Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,686
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Bab 10

“Sejak bila semua ni berlaku?” Soalku untuk kali yang kedua dengan suara yang bergetar.

Ikmal masih terus diam. Pandangan matanya yang sejak tadi sentiasa berada di wajahku sudah beralih ke tempat lain. Bagaikan keserian wajahku sudah tidak menarik perhatiannya lagi. Suasana terus sunyi.

“Sejak bila?” Tempikku bila kebisuannya bagaikan mengoyakkan hatiku.

Dari wajah yang dipamerkan, Ikmal memang nampak terkejut dan tidak senang dengan kekerasan suaraku. Ikmal memang cukup pantang bila ada yang meninggikan suara bila bercakap dengannya. Egonya tinggi. Namun dalam saat-saat emosi begini, aku pasti, dia tidak akan berkata apa. Apa lagi mahu menjerkahku semula. Ikmal kekal tidak bersuara. Mengenangkan dia masih lagi lelaki yang bergelar suami kepadaku, memikirkan yang dia masih lagi lelaki yang perlu terus aku hormati membuatkan rasa kesal tidak bertangguh bertapak di hati kerana meninggikan suaraku sebentar tadi. Aku rasa berdosa.

“Sejak bila Ikmal?” Soalku lagi dengan nada yang aku rendahkan dan sudah mendayu bunyinya.

Manakan tidak, sedih yang aku tahan sudah tidak terbendung. Lebih sedih bila mengenangkan bagaimana aku masih menghormatinya sedangkan tidak sedikit pun dia menghormatiku. Tergamak pula dia mengkhianati penghormatanku kepadanya selama ini. Air mata yang bertakung sudah penuh takungannya dan meleleh laju ke pipi tanpa dapat di tahan-tahan lagi.

“Sejak bila Ikmal…?”

Soalanku sudah kedengarannya seperti sebuah rayuan, bila ianya terus-terusan diulang. Suaraku terus mendayu mengulang soalan yang masih tidak menemui jawapannya. Jawapan yang begitu ingin aku ketahui saat itu.

“Sejak dia mula mengajar anak-anak kita.”

Mungkin kerana melihat kesedihanku dan mendengar soalanku yang terus berulang membuatkan akhirnya, lambat-lambat Ikmal bersuara perlahan membuka cerita. Pengakuannya begitu mudah untuk aku rumuskan kesimpulannya. Sudah hampir setahun rupanya perhubungan mereka. Aku yang terleka sehingga tidak sedar perubahan yang berlaku di depan mata. Isteri apakah aku ini? Atau suami apakah Ikmal itu? Sangkaku bila suami sentiasa di depan mata ianya selamat dan terkawal. Tapi rupa-rupanya tidak. Perkara nak berlaku. Di mana-mana pun boleh berlaku. Kalaulah pertemuan mereka yang sekali itu tidak terhidu oleh pengetahuanku, mungkin sampai saat ini aku masih tidak tahu yang ada insan lain yang sudah mengisi hati sang suami selainku.

“Kenapa Ikmal sanggup buat Zaira macam ni?” Soalku.

Sepi. Tiada jawapan yang keluar dari mulut Ikmal.

“Siapa yang mulakan? Ikmal atau dia?” Soalku lagi setelah soalanku terus dipinggirkan.

Kali ini, tidak bertangguh Ikmal membuka mulut memberikan jawapannya.

“Tak perlulah awak tahu perkara yang akan buatkan awak lebih sakit hati.” Balas Ikmal yang pastinya membawa maksud bahawa apa saja jawapannya nanti semestinya akan terus merobek hatiku.

Pastinya juga akan terus mencalarkan hatiku yang sudah berbirat lukanya.

PANGGILAN telefon dari Azrai mematikan lamunanku. Mendengarkan suaranya membuatkan aku jadi sebak.

“Acu, Azrai ada kat depan pintu bilik Acu ni. Cepatlah buka pintu. Dah tak sabar nak jumpa Acu.” Ceria nadanya petanda dia begitu tidak sabar mahu berjumpa denganku.

“Acu?” Panggil Azrai bila aku terus tidak bersuara.

“Kita jumpa kat bawahlah. Nanti Acu turun ya.” Balasku dengan nada penuh kesebakan juga suara yang sengau dan parau bunyinya.

Walaupun dia adalah anak saudara merangkap kawan baikku, namun tetap juga ada batasan di antara kami berdua. Batasan yang perlu aku dan Azrai sama-sama jaga. Lebih-lebih lagi bila aku ini perempuan dan dia pula lelaki. Juga bila kami berada berdua di tempat yang tidak terbuka.

“Azrai tahu Acu seorang aje kat dalam tu. Sebab itulah Azrai datang berdua. Cepatlah buka pintu. Risaulah Azrai dengar suara Acu macam ni.” Kerisauannya membuatkan aku jadi tambah terharu.

Tanpa mempedulikan bagaimana penampilanku dan siapa juga yang ada di luar bersamanya, aku membuka pintu. Bersama cebikan yang pastinya memburukkan wajahku tiada apa yang mampu membuatkan aku melindunginya dek meluahkan sendu yang sarat. Saat mata bertentangan, air mataku kembali berjurai. Aku menekup mulutku mengelak dari esakanku didengari oleh mereka. Azrai memandangku penuh simpati. Bahuku ditepuk perlahan.

“Kenapa Acu kena lalui semua ni?” Aduku.

Lemah dan tak bermaya nada yang keluar. Azrai mengetap bibirnya sebelum lambat-lambat

menggeleng lemah. Tentu saja tiada jawapan yang mampu difikirkan olehnya untuk soalanku itu.

“Sabarlah Acu. Tentunya ada hikmah di sebalik semua ini. ALLAH maha mengetahui. DIA tahu Acu kuat. Sebab itu DIA berikan ujian ini untuk Acu.”

Hujah Azrai memang tidak boleh aku pertikaikan. Rata-ratanya, semua orang yang tahu tentang masalahku berkata begitu. Makanya, kata-kata yang sudah aku sendiri maklumi itu menjadi kata-kata yang terlalu kerap aku dengar sejak dua menjak ini. Sejak masalah dan kemelut ini datang menyinggah dalam kehidupan rumah tanggaku. Azrai terus memujukku dengan kata-kata rangsangan yang positif agar aku lebih kuat menghadapi semua ini. Aku terus meluahkan kedukaanku tanpa mengambil kisah akan sepasang mata dan telinga lagi yang turut sama berada di situ mendengar cerita kami. Tanpa rasa segan dan mengambil hirau dengan kehadirannya, terus bersahaja aku meluahkan perasaanku yang sejak akhir-akhir ini aku pendamkan sendiri. Azrai sebagai pendengar terus mendengar dan sesekali cuba memujuk hatiku yang penuh dengan rajuk dan sendu.

Uncle duduk di luar ya Azrai,” beritahu Fir kepada Azrai.

Bagaikan memahami dan bagi memberikan ruang untuk aku dan Azrai berbicara dengan lebih selesa, Fir membawa diri ke balkoni. Tanpa meminta izin dariku dengan selamba dia membuka pintu balkoni bilikku dan berada di situ selama waktu aku meluahkan sengsara hatiku pada Azrai. Sehingga Azrai memanggilnya masuk sesudah aku menyelesaikan sesi luahan hatiku barulah Fir memunculkan diri di dalam bilikku semula. Dengan pandangan penuh simpati dia melemparkan senyuman tawarnya kepadaku. Tentunya sebagai memberi semangat agar aku terus kuat. Namun senyuman tawar itu tidak mampu aku balas dek hati yang nestapa.

“Biar uncle buatkan air untuk kita minum.” Ujar Fir kepada Azrai.

Seperti tadi tanpa meminta keizinan dariku, dia menjerang air di cerek elektrik. Sesudah air masak, dia membancuh 3 cawan minuman panas dengan menggunakan paket minuman yang disediakan oleh pihak hotel. Setelah minuman yang berasap itu diagih, kami bertiga minum di sofa tanpa sesiapa pun berminat untuk bersuara.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.