Home Novel Cinta Seandainya Tuhan Mengizinkan!
Seandainya Tuhan Mengizinkan!
Rose Eliza
14/9/2014 02:17:10
5,331
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

“SYAHIRAH!” jerit Zairiel Iqwan.

Nur Syahirah mematikan langkah seraya menoleh ke belakang. Kelibat Zairiel menyapa mata. Serta-merta senyuman terbit di bibir. Menanti Zairielmenghampiri.

Zairiel melajukan langkah. Tercungap-cungap dia akibat berlari. Berharap, Nur Syahirah tidak meneruskan langkah. Tidak dihiraukan berpasang-pasang mata yang sedang melihat.

“Syira, kita dah lambat ni,” beritahu Farhana, lembut.

“Aku tahu Hana. Kau tunggu aku kat sana. Sekejap lagi aku datang,” arah Nur Syahirah.

Farhana menghela nafas lembut. Dia mengangguk sebelum membawa langkah menuju ke tempat berlepas. Matanya memandang kelibat Zairiel yang sudah menghampiri Nur Syahirah.

“Syira!” panggil Zairiel.

“Zairiel? Awak buat apa kat sini?” tanya Nur Syahirah.

Zairiel menstabilkan pernafasan. Peluh sudah membasahi dahi. Matanya memandang wajah Nur Syahirah yang sedang tersenyum.

“Zairiel, macam mana awak tahu saya kat sini?” tanya Nur Syahirah inginkan kepastian.

“Aku yang beritahu pada dia, Syira,” sampuk Maisarah, tiba-tiba.

Nur Syahirah dan Zairiel serentak menoleh. Wajah Maisarah menyapa mata mereka berdua. Senyuman diberikan kepada Maisarah.

“Awak nak pergi, Syira?”

Nur Syahirah sekadar mengangguk.

“Awak tak sayangkan saya?”

Nur Syahirah tersenyum kelat. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zairiel? Selama mereka berkawan baik, hanya kepada Zairiel tempatnya meluahkan perasaan dan bersandar. Kini, semuanya tidak seperti dulu.

Semenjak Zairiel jatuh cinta dengan Maisarah, Zairiel lebih banyak menghabiskan masa dengan Maisarah. Disebabkan itu, dia cuba menjauhkan diri daripada Zairiel. Tidak mahu mengganggu hubungan Zairiel dan Maisarah.

“Syira!” Lembut Zairiel menyeru nama gadis itu.

Nur Syahirah tersenyum. Tanpa membalas, dibawa langkah beredar dari situ sambil cuba menahan air mata daripada menitis. Sungguh, dia berasa sedih meninggalkan Zairiel.

Zairiel hanya memandang. Mukanya diraup sekali sambil melepaskan keluhan berat. Terasa berat untuk melepaskan Nur Syahirah pergi. Kenapa Nur Syahirah membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu? Bukankah selama ini hanya dia menjadi penentu kepada segala keputusan yang dibuat oleh Nur Syahirah?

“Zairiel!” panggil Maisarah, perlahan.

Zairiel menoleh. Senyuman hambar diberikan kepada kekasih hatinya itu.

“Jom kita balik,” ajak Maisarah.

“Kenapa Syira sanggup tinggalkan I? Selama ni, hanya I yang buat keputusan bagi pihak dia. Kenapa Syira…” Sukar bagi Zairiel meneruskan kata-kata. Rasa sebak menujah di hati.

“Mungkin Syira ada sebabnya sendiri dan kita tak tahu apa masalah Syira yang sebenar?”

“Tapi…”

“Kita doakan semoga Syira selamat pergi dan pulang.”

Zairiel menghela nafas berat. Dia beredar dari situ sebaik sahaja kelibat Nur Syahirah menghilang. Semoga Nur Syahirah selamat pergi dan pulang, doa Zairiel dalam hati.

Maisarah mengeluh berat. Sejak dia berkawan dan bercinta dengan Zairiel, Nur Syahirah menjauhkan diri daripada Zairiel. Adakah disebabkan kehadirannya dalam hidup Zairiel telah membuatkan sahabat baik itu berjauhan?


“SABARLAH Syira. Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku,” pujuk Farhana.

“Aku bersalah pada dia. Bukan niat aku nak tinggalkan dia,” luah Nur Syahirah, sebak.

Farhana menghela nafas ringan. Bagaimana untuk memujuk hati Nur Syahirah ketika ini? Rasa kasihan dengan apa yang dihadapi oleh Nur Syahirah selama ini.

“Aku sayangkan dia, Hana.”

“Aku faham, Syira.”

“Aku ni tak layak untuk dicintai ke, Hana?”

“Jangan cakap macam tu. Mungkin Allah nak temukan kau dengan seseorang yang lebih baik daripada Zairiel.”

“Aku sanggup berkorban demi cinta aku pada dia. Kalau dengan cara ini dapat menjauhkan dia dari dihina dan dikutuk, aku rela lakukan.”

“Tapi, kau tak bersalah dalam hal tu. Kau sepatutnya berterus-terang pada Zairiel. Mungkin Zairiel ada jalan untuk menyelesaikannya.”

“Aku tak nak sesakkan fikiran dia. Aku tahu, dia sedang berbahagia dengan Maisarah. Aku hanya mampu mendoakan kebahagiaan dia dan Sarah.”

“Syira, aku…”

“Kau jangan risau. Aku akan jaganya sebaik yang mungkin. Dia tak bersalah dalam hal ni,” pintas Nur Syahirah, tersenyum hambar.


“KAU pasti dia dah pergi?” tanya satu suara.

“Dah bos. Saya pasti dia dah pergi,” balas Karim.

“Bagus! Aku harap kau tak tipu aku.”

“Tak… Tak bos. Saya tak tipu. Dengan mata kepala saya sendiri tengok dia masuk ke balai berlepas tu.”

“Kalau betul dia dah pergi, bagus. Aku nak kau simpan rahsia ni. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Kalau aku dapat tahu rahsia ni pecah, orang pertama yang aku cari adalah kau,” kata suara itu memberi amaran.

“Baik bos! Saya janji takkan beritahu sesiapa pun perkara ni.”

“Aku pegang pada janji kau.”

“Boleh! Bos boleh pegang pada janji saya. Bagaimana dengan upah saya, bos?”

Lelaki itu tersenyum sinis. Tangannya menarik laci dan mengeluarkan sekeping sampul surat berwarna putih. Dilemparkan sampul surat itu di hadapan Karim.

“Upah kau! Aku nak kau pergi dari sini. Jangan tunjuk muka kau di kawasan ni lagi.

Karim yang mendengar sekadar mengangguk. Sampul surat dicapai lalu mengintai isi di dalamnya. Tanpa membalas, dia segera beredar dari bilik itu.

‘Orang itu’ hanya memandang. Senyuman puas terbias di wajah. Semoga selepas ini, tidak ada lagi penghalang kepada keinginannya. Terlalu lama dia menunggu saat ini. Semoga tidak ada lagi gangguan daripada sesiapa termasuklah gadis yang bernama Nur Syahirah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.