“AKU dengar Rul meninggal
disebabkan awek dia, betul ke?” tanya Badrul tiba-tiba.
“Maksud kau, Bad?”
tanya Siva ingin tahu.
“Aku dengar malam tu
Rul accident. Dia on the way ke rumah awek dia. Tak pasal-pasal, accident
dan meninggal. Aku ada jugak dengar yang awek dia tu bawak malang.”
Mereka yang mendengar
terkejut dengan penjelasan Badrul. Masing-masing berpandangan antara satu sama
lain.
“Hisy, kau ni Bad.
Tak baik tuduh yang bukan-bukan. Dah umur Rul tu pendek, nak buat macam mana,”
bidas Azim, keras.
“Aku bukan menuduh.
Aku tahu pun daripada kenalan rapat keluarga Rel,” bidas Badrul.
“Dahlah, tak perlulah
kita nak ungkit kisah tiga tahun yang lepas. Kawan kita pun dah lama bersemadi
kat sana. Kita yang kat sini perlulah berdoa agar rohnya dicucuri rahmat,”
sampuk Eddie yang sejak tadi membisu dan mendengar.
Jika tidak ditegah,
isu itu akan dibangkitkan terus-terusan dan hatinya akan menjadi sakit
mendengarnya.
Badrul tertunduk.
Manakala yang lain sekadar mengangguk.
“Rel tak datang ke,
Die?” tanya Azim memecah kesunyian.
“Aku tak tahu, Zim. Maybe
kau boleh tanya pada Izz sebab dia kerja bawah Rel,” jawab Eddie
menggeleng.
“Izz kerja bawah Rel?
Bukan ke papa Izz ada company sendiri?” tanya Badrul berkerut dahi.
“Aku nak cari
pengalaman kat luar dulu sebelum aku kerja di bawah papa aku,” sampuk Izzuddin
tiba-tiba.
Mereka yang berada di
situ menoleh. Terbias senyuman di bibir masing-masing.
“Kau ada krisis
dengan papa kau ke sampaikan kau kerja bawah Rel?” tanya Siva.
“Hisy, tak adalah,
Siva. Aku nak cari pengalaman dulu. Lepas aku kumpul pengalaman tu, barulah aku
berkhidmat bawah papa aku,” jelas Izzuddin, tegas.
“Tak apalah,
mana-mana pun boleh kerja. Yang penting kesungguhan kita terhadap pekerjaan
tu,” sampuk Eddie, tidak mahu mereka mempersoalkan tentang keputusan Izzuddin.
Naik rimas dia mendengar komen daripada kawan-kawannya itu.
“Oh ya, Rel tak
datang ke, Izz? Dah lama benar kita orang tak jumpa dengan dia. Paling last pun
masa kita buat reunion setahun yang lepas,” ujar Badrul.
“Aku dah ajak dia,
Bad. Katanya nak balik rumah parents dia petang tadi. Jadi dia...”
“Sorrygeng,
aku lambat. Jalan jammedlah,” potong Hazrel dari arah belakang.
Dilabuhkan punggung
berhadapan dengan Eddie. Senyuman penuh makna dihadiahkan buat Eddie.
“Woo... bro,
lama tak jumpa. Ingat kau tak datang tadi,” balas Siva tersenyum.
Tangan dihulurkan dan
disambut baik Hazrel.
“Bukan ke kau kata
nak balik rumah parents kau petang tadi, Rel? Tak jadi dah ke?” sampuk Izzuddin, kehairanan.
“Tak jadi. Aku balik
minggu depan,” jawab Hazrel.
“Oh, habis tu mama
kau tak marah ke?” tanya Eddie seakan-akan menyindir.
Hazrel mengalihkan
pandangan ke muka Eddie. Tajam matanya ke muka itu. Jelas riak ketidakpuasan di
wajah Eddie.
“Aku tutup telinga
aje,” balas Hazrel, selamba.
“Yalah tu tutup
telinga. Kau kan anak manja. Berkepit bawah ketiak mama kau aje.”
Berbahang hati Hazrel
mendengarnya. Mahu sahaja dilayangkan satu penumbuk ke muka Eddie ketika itu
juga.
“Apa masalah kau,
Die? Yang kau nak sindir aku kenapa?”
“Bro...bro...apa
ni? Kita datang sini nak happy, nak enjoy, bukannya nak
bergaduh,” tegah Azim tatkala menyedari kelantangan suara Hazrel.
“Dahlah Die, Rel. Kau
orang berdua ni tak boleh berjumpa. Mesti ada perkara yang nak digaduhkan,”
tegah Izzuddin pula.
“Come on my
friends. Janganlah gaduh-gaduh. Jom kita karaoke,” celah Siva pula.
“Haahlah Die, Rel.
Kita baru aje berjumpa, dah jadi macam ni. Lepas ni tak payahlah kita jumpa
lagi.” Suara Badrul pula yang sejak tadi membisu.
Hazrel mendengus
kasar. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Jika berlama, tidak
mustahil dia akan berperang mulut dengan Eddie lagi.
“Sebelum kau pergi,
aku nak tahu berapa jumlah yang perlu Ain bayar pada kau. Aku tak nak Ain
berhutang dengan kau.” Suara Eddie sedikit menekan.
Hazrel menoleh ke
arah Eddie. Wajah selamba Eddie ditatap marah.
“Aku tak ingin duit
kau. Aku nak dia sendiri yang bayar pada aku dan bukannya kau.”
“Aku kata, aku bayar.
Aku tak benarkan dia bayar,” balas Eddie pantas berdiri.
Mereka yang melihat
turut sama berdiri. Risau di hati masing-masing dengan tingkah Eddie dan Hazrel
itu. Izzuddin yang mendengar sudah berkerut seribu. Ain? Kenapa nama Ain meniti
di bibir kedua-dua kawan baiknya itu?
Hazrel ketawa
mengejek. Dia mencebik ke arah Eddie.
“Kenapa? Dia tak
mampu nak bayar kat aku ke?” tanya Hazrel, sinis.
“Huh! Macam tulah
orang susah. Suka ambil kesempatan pada orang kaya. Bila tak ada duit, mulalah
merengek kat orang kaya. Mulalah mengurat orang kaya. Mulalah buat kerja-kerja
tak senonoh untuk dapatkan duit. Lumrah hidup orang susah, macam tulah.”
“Kau dah melampau,
Rel!” marah Eddie seraya menumbuk muka Hazrel.
Terjelepok Hazrel dek
kerana tumbukan Eddie itu. Dia menyapu darah yang mengalir keluar daripada
bibirnya itu. Matanya mencerlung ke muka Eddie.
“Die, sabar. Apa
semua ni?” tegah Izzuddin, pantas memegang Eddie.
“Apa masalah kau
orang berdua ni? Rosak program kita malam ni!” marah Badrul pula.
“Aku nak ingatkan
kau, Rel. Aku bagi amaran pada kau. Aku takkan lepaskan kau kalau kau hina dia
lagi. Aku pastikan kau akan menyesal dengan apa yang kau katakan tadi,” ugut
Eddie dan berlalu dari situ. Panas hatinya mendengar kutukan Hazrel sebentar
tadi.
“Aku takkan menyesal,
Eddie Zakuan Zafrudin!” balas Hazrel tidak mahu mengalah.
Terhenti langkah
Eddie tatkala mendengar kata-kata Hazrel itu. Dia hanya menoleh sekilas ke
wajah tegang Hazrel. Kemudian dibawa langkahnya keluar dari tempat itu.
“KENAPA ni,
Die? Tegang aje muka tu Mai tengok. Die ada masalah ke?” tanya Humaira seraya
menghulurkan segelas air kepada Eddie.
“Die tengah marah ni,
Mai,” jawab Eddie sambil menyambut huluran Humaira.
“Marah? Marahkan
siapa?”
“Hazrel.”
Humaira berkerut
dahi.
“Apa yang Rel dah
buat dengan Die?”
“Die geram sangat
dengan dia. Suka hati aje nak kutuk Ain. Sakit hati Die dengar,” beritahu
Eddie.
Gelas di tangan
diletak di atas meja. Keluhan berat terlepas daripada bibirnya.
Humaira melabuhkan
punggungnya berhadapan Eddie. Wajah Eddie ditatap mesra.
“Die dah lama kenal
Rel dari universiti lagi. Memang Rel begitu orangnya. Perangai Rel pun dah
sebati dalam diri Die. Tapi tu tak bermakna Rel boleh sesuka hati nak kutuk dan
hina orang. Makin lama makin teruk perangai Rel,” jelas Eddie tanpa dipinta.
“Dahlah, Die. Mai dan
Ain dah lali dengan semua tu. Memang kami akui apa yang Rel katakan tu ada
benarnya. Kami ni tak layak nak berkawan dengan Die, anak seorang Tan Sri.”
“Mai, kenapa cakap
macam tu? Die tak suka Mai ungkit tentang tu lagi.”
“Maaf, Die. Bukan
niat Mai nak buat Die marah. Tapi itulah kenyataannya.”
“Mai, Die tak pernah
ungkit tentang tu. Die ikhlas berkawan dan bercinta dengan Mai. Die tak kisah
dari mana Mai datang atau asal usul Mai. Bagi Die, semua manusia bermula dari
bawah, susah. Dengan berusaha barulah mereka jadi kaya. Mana ada orang terus
kaya tanpa berusaha memperolehinya,” jelas Eddie, ikhlas. Matanya menatap wajah insan kesayangan di hadapannya.
Humaira tersenyum
tawar. Sebak hatinya mendengar pengakuan jujur Eddie itu.
“Terima kasih, Die.
Terima kasih kerana menyayangi Mai dan Ain.”
Eddie membalas
senyuman Humaira. Cantik pada pandangan matanya. Walaupun usia Humaira lebih
tua daripadanya, dia tidak peduli tentang itu. Usia bukanlah tiket untuk
menghalang dia bercinta dengan Humaira. Jika bukan kerana Nur Ain juga, tidak
mustahil dia akan berkenalan sekali gus bercinta dengan Humaira.
“Ain mana?” tanya
Eddie memecah kebisuan di antara mereka berdua.
“Ada kat bilik dia.
Mai panggil Ain sekejap,” jawab Humaira seraya bangun.
Eddie mengangguk.
Matanya menghantar langkah Humaira. Gelas minuman dicapai dan meneguk baki air
dari dalam gelas itu.
“Abang Die nak jumpa
Ain?” tegur Nur Ain sebaik sahaja berhadapan dengan Eddie.
“Haah, Ain. Duduk.
Abang Die ada perkara nak cakap dengan Ain,” arah Eddie.
Nur Ain akur.
Dilabuhkan punggung berhadapan dengan Eddie.
“Lengan Ain macam
mana? Dah okey?” tanya Eddie, prihatin.
Matanya tertancap ke
arah lengan Nur Ain yang berbalut dengan bandage.
“Dah elok sikit,”
jawab Nur Ain, lembut.
“Bila start kerja?”
“Doktor bagi MC
seminggu. Insya-ALLAH hari Selasa depan Ain masuk kerja. Kenapa, Abang Die?”
“Abang Die nak pesan
dengan Ain, jangan dengar sangat cakap Rel. Kalau dia suruh Ain buat apa-apa
kerja di luar skop bidang kerja Ain, jangan ikut. Ingat pesan Abang Die ni,”
pesan Eddie, serius. Matanya menatap mesra wajah Nur Ain.
“Baiklah. Ain ingat
pesan Abang Die tu,” ujar Nur Ain, perlahan.
“Pasal duit Ain tu,
Abang Die akan bayar. Berapa jumlah wang yang Rel mintak Ain bayar pada dia?”
“Err...” Nur Ain
menggaru-garu kepalanya yang bertudung.
“Berapa, Ain?”
“RM1000 untuk kereta
dan kusyen. RM90 ubat klinik dan...dan...”
“Dan?”
“Barang-barang yang
kena curi semalam.”
“Takkan barang tu pun
kena ganti?” tanya Eddie tidak puas hati.
Nur Ain sekadar
mengangguk.
“Tak apalah. Nanti
Abang Die tanyakan pada Rel. Ingat pesan abang, jangan ikut apa yang Rel suruh
kalau perkara itu di luar skop bidang kerja Ain,” pesan Eddie lagi seraya
bangun.
“Insya-ALLAH, Ain
akan ingat pesan Abang Die.”
“Kalau macam tu,
Abang Die mintak diri dulu. Kalau ada apa-apa, beritahu Abang Die.” Suara Eddie
seraya bangun daripada duduk.
“Abang Die sayangkan
Ain macam adik Abang Die sendiri. Abang Die nak Ain berfikir dulu sebelum buat
keputusan. Terutama jika ia melibatkan Rel. Ingat pesan Abang Die ni,” pesan
Eddie bernada tegas.
Nur Ain mengangguk
perlahan. Pesanan Eddie tersemat kemas dalam kotak fikiran. Matanya menghantar
langkah Eddie hingga hilang daripada pandangan mata. Kemudian dia melangkah masuk
dan terus menuju ke bilik.
NUR Ain melabuhkan
punggung di birai katil. Matanya menatap sapu tangan yang diberi Hazrel
semalam. Kenapa hatinya rasa lain tatkala melihat sapu tangan itu? Adakah
disebabkan hutangnya pada Hazrel membuatkan dia berperasaan begitu?
Nur Ain membuka laci
meja solek yang berada di sisi katil. Tangannya mencapai sebuah kotak kasut
dari dalam laci itu dan menatap sayu kotak kasut itu. Lama dia berkeadaan
begitu. Kenangan lama menggamitnya ketika ini.
“Ni hadiah yang abang
bagi masa birthday aku yang ke 19 tahun,” ujar Nur Ain perlahan.
Sebuah patung beruang
sederhana kecil diletak di hadapan mata.
“Comel macam abang,”
puji Nur Ain ketawa kecil.
“Dan yang ni hadiah
daripada abang masa umur aku 20 tahun,” sambung Nur Ain, girang seraya
mengeluarkan sehelai sapu tangan dalam kotak itu.
Tangannya menyentuh
lembut tulisan nama yang tersulam di sapu tangan itu.
“Hazrul Hardy,” ucap
Nur Ain, lembut.
Matanya mulai
berkaca. Sebak dan pilu tatkala melihat sulaman nama itu. Kemudian dikeluarkan
sepucuk surat dari dalam kotak itu. Surat terakhir Hazrul buat dirinya. Surat
yang menjadi peneman sewaktu dia merindui Hazrul. Dibaca dan diamati askara
yang tertulis di dalam kertas itu.
Abang sayangkan Ain. Abang cintakan Ain. Andai kata abang pergi
dulu daripada Ain, ingat pesan abang, janji dengan abang yang Ain akan jadi
seorang gadis yang penyabar dan tabah. Jangan salahkan takdir seandainya ALLAH
menguji Ain suatu hari nanti.
“Kenapa kata-kata ini
jugak yang abang luahkan dan tinggalkan untuk Ain? Kenapa abang tinggalkan
Ain?” rintih Nur Ain pula.
Air matanya sudah
mengalir membasahi pipi.
“Hanya abang yang
bertakhta di hati Ain. Tak mungkin Ain gantikan dengan nama yang lain,” janji
Nur Ain seraya berbaring.
“Ain rindukan abang...”