Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
116,292
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Bab 14

“Shanaz, Maira atau Elisa?” Soalku pada Azrai.

Terpandangkan wajah manis gadis-gadis yang bertiga itu mengingatkan aku tentang cerita Azrai dulu yang katanya sudah menemui penganti Azwa, teman wanita pertama sejak zaman persekolahannya. Cukup lebar sengihan Azrai bila mendengar soalan itu. Mudah benar anak buahku ini memahami maksud soalanku. Wajahnya malu-malu. Nampak sedikit keengganan untuk membuka cerita.

“Acu teka ya?” Ujarku beria bila soalanku tidak mendapat jawapan dari Azrai.

Azrai tetap menyengih. Reaksinya membuka peluang untuk aku meneka siapakah di antara ketiga-tiga mereka itu yang bertakhta di hatinya kini.

“Maira kan?” Tekaku.

Maira menjadi pilihanku kerana dia nampak sangat peramah dan kelihatan periang orangnya. Sesuai dengan Azrai yang banyak mulut dan sentiasa happy go lucky itu. Laju Azrai menggeleng sambil tersengih-sengih lagi.

“Ish, bukan dialah Acu. Maira tu dah ada buah hati kat kolej. Tapi hari ini buah hati Maira ada hal lain dan tak dapat nak ikut sama. Boyfriend dia Aussie. Orang melayu macam Azrai ni tak memenuhi citarasa Maira.” Terang Azrai sambil tergelak-gelak.

Aku tahu, bab citarasa itu memang Azrai sengaja menambah-nambah untuk menyedapkan cerita.

“Oh iya ke,” kataku membalas penerangan Azrai.

Mataku tertumpah pada Maira yang sentiasa nampak ceria. Aku mengangkat kening sendiri bila mat saleh Australia yang menjadi pilihan hati Maira. Bila Maira bukan orangnya, tanpa lengah aku meneruskan tekaanku yang kedua.

“Elisa ya?”

Kali ini Azrai menggeleng juga.

“Eh, bukan. Elisa tu Azim yang punya. Boleh perang saudara kalau Azrai berani-berani nak kacau si Elisa tu.” Jelas Azrai.

Kali ini aku yang tergelak-gelak perlahan mendengar kata-katanya. Penjelasan Azrai membuatkan aku kembali menoleh ke arah mereka yang lain. Baru aku terperasan yang memang Azimuddin dan Elisa lebih banyak berkepit berdua. Saat ini juga mereka sedang duduk bersebelahan di antara satu sama lain. Memang nampak mesra keduanya.

Sudah tiada tekaan lain, makanya nama Shanaz pula aku sebut. Kali ini Azrai tidak menggeleng. Mengangguk juga tidak. Menyengih apatah lagi. Air mukanya nampak semacam.

“She’s the one. But not anymore..”Akuinya.

Pengakuan Azrai menjelaskan aku pada perubahan air mukanya itu. Tak bertangguh aku bertanyakan alasannya. Dah namanya mak cik-mak cik kan. Mestilah sibuk nak tahu. Lebih-lebih lagi perihal anak saudara sendiri. Anak saudara kesayangan pulak tu.

“Kenapa tak menjadi? Dia nampak sepadan dengan Azrai.” Tanyaku.

Memang dari segi rupa, Shanaz yang paling menawan di antara ketiga-tiganya. Di mataku, Shanaz nampak cukup sesuai dan sepadan dengan Azrai yang menarik penampilannya. Azrai tersenyum tawar. Aku mengikut sorotan anak mata Azrai yang mencari kelibat Shanaz. Shanaz yang perasan akan tingkah kami yang memandangnya membalas senyuman kami berdua sambil menaikkan dua jari tangan kanannya. Jari telunjuk dan jari tengahnya dinaikkan sebagai tanda ‘peace’. Sungguh comel aksinya. Serentak aku dan Azrai membalas isyarat yang serupa.

“Nampak macam okey lagi aje Azrai dengan dia. Masih boleh berkawan dan keluar sama-sama macam sekarang ni. Tak nampak langsung macam dah putus sudah kasih sayang.” Kataku.

Untuk ayat terakhir itu sedikit berlagu nadaku. Aku memberikan komenku berdasarkan reaksi keduanya sebentar tadi. Juga seawal pertemuan kami di Stesen Keretapi tadi. Azrai menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan cepu emasku.

“Keluarga kita kan semuanya baik-baik hati belaka. Kalau orang yang kita sayang berubah hati pada orang lain memang kita masih nampak tak kisah dan boleh biarkan saja walaupun sebenarnya terseksa jiwa raga.” Balas Azrai tenang.

Namun dalam tenang itu sempat juga dia menuturkan sesuatu yang ada kaitannya denganku. Pastilah niat sebenar kata-katanya adalah mahu menyela sikapku yang sebegitu juga. Yang nampak seperti cukup tenang untuk membiarkan Ikmal menambah kuotanya. Sedangkan pada hakikatnya aku cukup terluka. Jiwa merana, hidup tertekan. Begitulah parahnya aku untuk menghadapi keadaan itu.

“Amboi! orang cerita pasal dia. Dia nak kaitkan dengan cerita kita pulak ya. Suka-suka aje nak babitkan Acu dalam cerita dia.” Omelku dalam nada pura-pura garang.

Membulat mataku memandangnya. Garang itu sebenarnya mahu menutup sendu yang mula bergetaran di hati. Geram dengan kenakalannya aku menampar perlahan bahunya beberapa kali sambil tergelak perlahan kerana dalam buat-buat sedih itu sempat pula dia mengenakan aku. Dalam pada ikut tergelak sama, sedikit pun Azrai tidak mengelak tamparanku yang bertubi-tubi itu. Lama dia memandangku bersama senyuman yang tidak lekang.

“Boleh pun Acu gelak-gelak lagi macam ni. Azrai ingat Acu dah lupa macam mana nak gelak.” Balas Azrai ceria.

Dia nampak senang bila aku berubah ceria begitu. Aku tersenyum mendengar kata-katanya.

“Terima kasih sebab berjaya ceriakan hati Acu. Tak sia-sia Acu datang sejauh ini untuk berjumpa dengan anak buah kesayangan Acu ni.” Ucapku.

Azrai tersenyum lebar membalas ucapanku.

You are most welcome, Acu." Bersungguh Azrai membalas kata-kataku. Dalam pada itu Azrai mengosok-gosok lengannya. Nampak bersungguh pula perlakuannya.

“Sakit ke Azrai? Rasanya bukan kuat sangat pun Acu pukul tadi.” Penuh prihatin aku bertanya. Mimik mukaku sudah pastilah menunjukkan riak kerisauan. Takut juga andai kelakuanku tadi sebenarnya berlebihan dan menyakitkannya.

Azrai mengangguk lemah sambil memandang ke bawah. Kerisauanku bertukar menjadi rasa bersalah. Kalut pula aku meminta maaf darinya. Setelah seketika barulah Azrai bersuara.

“Takdelah. Azrai saja buat-buat macam sakit sangat. Kan dah lama tak bermanja dengan Acu. Bestnya rasa bila ada orang sayang.” Jawab Azrai sambil ketawa besar sebelum cepat-cepat melarikan diri ke arah Fir dan teman-temannya.

Nakal betul dia mengenakanku. Tidak mahu terus mengasingkan diri, aku juga ikut mengejar di belakang. Seperti Azrai, riak ceria juga terlukis di wajah Fir yang nampak senang hati melihat keceriaanku. Setiap kali aku mengangkat muka, pastinya pandangan kami bertemu. Apa yang lebih pasti, senyuman manisnya sentiasa ada untukku.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.