nur Ain melangkah menuju ke perhentian bas berdekatan. Dilihatnya tiada sesiapa di perhentian itu. Jika diikutkan dalam waktu begini, masih ada beberapa orang yang turut sama menanti bas untuk ke tempat kerja. Mungkin dah terlepas bas ni, fikir Nur Ain. Matanya meninjau di kawasan itu. Jam di tangan sudah menginjak ke pukul 7.45 pagi. Bas datang awal kut? Duga Nur Ain pula. Alamatnya lewat lagilah aku ke tempat kerja, bisik hati kecil Nur Ain, risau.

Nur Ain tidak keruan. Sekejap duduk, sekejap berdiri.

Kemudian duduk semula. Apa yang perlu dijawab pada bosnya jika dia lambat lagi? Dalam bulan ini, sudah hampir sepuluh kali dia lambat. Semuanya gara-gara bas yang terlalu awal dan terlewat sampai di kawasan perumahannya itu. Mujurlah alasan yang diberikan logik pada fikiran bosnya. Kalau tidak, sudah lama dia dibuang kerja. Walaupun sekadar kerani pentadbiran di syarikat pemborong, dia tetap bersyukur kerana memperolehi pekerjaan itu setahun yang lepas.

Nur Ain bangun daripada duduknya. Dia perlu menahan sebuah teksi memandangkan matahari semakin meninggi. Peluh dingin sudah membasahi dahi. Dikeluarkan sehelai tisu dari dalam beg sandang lalu mengelap peluh itu.

“Kopak jugaklah duit aku hari ni,” keluh Nur Ain.

Tanpa membuang masa, dibawa langkah menuju ke seberang jalan tanpa melihat kiri dan kanan terlebih dahulu.

Ponn!!! Bunyian hon dari arah kereta mengejutkan Nur Ain. Dengan pantas dia berundur ke belakang tatkala dirinya hampir dilanggar sebuah kereta.

“Woi! Buta ke? Lain kali kalau nak melintas, tengok kiri kanan. Jangan tengok depan!” marah pemandu itu sambil melangkah keluar daripada perut kereta.

Nur Ain hanya menunduk. Dadanya berombak kencang. Cuba menahan ketakutan. Nyaris dia dilanggar sebuah kereta sebentar tadi.

“Maaf encik, saya tak perasan.”

“Banyaklah kau punya maaf!” jerkah lelaki itu, kasar. Diamati keretanya penuh minat.

“Nasib baik kau tak langgar dan kotorkan kereta aku ni. Kalau tak, setahun pun belum tentu kereta aku ni bersih.”

“Maaf,” ucap Nur Ain lagi.

“Huh! Perempuan kampung memang macam ni. Menyusahkan!” komen lelaki itu, kasar.

Tersentak Nur Ain mendengarnya. Diangkat muka dan merenung tajam ke wajah lelaki di hadapannya itu. Terkedu dia buat seketika. Hazrul! Terdetik nama itu di hatinya.

“Aku maafkan kau kali ni sebab kereta aku tak ada apa-apa. Kalau tak, susah kau nanti. Aku pasti, orang macam kau ni mana ada duit nak bayar, kan?” sindir Hazrel Hardy, pedas.

Tersentap Nur Ain mendengar sindiran lelaki itu. Diketap bibir menahan kemarahan. Hina sangatkah dia di mata lelaki itu sehingga sanggup mengutuknya sebegitu rupa?

Hazrel melangkah masuk ke dalam kereta semula. Pedal minyak ditekan dan kereta meluncur laju meninggalkan kawasan itu.

Nur Ain hanya memandang. Jam di tangan dikerling.

“Ya ALLAH, dah pukul 9.00 pagi. Apa aku nak buat ni? Alamatnya kena marah lagilah ni,” keluh Nur Ain sambil menepuk dahi.



BOS mana, Kak Gie?” tanya Nur Ain sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi.

“Ain, kamu lambat lagi? Ain tahu tak kalau...” ujar Fauziah terjerit kecil.

“Ain tahu, Kak Gie. Bukan Ain sengaja lambat. Ain tertinggal bas. Teksi tak ada pulak. Lepas tu Ain nyaris nak kena langgar,” cerita Nur Ain bersungguh, cuba menagih simpati daripada Fauziah, merangkap kerani akaun di syarikat itu.

“Ya ke, Ain? Habis tu Ain tak ada apa-apa?” tanya Fauziah, prihatin.

Bingkas dia bangun dan menghampiri Nur Ain. Memerhati tubuh Nur Ain penuh minat.

“Ain tak ada apa-apa, Kak Gie. Kereta tu sempat berhenti,” balas Nur Ain tersenyum. Terharu dengan keprihatinan Fauziah.

“Bos mana, Kak Gie?” ulang Nur Ain pada persoalannya tadi.

“Hmm... bos ada meetingdengan bos besar,” balas Fauziah, kembali duduk.

“Bos besar? Siapa, Kak Gie?”

“Akak rasa Ain tak kenal sebab Ain baru lagi kerja kat sini. Dia baru ambil alih syarikat ni dua tahun yang lepas.”

“Oh, selalu ke bos besar datang sini, Kak Gie?” tanya Nur Ain, ingin tahu.

“Tak jugak. Kalau dia ada meetingkat sini, dia akan singgah sekejap kat syarikat ni jumpa dengan bos,” terang Fauziah sambil matanya tertancap ke skrin komputer.

“Mesti dia kaya kan, Kak Gie?” komen Nur Ain sambil menarik fail dari dalam kabinet.

“Haah, kaya. Tapi sombong dan berlagak,” kutuk Fauziah tidak berlapik.

“Kenapa Kak Gie kata macam tu? Kak Gie pernah jumpa dia ke?”

“Pernah sekali. Masa tu akak terlanggar dia kat depan pintu tu. Akak bukannya sengaja. Lagipun akak baru kerja kat sini, manalah nak kenal dengan dia. Habis dihamunnya akak depan orang ramai. Malu akak masa tu, Ain,” jelas Fauziah panjang lebar.

Masih segar di ingatan akan kejadian itu. Kata-kata kesat yang keluar daripada mulut lelaki itu menyakitkan hati. Dia dihina dan dikutuk kerana menyentuh baju mahal lelaki itu. Sungguh angkuh dan sombong lelaki itu.

“Kekayaan semuanya datang daripada ALLAH. Biarlah dia berbangga dan berlagak dengan kekayaan dia. Mungkin suatu hari nanti dia akan sedar yang semua tu hanyalah pinjaman semata-mata,” hujah Nur Ain, ikhlas.

Fikirannya mengingati peristiwa yang baru terjadi. Disebabkan penampilannya, dia dikutuk dan dihina sebegitu rupa.

“Tengah hari nanti kita makan sama-sama ya, Ain,” ajak Fauziah.

“Err... Ain ada bawak bekal,” bohong Nur Ain sambil menggaru-garu kepala yang bertudung.

“Ain bohong, kan?” duga Fauziah.

Bukannya baru sehari dua dia mengenali Nur Ain, tapi sudah hampir setahun. Segala tingkah laku Nur Ain sudah dapat dibaca. Nur Ain tidak pandai berbohong. Jika Nur Ain berbohong, Nur Ain akan membuat tingkah seperti tadi.

“Ain terlebih bajet bulan ni, Kak Gie. Jadi Ain terpaksa kawal nafsu makan Ain.”

“Mana pergi duit gaji Ain? Kan baru lagi kita dapat gaji? Takkan dah habis?”

“Ain guna buat tambang teksi dah sepuluh kali. Lepas tu Ain bayar duit air dan api serta barang-barang dapur. Kesian kat mak su bayar seorang-seorang. Selebihnya Ain simpan sebab kalau diizinkan ALLAH, Ain nak sambung belajar,” terang Nur Ain jujur.

Fauziah mengangguk faham. Sejak dulu lagi Nur Ain bijak dalam mengurus kewangan. Dia tahu niat Nur Ain untuk melanjutkan pelajaran dan dia menyokong niat itu. Semoga impian Nur Ain akan tercapai tidak lama lagi.

“Akak belanja Ain tengah hari nanti.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi. Ikut akak tengah hari ni,” pintas Fauziah.

“Terima kasih, Kak Gie. Insya-ALLAH, kalau Ain ada rezeki lebih sikit, Ain belanja Kak Gie pulak ya,” janji Nur Ain tersenyum.

“Kalau macam tu akak nak makan kat hotel lima bintang, boleh?” usik Fauziah.

“Insya-ALLAH, boleh. Tapi lepas Ain kahwin dengan anak orang kaya,” balas Nur Ain ketawa kecil.

Beranganlah kau, Ain. Orang macam kau ni, siapa yang nak? Bisik hati kecil Nur Ain.

“Insya-ALLAH, akak akan doakan agar Ain berkahwin dengan orang kaya. Hidup Ain akan senang dan bahagia,” doa Fauziah berserta senyuman di bibir.

“Amin. Terima kasih, Kak Gie,” ucap Nur Ain seraya membalas senyuman.



SAYA nak awak arrange perjumpaan dengan staf kat syarikat ni bulan depan. Saya nak jumpa dengan mereka semua. Tarikhnya akan saya informkemudian,” arah Hazrel bernada tegas.

“Baiklah, Encik Hazrel,” sahut Encik Latif menunduk.

“Saya tengok laporan awak ni tak lengkap. Saya nak awak buat semula. Saya nak tengok prestasi syarikat ni dari bulan ke bulan dan bukannya setahun,” jelas Hazrel sambil matanya menatap fail.

“Sebelum ni memang macam ni, Encik Hazrel. Kami...”

“Awak jangan cerita kisah yang lalu. Sekarang saya yang ambil alih syarikat ni dan saya nak awak ikut cara saya, faham!” pintas Hazrel, keras. Diangkat muka dan merenung tajam Encik Latif yang sedang menunduk.

“Maaf, Encik Hazrel. Saya akan mintak kerani akaun buat laporan setiap bulan selepas ni,” ujar Encik Latif, perlahan.

“Lagi satu, kenapa prestasi staf awak ni teruk sangat? Dalam sebulan, hampir sepuluh kali datang lambat. Kenapa awak tak buang aje staf ni? Saya tak nak orang luar pandang negatif terhadap syarikat saya gara-gara menyimpan staf yang lambat hampir sepuluh kali dalam sebulan,” tegur Hazrel sedikit meninggi.

“Tapi prestasi kerja dia bagus, Encik Hazrel.”

“Sebagus mana pun prestasi kerja dia, kalau peraturan simplepun dia tak boleh nak ikut, itu bukan bagus maknanya, Encik Latif,” bidas Hazrel, keras.

“Saya dah bagi warning pada dia, Encik Hazrel.”

“Kalau setakat bagi warning, takkan berkesan, Encik Latif. Saya akan bincang perkara ni dengan Dato. Mungkin tindakan terhadap staf akan saya ambil.”

“Tapi Encik Hazrel...” Sukar untuk Encik Latif bersuara.

“Dalam perjumpaan tu nanti saya akan umumkan beberapa peraturan baru. Dan saya nak semua staf wajib hadir pada hari tu,” pesan Hazrel.

Matanya dikalihkan ke atas kertas putih yang berada di hadapannya itu. Senarai nama serta prestasi pekerja di Syarikat Cahaya Sdn. Bhd. Matanya tertancap ke nama seorang pekerja yang lambat setiap bulan. Ada yang menarik pada nama itu. Nur Ain Zafira Ibrahim, sebut Hazrel dalam hati.

“Awak pastikan Nur Ain Zafira Ibrahim hadir pada perjumpaan tu. Saya perlu berhadapan dengan dia. Kalau dia tak hadir, awak buang dia terus daripada syarikat ni,” pesan Hazrel lagi seraya menutup fail yang sejak tadi dibaca.

“Baiklah, Encik Hazrel,” balas Encik Latif mengangguk.

Hazrel menghela nafas lembut. Dia mengerling jam di tangan. Hampir ke pukul 12.00 tengah hari. Dia perlu bertemu dengan Eddie Zakuan seperti yang telah dijanjikan. Bingkas dia bangun daripada duduk untuk beredar. Encik Latif yang menyedari tingkah Hazrel, turut sama bangun sebagai tanda hormat.

“Jangan lupa pesanan saya tadi,” ujar Hazrel mengingatkan.

Encik Latif sekadar mengangguk. Matanya menghantar pemergian Hazrel sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Nafas lega dilepaskan. Betapa seksanya dia menghadap majikannya yang baru itu. Jika bukan disebabkan hutang yang syarikat alami dua tahun yang lepas, tidak mungkin syarikatnya itu dibeli syarikat lain. Untuk menghadap majikan seperti Hazrel tidak pernah terlintas di kepalanya.

Encik Latif melangkah keluar dari dalam bilik. Dia perlu memberitahu kesemua pekerjanya tentang perjumpaan itu. Dia juga harus memberi peringatan kepada Nur Ain agar hadir pada hari itu. Jika tidak, sudah pastilah Nur Ain akan dibuang kerja. Bukannya dia tidak pernah memberi amaran kepada Nur Ain, sudah berkali-kali. Tetapi amarannya itu seperti angin lalu sahaja. Malah alasan yang selalu Nur Ain berikan juga difikirkan logik.

Encik Latif mengeluh berat. Jauh di sudut hati, tidak sampai hati untuk membuang Nur Ain. Prestasi kerja Nur Ain amat memberangsangkan. Nur Ain juga tidak pernah melawan kata-katanya seperti pekerja-pekerja yang lain. Keadaan Nur Ain juga membuatkan dia tidak sampai hati untuk membuang gadis itu. Masih segar di ingatan Encik Latif ketika Nur Ain meminta kerja daripadanya. Bersungguh-sungguh Nur Ain meyakinkan dia ketika itu agar menerimanya bekerja. Disebabkan rasa simpati, Nur Ain diterima bekerja di syarikatnya.

“Fauziah!” panggil Encik Latif.

Fauziah segera menoleh.

“Ada apa, Encik Latif?”

“Saya nak awak sediakan laporan kewangan bulanan sehingga bulan ni. Lepas siapkannya, awak letak atas meja saya,” arah Encik Latif.

“Tapi bukan ke selalunya kita buat laporan setiap tahun dan bukannya bulanan?”

“Bos baru, Fauziah. Dia nak setiap bulan dan bukannya tahunan. Awak sediakan aje apa yang saya mintak tadi.”

“Baiklah, Encik Latif.”

“Suruh Ain masuk ke dalam bilik saya sekarang. Saya ada perkara nak bincang dengan dia,” arah Encik Latif seraya melangkah menuju ke pejabat.

Fauziah hanya mengangguk. Dia perlu menyampaikan pesanan Encik Latif pada Nur Ain. Sebab apa Encik Latif ingin berjumpa dengan Nur Ain? Adakah Encik Latif menyedari kelewatan Nur Ain hari ini?

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.