NUR Ain menatap mesra
wajah Hazrel sambil berkerut dahi. Entah sebab apa Hazrel memanggilnya masuk ke
dalam bilik pejabat, dia tidak tahu. Jika diikutkan, belum pernah lagi dia
lambat hadir ke tempat kerja dalam bulan ini. Kenapa Hazrel memanggilnya?
“Ada apa, Encik
Hazrel?” tanya Nur Ain, ingin tahu.
Hazrel mengangkat
muka. Matanya merenung tajam wajah Nur Ain. Kemudian dijatuhkan wajah dan
menghadap fail di hadapannya itu.
Hisy, dia ni nak apa?
Dah lama aku tercongok kat depan dia. Kalau nak bagi kerja, bagi ajelah. Buat
apa senyap-senyap macam ni, rungut Nur Ain dalam hati.
“Encik Hazrel nak
suruh saya buat apa?”
Hazrel mendengus
kasar. Sakit telinganya mendengar suara Nur Ain itu.
“Awak boleh diam tak?
Macam mana saya nak fahamkan maklumat ni kalau awak bising?”
“Habis tu, yang encik
panggil saya ni kenapa?” Suara Nur Ain, geram.
“Awak melawan saya?”
tanya Hazrel, meninggi.
“Encik Hazrel panggil
saya masuk dalam ni untuk apa? Kalau Encik Hazrel nak bagi saya kerja, beritahu ajelah. Bolehlah
saya keluar daripada bilik ni secepat mungkin. Encik Hazrel pun bukannya suka
nak menghadap muka saya ni.” Suara Nur Ain turut sama meninggi.
Hazrel bingkas
bangun. Sakit hatinya mendengar kata-kata Nur Ain itu. Jika diikutkan hati,
mahu sahaja ditampar pipi gadis itu di atas kelancangan mulutnya.
“Awak melawan saya,
Ain? Awak tahu tak hutang awak tu masih belum bayar?”
Nur Ain berkerut
dahi. Air liur ditelan berkali-kali. Matanya memandang tepat ke wajah Hazrel
yang sedang mencebik.
“Awak jangan ingat
saya akan halalkan hutang tu. Saya tetap nak awak bayar. Tapi atas budi bicara
saya sendiri, saya boleh pertimbangkan untuk kurangkan hutang awak tu,” jelas
Hazrel dan bersandar di meja. Matanya menjamah Nur Ain dari atas ke bawah.
“Macam mana?” tanya
Nur Ain, terketar-ketar.
Huh! Memang bodoh
betul minah ni. Cepat sangat percayakan orang, kutuk Hazrel dalam hati seraya
mencebik.
“Hari ni kau ikut aku
ke mana aje aku pergi tanpa bersuara. Sebagai menebus hutang kau tu dan jugak
telefon bimbit kau yang aku pegang selama sebulan ni.”
Nur Ain membeliakkan
matanya. Telefon bimbit? Takkan dia yang jumpa telefon aku kut?
“Telefon bimbit?
Maknanya, Encik Hazrel yang jumpa dan pegang telefon bimbit saya tu?” duga Nur
Ain. Senyuman gembira terbias di wajahnya.
Hazrel terkedu.
Matanya menatap senyuman gembira di bibir Nur Ain.
“Terima kasih, encik.
Boleh saya dapatkan telefon tu balik?” Suara Nur Ain, riang.
Hazrel tersentak. Dia
berjalan menuju ke sofa. Persoalan Nur Ain dibiarkan tergantung. Tidak semudah itu dia akan
menyerahkan telefon bimbit itu. Hatinya belum puas mengenakan Nur Ain.
“Aku akan serahkan
asalkan kau dengar cakap aku. Buat permulaan, aku nak kau buatkan aku air.
Kering tekak aku ni.”
“Baiklah. Saya mintak
diri dulu,” ujar Nur Ain segera keluar.
Hazrel hanya
memandang. Otaknya ligat berfikir rancangan untuk mengenakan Nur Ain. Rasa
sakit hatinya terhadap Eddie masih lagi bersisa.
“Aku nak tengok,
berapa lama kau akan pertahankan dia.”
NUR Ain membuntuti
Hazrel. Sejak tadi dia hanya menurut segala perintah Hazrel. Ke situ Hazrel
pergi, ke situ jugalah dia pergi. Ke sana Hazrel pergi, ke sana jugalah dia
pergi. Entah ke mana Hazrel ingin membawanya, dia sendiri tidak pasti. Adakah
hari ini menjadi hari paling malang buat dirinya? Malang kerana terpaksa
mengekori Hazrel ke mana sahaja lelaki itu pergi.
“Cepatlah! Yang
terhegeh-hegeh lagi tu kenapa?” jerit Hazrel sedikit meninggi.
“Maaf,” ucap Nur Ain
seraya melajukan langkah.
“Tak habis-habis
dengan kata maaf kau tu. Cubalah cari ayat lain yang boleh disebut. Ni tak,
maaf...maaf...sakit telinga aku dengar, kau tahu tak?” jerkah Hazrel pula
sambil bercekak pinggang.
Terhenjut badan Nur
Ain mendengar jerkahan Hazrel itu. Dia menundukkan muka daripada ditatap lelaki
itu. Rasa malu tatkala berpasang-pasang mata melihat ke arah mereka berdua.
Disabarkan hati melayan kerenah Hazrel.
Hazrel meneruskan
langkah. Dia melangkah masuk ke dalam sebuah kedai pakaian di shopping complex itu. Teruja
melihat koleksi-koleksi pakaian yang terdapat di kedai itu. Dicapai satu per
satu baju yang menarik minatnya dan diserahkan kepada Nur Ain.
“Pegang ni!” arah
Hazrel, keras.
Nur Ain yang sedikit
mengelamun tersentak. Dicapai baju yang diserahkan Hazrel itu. Dia hanya
membuntuti Hazrel tanpa berniat untuk membantah. Apa yang penting, hutangnya
dapat dilangsaikan dan Hazrel mengembalikan telefon bimbitnya.
“Yang kau tercegat
kat situ lagi kenapa? Bawak sini baju-baju tu semua!” tegur Hazrel tatkala
menyedari Nur Ain seakan-akan mengelamun.
“Baiklah,” balas Nur
Ain seraya menghampiri Hazrel.
“Tak boleh diharap
langsung!” rengus Hazrel, kasar.
Dicapai baju yang
berada di tangan Nur Ain dan disuakan ke badannya sendiri satu per satu di
hadapan cermin. Jika tidak berkenan di hati dan matanya, dilemparkan baju itu
ke arah Nur Ain. Begitulah tingkahnya selama dia berada di kedai pakaian itu.
Dikerahkan Nur Ain mengambil dan meletakkan baju daripada gantungan. Puas
hatinya mengenakan Nur Ain.
“Lepas ni ikut aku ke
gim. Dah lama aku tak ke sana,” beritahu Hazrel sebaik sahaja keluar dari kedai
pakaian itu.
Nur Ain sekadar
mengangguk. Nak tak nak, terpaksa akur dengan arahan Hazrel.
“Dah tak ada mulut
nak bercakap ke? Aku tak nak tengok kau mengangguk. Aku nak tahu jawapan
daripada kau bila aku bertanya.” Suara Hazrel menekan.
“Baiklah, Encik
Hazrel,” jawab Nur Ain menunduk.
“Kau ni asyik
menunduk aje kenapa? Kau takut tengok muka aku ni atau kau takut jatuh cinta
pada aku?” tanya Hazrel, sinis.
“Tak...saya...”
“Aku pun tak ingin
nak tengok muka kau yang tak cantik dan berparut tu,” pintas Hazrel, meluat. Seminit kemudian, dia
melangkah masuk ke dalam gim.
Tersentap hati Nur
Ain mendengarnya. Air matanya bergenang di tubir mata. Kenapa Hazrel
menghinanya sebegitu rupa? Dia sedar siapa dirinya. Dia bukanlah secantik Erra
Fazira. Tetapi dia juga punya hati dan perasaan. Sungguh, dia terasa dengan
kata-kata Hazrel tadi. Namun ditahan rasa hatinya itu. Siapalah dia untuk
mempersoal semua itu?
“KAU kat mana,
Rel? Aku cari kau kat ofis tak ada pun. Tanya Encik Latif, dia pun tak tahu kau
ke mana,” tanya Izzuddin di hujung talian.
“Aku kat luar, ada hal
sikit. Kenapa?” jawab Hazrel, mendengus kasar.
“Aku nak bincang
dengan kau tentang strategi pemasaran Cahaya Sdn. Bhd. Kau balik ofis ke tak?”
“Hmm... tak surelagi
aku balik ofis ataupun tak. Kau letak ajelah kat atas meja aku tu dulu. Esok
pagi-pagi aku baca.”
Izzuddin menghela
nafas ringan. Dikerling ke jam di dinding yang sudah menghampiri ke 2.00
petang. Ke mana Hazrel pergi? Jika begini sikap Hazrel, bagaimana untuk
memajukan Cahaya Sdn. Bhd.?
“Baiklah. Aku letak
atas meja kau. Sebelum tu aku nak tanya, Ain ada dengan kau ke? Aku tanya
Fauziah, Ain ikut kau keluar sama. Kau bawak dia ke mana?”
Hisy, penyibuk
betullah Izz ni. Suka hati akulah nak bawak dia ke mana. Aku kan bos dia dan
wajib dia kena dengar arahan aku, rungut Hazrel dalam hati.
Matanya dihalakan ke
arah Nur Ain yang sedang berdiri tidak jauh daripada meja yang didudukinya di
restoran itu. Geli hati melihat Nur Ain yang sedang memegang beberapa beg
kertas berisi baju dan barangan miliknya.
“Aku bawak dia
jalan-jalan tengok dunia luar. Okeylah, aku nak driveni. Nanti aku callkau balik. Itu pun
kalau aku ingat nak callkaulah.”
“Kau jangan nak buli
dia, Rel. Dia pun ada hati dan perasaan macam kau jugak.”
Hazrel mendengus
keras. Sakit telinganya mendengar balasan Izzuddin. Kenapa Izzuddin dan Eddie
membela perempuan kampung itu? Apa yang istimewa pada Nur Ain?
“Okeylah. Malas aku
nak dengar ceramah freekau tu. Aku jumpa kau esok,” pamit Hazrel seraya
mematikan talian.
Jika berlama, entah
ceramah apa lagi yang bakal diceramahkan Izzuddin. Bertambah sakit telinganya
nanti.
“Kau, mari sini!”
panggil Hazrel sedikit meninggi.
Nur Ain yang
mendengar segera mengatur langkah menghampiri Hazrel. Menanti arahan seterusnya
daripada lelaki itu.
“Aku nak kau bawak
barang-barang ni semua ke kereta aku. Lepas tu kau datang sini balik. Nah,
ambil kunci kereta ni. Tapi ingat, kau jangan kotorkan kereta aku tu pulak,”
arah Hazrel bernada ugutan. Dihulurkan kunci kereta kepada Nur Ain.
“Bila saya boleh
balik, Encik Hazrel?” tanya Nur Ain sekadar mencuba.
“Kau jangan nak mimpi
nak balik. Selagi aku belum puas, selagi tu kau kena ikut aku, faham!” Suara
Hazrel sedikit meninggi.
“Baiklah.” Hanya ayat
itu yang mampu dikeluarkan daripada mulut Nur Ain.
“Bagus. Kan senang
kalau kau ikut arahan aku tanpa banyak bunyi. Dah, pergi hantar barang-barang
tu semua sebelum angin aku naik,” arah Hazrel, keras.
Nur Ain mengangguk.
Kunci kereta yang dihulur Hazrel segera dicapai. Tanpa membuang masa, dibawa
langkahnya menuju ke tempat letak kereta. Ikutkan sajalah, asalkan hutang aku
langsai, bisik Nur Ain dalam hati.
Hazrel hanya memandang. Puas hatinya melihat kepatuhan Nur Ain.
Kata-kata Izzuddin sebentar tadi terimbas di fikiran. Buli? Sejak bila aku buli
dia? Aku ajar dia macam mana nak hidup dalam dunia ni. Aku suruh dia ikut aku
aje. Salah ke apa yang aku buat ni? Monolog Hazrel sendirian. Dia bingkas
bangun menuju ke kedai cermin mata yang terletak berhampiran restoran itu.
Malas memikirkan tentang itu lagi.
Nur Ain melangkah
menuju ke parking lot. Matanya meninjau dan mencari-cari kereta Hazrel.
Sungguh, dia kurang mengenali jenis, nombor plat dan warna kereta Hazrel. Dia
juga lupa di mana Hazrel memarkirkan kereta. Di tingkat berapa? Di blok mana?
Dia tidak tahu. Bagaimana untuk menghantar barang-barang milik Hazrel sedangkan
dia sendiri kurang mengenali kereta lelaki itu?
“Ya ALLAH, apa aku
nak buat ni? Mana aku ingat kereta dia,” keluh Nur Ain.
Kakinya
masih lagi melangkah. Sekejap berhenti, sekejap berjalan. Peluh sudah merenek
di dahi. Barang yang dibawa agak memberatkan. Mana tidaknya, baju, seluar,
topi, barangan kaca, kasut, semuanya berada di tangannya. Jika diikutkan hati,
mahu sahaja dia membuang barang-barang itu. Namun disabarkan hati. Tak
pasal-pasal kena gantilah pulak, bisik Nur Ain dalam hati.