Home Novel Cinta Dulu Benci, Sekarang Suka
Dulu Benci, Sekarang Suka
Rose Eliza
18/6/2013 09:30:16
151,185
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

“LENGAN Ain dah okey ke?” tanya Fauziah, prihatin.

“Dah, Kak Gie,” jawab Nur Ain seraya duduk di kerusi.

Suis ditekan untuk menghidupkan komputer.

“Ain datang naik bas lagi ke?”

“Dah tak naik dah lepas kes accident yang lepas.”

“Habis tu, siapa yang hantar Ain? Mak su ke?”

“Kadang-kadang mak su. Kadang-kadang Abang Die.”

Fauziah mengangguk faham. Matanya ralit memerhatikan tingkah Nur Ain.

“Sayang betul Eddie pada Ain. Bertuah Ain dapat bakal pak su macam Eddie tu.”

Nur Ain mengangguk seraya tersenyum. Mengiyakan kata-kata Fauziah.

“Ain,” tegur Izzuddin tiba-tiba.

Serentak Nur Ain dan Fauziah menoleh. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Izzuddin.

“Assalamualaikum, Encik Izz,” ucap Nur Ain dan Fauziah serentak.

“Waalaikumussalam Ain, Fauziah,” balas Izzuddin berserta senyuman.

“Lengan Ain dah okey ke?” Tanya Izzuddin pula dan melangkah menghampiri meja Nur Ain dan Fauziah.

“Alhamdulillah, dah okey Encik Izz. Terima kasih kerana ambil berat pasal saya.”

“Tak perlulah berterima kasih dengan saya. Dah jadi tanggungjawab saya, Ain.”

“Encik Hazrel tak masuk kerja ke, Encik Izz?” tanya Nur Ain sekadar ingin tahu.

Berkerut dahi Fauziah dan Izzuddin mendengar pertanyaan Nur Ain itu. Wajah Nur Ain ditatap penuh curiga.

“Saya nak pulangkan sapu tangan Encik Hazrel yang dipinjamkan pada saya minggu lepas,” ujar Nur Ain tatkala menyedari wajah kerutan Izzuddin dan Fauziah.

“Dah seminggu Encik Hazrel tak masuk ofis,Ain. Sehari selepas kes Ain dengan Encik Hazrel minggu lepas,” cerita Fauziah, bersungguh.

“Tak masuk ofis? Kenapa, Kak Gie?” tanya Nur Ain ingin tahu.

“Kak Gie pun tak tahu sebab apa Encik Hazrel tak masuk ofis, Ain. Mungkin Encik Izz tahu kenapa Encik Hazrel tak masuk ofis selama seminggu.”

“Kenapa, Encik Izz?” tanya Nur Ain. Hatinya didesak untuk mengetahuinya.

“Rel bergaduh dengan Die malam reunion kami,” ujar Izzuddin mengeluh.

“Bergaduh?” jerit kecil Fauziah dan Nur Ain, serentak.

Izzuddin sekadar mengangguk.

“Mesti sebab Ain, Abang Die dengan Encik Hazrel bergaduh. Betul, kan Encik Izz?”

“Bukan sebab Ain mereka berdua bergaduh. Die dengan Rel tak boleh berjumpa. Pasti ada perang mulut di antara mereka berdua. Walaupun mereka sering berbalah, mereka tetap berkawan baik sehingga ke hari ni,” jelas Izzuddin. Cuba menghalau rasa bersalah Nur Ain.

“Tapi, masih disebabkan Ain,” ujar Nur Ain, perlahan.

“Ain jangan fikir yang bukan-bukan. Pasti ada sebab lain yang buatkan mereka berdua bergaduh. Ain jangan salahkan diri sendiri,” pujuk Fauziah, lembut.

“Betul kata Fauziah tu, Ain. Bukan sebab Ain mereka berdua bergaduh,” sokong Izzuddin. Tidak mahu Nur Ain berasa bersalah walaupun pada hakikatnya adalah benar.

Nur Ain hanya menunduk. Hilang moodnya untuk meneruskan kerja. Perasaan risau hadir dengan tiba-tiba. Siapa yang dirisaukannya itu? Adakah Eddie ataupun Hazrel?



MASUK!” arah Hazrel, meninggi.

Nur Ain melangkah masuk ke dalam bilik. Jantungnya berdegup kencang. Menahan ketakutan untuk berhadapan dengan Hazrel.

“Encik Hazrel,” panggil Nur Ain, lembut.

Hazrel mengangkat muka. Wajah Nur Ain menyapa mata. Kemudian dijatuhkan wajah dan menghadap fail di hadapan.

“Maaf kalau saya mengganggu Encik Hazrel. Saya...”

“Memang kau mengganggu aku. Kau tak nampak ke aku tengah banyak kerja ni?” jerkah Hazrel berserta dengusan kasar. Diangkat wajah dan menatap tajam ke muka Nur Ain.

“Kau nak apa? Semak aku tengok kau dalam bilik aku ni. Ditambah dengan bau kau tu, lagi menyesakkan nafas aku. Kau tahu tak!”

Terkedu Nur Ain buat seketika. Tidak terniat untuk mengganggu Hazrel ketika ini. Niatnya sekadar untuk memulangkan sapu tangan milik Hazrel sekali gus bertanya khabar daripada lelaki itu. Tetapi kehadirannya itu tidak diterima Hazrel. Tanpa membalas, dibawa langkah keluar dari bilik itu setelah meletak sapu tangan milik Hazrel di atas meja.

“Kau bagi aku apa ni?” tanya Hazrel pantas berdiri.

Terhenti langkah Nur Ain dek kerana pertanyaan Hazrel itu. Dia menoleh ke belakang dan menatap wajah tegang Hazrel.

“Sapu tangan yang Encik Hazrel pinjamkan pada saya minggu lepas. Saya pulangkannya semula. Terima kasih kerana pinjamkannya pada saya.”

“Aku tak nak. Kau ambil balik. Aku tak nak bau kau tu melekat pada aku nanti. Tak pasal-pasal habis sabun pencuci kat pasar raya tu aku beli gara-gara nak hilangkan bau kau tu,” kutuk Hazrel sambil berpeluk tubuh di meja kerja. Wajah Nur Ain dipandang tajam.

Tersentak Nur Ain mendengar kata-kata kutukan Hazrel itu. Disabarkan hati sambil cuba menahan perasaan. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Tidak mahu berlama bersama Hazrel.

“Kau tunjuk lagak depan aku, Ain?” ujar Hazrel sebelum Nur Ain beredar dari situ.

Berkerut dahi Nur Ain mendengar kata-kata Hazrel itu. Serta-merta tingkahnya terhenti dan menoleh ke arah Hazrel yang sedang tersenyum sinis ke arahnya.

“Kau jangan lupa hutang kau tu masih belum lagi langsai. Kau jangan ingat aku akan halalkan hutang kau tu semua. Kau jugak jangan lupa yang handphone kau tu masih dipegang aku, Nur Ain Zafira Ibrahim,” sambung Hazrel sambil berjalan menghampiri Nur Ain.

Gadis itu dipandang dari atas ke bawah sambil mencebik. Meluat melihat penampilan Nur Ain ketika itu.

“Aku boleh ambil tindakan undang-undang kalau kau tak bayar hutang-hutang aku tu semua.”

“Tapi, bukan ke Abang Die dah janji nak bayar hutang-hutang saya tu semua?”

“Huh! Kau ingat Eddie tu nak bayarkan untuk kau ke? Dia tipu kau selama ni. Kalau betul dia nak bayar, kenapa sampai sekarang aku tak terima duit daripada dia? Lagipun dia buat baik dengan kau pun disebabkan mak su kau yang tak sedar diri tu. Ada hati nak kahwin dengan anak Tan Sri. Sedarlah diri tu sikit yang kau dengan mak su kau tu tak layak nak berkawan dengan orang kaya macam kami ni,” kutuk Hazrel, selamba.

“Apa maksud Encik Hazrel?” tanya Nur Ain, meninggi. Sakit hatinya mendengar kata-kata kutukan daripada Hazrel itu.

“Kau ni memang bodoh. Dahlah bodoh, tak cantik pulak tu. Memang cukup lengkap pakej orang kelas bawahan pada diri kau,” ujar Hazrel sinis dan mencebik meluat.

Nur Ain mengepal penumbuk. Mahu sahaja dilayangkan penumbuk ke muka Hazrel ketika itu.

“Saya sedar siapa diri saya. Tapi tu tak bermakna Encik Hazrel boleh sesuka hati mengutuk serta menghina saya dan mak su saya.”

Well! Kalau dah betul apa yang aku cakapkan tu, nak buat macam mana, kan? Nak tak nak kenalah mengaku jugak,” sindir Hazrel pula.

“Aku akan bagi handphone kau semula, tapi dengan satu syarat. Itu pun kalau kau masih nak handphone kau tu baliklah.”

Nur Ain membisu seketika. Apa jawapan yang perlu diberikan pada Hazrel? Sungguh, dia menginginkan handphonenya semula. Handphone yang dihadiahkan Hazrul sebelum Hazrul pergi meninggalkannya tiga tahun yang lepas.

“Syarat apa?” tanya Nur Ain, mengalah.

Hazrel ketawa sinis.

“Aku dah agak yang kau mesti nakkan semula handphone kau tu. Maklumlah, orang macam kau ni mana mampu nak beli yang lain, kan?”

Handphone tu bermakna bagi saya,” ujar Nur Ain, perlahan.

“Oh, bermakna bagi kau,” ulang Hazrel, mengejek.

“Mesti pakwe kau yang bagi, kan? Aku pasti pakwe kau tu setaraf macam kau jugak. Kalau tak, mustahil dia belikan handphone murah macam tu. Bodoh betul pakwe kau tu.”

“Encik Hazrel!” tegur Nur Ain, meninggi.

“Kenapa? Kau marah aku kutuk pakwe kau ke?” ejek Hazrel ketawa.

“Tolonglah jangan hina orang yang dah lama meninggal. Kalau Encik Hazrel nak hina saya, hinalah tapi jangan arwah,” rayu Nur Ain, sebak.

“Saya akan ikut syarat Encik Hazrel tu. Encik Hazrel beritahu aje bila dan saya akan tunaikannya. Saya mintak diri dulu,” ujar Nur Ain kemudian segera beredar dari bilik itu. Jika berlama, tidak mustahil air matanya akan menitis tatkala mendengar kutukan Hazrel terhadap Hazrul.



KENAPA tak makan, Ain? Dari tadi akak tengok Ain termenung aje. Ain ada masalah ke?” tegur Fauziah, prihatin.

Nur Ain mengeluh berat. Dihalakan mata ke wajah Fauziah.

“Tak ada selera.”

“Kenapa, Ain? Ain ada masalah lagi ke? Encik Hazrel ada buat perkara tak baik dengan Ain lagi ke?” ulang Fauziah pada soalannya tadi.

Nur Ain menggeleng. Tangannya menguis-nguis nasi di dalam pinggan. Seleranya mati dengan tiba-tiba. Fikirannya memikirkan syarat yang bakal dikenakan Hazrel nanti.

“Habis tu, apa masalah Ain?” tanya Fauziah masih lagi mencuba.

“Ain nak dapatkan balik handphone Ain daripada Encik Hazrel. Tapi Encik Hazrel kenakan syarat pada Ain pulak,” jawab Nur Ain, jujur.

Handphone? Syarat?” ulang Fauziah berkerut dahi.

“Encik Hazrel pegang handphone Ain. Tertinggal kat dalam keretanya masa dia hantar Ain ke hospital dulu,” jelas Nur Ain lagi.

“Oh, patutlah akak call Ain tak dapat-dapat. Rupa-rupanya handphoneAin hilang dan dipegang Encik Hazrel,” rumus Fauziah mengangguk.

“Dah lama Encik Hazrel pegang handphone Ain tu, Kak Gie,” ujar Nur Ain berserta keluhan ringan. Dia menongkat dagunya sendiri. Nasi di hadapan dipandang kosong.

Fauziah mengangguk faham. Patutlah setiap kali dia menelefon Nur Ain, hanya suara operator yang berkumandang di hujung talian. Jika bukan suara operator, dibiarkan telefon tanpa dijawab. Salah dia juga kerana tidak bertanyakan perkara itu daripada Nur Ain.

“Ain!” panggil Hazrel sedikit menjerit.

Tersentak Nur Ain mendengar jeritan itu. Ditoleh ke belakang untuk melihat. Hazrel yang sedang bercekak pinggang menyapa mata.

“Nak apa lagi Encik Hazrel tu dengan Ain?”

“Entahlah, Kak Gie. Mungkin dia nak suruh Ain buat kerja kut.”

“Kan masa rehat ni, Ain? Janganlah kejam sangat pada pekerja.”

“Tak apalah, Kak Gie. Mungkin kerja tu penting dan Encik Hazrel mintak Ain settlekan secepat mungkin,” balas Nur Ain. Cuba mengusir rasa tidak puas hati Fauziah.

“Ain!” panggil Hazrel sedikit menekan.

“Kak Gie, Ain pergi dululah,” pamit Nur Ain seraya bangun.

“Tapi Ain kan tak habis makan lagi ni. Pagi tadi pun Ain tak bersarapan. Kalau gastrik Ain tu datang, macam mana?” tegur Fauziah, khuatir.

“Tak apalah, Kak Gie. Ain ada bawak ubat,” balas Nur Ain dan berlalu pergi dari situ.

Fauziah hanya menggeleng. Geram melihat perangai Nur Ain yang akur sahaja dengan perintah Hazrel. Seperti lembu dicucuk hidung lagaknya. Entah apa yang Hazrel mahukan daripada Nur Ain. Ya ALLAH, janganlah Hazrel suruh Ain buat yang bukan-bukan pulak, risau hatinya. Perlukah aku beritahu Mai tentang perkara ini? Fauziah berkira-kira dalam hati.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.