Bab
19
Kebab yang berbaki separuh aku suakan
kepadanya bersama isyarat yang menyatakan aku tidak boleh menghabiskannya. Bimbang
pula jika aku terus berhenti makan akan membuatkan entah apa pula reaksi Fir
seterusnya. Tentu saja dia akan membuatkan aku berasa tidak selesa. Fir
mengambil kebab di tanganku tanpa kata. Pastilah dia memahaminya. Dengan
selamba dia menghabiskan makananku. Air yang sudah ku teguk sebahagiannya, aku hulurkan
kepadanya juga. Ini kerana hanya itu saja minuman yang ada. Fir tersenyum
menyambutnya. Tentulah dia juga memerlukan minuman selepas menghabiskan kebab
itu.
“Kenyang bila abang temankan Zaira
makan. Semuanya tak habis. Makan tak habis. Minum tak habis.” Omelnya.
“Oh, sebab itulah cuma beli
satu set makanan aje.” Usik aku.
Fir tersenyum panjang menyambut
usikanku.
“Haah. Boleh jimat dan tak
perlu membazir. Dah sah-sah memang boleh berkongsi makanan dengan Zaira. Lagipun
abang tahu, Zaira bukannya nak habiskan makanan. Tak habis makan, terus buang.
Sayang betul.” Akuinya.
Jujur dan langsung tidak
berselindung. Namun sesudah itu tetap dijelaskan juga yang dia sudah makan
sebelum ke sini tadi. Tentulah penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan aku dari
berfikir yang dia seorang yang kedekut bila hanya satu set makanan yang dibawa.
Aku menyengih dengan penjelasan itu dan menyatakan yang aku tidak terfikir
langsung tentang perkara itu. Fir tersenyum senang membalasnya.
“Mood Zaira tak berapa baik.
Jadinya selera makan pun berkurang. Kalau selalu tu makan asyik tak cukup-cukup
aje. Memang takde peluanglah orang
lain nak berkongsi dengan Zaira. Sekarang ni makan sikit pun dah rasa kenyang
sangat. Dah kenyang makan hati berulam jantung agaknya.” Balasku.
“Perkara dah berlaku Zaira. Bersedih
dan berduka takkan dapat memperbaiki keadaan. Ianya juga takkan dapat menahan apa
yang dah berlaku dari berlaku.” Bidas Fir.
Memang ada kebenaran dalam
kata-katanya. Sampai bila aku mahu bersedih dan berduka mengenang perkara yang
sudah berlaku. Perkara yang di mata semua orang sudah aku sendiri relakan.
“Habis tu apa yang Zaira patut
buat?” Soalku bertanyakan pendapatnya.
“Teruskan kehidupan.” Balasnya
ringkas.
“Cakap senanglah. Tapi untuk
menghadapinya tak semudah itu.” Sanggahku.
“Hadapi dulu. Kemudian baru
tahu boleh ataupun tidak. Insya-ALLAH, takde yang mustahil dan terlalu susah
untuk dihadapi. Kalau Zaira rasa apa yang perlu Zaira lalui ni perit, kenangkan nasib orang yang lebih teruk
dari Zaira. Kenangkan nasib orang yang tidak pernah langsung mengecapi bahagia.
Hidup ini hanya sekali untuk dinikmati. Ujian itu rencahnya. Bila mendapat
kebahagiaan, selalunya kita boleh bersyukur dan terima dengan hati yang terbuka
kan? Macam tu juga dengan kedukaan. Kita
tetap kena bersyukur dan terima juga. Tak kiralah walaupun ianya pahit dan
sukar sekalipun.” Ujar Fir tenang.
Mendalam sungguh kata-katanya.
Kata-katanya bukan merupakan pujukan untuk mengubati kesedihanku. Tapi lebih
kepada kata-kata perangsang dan saranan untuk aku menghadapi kedukaanku dengan
cara yang lebih baik. Mungkin baginya, pujukan bukan cara yang sesuai untuk
membuatkan aku melupakan kesedihanku. Makanya cara lain pula yang cuba diguna
pakai untuk aku menangani kesedihanku.
“Fir pernah ada pengalaman berdepan dengan masalah
dalam perhubungan yang melibatkan soal cinta, hati dan perasaan ke?”
Lama aku memandangnya sebelum
mengajukan soalan yang inginku tahu itu. Entah mengapa aku boleh terus
bertanyakan soalan itu tanpa menghiraukan rasa malu andai aku dianggap penyibuk.
Fir juga memandangku lama sebelum lambat-lambat dia mengangguk mengiyakan
pertanyaanku. Kemudian dia tersenyum tawar. Kami berpandangan sambil sama-sama
mengetap bibir.
“Patutlah… bercakap dari pengalaman rupanya.” Ulasku.
Sedikit mengusik ayatku. Fir tersenyum
kecil menyambutnya.
“Pengalaman itukan guru yang
paling baik dan cukup berguna untuk kita.” Sambut Fir.
Aku mengangguk-angguk mengakui
kebenaran kata-katanya.
“Bila kita dah ambil atau buat
satu-satu keputusan tu, kita kenalah bertanggungjawab dengannya. Macam keizinan
yang Zaira berikan pada suami Zaira. Mahu tak mahu, Zaira kena menanganinya
jugak. Tentu ada cara yang lebih baik untuk menghadapi segalanya selain daripada
terus bersedih dan asyik berduka.” Ujar Fir.
Nampaknya Fir mahu menambah tips yang sudah diberi tadi. Tentunya
berdasarkan pengalaman yang pernah dilaluinya.
“Buat masa ni Zaira tak
terfikirkan cara lain selain dari terus bersedih dan berduka Fir.” Balasku
berterus terang.
“Bila asyik bersedih dan
menangis, bila masanya Zaira nak fikirkan perkara lain yang lebih baik lagi.”
Fir membalasnya dengan kata-kata
berupa sindiran. Ianya sangat bertepatan dengan keadaanku sekarang. Aku
tersenyum tawar sebelum mencebik.
“Waktu Zaira buat keputusan,
tentunya Zaira dah fikirkan segalanya dengan masak-masak kan? Keizinan dah
diberi. Suami Zaira pun dah menambah
isteri saat ini. Jadi, apa gunanya Zaira biarkan kesedihan itu berlarutan. Ianya
tentu takkan dapat memperbaiki keadaan.”
Fir kelihatan sedikit emosi.
Lagaknya seperti seorang abang yang
tidak puas hati dengan sikap dan tindakan adiknya sendiri. Aku
merasainya seperti itu. Bagaikan abangku sendiri yang sedang berkata-kata
ketika ini.
“Entahlah Fir. Memanglah waktu
buat keputusan tu, Zaira dah fikirkannya dengan masak-masak. Tapi waktu itu, Zaira
mengharapkan Ikmal menerimanya dengan cara yang lain. Lebih tepat lagi, Zaira
mahu Ikmal menolak keizinan itu kerana rasa simpatinya pada Zaira. Lebih baik
lagi kalau dia terus berubah fikiran kerana rasa kasihnya pada Zaira. Tapi penerimaan Ikmal yang tidak begitu amat melukakan hati Zaira. Zaira rasa sedih sangat bila Ikmal dengan
senang hati meneruskan niatnya setelah mendapat keizinan Zaira.”
Harapan yang aku sandarkan pada
sebuah keizinan, aku luahkan kepada Fir. Untuk seketika, wajah Fir nampak semacam
menerima ceritaku. Jelas sekali dimataku yang ada teka teki di dalam kepalanya.
“Bukan ke keizinan yang Zaira bagi tu memang tujuannya agar Ikmal boleh meneruskan niatnya?” Soal Fir
keliru.
“Sepatutnya begitulah. Tapi Zaira
masih tetap mengharapkan keajaiban berlaku setelah Zaira memberikan keizinan. Besar harapan Zaira agar keizinan itu mencuit hati Ikmal
untuk menghargai Zaira dengan cara melupakan terus niatnya.” Akuiku.
Tanpa segan aku meluahkan apa
yang amat aku harapkan dari keizinan yang telah aku beri.
“Maknanya, tak ikhlaslah
keizinan itu? Dalam kata lain, keizinan itu memang tak wujud langsung dalam
diri Zaira?” Ungkit Fir.
Sungguh memalukan menerima
kata-kata yang sebegitu. Namun aku mengangguk juga kerana itulah hakikatnya. Bukan
perkara yang mudah untuk melepaskan suami sendiri kepada orang lain dengan hati
yang terbuka. Dengan hati yang tulus
ikhlas. Aku cukup kagum dengan wanita yang mampu memberikan keizinan dengan hati
penuh ikhlas. Walaupun kadangkala tertanya-tanya juga sendiri. Ikhlaskah
mereka? Tapi seandainya mereka boleh
benar-benar mengikhlaskan hati, mengapa aku tidak boleh menjadi seperti
mereka? Lama aku memandang Fir untuk membaca air mukanya. Manalah tahu
kalau-kalau dia sedang mengeji tindakanku. Lantas terpamer riak itu di
wajahnya. Namun wajah penuh kesalan yang terpamer. Terus-terusan aku jadi malu
sendiri. Ketenangan yang dipamerkan membuatkan aku tahu, dia tidak sedikitpun
mahu mengejiku.
“Kalau Ikmal tak bersungguh mahukan keizinan dari Zaira,
tentunya dia tidak akan memintannya sejak awal lagi. Sia-sia aje Zaira mengambil keputusan yang tidak ikhlas
macam tu. Ianya tak memberi kebaikan pun
untuk Zaira. Tapi pastilah memberikan kebahagiaan buat Ikmal. Takkan pula dia
mahu berubah hati dan menolaknya.” Bidas Fir.
“Hmm.. betullah kan. Dalam
semua perkara kita perlu ikhlas. Perbuatan yang tak ikhlas memang takde maknanya.
Ganjarannya pun takde. Bila tak ikhlas beginilah jadinya. Apa yang diharapkan tak
menjadi. Takde siapa juga yang akan menghargainya. Sekadar menjadi perkara sia-sia sehingga akhirnya Zaira sendiri yang terseksa
makan hati.” Ulasku.
Mula tersedar dan menyesali
tindakan sendiri yang tiada keikhlasan. Fir terus tenang memandangku tanpa
sebarang komen.
“Baru sekarang Zaira
benar-benar faham erti keikhlasan. Ikhlas itu seharusnya datang dari hati yang
terbuka. Ikhlas itu perbuatan yang bersungguh yang langsung tidak mengharapkan
apa-apa di sebaliknya. Ketidakikhlasan Zaira itulah yang lebih Zaira kesalkan. Ianya
membuatkan luka di hati Zaira terus dalam. Membuatkan Zaira terus hanyut dalam
tangisan yang penuh sesalan. Sesalan pertama kerana memberi keizinan di luar
kemahuan. Yang keduanya pastilah kerana tiada keikhlasan. Tapi lebih kerana
terpaksa.” Tambahku lagi penuh kesal.
“Kalau air mata dapat menghilangkan
kedukaan, tentunya abang akan biarkan Zaira terus menangis. Tapi menangis bukanlah
caranya untuk menghapuskan hati yang nestapa. Menangis dan menangisi nasib juga bukan penyelesai masalah.” Sela Fir.
Lama aku memandangnya. Kalaulah
kata-kata manis itu keluar dari mulut Ikmal, alangkah baiknya. Alangkah
bahagianya. Kenapalah Ikmal tidak lagi sepeka lelaki di hadapanku ini sekarang?
Mengapalah Ikmal sudah tidak pandai menjaga hatiku seperti lelaki ini lagi?
Kata-kata dan keprihatinan Fir membuatkan aku tersentuh. Air mataku terasa mahu
menitis lagi. Aku cuba menahannya, tapi tak mampu. Aku masih gagal melawan
kesedihanku. Akhirnya, air mataku gugur juga.
“Menangislah Zaira, kalau itu
boleh melegakan.” Begitu pula reaksi Fir.
Namun nadanya kedengaran
sedikit jengkel. Mungkin baginya, tindakanku itu adalah lebih baik bila segala
yang dikata bagaikan tiada erti padaku. Tiada siapa yang dapat membantuku
keluar dari zon berdukacita andai
kata-kata perangsang dari mereka tidak mahu diterima olehku. Aku terus menangis.
Dia di sebelah langsung tidak memujuk. Malah terus selamba dia mengeluarkan buku dari dalam beg
dan membacanya. Kusyuk. Kemudian telinganya pula disumbat dengan earphone dari I-Phonenya. Tiada langsung dia menunjukkan simpatinya. Ambil peduli
juga nampaknya tidak. Reaksinya membuatkan tangisanku tidak berlangsung lama.
Elok saja aku mengelap mataku dengan tisu, dia berpaling.
“Dah?” Soalnya sambil
memandangku lama.
Agak lawak dan selamba bunyi
soalannya. Kiranya, segala tingkahku masih berada di dalam pengamatannya
walaupun dia langsung tidak memujuk dan cuba untuk buat tidak peduli. Aku
tersengih malu sambil menjelingnya. Dia sekadar tersenyum senang menyambut
jelinganku.
“Alergi tengok perempuan yang asyik
menangis ya?” Soalku sambil mengelap hidung yang ikut berair dek menangis tadi.
“Eh, taklah.” Fir mengelang
sambil menafikan.
“Siapalah perempuan tanpa air
mata kan? Lelaki pun menangis juga. Cumanya dalam setiap perkara tu, kita perlu berpada-pada. Nak bersedih dan
menangis itu boleh. Tapi biarlah bersederhana. Tak perlu berlebihan.” Rumusnya
lagi.
“Pada Fir, Zaira nampak
berlebih-lebihan ke?” Soalku menuntut kejujurannya untuk berterus terang.
Dia tersenyum menyambut
soalanku. Menggeleng tidak. Mengangguk juga tidak. Lama dia memandangku.
“Abang rasa, mata Zaira yang
sembab tu ada jawapannya.”
Dia memilih untuk menjawabnya
begitu. Aku menunduk mendengar kata-katanya.
“Zaira tahu tak apa maksud
sifat mazmumah?” Soal Fir lembut.
Aku mengangkat muka dan menggeleng.
Aku pernah mendengarnya. Tetapi aku tidak pernah tahu apa maknanya.
“Mazmumah itu adalah sifat yang
buruk. Zaira tahu tak, bersedih yang berlebih-lebihan itu pun adalah sifat
mazmumah. Jadinya kita tak boleh terus melayaninya. Bukanlah tak boleh nak
bersedih langsung. Tapi kesedihan itu tidak boleh terus dilayan. Kalau Zaira asyik
bersedih, syaitan lagi suka nak dekat. Syaitan akan terus kacau perasaan Zaira.
Sudahnya, Zaira takkan dapat apa selain daripada kerugian.” Jelas Fir.
“Selain dari bersedih, ada bermacam-macam cara
untuk kita menangani masalah kita. Zaira
boleh tenangkan hati dengan membaca Al-quran. Berzikir dan beristigfar banyak-banyak
juga sangat membantu melegakan hati yang tidak tenang. Zaira boleh buat solat sunat,
selain tidak meninggalkan solat yang wajib. Zaira juga perlu banyak-banyak
berdoa. Doa itu senjata yang paling kuat. Jadi, jangan mempersia-siakannya bila
kita ada senjata yang satu itu. Yakinlah, ALLAH itu Maha Mendengar. Dengan
izin-NYA kedukaan akan berlalu. Kebahagiaan akan menjelma, Insya-ALLAH.”
Panjang lebar Fir meneruskan
kata. Aku mula terkesan dengan kata-katanya. Selama ini, semua orang menyuruh
aku bersabar menghadapi kemelut rumah tanggaku. Ramai yang ikut berduka dengan kesedihanku.
Namun tiada siapa yang menyarankan aku agar jangan bersedih lagi. Tapi hari
ini, kata-kata Fir telah membuka mataku untuk melupakan kesedihanku. Itu yang
paling baik sebenarnya untuk aku menjadi lebih kuat lagi.