“ADA apa, Encik Hazrel?”
tanya Nur Ain setibanya di hadapan Hazrel.
“Kau ni pekak ke apa?
Telinga kau tu letak kat mana? Dua kali aku panggil kau buat tak tahu aje
kenapa? Kau ingat suka sangat ke aku tunggu kau kat sini?” marah Hazrel,
meninggi.
“Maaf, saya kurang
dengar tadi,” ujar Nur Ain menunduk.
“Kurang dengar?
Sah-sah kau ni memang dah pekak,” kutuk Hazrel pula.
Nur Ain hanya
menunduk. Menahan rasa di hati.
“Aku nak kau ikut aku
sekarang.”
“Ke mana, Encik
Hazrel?”
“Boleh tak jangan
banyak tanya? Aku plaster mulut tu baru kau tahu. Kalau kau nak balik telefon
kau tu semula, kau ikut aje cakap aku tanpa banyak bunyi, faham!”
“Maaf!”
Hazrel mendengus
kasar. Langkah dibawa menuju ke kereta. Dia perlu berjumpa dengan Faizal, rakan
seuniversitinya dahulu.
“Apa yang kau
menungkan lagi tu? Cepat masuk!”
Tersentak Nur Ain seketika. Lantas dia menuju ke kereta Hazrel dan
memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta.
“Hari ni kau kena
dengar cakap aku. Lepas kau settlekan syarat aku ni, aku serahkan
telefon kau tu balik,” beritahu Hazrel tatkala mereka berdua berada di dalam
kereta.
Nur Ain hanya
mengangguk. Nasibnya hanya diserahkan pada ALLAH. Semoga ALLAH melindunginya
ketika ini.
“Kau ni tak ada mulut
dah ke? Tadi telinga kau bermasalah, sekarang mulut pulak?”
“Saya tak tahu nak
cakap apa.”
“Tak tahu nak cakap
apa? Itulah kau, orang suruh belajar, kau menggatal. Memang kau orang yang macam
tu, kan? Belajar sampai SPM. Lepas tu tackle lelaki kaya. Tak payah
fikir-fikir kat mana nak cari duit. Senangkan hidup macam tu,” hina Hazrel,
selamba.
Nur Ain pantas
menoleh tatkala mendengar penghinaan Hazrel itu. Riak selamba terlukis di wajah
Hazrel.
“Suka hati Encik
Hazrellah nak cakap apa. Saya terima dengan hati yang ikhlas,” balas Nur Ain,
perlahan.
“BRO, sorry
lambat. Aku ada hal sikit tadi,” tegur Hazrel tatkala tiba di hadapan
Faizal.
“Tak apa. Aku pun
baru aje sampai. Kau seorang aje ke? Mana Izz? Bukan ke dia kerja dengan kau?”
tanya Faizal, bertubi-tubi. Matanya mengerling sekilas ke arah Nur Ain.
“Mana kau tahu dia
kerja dengan aku?” tanya Hazrel pula sambil melabuhkan punggung di hadapan
Faizal.
Tangannya melambai ke
arah pelayan yang sedang berdiri tidak jauh dari tempat mereka duduki. Setelah
memberi pesanan, dihalakan pandangan ke muka Faizal.
“Semalam Izz callaku.
Beritahu yang dia kerja dengan kau. Wah! Kau dah jadi bos nampak. Bolehlah aku
tumpang sekaki,” seloroh Faizal, tergelak.
“Banyaklah kau punya
kaki. Aku pun baru ambil alih syarikat tu. Sebelum ni ikut suka hati aku ajelah
nak jenguk syarikat tu atau tak,” bidas Hazrel, pantas.
Suasana hening
seketika tatkala pelayan meletakkan minuman yang dipesan di atas meja. Setelah
itu, Hazrel mencapai gelas minuman dan meneguk rakus air dari dalamnya.
Tekaknya yang terasa kering, sudah pun dibasahkan.
“Sorrylah bro,
sebab aku tak join reunion tu sekali. Ada hal yang tak boleh nak
dielakkan.” Suara Faizal, kesal.
“Hmm... elok pun kau
tak datang malam tu. Buat sakit hati aje.”
“Kenapa pulak?”
“Aku gaduh dengan Die
malam tu. Habis muka aku ditumbuknya,” cerita Hazrel.
Tergelak Faizal
mendengar cerita Hazrel itu. Matanya menjamah wajah tegang Hazrel.
“Yang kau gelakkan
aku ni, kenapa? Kau jangan nak tambah marah aku pulak.”
“Okey...okey...aku
mintak maaf. Belum pernah lagi aku dengar kau dan Die bergaduh. Bukan ke kau,
Die dan Rul berkawan baik sejak universiti lagi?”
“Memanglah. Tapi ada
jugak yang kami tak sebulu dengan Die.”
“Kau orang bergaduh
pasal perempuan ke?” tebak Faizal.
Buntang mata Hazrel
dengan pertanyaan itu. Dikalihkan matanya ke arah Nur Ain yang sedang berdiri
tidak jauh dari mereka berdua duduk.
“Haah, sebab perempuan
kampung lagi menyusahkan.”
Faizal melepaskan
ketawanya lagi. Geli hati mendengar ayat yang keluar daripada mulut Hazrel itu.
“Kau bawak siapa tu,
Rel?” tanya Faizal ingin tahu.
Sejak tadi matanya
memerhati susuk tubuh Nur Ain yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka berdua.
“Orang gaji aku. Kau
berkenan ke?” balas Hazrel tergelak.
“Orang gaji kau?
Takkan sampai ke sini kau bawak orang gaji kau tu,” bidas Faizal kurang
percaya. Matanya mengerling sekilas ke wajah Nur Ain.
“Kenapa? Kau tak
percaya ke?”
“Eh, apa pulak aku
tak percaya? Aku percaya. Tapi cantik jugak orang gaji kau tu. Mana kau dapat
orang gaji kau tu?”
“Cantik kau kata?
Mata kau ni dah rabun ke? Kau tengoklah dressingdia tu, kekampungan.
Muka dia tu, tak cantik dan berparut. Hisy, tak faham aku dengan kau dan Izz
ni. Muka macam tu kau boleh kata cantik?” kutuk Hazrel, selamba.
Faizal ketawa.
Matanya masih lagi menjamah susuk tubuh Nur Ain. Walaupun hanya berbaju kurung,
tetapi masih menarik pada pandangan lelakinya.
“Kau bayar dia
berapa, Rel?”
“Bayar? Maksud kau?”
tanya Hazrel berkerut dahi.
“Eh, maksud aku gaji
dia. Berapa kau bayar gaji dia?” jawab Faizal tersengih.
“Oh, aku ingatkan apa
tadi. Dia kerani aku merangkap orang gaji aku.”
“Kerani kau? Habis tu
macam mana pulak boleh jadi orang gaji kau?”
“Dia ada hutang
dengan aku. Tu yang aku jadikan dia orang gaji aku,” jawab Hazrel, selamba dan
tergelak.
Matanya mengerling
sekilas ke arah Nur Ain yang sedang berdiri seperti patung cendana lagaknya.
Baru puas hati aku, Die, bisik Hazrel.
“Aku ke tandas dulu.
Kau tolong awasi dia untuk aku. Nanti lari pulak dia tu.”
“Okey, no problem.
Ayam, takkan aku nak lepaskan. Mestilah aku akan tambat elok-elok,” balas
Faizal tergelak.
Hazrel turut sama tergelak. Mengerti maksud tersirat Faizal itu.
Nur Ain masih
menunggu. Panas hatinya ketika ini. Sengaja Hazrel menyuruhnya tunggu di situ.
Ikutkan hati, mahu sahaja dia beredar dari situ. Demi telefon bimbitnya,
disabarkan hati dengan menunggu dan melayani perangai Hazrel itu.
“Hai,” tegur Faizal
tiba-tiba.
Tersentak Nur Ain
buat seketika. Dihalakan mata ke arah lelaki di hadapannya itu.
“Saya Faizal. Awak?”
sambung Faizal lagi.
“Err... Nur Ain
Zafira Ibrahim. Panggil Ain aje,” balas Nur Ain. Ditundukkan muka mewakili
salaman di tangan.
Faizal menarik
tangan. Terasa hati dengan tingkah Nur Ain.
“Awak tunggu Rel ke?”
“Haah. Mana Encik
Hazrel?” balas Nur Ain sambil melilaukan mata mencari kelibat Hazrel.
“Dia ada urusan
penting, jumpa client. Dia mintak saya hantar awak balik ke pejabat.
Mari saya hantarkan awak ke pejabat,” beritahu Faizal berserta senyuman
tersirat.
“Hah? Jumpa client?”
ulang Nur Ain, terkejut.
“Kalau macam tu, saya
mintak diri dululah,” pamit Nur Ain tatkala melihat anggukan Faizal.
“Nantilah dulu. Rel
mintak saya hantarkan awak ke pejabat. Jadi biar saya aje yang hantar awak ke
sana,” tegah Faizal lagi seraya menarik lengan Nur Ain.
“Tak apalah. Saya
boleh balik sendiri. Terima kasih,” tolak Nur Ain seraya menarik lengannya.
Tanpa menunggu,
dibawa langkah beredar dari situ. Takut melihat pandangan Faizal.
Faizal hanya
memandang. Kelibat Hazrel yang baru melangkah keluar dari bilik air menyapa
mata. Dia melemparkan sebuah senyuman buat Hazrel.
“Mana Ain?” tanya Hazrel, kehairanan.
“Ain?” ulang Faizal,
pura-pura.
“Orang gaji aku
tulah. Mana dia?”
“Oh! Dia dah balik
ofis.”
“What? Dah
balik ofis? Suka-suka hati dia aje nak balik ofis. Aku tak suruh pun dia balik
ofis. Yang kau lepaskan dia kenapa?” soal Hazrel, meninggi.
“Manalah aku tahu.
Aku ingatkan kau suruh dia balik. Lagipun aku tengok dia macam bosan aje tunggu
kau.”
“Hisy, angin aku
dibuatnya. Tak apa, siaplah dia nanti kat ofis. Kaw-kaw aku marahkan dia
nanti.”
“Kau ni Rel, cuba
kawal sikit panas baran kau tu. Asyik nak mengamuk ajelah kau ni,” tegur Faizal
ketawa kecil. Geli hati melihat wajah tegang Hazrel itu.
“Banyaklah kau punya
kawal. Tak apa, tahulah aku macam mana nak buat nanti.”
“Apa yang kau nak
buat?” tanya Faizal penuh minat.
Hazrel tidak
membalas. Sakit hatinya tatkala Nur Ain mengingkari arahannya. Siap kau nanti!
Azam Hazrel dalam hati. Lantas dikeluarkan telefon bimbit dari dalam poket
seluar. Nombor Izzuddin didail dan menanti sapaan dari hujung talian.
“Kau kat mana, Izz?”
tanya Hazrel, serius.
“Aku kat ofis.
Kenapa?” jawab Izzuddin berkerut dahi.
“Ain ada tak?”
“Ain? Bukan ke dia
ikut kau time rehat tadi?”
“Mana kau tahu?”
“Fauziah beritahu aku
tadi bila aku tanya pasal Ain pada dia.”
Hazrel melepaskan
dengusan kasar.
“Tadi dia ada dengan
aku, tapi dia dah balik ofis.”
“Kau bawak dia ke
mana, Rel?”
“Kau tak perlu sibuk
dengan urusan aku. Kalau dia balik nanti, kau suruh dia tunggu aku balik.
Jangan benarkan dia balik selagi aku tak masuk ofis.”
“Tapi kenapa?”
“Adalah. Aku nak
suruh dia buat kerja sikit.”
“Kau nak suruh dia
buat apa lagi, Rel? Tak cukup lagi ke kau suruh dia ikut arahan kau?”
“Sekarang siapa yang
bos? Kau ke aku?” marah Hazrel, meninggi.
Izzuddin menarik
nafas dan melepaskannya lembut.
“Kau bos aku. Tapi tu
tak bermakna kau boleh sesuka hati menindas pekerja.”
“Ah! Dahlah, Izz.
Malas aku nak dengar ceramah free kau tu. Ingat pesanan aku tadi. Selagi
aku tak masuk ofis, selagi tu kau jangan lepaskan Ain balik, faham!” pesan
Hazrel kemudian mematikan talian.
Tersentak
Izzuddin dengan perilaku Hazrel itu. Dia menggeleng kecil memikirkan perangai
Hazrel yang tidak pernah nak berubah. Hazrel masih dengan sikapnya yang panas
baran dan suka memberontak.