Home Novel Cinta Dulu Benci, Sekarang Suka
Dulu Benci, Sekarang Suka
Rose Eliza
18/6/2013 09:30:16
151,219
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

"KAU perempuan tak guna! Pembunuh! Pergi kau dari sini! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Kau bunuh anak aku! Kau bunuh dia!” tengking Datin Salina, meninggi. Matanya merenung tajam ke muka Nur Ain Zafira.

“Sabar Sal, bawak mengucap. Awak tahu tak kita ni kat mana sekarang? Kat kubur. Kawal sikit emosi awak tu,” nasihat Dato Ridzuan lembut.

“Abang nak suruh saya sabar? Abang tahu tak perempuan ni dah bunuh anak kita. Kalau bukan disebabkan dia, anak kita takkan mati. Kalau bukan disebabkan dia jugak, anak kita takkan kemalangan,” jerkah Datin Salina pula.

“Ya ALLAH, Sal. Soal hidup atau mati semua tu urusan ALLAH. Kita sebagai hamba-NYA kena reda dan terima dengan ikhlas. Awak tak boleh nak salahkan takdir.”

“Abang jangan nak ajar saya. Perempuan ni memang pembawa malang! Pembunuh!” jerit Datin Salina masih tidak puas hati.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membunuh Nur Ain ketika itu juga.

“Aku tak nak tengok muka kau. Aku benci! Aku haramkan kaki kau melawat kubur anak aku. Kalau bukan disebabkan kau, anak aku takkan mati. Kalau bukan disebabkan anak aku, tak ingin aku bermenantukan kau. Perempuan tak guna!” marah Datin Salina sambil menunjal kepala Nur Ain. Melepaskan kemarahan pada gadis itu.

Nur Ain hanya membiarkan perilaku Datin Salina. Rasa sedih di atas kematian Hazrul masih lagi bersisa. Begitu awal Hazrul pergi. Kalau bukan atas desakannya, tidak mungkin Hazrul mengalami kemalangan sekali gus meragut nyawa lelaki itu.

Nur Ain menahan esakan tangisan. Sudah pastilah Datin Salina bertambah membenci dirinya. Sudahlah hubungannya dengan Hazrul mendapat tentangan hebat daripada Datin Salina, niat Hazrul untuk meminangnya turut dibangkang hebat wanita itu.

Bagi Datin Salina, Nur Ain tidak layak buat Hazrul apatah lagi menjadi menantunya. Dia tidak layak untuk mana-mana lelaki kerana dia bukanlah seorang yang kaya, cantik mahupun berpelajaran tinggi. Dia hanya seorang gadis kampung yang berpelajaran setakat SPM, bertudung, berbaju kurung, tidak cantik dan mempunyai parut di dahi.

“Dahlah, Sal. Budak tu tak bersalah. ALLAH lebih sayangkan Rul daripada kita. Banyak-banyaklah berdoa buat arwah anak kita,” nasihat Dato Ridzuan lembut sambil menarik tangan Datin Salina daripada menunjal kepala Nur Ain.

Datin Salina menghentikan tingkah. Di bahu Dato Ridzuan, dia menangis teresak-esak. Menangisi pemergian anak sulungnya itu.

“Jom kita balik,” ajak Dato Ridzuan.

“Kau jangan nak pandai-pandai sentuh kubur anak aku. Aku haramkan kau jejakkan kaki ke sini. Kau jangan ingat kau akan selamat dan senang. Aku akan pastikan kau merana sampai bila-bila, Nur Ain Zafira!” ugut Datin Salina sebelum meninggalkan kawasan perkuburan itu.

Nur Ain hanya menunduk. Ugutan Datin Salina itu dia buat dengar tak dengar sahaja. Tanpa membuang masa, dihampiri pusara Hazrul dan melabuhkan punggungnya di situ.

“Maafkan Ain. Kalau bukan sebab Ain, tak mungkin abang kemalangan dan...” Sukar untuknya menyebut perkataan ‘mati’. Hanya mampu diucap dalam hati sahaja.

Nur Ain membuka Surah Yasin. Dia ingin menyedekahkan Surah Yasin buat Hazrul. Sebaris ayat yang dibaca, setitis air mata jugalah yang mengalir di pipi. Dibiarkan sahaja air mata itu tanpa berniat untuk menyekanya. Tidak dihiraukan keadaan sekeliling yang sudah pun merangkak ke senja. Apa yang pasti, dia perlu menghabiskan bacaan Surah Yasin itu. Semoga roh Hazrul dicucuri rahmat dan berbahagia di sana.



KAU jangan masuk ke dalam rumah aku!” jerkah Pak Ibrahim, meninggi.

Tersentak Nur Ain dengan jerkahan Pak Ibrahim itu. Pakaian yang dilempar Pak Ibrahim ke mukanya turut membuatkan dia hampir terdorong ke belakang.

“Aku tak nak tengok muka kau! Pergi kau dari sini! Aku tak ada anak yang menconteng arang ke muka aku! Aku malu ada anak macam kau! Berambus kau dari sini!” tengking Pak Ibrahim pula. Berombak nafasnya menahan amarah yang sedang berkocak dalam diri.

“Apa bising-bising ni, bang?” tanya Mak Hamidah dari arah dapur. Dia berjalan menuju ke ruang tamu untuk melihat.

“Kamu tolong halau budak ni daripada rumah aku. Aku tak nak tengok muka dia. Aku benci nak tengok muka dia!” marah Pak Ibrahim lagi.

“Ayah,” seru Nur Ain, lembut.

“Jangan kau panggil aku ayah. Pergi kau dari sini. Hidup menyusahkan dan menconteng ke muka aku. Lebih baik kau mati daripada aku menanggung penghinaan tu.”

“Ayah! Apa maksud ayah? Apa yang Ain dah buat?” tanya Nur Ain, kurang faham.

“Kau jangan pura-pura tak tahu, Ain. Apa yang kau dah buat pada anak Datin Salina dan Dato Ridzuan tu?” cebik Pak Ibrahim.

“Apa yang Ain dah buat? Ain tak faham,” soal Nur Ain lagi.

“Abang, dahlah. Tak payahlah nak heboh-hebohkan perkara ni. Idah tahu anak kita tak bersalah,” sampuk Mak Hamidah. Tidak mahu Pak Ibrahim terus-terusan memarahi Nur Ain.

“Tak perlu nak diheboh-hebohkan? Kamu tahu tak perkara ni dah jadi buah mulut orang kampung? Mana nak letak muka aku ni? Aku malu dengan orang kampung,” ujar Pak Ibrahim melenting. Matanya tajam ke muka Mak Hamidah.

“Abang, saya yakin anak kita tak bersalah. Abang jangan dengar sangat cakap Datin tu. Dari dulu lagi dia tak suka Ain berkawan dengan Rul,” bidas Mak Hamidah.

Dia menarik Nur Ain masuk ke dalam rumah. Tidak dihiraukan tenungan tajam Pak Ibrahim.

“Aku kata aku tak nak tengok muka dia. Kamu faham ke tak, Idah?” marah Pak Ibrahim sambil menahan Nur Ain daripada masuk ke dalam rumah.

“Abang!” Mak Hamidah terjerit kecil. Tidak puas hati dengan tingkah suaminya itu.

“Kamu jangan nak melawan cakap aku. Aku ni suami kamu!” tengking Pak Ibrahim.

Terhenjut Mak Hamidah mendengar tengkingan itu. Matanya menikam pandangan Pak Ibrahim.

“Dia anak kita, bang. Idah yakin Ain tak bersalah.”

“Aku tak peduli. Kalau bukan dia yang menggatal, perkara ni takkan terjadi! Sudah! Aku nak kau keluar daripada rumah aku sekarang. Kau bukan anak aku lagi. Aku haramkan kaki kau jejak ke rumah aku lagi!” bentak Pak Ibrahim, tegas.

Ditolak tubuh Nur Ain keluar daripada rumah dan menghempas pintu rumah. Melepaskan kemarahan terhadap anaknya itu.

“Sampai hati ayah buat Ain macam ni. Apa salah Ain?” rintih Nur Ain sambil cuba menahan esakan tangisan.

Pakaian yang bertaburan di atas tanah dikutip satu per satu lalu dimasukkan ke dalam beg. Ke mana hendak dibawa dirinya itu? Tidak pernah terfikir perkara seperti ini akan berlaku dalam hidupnya. Dengan hati yang walang, dia segera beredar dari situ. Hanya pada ALLAH dia memohon perlindungan ketika ini.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.