Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,620
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Bab 15

Selepas makan tengahari kami beramai-ramai menuju ke Pasar Fremantle. Sebelum itu sempat juga kami membeli strawberi dan marshmallow yang dicelup coklat yang ada dijual di gerai depan pasar. Semuanya menikmati makanan sambil berjalan. Tidak elok sungguh. Aku dan Fir yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik juga terikut sama seperti mereka.

“Zaira makan kat mulut ke makan kat rambut ni?” Tegur Fir.

Cuaca berangin yang menerbangkan rambutku saat ini membuatkan coklat yang sepatutnya hanya mengenai mulutku telah terkena pada rambutku juga. Aku menyengih sambil mengeluarkan tisu basah dari beg untuk mengelap rambutku yang terkena sedikit coklat. Fir menunjukkan bahagian rambutku yang perlu aku lap. Sudah terbiasa  berjalan ke mana-mana dengan anak-anak membuatkan tisu basah tidak pernah ketinggalan untuk berada di dalam begku. Walaupun sekarang ini aku berjalan sendirian tanpa mereka.

“Comotnya Zaira ni.” Akuiku sesudah mengelap rambut yang terkena sedikit coklat cair itu.

“Haahlah.” Sambut Fir.

Pantas dan bersungguh pula dia mengiakan. Aku menjegilkan mataku mendengar jawapan Fir yang sungguh jujur itu. Fir membalasnya dengan tergelak-gelak perlahan sambil menunjukkan padaku beberapa tempat lagi yang sudah terkena coklat dan aku tidak terperasankannya.

“Tapi jangan risau, walaupun comot, Zaira masih tetap nampak cantik dan manis.” Sambungnya lagi. Senyuman penuh mesra diberikan padaku.

“Eh, mana boleh puji-puji isteri orang ni?” Selaku dengan niat mahu mengenakannya kembali.

“Memanglah tak boleh nak puji isteri orang. Abang tahu tentang itu. Tapi seorang abang tentunya boleh memuji adiknya sendiri kan? Apatah lagi mahu mengutuknya.” Ujar Fir.

Penuh dengan ketenangan kata-katanya. Bunyinya bagaikan memang dia sudah bersedia dengan jawapan itu. Nampaknya dia menggunakan kaitan abang dan adik sebagai alasan. Jawapan yang cukup bernas untuk mematikan hujahku.

“Hmm… Zaira suka dengan jawapan tu.” Komenku.

“Oh ya ke. Abang pun suka jugak.” Balasnya kembali.

“Eh, tiru jawapan orang pulak.” Kataku lagi.

“Eh, berlagaknya.” Balas Fir dengan nada yang semacam.

Pandangan kami bertemu. Terkekek-kekek pula kami ketawa selepas itu. Mana tidaknya, macam budak-budak pula lagak kami. Nak bergaduh hanya kerana mahu membahaskan sesuatu yang sangatlah tidak penting.

“Zaira tak nak habiskan makanan tu ke?” Soal Fir bila dilihatnya aku sudah berhenti menikmati strawberi coklat itu. Sedangkan yang dia punya sudah tinggal lidinya saja. Aku menggeleng kerana strawberi coklat ini memang tidak memenuhi seleraku. Aku tidak berapa menyukainya.

“Biar abang habiskan yang Zaira punya tu. Sayang kalau nak buang.” Balas Fir selepas melihat reaksiku yang mula berjalan ke arah tong sampah yang berdekatan.

Lambat-lambat aku menyuakan bekas plastik di tangan kepada Fir. Tak bertangguh Fir menghabiskannya. Sekejap tadi ada juga Maira bertanyakan siapa-siapa yang mahukan strawberi coklatnya yang tidak dapat dihabiskan kerana tidak memenuhi seleranya juga. Tapi waktu tadi tidak pula Fir mengambilnya. Sedangkan pada ketika itu, strawberi coklat milik Fir sendiri memang sudah habis dimakannya. Orang lain juga tiada yang berminat. Sudahnya strawberi coklat yang masih banyak lagi berbaki terpaksa dibuang saja ke dalam tong sampah. Tapi yang aku punya ini diminta-minta pula.

Bagiku, bukanlah sesuatu yang biasa untuk dia berkongsi makanan dengan orang yang baru dikenali. Mungkin menyedari reaksiku yang nampak semacam membuatkan Fir mengangkat keningnya. Selepas mengelap mulutnya dengan tisu basah yang aku hulurkan, Fir bersuara.

“Tak salah kan kalau abang nak habiskan makanan adiknya.” Sekali lagi Fir menggunakan kaitan abang dan adik itu.

“Oh, patutlah tadi Fir tak mahu ambil yang Maira nak bagi tu.” Ungkitku.

Fir mengerlingku sekilas sebelum membalas kata-kataku.

“Iyalah, Maira tu bukannya adik abang.” Ujar Fir.

Meleret suaranya sebelum dia terus meninggalkan aku untuk menyertai Azrai, Azim dan Elisa yang sedang membelek barangan di sebuah gerai di dalam pasar itu. Buat seketika aku terpinga-pinga dengan kata-katanya. Namun ianya hanya seketika sebelum aku juga turut menyertai Shanaz dan Maira yang sedang membelek dompet dari kulit kangaroo.

Tidak banyak barangan yang aku beli. Memang tiada dalam rancanganku untuk membeli-belah di sini. Namun bila teringat keluarga dan teman-teman yang berada jauh di mata, aku belikan juga serba sedikit barangan untuk dibawa pulang. Dapat juga aku hadiahkan kepada mereka sebagai buah tangan. Buah tangan dari orang yang hatinya sedang terluka. Pastilah ianya hanya barangan yang tidak seberapa, kerana aku tidak bersungguh mencari barangan yang sesuai untuk dihadiahkan. Namun, ikhlasnya tetap ada.

“Membeli ke memborong ni?” Tegur Fir.

Aku tergelak dengan tegurannya.

“Membelilah. Kalau memborong, tentu semua orang dah kena bawakan barang-barang Zaira.” Balasku.

Walaupun kedua-dua belah tanganku penuh dengan beg plastik berisi barangan yang dibeli, tapi tidaklah sebanyak mana pun yang aku beli. Bila hanya aku yang lebih banyak membeli dari orang lain, tentulah aku nampak seperti memborong. Fir mengambil beg plastik yang penuh di tanganku untuk tolong dibawakan. Beria aku menolak. Bersungguh pula dia mahu membantuku. Sudahnya aku membiarkan saja. Sekurang-kurangnya hilang juga lengguh di tanganku menjinjing barang-barang itu.

“Agaknya dalam banyak-banyak barang dalam beg plastik yang Zaira beli ni, ada tak apa-apa untuk abang?” Soal Fir. Semacam pulak soalannya. Apa perlunya aku membelikan apa-apa untuknya sedangkan dia boleh membelinya sendiri. 

Aku menggeleng. Memberi jawapan secara jujur. Tanpa memikirkan andai dia terasa hati dengan jawapanku.

“Hmm.. kalau macam tu takpelah. Sebab abang pun takde belikan apa-apa untuk Zaira. Takut nanti bila Zaira bagi apa-apa kat abang, abang takde balasan nak beri apa-apa pulak kat Zaira. Terus nampak tak gentleman nanti.” Balasnya selamba.

Aku tersenyum sendiri mendengarnya. Ada saja idea Fir mahu mengusikku.

“Oh, tolong angkatkan barang Zaira semua ni sebab nak tunjuk gentlemanlah ya?” Soalku secara bergurau.

“Mestilah. Mana tahu ada perempuan lain yang tertawan dan terjatuh hati.” Balas Fir beria sambil tergelak-gelak.

“Kiranya sambil menyelam minum airlah ya. Sambil tolong Zaira, sambil cuba memikat orang lain.” Dugaku.

“Betullah tu. Dah tak boleh pikat Zaira, terpaksalah abang cari perhatian orang lain untuk dipikat.” Balasnya bersahaja.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.