Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,645
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Bab 2

“Apalah kau ni Zaira. Orang masak sambal tumis ikan bilis, sotong atau udang. Kalau tak pun sambal tumis ayam. Mana ada orang masak sambal tumis sayur,” tukas Idura dengan suara yang meninggi.

Tanganku yang sedang mengacau daun-daun dan pasir di mangkuk mainan serta merta terhenti.

“Iya ke?” Soalku dungu dan lurus.

“Iyalah.” Balas Idura.

Lantang dan penuh yakin bunyinya.

“Aku tak pernah pun tengok emak dengan kakak aku masak lauk tu. Memang salahlah kalau kau masak macam tu.”

Penuh berlagak Idura menerangkan. Siap dengan muka-muka sekali. Pastinya untuk menyakinkan aku yang dia berada di pihak yang betul. Mangkuk yang berisi daun rumput dan pasir di tanganku itu terus saja diambil dan dicurahkan ke tanah. Terpinga-pinga aku melihat reaksinya.

“Kau tak pernah tolong mak kau masak eh?” Soalnya lagi bagaikan polis penyiasat.

Lambat-lambat aku memandang kawan-kawan yang lain sebelum menggeleng perlahan.

“Itulah, kau tu anak manja. Mana reti masak. Aku selalu dengar mak aku cakap pada kakak aku. Mak aku kata, perempuan kalau tak pandai masak nanti tak ada lelaki yang mahukan dia. Takde orang nanti yang nak kahwin dengan dia. Nanti kau pun mesti takde siapa nak kahwin dengan kau.” Tak cukup dengan kutukannya, sempat juga Idura menakut-nakutkanku.

Tanpa bertangguh meleleh-leleh air mataku mengalir tatkala mendengar kata-katanya. Cabul betul mulutnya. Aku betul-betul takut mendengarnya. Sebahagian hati berteka-teki ‘entah kan iya entahkan tidak’. Sebahagiannya pula ikut menakut-nakutkan diri sendiri ‘entah-entah memang betul’.

“Kita pun pandai masak.” Serentak dengan itu Alya dan Munirah membuat pengakuan.

Dengan penuh bangga mereka mendekatkan diri mereka dengan Idura. Tentulah sebagai petanda yang mereka sudah memasuki kumpulan Idura yang kononnya tahu memasak. Sudah tentulah juga sebagai menunjukkan padaku yang tentunya akan ada orang yang bakal mengahwini mereka nanti. Sebenarnya aku amat meragui pengakuan mereka bertiga. Namun aku tiada upaya pula untuk menafikannya. Ini kerana aku sendiri tidak pasti tentang kebenaran perkara itu. Memang aku anak manja. Aku memang tidak pernah menolong mama di dapur. Tapi itu bukanlah bererti aku akan menjadi perempuan yang tidak pandai memasak bila dewasa nanti. Rasanya umur sebayaku ini masih belum boleh membantu kerja mama memasak di dapur. Abah pula tentu saja tidak akan mengizinkan anak kesayangannya ini masuk ke dapur kerana bimbang aku akan mengalami apa-apa kecederaan ataupun kemalangan yang tidak sepatutnya.

Geram betul aku mendengar kata-kata Idura yang lantang benar mulutnya berkata begitu padaku. Macam mak nenek mulutnya. Tentu saja mulutnya begitu kerana dia suka benar menebeng, menelinga orang-orang tua bersembang. Maka mulutnya juga sudah terikut-ikut cara dan gaya percakapan seperti orang tua. Padahal umurnya baru 7 tahun. Sebaya denganku. Dia juga dengan selamba menggunakan kata ganti diri ‘aku’ dan ‘kau’. Sedangkan kami yang lain masih lagi selesa menggunakan kata ganti diri ‘kita’ dan ‘awak’.

“Kita nak balik.” Ujarku yang sudah merajuk.

Permainan masak-masak yang menyeronokkan tadi segera aku tinggalkan. Tanpa menghiraukan Munirah dan Alya yang memujuk supaya aku terus bermain, aku terus melangkah laju meninggalkan mereka bertiga. Berderai-derai air mataku. Sedih benar rasanya. Walaupun aku masih kanak-kanak tapi aku sudah menyimpan impian untuk berkahwin suatu hari nanti. Aku mahu menjadi seorang pengantin yang cantik nanti. Namun kata-kata Idura tadi membuatkan aku jadi bimbang dan khuatir.

Kalau aku tidak pandai masak, tentunya tiada lelaki yang mahukan aku. Kalau tiada lelaki yang mahukan aku, bagaimana aku boleh berkahwin nanti. Aku selalu lihat kalau orang kahwin tu mesti dia akan duduk di pelamin dengan orang lelaki di sebelahnya. Pakai baju cantik-cantik dengan warna yang sama. Mukanya dimekap cantik. Ada orang tolong kipas dan lapkan peluh dan tangan yang kotor selepas orang letak entah macam-macam benda di tangannya. Aku mahu melalui semua itu bila aku dewasa nanti. Tapi mengenangkan impian yang mungkin tidak kesampaian itu membuatkan aku terus tersedu-sedu sesampainya aku di rumah.

ABANG yang selalu prihatin terus saja menerpa padaku di muka pintu dengan wajah penuh tanda tanya. Ada kesan minyak di tepi mulutnya. Tentulah abang baru sudah makan, sama seperti selalu. Abang dan makanan bagai tidak boleh dipisahkan. Kerjanya hanyalah makan, makan dan makan. Selepas itu akan kotor habis muka dan bajunya. Comot dan selekeh betul.

“Kenapa Zaira menangis?” Soal abang. Kedengaran cukup prihatin soalannya.

“Dura kata, nanti Zaira tak boleh kahwin.” Jelasku tanpa berselindung penyebab sebenar.

“Tak boleh kahwin? Kenapa? Zaira kan cantik. Mesti ada ramai orang yang nak kahwin dengan Zaira nanti.” Balas abang.

Abang memang begitu. Dia selalu mengatakan aku ini budak cantik. Mungkin kerana aku selalu bersih dan tidak comot dan selekeh sepertinya. Mungkin kerana itu juga abang suka untuk berkawan denganku. Tanganku ditarik untuk mengikutnya duduk di sofa. Matanya yang agak kecil kerana ditarik oleh pipinya yang bulat dan tembam itu terus terpaku di wajahku.

“Zaira tak pandai masak. Dura kata, perempuan yang tak pandai masak nanti tak ada orang nak kahwin dengan dia.” Aduku.

Abang nampak tergaman mendengar keluhanku. Ternganga sedikit mulutnya. Tentunya dia tidak pasti tentang persoalan itu. Maklumlah abang hanya tua 3 tahun dariku. Tentunya dia masih tidak arif lagi tentang permasalahan itu. Masih tidak pasti akan betul salahnya tentang kenyataan itu.

“Zaira memang tak pandai masak ke?” Soalnya menagih kepastian.

“Tak,” balasku panjang sambil menggeleng.

Abang terdiam seketika setelah mendengar jawapanku.

“Takpelah kalau tak pandai masak pun,” balasnya pula.

Pastilah kata-katanya sekadar mahu memujukku.

“Mana boleh macam tu. Kalau Zaira tak pandai masak, nanti takde orang nak kahwin dengan

Zaira,” bentakku.

Agak kasar nadaku kerana meluahkan rasa tidak puas hati.

“Takpelah, kalau takde orang nak kahwin dengan Zaira nanti, biar abang saja yang kahwin dengan Zaira,” ujarnya menawarkan diri.

Penuh tenang dan yakin sekali dia berkata-kata.

“Abang nak kahwin dengan Zaira ke?” Soalku kembali.

Abang mengangguk laju sebelum memberikan jawapannya.

“Mestilah nak. Abang suka pada Zaira. Tentulah abang nak kahwin dengan Zaira.” Balasnya terus yakin.

Aku yang mula reda dengan tangisanku mula menangis kembali mendengar kata-katanya. Pujukan abang bukannya meredakan rasa tidak senang dalam hatiku dengan kata-kata Idura tadi. Malah ianya membuatkan aku menjadi tambah risau dan sakit hati. Terpinga-pinga abang memandangku.

“Zaira tak mahu kahwin dengan abang?” Bentakku dengan muka yang sudah masam mencuka.

“Kenapa?” Soalnya lurus.

“Zaira tak mahu kahwin dengan orang yang kuat makan macam abang. Makan banyak, lepas tu jalan pun lambat. Abang tak kuat lari macam orang lain. Lagipun orang kahwin semua cantik-cantik. Mana ada comot-comot macam abang. Tengok macam along dengan Kak Mar tu. Kalau Zaira kahwin dengan abang tentu nanti jadi tak cantik. Nanti semua orang akan gelakkan Zaira.”

Celupar benar mulutku ini. Mungkin kerana sudah terikut-ikut dengan perangai Idura yang suka cakap lepas. Iyalah, bila hari-hari bermain dan bergaul bersama, sedikit sebanyak pastinya aku cenderung untuk terikut mana yang buruk dan mana yang baik darinya. Memang benarlah yang kawan itu besar pengaruhnya. Saat itu aku memang mahu abang tahu mengapa aku tidak mahu berkahwin dengannya nanti. Abang terus terdiam setelah mendengar jawapan dariku. Wajah comelnya semerta bertukar mendung.

“Zaira, abang minta maaf.” Pohonnya dengan suara yang sayu.

Namun aku langsung tidak menghiraukannya. Perasaanku adalah lebih penting untuk aku jaga ketika itu. Sejak hari itu aku jadi tidak suka untuk berkawan dengan abang. Dia yang kononnya mahu berkahwin denganku nanti membuatkan aku jadi benci dan takut padanya. Dalam impianku, pengantin lelaki yang akan duduk di sebelahku nanti ialah seorang yang segak dan bersih orangnya seperti abah ataupun along. Kalau macam Abang Adib, suami Kak Mila yang agak berisi tapi selalu nampak kemas pun tak apa. Tapi aku tak mahu berkahwin dengan pengantin lelaki yang comot seperti abang. Yang selalu ada kesan makanan di mulut, pipi dan bajunya. Dia bukan calon pilihanku. Aku tak mahu berkahwin dengan abang.

SUDAH hampir dua bulan abang tinggal di rumah kami. Sepupu yang rapat dengan Kak Mar itu terpaksa tinggal bersama-sama kami kerana ayahnya sudah berangkat ke luar negara untuk menyambung pengajiannya. Ibu abang pula sedang berpantang setelah melahirkan adik keduanya di kampung. Maka, abang terpaksa tinggal bersama-sama Kak Mar kerana lebih mudah untuknya menghabiskan persekolahannya di sini sebelum mereka sekeluarga dapat sama-sama mengikuti ayahnya ke sana selepas tempoh berpantang ibunya selesai. Baki hari abang akan tinggal bersama-sama kami hanya tinggal seminggu dua saja lagi. Tapi aku masih mengeraskan hatiku untuk menegurnya. Walaupun dia tetap menegurku seperti biasa namun tidak pernah sekali pun aku membalasnya. Kerap pula aku membalasnya dengan jelingan tajam. Sehinggalah hari terakhir abang di rumah kami, aku terus bersikap dingin kepadanya.

Puas abah dan along memujukku untuk keluar dan bersalaman dengan abang dan keluarganya sebelum mereka bertolak pergi. Tapi aku tetap juga mengeraskan hatiku. Kesudahannya, mereka pergi tanpa menungguku. Sekeping lipatan kertas kelihatan terselit di celahan bawah pintu bilikku sejurus sebelum mereka berlalu. Pastinya surat yang ditinggalkan oleh abang untukku. Entah siapa yang menyelitkannya di situ. Entah abah, along atau Kak Mar ataupun abang sendiri yang menyelitkannya di situ.

Buat adik abang, Zaira,

Kalau Zaira tak mahu kahwin dengan abang pun takpe. Tapi Zaira janganlah tak nak kawan dengan abang. Abang suka kawan dengan Zaira. Nanti masa di luar negara tempat papa, tentu abang akan rindukan Zaira. Sebab Zaira kawan baik abang.

Sekian, terima kasih,

Abang.

Kertas yang mengandungi tulisan yang tidak cantik dan ada kesan minyak itu aku lipat semula sebelum dengan kadar segera menyumbatnya ke dalam laci tanpa apa-apa perasaan. Namun seminggu selepasnya aku mula merasa rindu pada penulis nota itu. Rindu padanya yang selalu mengambil berat dan selalu seronok melayan dan berkawan denganku. Mungkin itulah yang dikatakan, dekat dibenci, jauh dirindu…


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.