Bab
8
Penerbangan yang mengambil masa selama lima jam itu tiba juga ke destinasinya dengan
selamat. Barisannya agak panjang ketika beratur di imigresen. Ini kerana ada dua
atau tiga penerbangan yang mendarat pada waktu yang hampir sama. Mujur aku
tidak membawa apa-apa barangan yang tidak di benarkan seperti makanan tertentu ataupun
produk tenusu. Itupun setelah dimaklumkan awal-awal oleh Kak Mar dan along.
Maka tanpa perlu beratur lagi untuk pemeriksaan kastam aku terus saja keluar
dari dewan pemeriksaan tanpa perlu Pegawai Imigresen memeriksa bagasiku.
Ketika aku tertoleh-toleh mencari kelibat Azrai, telefon
bimbitku menerima pesanan ringkas darinya. Azrai memohon maaf kerana tidak
dapat datang menjemputku dengan alasan kuliahnya telah dipanjangkan masanya
hari itu sebagai mengantikan kelas yang terlepas beberapa hari sudah.
Menurutnya lagi Uncle Fir yang akan
datang mengambilku.
‘Uncle Fir mana
pulak ni? Siapa pulaklah yang Azrai minta tolong ambilkan aku di sini?’
Dalam pada tertanya-tanya dan
bermonolog sendiri, tanpa sedar troli yang aku tolak telah melanggar seseorang
yang sedang membelakangiku. Bila berjalan sambil berangan, begitulah jadinya.
Sampaikan orang pun aku boleh langgar. Tanpa menunggu orang itu berpaling, aku
sudah terlebih dahulu mengucapkan kata maaf. Ini kerana memang aku amat menyesali akan kecuaianku.
Aku juga bimbang sebenarnya andai kecuaianku boleh menaikkan api kemarahan
orang tersebut. Tambah-tambah lagi di tempat orang dan aku pula bersendirian. Siapa
pula yang akan mempertahankan aku nanti.
‘Ish.. kalutnya aku ni.’ Omelku
di dalam hati memarahi diri sendiri.
Dia yang bagaikan sedang mencari-cari
seseorang hanya menoleh sekilas padaku sambil mengangkat sedikit tangannya
tanda tidak mengapa. Aku lega walaupun agak tersentak juga kerana dalam ramai-ramai
orang berkulit putih di lapangan terbang ini, boleh pula aku terlanggar dengan
pemuda melayu. Dalam tersentak aku terus menolak troli sambil mata ini terus
mencari insan yang bernama Fir yang aku sendiri tidak kenali.
“Minta maaf, ini Zaira kan?” Tegur satu suara yang aku pasti milik
pemuda yang telah aku langgar tadi.
Aku dapat mengagaknya kerana
dia berbahasa melayu. Lembut nadanya menyapaku. Laju aku berpaling kepadanya
dan mengangguk dengan wajah penuh kejutan kerana dia mengenaliku. Dia tersenyum
membalas reaksiku. Senyumannya manis sekali. Orangnya nampak sedap mata
memandang walaupun pakaiannya tidak sekemas mana dan cukup santai. Hanya jeans
lusuh dan t-shirt yang diluarnya disarung kemeja kotak-kotak berlengan panjang
yang sudah dilipat hingga ke siku masih membuatkan dia nampak kacak. Entah
kenapa, aku tidak menyedarinya sejak tadi. Mungkin kerana tadi aku tidak
mengamati dirinya seperti mana aku mengamati dirinya kini. Mengamatinya dengan
kerutan di dahi sambil berteka teki sendiri.
'Siapa mamat ni eh?'
“Fir.” Lelaki itu menyebut namanya memperkenalkan
dirinya.
Tentunya dia mahu cuba memberi klu kepada teka teki yang cuba aku
selesaikan. Kedengaran sedikit teragak-agak dan janggal untuk dia mengenalkan
dirinya dengan nama itu kepadaku. Namun
nadanya mesra. Mungkin reaksiku yang mengamati dirinya membuatkan dia
terpanggil untuk mengenalkan dirinya. Namun dari namanya saja memang aku tidak
mengenali siapa dirinya. Bila dia tidak menghulurkan tangannya untuk
bersalaman, makanya aku juga ikut tidak berbuat begitu.
“Fir?” Soalku dengan wajah penuh
tanda tanya.
Sambil itu kepala ini ligat berpusing
untuk mengingati siapakah pemuda di hadapanku ini. Di manakah kami pernah
bertemu? Ini kerana namanya seperti pernah ku dengar.
“Ya, Fir. Azrai minta abang
tolong jemput Zaira di sini.” Tuturnya mesra dan ramah membalas soalan dan
kerutan di wajahku.
Nadanya kedengaran begitu
santai dan mesra bagaikan kami saling mengenali. Bersahaja pula dia
membahasakan dirinya ‘abang’ kepadaku
“Oh, Uncle Fir…” Meleret suaraku.
Semerta ingatanku terbawa
kepada sms kiriman Azrai tadi. Dalam keadaan fikiran yang tidak menentu kini,
mudah benar aku menjadi seorang yang pelupa. Serentak dengan itu kiriman MMS
yang mengandungi gambar lelaki itu pula dikirim oleh Azrai kepadaku. Katanya
takut-takut aku tersalah orang. Setelah meneliti gambar yang dikirim oleh Azrai,
barulah aku mengangkat muka memandangnya. Di dalam gambar nampak biasa, tapi di
luar ini dia nampak begitu segak. Lelaki itu sedang tersenyum manis memandangku.
“Uncle Fir tu untuk Azrai. Fir atau abang saja untuk Zaira tentu
lebih baik.” Balasnya memberi respon pada kata-kataku tadi sambil tersenyum
kecil.
Sekadar untuk mengambil hatinya
aku tersenyum juga menyambut kata-kata yang aku anggap sebagai gurauan.
Sedangkan sebetulnya aku merasa begitu kekok dan tidak selesa bila dia
membahasakan dirinya abang kepadaku. Lebih kekok untuk aku pula memanggilnya abang. Ikmal sendiri tidak pernah membahasakan dirinya abang padaku. Jadinya,
tentulah janggal jika ada orang lain yang membahasakan dirinya abang sahaja
tanpa diikuti namanya kepadaku. Tidak kisahlah walaupun hakikatnya dia lebih berusia
dariku. Mungkin bagi orang lain perkara
itu biasa saja. Tapi bagiku ia bagaikan sesuatu yang luar biasa. Ini kerana aku
tidak biasa. Untuk seketika tiada perbualan yang berlaku di antara kami. Untuk
beberapa minit kemudiannya, tanpa suara kami hanya saling pandang memandang. Cuba mencari
keserasian untuk memulakan perbualan. Canggung juga rasanya untuk berbual
dengan seseorang yang nampak seperti begitu mengenali, namun aku langsung tidak
mengenali dirinya. Dia pula nampak teragak-agak untuk bersuara bila reaksiku
nampak seperti serba tidak kena.
“Err…” Bagaikan berjanji
serentak kami bersuara menggunakan patah perkataan yang sama sebelum saling
memaniskan muka. Dengan isyarat mata dia memberikan laluan untukku bersuara
terlebih dahulu.
“Kita ada nak tunggu sesiapa
lagi ke?” Soalku.
“Mana yang lain?” Soalnya
kembali.
“Yang lain?” Soalku semula. Tidak
memahami siapa yang dimaksudkan dengan yang lain itu.
“Iyalah. Mana suami dan
anak-anak Zaira? Takkanlah Zaira datang bercuti ke sini seorang diri pulak.”
Balasnya bagaikan aku terlupa tentang keluargaku.
Kelat senyuman di wajahku
mendengar kata-katanya. Perasaan hampa dan sedih yang aku bawa sejak
meninggalkan tanah air sebentar tadi kembali bertamu di hati. Gaya soalannya bagaikan dia mengetahui
segalanya tentang diriku. Siapa sebenarnya pemuda ini?
“Sebenarnya memang Zaira datang ke sini
seorang. Mereka semua tak ikut.” Suara yang bergetar cuba aku sembunyikan sebaik mungkin
agar tidak kedengaran di telinganya juga di telingaku sendiri.
“Oh…” balasnya pendek sambil
terangguk-angguk.
Itu saja yang mampu dibalas
olehnya. Terkesan riak tidak percaya bercampur hairan di wajahnya. Melihat dari
gayanya bagaikan dia ingin bertanyakan sesuatu. Namun tentunya wajah keruhku membuatkan
dia tidak meneruskan niatnya. Bila tiada siapa lagi yang mahu ditunggu, maka
terus saja dia mengajakku menaiki teksi menuju
ke hotel yang telah ditempah oleh Azrai untukku. Sepanjang perjalanan aku leka
memerhati keadaan sekeliling tempat yang baru pertama kali aku sampai. Sesekali
aku memasang telinga pada perbualan Fir yang duduk bersama pemandu teksi di
tempat duduk hadapan. Untuk menyampuk jauh sekali. Dari perbualan yang
berlangsung di antara dia dan pemandu teksi, aku dapat tahu yang Fir juga baru
kelmarin sampai di sini. Tapi bukan dari Malaysia. Dengarnya dia dari Singapura.
Entah kenapa dia dari Singapura tidak pula aku ketahui. Untuk kepastian, biarlah
aku tanyakan saja kepada Azrai. Duduk berseorangan di tempat duduk belakang
memudahkan aku untuk bebas berbalas pesanan ringkas dengan Azrai tanpa lelaki
itu menyedarinya.
Uncle
Fir ni siapa?
Pesanan pertama yang aku hantar
kepada Azrai terus bertanyakan soalan yang ingin aku tahu jawapannya saat ini.
Sepupu
mama. Aikk.. Acu tak kenal ke??? Mama kata Acu pun kenal dia. Azrai confuse dah ni.
Balasan dari Azrai membuatkan
dahiku berkerut seketika.
Tak
kenal, tak tahu dan tak ingat.
Blank sungguh ni.
Begitulah balasanku kepada
Azrai. Keluarga Kak Mar memang besar ahlinya. Sepupunya saja mencecah ke
puluhan orang. Jadinya memang agak sukar untuk aku mengingati satu per satu sepupunya.
Maklumlah bukan sepupu sendiri. Yang aku tak kenal pun masih ramai juga
walaupun aku begitu rapat dengan keluarganya. Kalau Kak Mar kata aku pun
mengenali lelaki ini, mungkin sepupu Kak Mar yang seorang ni memang aku yang
terlupa tentangnya.
Sebelum
ni Azrai pernah jumpa Uncle Fir sekali. It was a long time ago. Dia baik dan
boleh dipercayai. Mama pun kata begitu. So, don’t you worry. You’ll be fine
with him.
Balas Azrai. Kata-kata Azrai
menambahkan keyakinanku yang aku akan selamat bersama lelaki tersebut. Azrai ni
bagaikan tahu-tahu saja apa yang aku sedang rasa. Berada disamping orang yang
kita tidak kenali pastinya bukan satu perkara yang boleh buatkan kita rasa
senang hati. Itulah yang aku sedang rasa saat ini. Namun keyakinan yang
diberikan oleh Azrai membuatkan aku berasa sedikit lega. Sebelum sempat aku
membalas pesanan ringkas yang panjang dari Azrai, pesanan ringkas seterusnya
sudah memasuki peti simpanan pesananku.
Have
to go. Dalam kelas lagi ni hu..hu.. see you then Acu.. Can’t wait to see you. . Bye.
Pesanan ringkas terakhir dari Azrai
menyedarkan aku tentang perkara itu Tak teringat langsung yang anak saudaraku
itu sedang berada di dalam kuliahnya. Pastinya pesanan-pesanan ringkas dariku
tadi menganggunya. Sungguh tidak peka mak ciknya ini. Kesian Azrai. Namun tidak
pula aku rasa bersalah. Mungkin rasa lega
bila jawapan yang ingin aku tahu sudah aku perolehi membuatkan rasa
bersalah itu tidak ketara aku rasakan. Nasib Azrailah punya ibu saudara bermasalah
sepertiku.