Bab
18
Pagi-pagi lagi Azrai sudah menungguku di lobi hotel.
Menurutnya semalam, pagi ini dia mahu membawa aku ke Kings Park Botanical Garden.
Katanya, mungkin aku akan menemui sedikit ketenangan di sana. Teruja benar aku
mahu ke tempat yang dikatakan indah dan mendamaikan itu. Tiada kelas pada
sebelah pagi hari itu membuatkan Azrai mencuri waktu sibuknya untuk menemaniku.
Pagi itu kami hanya keluar berdua. Tiada Fir mahupun teman-teman Azrai yang
lain ikut bersama kami. Keadaan itu membuatkan aku rasa lebih selesa. Bila
hanya bersama Azrai, apa-apa saja boleh
aku luahkan.
“Subhana-ALLAH. Cantiknya tempat ni.” Pujiku.
Seperti kata Azrai, memang
Kings Park Botanical Garden dapat membuatkan hatiku berasa tenang. Kawasannya
berbukit dengan rumput yang menutupinya bagaikan hamparan indah yang luas. Kehijauannya
yang dipenuhi dengan pokok-pokok besar dan tumbuhan pelbagai warna membuatkan
aku rasa begitu segar. Kedamaian dan keindahannya menceriakan hatiku. Aku
seronok menjelajah ke setiap kawasannya bersama Azrai dengan ditemani tiupan
angin sejuk. Pokok-pokok kayu dan tumbuhan yang berlainan dari yang aku selalu
lihat di tempat sendiri memukau pandangan. Suasananya membuatkan aku berasa
damai. Kedamaian itu meresap sehingga ke hati. Sungguh menenangkan.
“Kita rehat kat sini dulu, jom.”Ajakku.
Penat berjalan kami berhenti melepaskan lelah. Aku duduk
di rumput yang sejuk sambil melemparkan pandangan ke seluruh kawasan yang
berbukit itu. Aku dapat lihat bandar Perth dari kejauhan. Kamera kompakku aku
keluarkan dari beg untuk merakam keindahan di situ. Tidak banyak perbualan yang
berlangsung antara aku dan Azrai. Mungkin Azrai mahu membiarkan aku melayani perasaanku dan menikmati keindahan
di tempat yang cantik dan menenangkan ini.
“Betul Acu tak nak balik ke hotel sekarang?” Tanya Azrai
untuk kali yang kedua.
Aku mengangguk. Hampir 2 jam
kami di situ. Azrai harus pulang untuk kelas yang perlu dihadirinya.
Keengananku untuk pulang bersamanya pastilah menimbulkan rasa risau di hati
anak saudaraku itu.
“Acu rasa seronok kat sini.
Kalau duduk kat bilik hotel, Acu rasa macam serabut. Rasa rindu pada dia orang yang
jauh tu lagilah terasa tak tertanggung. Rasa sakit hati pun boleh datang balik
nanti. Kat sini Acu rasa tenang. Tenang sangat. Azrai baliklah dulu. Jangan risau pasal Acu. Insya-ALLAH,
Acu tak apa-apa.” Balasku.
Dengan berat hati Azrai terpaksa
pulang terlebih dahulu tanpa aku ikut serta. Itupun setelah dimaklumkan segala
maklumat yang perlu aku ketahui secara berulang kali. Bas apa yang perlu aku
ambil untuk balik ke hotel. Di mana aku perlu menunggu. Juga di mana boleh aku
dapatkan maklumat tentang jadual perjalanan bas untuk aku pulang nanti. Aku
menyengih panjang melihat kerisauannya.
“Jangan risaulah. Acu boleh
jaga diri sendiri. Insya-ALLAH Acu akan selamat pulang ke hotel sebelum Azrai
habis kelas nanti.” Janjiku.
Aku menolak belakang bahunya
yang nampak tidak bersemangat untuk berganjak dengan kedua-dua belah tanganku
sehingga ke tempat menunggu bas. Aku menemaninya sehingga bas sampai dan
sehingga dia bertolak pergi. Dari dalam bas sebelum bas bertolak pergi, sempat
lagi Azrai mengingatkan perkara-perkara yang sudah diingatkan padaku berulang
kali tadi. Dia menyengih bila aku mula menunjukkan wajah bosanku.
“Okey, take care.” Jeritnya.
Aku membalasnya dengan
menunjukkan isyarat ‘OK’ saja.
SETELAH Azrai pulang aku kembali
menjelajah kawasan yang tadinya menarik perhatianku untuk melepak lebih lama. Berseorangan
di sini membolehkan aku untuk berlama-lama di satu-satu kawasan yang aku sukai.
Orang ramai yang datang bersama keluarga dan teman-teman mereka di sini
membuatkan aku langsung tidak berasa
takut walaupun aku bersendirian. Setelah puas menikmati satu-satu kawasan, barulah
aku beralih ke tempat-tempat yang lain pula. Bila ada pandangan yang menarik untuk
aku abadikan sebagai kenangan, aku keluarkan kameraku untuk mengambil gambar.
Ketika aku sedang leka merakam gambar,
dari kejauhan aku terlihat seseorang di skrin kameraku. Gayanya santai. Beberapa
hari ini, memang begitulah gayanya. Berseluar jeans,dengan t-shirt dan
kemeja yang disarungkan di luarnya. Hari ini dia bertopi pula. Kelihatan
langkahnya menuju ke arahku. Aku mengalihkan kamera yang di depan mata untuk
melihat sendiri secara langsung dan bukan melalui skrin kamera. Senyuman yang terukir diwajahnya dari kejauhan
membuatkan aku menekan butang kamera untuk merakamkan gambarnya.
“Cukup ke sekeping aje ambil
gambar abang?” Soalnya ketika dia datang menghampiri.
Tentunya dia perasan yang aku sudah
merakam gambarnya tadi. Aku menyengih malu kerana sangkaku dia tidak terperasan
tentang perkara itu. Dia tersenyum manis membalas reaksiku.
“Nak tengok boleh?” Pintanya sambil
mendekatkan dirinya denganku untuk sama-sama melihat gambarnya yang telah aku
rakam di skrin kameraku yang cinonet
itu.
“Ala, jauh sangat gambar ni.
Tak clear Zaira nak tengok. Nanti Zaira
ambil yang lain ya.” Komennya.
Aku sekadar menyengih. Aku tahu
dia sengaja berkata begitu untuk membuatkan aku rasa tidak bersalah dan segan
selepas curi-curi merakam gambarnya.
“Azrai minta temankan Zaira di
sini ye?” Soalku cuba memusing cerita lain.
Lelaki itu menggeleng.
“Takdelah. Azrai tak minta abang
datang temankan Zaira. Dia cuma cakap, Zaira ada di sini berseorangan dan dia
risau.” Jelas Fir.
“Samalah tu.” Sambutku.
Sekali lagi Fir menggeleng.
“Mana pulak sama. Pada Zaira,
Azrai yang minta abang datang ke sini untuk temankan Zaira. Tapi yang
sebetulnya, memang abang sendiri yang mahu ke sini untuk temankan Zaira.”
Sambut Fir.
Aku mengangkat bahu sambil
tersenyum tanda walau apa pun sebabnya, aku amat menghargai kesudiannya
menemaniku. Juga tanda tidak kisah walau apa pun juga penyebabnya. Fir
membalasnya dengan mengangkat keningnya pula. Kemudian ikut mengangkat bahunya
juga.
“Lunch.” Pelawa Fir sambil menghulurkan bungkusan makanan yang
mengandungi kebab di dalamnya kepadaku.
Sebotal air jus oren juga
disuakan. Teragak-agak aku mengambil dan meletakkannya di tepiku. Bukan kerana
tidak sudi, tapi terasa segan dengan
pemberiaannya. Rasa cukup tersentuh dengan
keprihatinannya. Aku sendiri tidak terfikir tentang makan tengah hariku
walaupun sekarang ini sudah melebihi waktunya.
“Azrai minta Fir tolong belikan
juga ya?” Sekali lagi aku menyoal.
Manalah tahu andai kerisauan Azrai
telah membuatkan dia merancang dan
meminta Fir melakukan itu dan ini untukku. Cepat-cepat Fir menggeleng lagi.
“Zaira, ada perkara memang
Azrai minta abang lakukan dan abang buat kerana Azrai. Tapi ada juga perkara
yang memang abang lakukan untuk Zaira bukan atas permintaan Azrai. Abang cuma
nak Zaira tahu, kalau Zaira rasa Azrai cukup mengambil berat pasal Zaira, abang
pun macam tu jugak. Zaira kan adik abang. Jadinya, tentulah abang kena ambil
berat tentang Zaira. Jangan lupa tentang tu.” Tekan Fir.
Aku mengangguk-angguk. Cuba
menerima kata-katanya yang bukan segala perkara yang dilakukan untukku atas
dasar memenuhi permintaan Azrai. Aku juga cuba membuka hatiku untuk menerima
kebaikannya yang mengambil berat tentang diriku kerana hubungan yang dikatakan
antara abang dan adik itu.
“Terima kasih banyak ya, Fir.”
Setelah seketika barulah aku mampu mengucapkan ucapan yang sepatutnya diucapkan
sejak tadi.
“Jangan risau. Kasih Zaira diterima
dengan banyak juga.” Sambut Fir sedikit melawak.
Dia tersenyum panjang sesudah
itu. Aku juga begitu walaupun terasa sedikit segan menerima jenakanya yang
begitu.
“Tak bestnya bila kat sini Zaira
asyik menyusahkan Fir aje.” Keluhku.
“Eh, mana ada. Zaira tak
menyusahkan pun. Cuma abang ni yang suka mengambil berat. Jadinya tak payahlah Zaira
nak rasa bersalah sangat bila rasa macam abang susah-susah nak ambil berat
tentang Zaira. Lagipun Zaira bukannya seberat mana. Jadinya, lagilah tak
menyusahkan langsung.” Balasnya dengan wajah yang beria menafikan kata-kataku.
Pujian tentang dirinya pula
tentulah sengaja ditekankan bagi mengelak aku dari terus rasa bersalah. Plastik
makanan yang sudah diberikan kepadaku diambil
semula. Aku hanya memandang kerana tidak terduga apa pula yang ingin dilakukan.
Tadi sudah diberikan kepadaku. Kini diambil pula kembali. Tidak menghiraukan pandanganku
yang sedang tertumpah sepenuhnya pada dirinya, Fir membuka bungkusan makanan
yang mengandungi kebab itu. Kertas pembalutnya dilipat keluar. Kemudian kebab
yang separuh terbuka itu dihulurkan kepadaku semula.
“Zaira makanlah,” suruhnya.
Pandangan pelik yang aku
lemparkan tidak dihiraukan. Malah dia terus selamba mengambil air minuman pula. Botol minuman yang belum terusik itu diambil
dan dibuka penutupnya sebelum kembali disuakan kepadaku. Terpempan aku jadinya.
Walaupun mahu mengambil berat, tidak perlulah sampai berlebihan begitu layanannya.
Ini kerana aku berasa sungguh tidak selesa.
“Zaira tak selesa bila Fir
layan Zaira macam ni.”
Untuk melegakan perasaanku, aku
berterus terang saja.
“Abang tahu. Eloklah Zaira rasa
tak selesa. Sekarang makan.” Balasnya bersahaja sambil mengarahkan aku untuk
makan.
Aku makan juga dengan rasa yang
tidak selesa. Matanya terus mengawal segala gerak geriku. Bila sudah begitu,
tentunya dia jadi cukup peka. Kali ini tisu pula dihulurkan kepadaku bila
dilihat ada sos yang kelihatannya mahu menitis keluar.
“Fir, Zaira rasa tak selesa.
Serius.” Ulangku lagi dengan nada yang menekan.
“Ya, abang tahu. Macam itulah abang
rasa bila tengok Zaira terus bersedih. Abang tak selesa. Jadinya lebih baik Zaira
makan sebelum abang terus buatkan Zaira rasa tak selesa.” Balas Fir.
Kata-katanya bagaikan satu
ugutan pula. Tidak mahu terus rasa tidak
selesa, cepat-cepat aku meneruskan makan. Dari kerlingan mata aku nampak Fir menyengih
sendiri. Wajahnya nampak puas.