BAB
20
Puan Sri Salmah meletakkan sepiring karipap pusing yang
baru dibuatnya tadi di hadapan suaminya sebelum menuangkan air ke dalam cawan
yang terletak di atas meja kopi itu. Tan Sri Tengku Azmi yang sedar akan
kehadiran isterinya disisinya terus meletakkan akhbar yang sedang dibacanya.
" Terima kasih Sal sebab tuangkan abang air. Lama
tak minum teh 'o' kaw Sal ni," Tan Sri Tengku Azmi mengusik isterinya.
Wajah isterinya itu dipandang denga penuh kasih sambil tangan kanannya mencapai
cawan yang telah berisi teh yang dihulurkan oleh Puan Sri Salma.
" Minum bang. Jangan nak loyar buruk pulak. Ni ...
Sal buat karipap pusing sikit. Your favourite kan! " pelawa Puan Sri Salma
tersenyum manis.
" Ni yang abang sayang Sal ni. Memang dah lama abang
teringin nak makan kuih buatan isteri abang ni," sakat Tan Sri Tengku Azmi
lagi.
Puan Sri Salma tersenyum meleret. Bukannya dia tak tahu
sikap suaminya yang murah dengan senyuman serta tidak kedekut memuji.
" Ni ... mana si Raz ni bang? Selalunya
petang-petang macam ni dia dah sampai dah. Sibuk sangat ke? Sunyi saya kat
rumah ni. Dia tak ingat kat saya dah ke? Tak sayang saya lagi ke?" Puan
Sri Salma merungut sedikit.
" Dia sibuklah tu," balas Tan Sri Tengku Azmi
tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.
" Takkanlah sibuk sampai tak sempat nak jenguk saya
ni," rungut Puan Sri Salma.
" Nanti dia datanglah tu. Tak payahlah awak nak
merajuk ke ... kecil hati ke ... sebab rajuk awak tu, rasa kecil hati awak tu
takut akan mengundang kemurkaan Allah swt pada anak kita tu pulak nanti. Kalau
awak rindu sangat kat anak tunggal awak tu ... doalah padaNya agar digerakkan
hati anak kita tu agar datang melawat awak sesegera mungkin, " pujuk Tan
Sri Tengku Azmi lembut sambil memandang tepat ke wajah isterinya.
" Mmm ... saya bukannya merajuk atau kecil hati.
Cuma saya ni susah hati jea. Saya ni bukan apa bang. Anak saya sorang tu jealah. Memanglah saya ni gembira sebab anak
saya tu pandai dan bijak menguruskan
syarikat dan perniagaan. Saya bangga dengan kejayaan dia. Tapi .... saya ni
susah hati dengan perangai ' nakal ' dia tu. Abang faham kan maksud saya,"
Puan Sri Salma meluahkan rasa susah hatinya kepada suaminya.
" Alah! Orang muda memanglah macam tu. Tapi ... awak
tu janganlah risau sangat. Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Saya yakin anak
saya tu nakalnya setakat itu saja. Takdelah sampai merosakkan anak dara orang.
Kita ni sebagai orang tua ... kita cakap dan doa yang baik-baik jealah untuk
anak kita tu," nasihat Tan Seri Tengku Azmi cuba menyenangkan hati isteri
kesayangannya itu. Sedangkan, di dalam hati kecilnya hanya Tuhan saja yang tahu
betapa risaunya dia melihatkan pergaulan bebas anak tunggalnya itu sebenarnya.
" Mmm ... saya ni bukannya tak percayakan anak saya
tu. Cuma ... kan lagi senang kalau dia tamatkan jea zaman bujang dia tu. Kahwin
dengan Si Lisa tu. Dah lama dah diorang tu berkawan. Dah lama dah anak kita tu
dok usung si Lisa tu sana-sini. Saya risau."
" Awak ni ... sabarlah. Kita doalah semoga hati anak
kita tu terbuka untuk ke arah itu. Awak tahukan yang Lisa tu anak kepada kawan
baik saya. Saya pun sebenarnya segan juga dengan kawan baik saya tu,"
jawab Tan Sri Tengku Azmi sambil mengeluh sedikit.
" Ini ... sekarang ni saya nak tanya isteri saya ni
... macam mana dengan Zara si pembantu peribadi kesayangan awak tu?"
sambung Tan Sri Tengku Azmi lagi.
" Macam mana apanya pulak?" tanya Puan Sri
Salma semula tak faham dengan pertanyaan suaminya.
" Iyalah ... kontrak kerja dia dah nak tamat dah ni.
Awak tu okay ke kalau dia dah takde nanti. Kalau awak rasa awak masih perlukan
dia ... sambung jealah kontrak dia tu. Mesti dia suka. Bukannya senang nak
dapat kerja sekarang ni. Dan, awak pun bukannya senang nak dapat pekerja yang
sesuai dengan jiwa awak tu. Awak tu kan cerewetnya mengalahkan saya!"
Puan
Sri Salma hanya menjeling manja ke arah suaminya mendengarkan komen suaminya
itu. Tapi ... nak buat macam mana. Memang dia seorang yang cerewet pun!
" Saya tahulah saya ni cerewet. Saya dah tanya dia.
Tapi ... dia menolak dengan baik. Katanya dia dah janji dengan orang tua dia
yang dia akan temankan orang tuanya pula selepas ni," terang Puan Sri
Salma.
" Awak tak nak cari PA lain ke?"
" Taklah. Saya pun ... alhamdulillah. Dah sihat pun.
Dah tak payah nak pergi fisioterapi dah pun."
" Awak tahu tak kat syarikat kita sekarang ni tengah
bertiup kencang gossip tentang anak lelaki kita tu."
" Gossip apa bang? Alahai! Apalagilah yang budak
bertuah ni dah buat? Saya ni dah penat dah dengar gossip dia yang selama ini
keluar kat suratkhabar dan majalah-majalah tu. Nak pecah rasanya gegendang
telinga saya ni dengar orang mengata dan menyindir pasal anak saya tu. Cepatlah
cerita," desak Puan Sri Salma mulai tak sabar. Dia segera menghampiri
suaminya.
" Takdelah apa-apa sangat. Cumanya ... saya dengar
daripada setiausaha saya ...," belum sempat Tan Sri Tengku Azmi
menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba terdengar suara seseorang memberi salam.
Bibir Puan Sri Salma tersenyum lebar sebaik mendengar
suara orang yang memberi salam. Suara siapa lagi jikalau bukan suara anak
tunggalnya yang dia rindu sangat nak dengar dan hendak jumpa.
" Waalaikumsalam," jawab Puan Sri salma dan
suaminya serentak. Anak tunggalnya itu terus menyalami suaminya sebelum
menyalami dirinya dan mencium sayang kedua-dua pipinya.
" Mama macam mana
hari ini? Sihat?" tanya Tengku Razlan sambil duduk bertentangan
dengan mamanya. Wajah mamanya dipandang dengan penuh rasa sayang.
" Hai! Takkan tanya khabar mama jea. Papa ni kamu
tak nak tanya? Kalau papa ni takde ... takdenya juga kamu tu kat dunia ni
Razlan," perli Tan Sri Tengku Azmi sambil menjongketkan sedikit keningnya.
" Hahaha ... okaylah ... okaylah! Raz susun semula
ayat Raz tu. Ni ... mama dan papa macam mana? Sihat?" Tengku Razlan
membetulkan pertanyaannya sambil tergelak kecil.
" Hah! Macam itulah. Alhamdulillah ... papa dan mama
sihat. Ni ... Raz dari mana?”
" Mmm ... dari Melaka," jawab Tengku Razlan
ringkas.
" Hai! Cepat balik?" tanya Tan Sri Tengku Azmi pelik
sambil memandang ke arah anak kesayangan itu. Bukan apa. Selalunya anaknya ini
kalau ke Melaka mesti akan tidur semalam dua di sana kerana hendak makan ikan
bakar di Umbai.
" Nak buat apa lama-lama kat sana. Kerja pun dah
siap. So ... Raz baliklah. Lagipun, Raz rindu kat mama," jawab Tengku
Razlan sambil tersenyum ke arah mama kesayangannya.
" Iya ke rindu kat mama? Atau ... rindu kat Lisa
sebenarnya," Puan Sri Salma sengaja menduga hati anak bujangnya itu.
Baik Puan Sri Salma mahupun Tan Sri Tengku Azmi memandang
tepat ke wajah anak tunggal mereka itu. Sengaja hendak melihat reaksi anak
mereka. Tengku Razlan hanya tergelak kecil saja. Pada masa yang sama mata
redupnya menangkap kelibat orang yang dirindu di dalam hatinya muncul sambil
menatang dulang kecil dan terdapat segelas besar jus tembikai di atasnya.
" Eh! Macam mana Zara tahu anak saya datang ni? Ni
... bibik mana? Kenapa bukan dia jea yang hantar?" tanya Puan Sri Salma kepada
Zara sambil memerhatikan Zara meletakkan minuman anaknya itu di atas meja kopi.
Dia tak suka jikalau bibik mengambil kesempatan ke atas PA kesayangannya ini.
Tengku Razlan hanya memandang gadis itu dengan hujung
matanya saja sebab takut mamanya dapat menyingkap rahsia hatinya. Bukannya dia
tak tahu yang mama dan papanya itu seolah-olah dikurniakan Tuhan dengan deria ke enam!
" Mmm ... bibik ternampak anak Puan Sri masa dia
tengah angkat baju tadi ni. Saya yang offer diri nak bantu bibik. Lagipun, saya
memang nak jumpa Puan Sri sebab nak
tanya kalau-kalau Puan Sri perlukan apa-apa lagi sebelum saya balik,"
jawab Zara.
Sebenarnya
bukanlah dia rajin sangat nak buat jus tembikai tu pun. Cuma rasa bersalah yang
masih menghantuinya yang menyebabkan dia terlebih 'rajin' nak buatkan minuman
untuk anak tunggal majikannya itu.
" Oh! Macam tu. Awak ni memang seorang yang rajin
dan cekap membuat kerja awak. Rugilah isteri saya ni kalau awak dah takde
nanti. Betul awak nak balik kampung dan tak nak sambung kontrak kerja tu lagi?
Bukan senang nak dapat kerja sekarang ni," tanya Tan Sri Tengku Azmi sambil
menyisip perlahan minumannya. Begitu juga dengan Tengku Razlan yang terus saja
meneguk minumannya sebaik diletakkan di hadapannya.
" Betul Tan Sri. Terima kasih sebab tawarkan saya
untuk sambung kontrak kerja tu ... tapi saya dah janji dengan orang tua saya
yang saya akan balik ke kampung lepas ni. Lagipun ...," Zara teragak-agak
untuk meneruskan kata-katanya.
" Lagipun apa Zara? " tanya Puan Sri Salma
dengan rasa ingin tahu.
" Saya nak kahwin sebenarnya selepas ni. Dan, bakal
suami saya tu bukannya orang sini atau kerja dekat sini. Harap Puan Sri tak
kecil hati bila saya menolak tawaran Puan Sri tu," jawab Zara berhati-hati
sambil tersenyum sedikit ke arah majikannya.
Tengku Razlan yang sedang menyisip perlahan jus tembikainya
sambil memasang telinga itu terus tersedak sedikit sebaik mendengarkan
kata-kata Zara. Nampaknya gadis ini tidak bergurau. Memang pembantu mamanya itu benar-benar hendak
berkahwin rupa-rupanya selepas ini. Selama ini fikirnya gadis itu hanya berbohong saja. Iyalah ... untuk melepaskan diri daripada dia.
“ Hai! Raz. Mama tahulah Raz tu haus. Tapi ... takkanlah
sampai tersedak macam tu. Minum perlahan-lahan,” kata Puan Sri Salma kepada
putera tunggalnya itu sebelum memalingkan pandangannya ke arah Zara semula.
" Alhamdulillah! Cepat jodoh awak sampai. Tahniah
Zara. Takpelah. Saya faham. Cuma nanti janganlah lupa jemput kami sekeluarga ke
majlis bahagia Zara tu. Saya ni dah anggap Zara macam anak saya sendiri. Rasa ralatlah pula kalau tak dapat tengok Zara bersanding nanti," ujar Puan Sri Salma teruja. Begitu dengan Tan Sri
Tengku Azmi.
Hanya Tengku Razlan saja yang mendiamkan diri tanpa
sebarang kata. Jus tembikai yang diminumnya itu tiba-tiba saja terasa pahit
macam jus peria. Suhu badannya pula terasa meningkat secara mendadak. Terasa panas yang amat sangat. Dengan spontan,
pantas saja jari-jemarinya membuka
beberapa butang kemejanya yang teratas.
" Raz ... kenapa dengan dada Raz tu? Macam bekas
melecur jea," tanya Puan Sri Salma sambil mengerutkan dahinya sedikit. Warna
kemerah-merahan di dada anak tunggalnya yang putih bersih itu menarik
perhatiannya.
Zara dan Tengku Razlan saling bertukar pandangan. Tengku
Razlan dapat melihat wajah gadis itu berubah pucat. Tengku Razlan berdehem
sedikit sebelum menjawab pertanyaan mama kesayangannya. Namun, dari hujung
matanya dia dapat melihat gadis itu masih lagi memandang ke arahnya dengan
wajah yang sedikit pucat.
" Erghh ... mmm ... ni Raz tertumpah air kopi panas
masa sarapan semalam. Nak cepat sebab dah terlambat. Tapi ... mama tak payahlah
risau. Sikit jea ni. Dah okay dah pun," terang Tengku Razlan.
Wajah
pembantu peribadi mamanya dikerlingnya sedikit. Dia dapat melihat bibir mungil
gadis itu bergerak-gerak seolah-olah berkata ‘terima kasih’ padanya kerana tidak memberitahu
hal yang sebenar kepada mamanya.
“ Kamu ni Razlan ... macam budak-budak. Itulah .... mama
kata kahwin cepat. Ada yang jaga makan minum Raz tu. Kejutkan Raz bangun tidur.
Takdelah hidup tu terkejar-kejar. Tengok Zara ni. Dah nak kahwin dah pun tak
lama lagi. Kalau tak pasal Zara ni pun dah nak kahwin, ada juga mama kahwinkan
kamu dengan dia jea. Habis cerita. Dah mama suruh kamu dan Lisa segera kahwin
banyak benor alasannya,” ujar Puan Sri Salma. Tengku Razlan memandang tepat ke
arah Zara sehingga membuatkan Zara merasa resah.
" Errghh ... Puan Sri, Tan Sri ... saya minta diri dulu,"
kata Zara tiba-tiba. Baik dia segera beredar dari situ. Karang tak pasal-pasal
ada pula majikannya itu pinangkan dia untuk anak tunggalnya Si Encik Buaya
SeMalaya tu!
" Mmm ... iyalah. Zara ... ni dah pukul lima lebih
dah ni. Awak baliklah. Bibik boleh kemas semua ni nanti. Lagipun, ini semua
memang kerja dia," ujar Puan Sri Salma.
" Erggh ... baiklah Puan Sri. Mmm ... kalau macam tu,
saya minta diri dulu yea Puan Sri, Tan Sri ... mmm ... Tengku," kata Zara sebelum beredar ke dapur.
Sebaik Zara beredar dari situ, Tengku Razlan segera meletakkan gelas minumannya yang telah
kosong itu ke atas meja kopi yang berlapik sapra berwarna putih bersih itu
sebelum berdehem sedikit. Kedua-dua orang tuanya memandang tepat ke arahnya.
" Mama ... papa ... mmm Raz minta diri dululah. Raz
ada hal."
" Raz nak balik dah? Kenapa tak tidur sini saja? Kan
... Raz baru jea sampai," tanya Puan Sri Salma seolah-olah merajuk dengan
anak tunggalnya itu.
Berbeza
dengan Puan Sri Salma, Tan Sri Tengku Azmi yang sedari tadi hanya diam memerhatikan tindak-tanduk
anak tunggalnya itu hanya menganggukkan kepalanya sedikit. Namun, tanpa Tengku
Razlan sedari, Tan Seri Tengku Azmi sebenarnya sedar drama sebabak yang berlaku
antara anak tunggalnya itu dan Zara.
Dia
pun seorang lelaki dan dia juga pernah muda. Jadi, tak mungkin mata tuanya
tersalah tafsir cara anak tunggalnya itu memandang Zara. Hati tuanya mulai dilanda kerisauan. Janganlah anaknya ada
skandal dengan tunang atau isteri orang pula lepas ni. Memang naya! Ada juga dia masuk wad
nanti ni! Mmm ... nampaknya sekali ini, dia sebagai orang tua perlu bertegas dan menyegerakan
perkahwinan anak tunggalnya itu dengan Lisa. Gelak tawa Tengku Razlan bagaimana
pun, telah menyedarkan Tan Sri Tengku Azmi dari lamunannya.
" Hahaha ... mama ni. Janganlah merajuk. Papa kan ada boleh temankan mama makan ... tengok tv atau borak-borak.
Raz janji hujung minggu ni Raz tidur sini. Tapi ... hari ini tak boleh sebab Raz
ada hal nak jumpa kawan. Dah janji," dalih Tengku Razlan sambil bangun dan
terus mendapatkan mamanya.
Dahi mamanya diciumnya sedikit sebelum menyalami tangan
kedua-dua orang tuanya. Pantas saja dia melangkah keluar dari villa itu. Namun,
matanya dapat menangkap kelibat Zara yang masih di dapur dan sedang berbual
dengan bibik sambil menyandang beg sandangnya yang berwarna merah itu ke
bahunya.
Tengku Razlan semakin melajukan langkahnya ke arah garaj
kereta yang terletak di sebelah kanan villa itu. Sebaik masuk ke dalam
keretanya, Tengku Razlan segera memandu keluar keretanya dari situ.