Bab
6
Kerja rumah tetap selalu banyak dan menimbun. Ikmal pula
tetap selalu tidak mahu menghulurkan bantuannya untuk menolongku. Rungutanku
hanya dipandang sepi. Bebelanku langsung tidak mendapat perhatian. Bagaikan
semuanya memang tugas khas untuk isteri sepertiku. Maka tanpa rasa bersalah dia
membiarkan aku melakukan ‘tugas hakikiku’ itu seorang diri.
“Saya dah suruh ambil maid,
awak yang tak nak. Lepas tu asyik bising bila penat.” Omel Ikmal.
Bila aku mengungkit pastinya aku juga yang dipersalahkan
kerana masih juga berkeras untuk tidak mengambil pembantu rumah. Sebenarnya
bukan aku tidak mahu. Tapi aku sudah serik dan jelik. Sudah nasibku agaknya
kerana tiada rezeki untuk mempunyai pembantu rumah yang baik lagi boleh diharap
sebelum ini seperti orang lain. Bukannya setakat dua kali malah sudah empat
kali aku mencuba. Tiada satu pun yang serasi denganku. Pembantu rumahku yang
pertama jenis yang tak faham arahan. Entah kenapa, setiap kali aku memberi
arahan pastinya perkara lain yang dibuatnya. Kalau seminggu dua, tentulah aku
masih boleh bertahan. Ini, hampir tujuh bulan aku menanggung derita tertekan jiwa
raga berdepan dengan situasi itu. Sudahnya aku minta agensi menukarkan kepada yang
baru. Mujur yang kedua tidak seperti yang pertama. Setiap apa yang aku ajarkan
mudah benar untuk dia fahami. Tapi tetap juga tidak kurang masalahnya. Begitu
juga dengan yang ketiga dan yang keempat. Mana yang kaki mencuri. Mana yang
kaki suka duduk goyang kaki. Tak kurang juga ada yang dengan berani membawa
masuk lelaki ke dalam rumahku ini ketika ketiadaan kami. Kalau sudah begitu
keadaannya, salahkah aku kalau aku sudah takut dan bosan untuk terus mencuba
lagi.
“Zaira tak nak terus makan hati melayan kerenah maid yang entah apa-apa tu. Takkan
itupun Ikmal tak faham-faham lagi.” Tegasku.
“Orang lain pakai
maid jugak. Takde masalah pun.” Balas Ikmal bagaikan aku yang bermasalah.
Ikmal pun macam orang lain juga. Orang luar hanya pandai
bercakap. Bila berkali-kali mendapat pembantu rumah yang tidak serasi, pastinya
majikan yang dikatakan punya masalah. Terlalu mengongkonglah. Terlalu bossy yang asyik mengarah itu dan ini. Katanya
terlalu ingin menjadi tuanlah. Perkara-perkara negatif seperti itulah yang
biasanya kita dengar. Tapi hakikatnya, bukan semuanya begitu. Aku melayan
mereka dengan begitu baik. Kerja rumah bukan semuanya aku tala pada mereka. Aku
juga ada mengambil peranan yang sama. Tapi sudahnya, buat perangai juga mereka.
Lari dari rumah juga mereka. Salah aku ke kalau semua perkara yang tidak aku
ingini itu terjadi juga?
Duit yang keluar untuk mengaji mereka juga untuk urusan
pengambilan mereka amat tidak sepadan dengan masalah yang mereka timbulkan.
Bila sehari dua bolehlah aku bertahan. Bolehlah aku cuba bersabar. Tapi bila
berlarutan, mana boleh tahan. Daripada aku terus tertekan, adalah lebih baik
andai aku melupakan hasrat hati untuk mengambil pembantu rumah lagi. Sudahnya
sehingga kini, biarlah aku buat kerja rumah sendiri. Penat sikit pun tidak
mengapa asalkan hati tak sakit. Perasaan tidak terdera. Tapi dalam
kesanggupanku itu, aku masih memerlukan bantuan dari Ikmal untuk sama-sama
membantu. Juga bantuan dari anak-anak untuk sama-sama memastikan tugas itu
tidak terlalu berat untukku.
“Sebenarnya kita tak perlukan pembantu rumah kalau Ikmal
ada rasa mahu membantu Zaira. Penatlah nak buat semua kerja rumah sendirian.”
Selaku.
“Kalau dah penat biar ajelah rumah bersepah sikit. Nanti
bila dah tak penat buatlah. Ini tak, suka juga nak membebel. Suka juga nak
mengungkit bila saya tak nak tolong. Tak larat dah saya nak dengar.” Bidas Ikmal
membalas rasa tidak puas hatiku.
Seperti biasa, Ikmal selalu tidak mahu ambil peduli. Rasanya
semua wanita yang bergelar isteri di luar sana
mengharapkan perkara yang sama. Tiada pembantu rumah tidak mengapa. Tapi
huluran bantuan dari suami itu amat diperlukan. Namun bila bantuan yang diharapkan
tak kunjung datang, aku rasa sesiapa pun akan selalu rasa tidak puas hati.
Sekarang
ini tugasanku
di rumah terasa sedikit ringan. Bukan kerana Ikmal sudah berubah sikap menjadi
suami yang mahu membantu dengan kerja-kerja rumah. Tapi gesaanku yang berulang untuk
Ikmal memberikan perhatian kepada pelajaran anak-anak telah disambut baik
olehnya. Namun, bukan dia sendiri yang meluangkan masanya untuk menunjuk ajar
anak-anak. Melalui perbincangan bersama, kami sepakat untuk mencari guru yang
boleh mengajar anak-anak kami di rumah pada waktu malam. Memanglah kalau
diikutkan masih terlalu awal untuk mereka mengikuti kelas tambahan. Zarif baru
berusia 7 tahun manakala Zaril pula 8
tahun. Tapi kerana perkara itu dapat membuatkan aku memberikan perhatian kepada
tugas-tugas lain di rumah, makanya aku bersetuju sahaja. Lagi pula anak-anak
kami jenis yang memerlukan perhatian yang lebih kerana agak lemah dalam
pelajaran mereka. Tidak mahu mereka terus ketinggalan, kami perlu memulakan
langkah awal agar mereka turut sama-sama ke depan seperti mana teman-teman
sebaya mereka. Kalaulah aku punya masa yang cukup untuk menunjuk ajar mereka
sendiri, alangkah baiknya. Tapi aku tak punya cukup waktu untuk melakukan itu
semua. Lebih-lebih lagi bila tidak mendapat bantuan sepenuhnya dari Ikmal.
“Ada kawan kat ofis saya kata, adiknya
memerlukan kerja. Pernah juga jadi guru sementara di sekolah sebelum ini.
Nantilah saya cuba
tanya kalau-kalau dia mahu mengajar Zarif dan Zaril di rumah.” Maklum Ikmal
beberapa hari selepas kami mencapai kata sepakat untuk mengambil guru tuisyen
untuk anak-anak di rumah.
Keprihatinan yang ditunjukkan
membuatkan aku rasa sedikit lega. Setidak-tidaknya aku tahu yang tidaklah aku
terpaksa menanggung semuanya sendiri. Aku juga dapat rasakan yang soal
anak-anak masih lagi sentiasa menjadi keutamaan buat Ikmal. Alhamdulillah,
urusan kami dipermudahkan. Seminggu selepas itu, Ikmal memaklumkan yang adik
rakannya itu bersedia membantu mengajar anak-anak kami di rumah. Aku tersenyum senang
mendangar berita yang dibawa oleh Ikmal. Beberapa hari selepas itu, anak-anak
telah mendapat bimbingan dari guru itu.
“Inilah guru yang akan mengajar
Zarif dan Zaril.” Ikmal memperkenalkan aku kepadanya.
Aku hanya mengenalinya sebagai Sufi.
Tinggal di sini bersama kakaknya yang merupakan teman kepada Ikmal di pejabat.
Umurnya setahun lebih muda dariku. Dari cerita Ikmal, masalah kesihatan
membuatkan dia sukar memperolehi kerja tetap. Tidak pasti pula apa masalahnya. Ikmal
tidak bercerita secara lengkap. Tentunya maklumat itu saja juga yang Ikmal
tahu. Aku pula segan untuk bertanya sendiri kepada Sufi yang baru aku kenali. Orangnya
nampak lembut dan kelihatan sedikit pemalu. Namun Sufi begitu pandai mengambil
hati anak-anakku. Hanya itu yang aku tahu mengenainya. Entah kerana aku yang
tidak berapa ramah atau Sufi yang terlalu pendiam membuatkan kami tidak banyak
berkomunikasi. Untuk berbual mesra bagaikan tidak menjadi untuk kami berdua.
Terasa seperti tidak serasi. Biasanya
aku menegurnya ketika dia sampai dan mengucapkan terima kasih ketika dia mahu
meninggalkan rumahku. Hanya itulah perbualan yang berlaku ketika
bersamanya.
“Mummy nak iron baju di atas. Zarif dengan Zaril belajar elok-elok dengan
Cikgu Sufi ya.” Pesanku pada anak-anak.
Tugas yang diambil untuk
mengajar anak-anak membuatkan aku lebih menumpukan seluruh tumpuan dan masaku
untuk menyiapkan kerja rumah dengan lebih selesa. Anak-anak juga cepat benar
mesranya dengan Sufi. Padaku, baguslah begitu. Hubungan yang mesra itu
membuatkan anak-anak berminat untuk belajar ketika di rumah bersama dengan Sufi.
Bila segalanya di depan mata, maka mudah juga untuk aku memantaunya sama. Lega
rasanya. Namun kelegaan aku dan Ikmal tidak lama rupanya. Tak terduga, dugaan
datang. Selang beberapa bulan Sufi memaklumkan yang dia tidak dapat terus
datang mengajar anak-anak kami di rumah. Tiada kenderaan untuk berulang alik
menjadi alasan. Terasa ralat juga untuk kehilangan Sufi di saat anak-anak sudah
serasi dengan Sufi. Pelajaran mereka juga sudah bertambah baik waktu itu.
“Mulai esok, biar saya ajelah
yang ambil dan hantar Sufi,” cadang Ikmal padaku malam itu.
Cepat benar Ikmal menetapkan
fikiran dan mengambil keputusan. Timbul juga tanda tanya di hatiku. Tapi tanda
tanya itu aku ubah menjadi soalan yang baik dan lebih berhemah.
“Tak susah ke macam tu? Kalau
sehari dua takpe lagi. Kalau lama-lama takut Ikmal pula yang tak sanggup nanti.
Mungkin dah takde rezeki anak-anak kita untuk terus dapat bimbingan dari Sufi.
Kita usaha cari guru yang lain ajelah.” Ujarku.
Sebolehnya aku mahu Ikmal
membuka mata untuk memikirkan soal itu dalam jangka masa panjang. Namun tanpa
perlu berfikir panjang Ikmal memberikan keyakinan tentang kesediaannya untuk
menghadapi perkara itu.
“Lagipun, anak-anak dah serasi
dengan Sufi. Biarlah Sufi terus membimbing budak-budak tu. Takpelah kalau saya
kena bersusah payah sikit.” Tambah Ikmal lagi dengan bersungguh.
Selama ini, soal anak-anak
memang sentiasa menjadi keutamaan Ikmal. Jadinya, tanpa sebarang prasangka aku
bersetuju saja dengan keputusannya. Demi untuk kebaikan anak-anak kenapa pula
aku perlu merasa curiga dengan kesungguhannya. Bila perkara itu tidak menjadi
masalah buat Ikmal sekarang, tentu saja ianya tidak akan menjadi masalah buatku
nanti. Aku pasti.