Home Novel Cinta DIA CINTAKU
BAB 8

Zara segera mengemas meja makan di ruang tamu itu setelah semua orang selesai makan. Selesai mengelap meja, dia terus ke dapur membasuh pinggan. Majikannya suami isteri dan anak teruna mereka yang banyak songeh itu rasanya telah beredar ke atas. Sambil tangannya sibuk membasuh pinggan mangkuk itu, dia bernyanyi kecil. Tak tahulah entah lagu apa yang dinyanyikan olehnya. Yang pasti, kepalanya digerak-gerakkan seiring dengan tempo lagu yang sedang dinyanyikan olehnya.

" Ehem!"

Tangan yang tadinya sibuk terus terhenti bekerja. Spontan Zara memalingkan kepalanya ke belakang bila mendengar bunyi seseorang berdehem. Dahinya berkerut sedikit. Eh! Ada lagi mamat ni kat bawah ni. Apalah mamat ni hendak agaknya, dengus Zara di dalam hatinya.

Tengku Razlan melangkah menghampiri gadis itu sambil tersenyum kecil.

" Tengku ke dapur ni kenapa? Nak apa-apa ke? Nak jus oren lagi ke ... atau nak saya buatkan minuman panas?" tanya Zara ringkas sebelum tangannya kembali ligat membilas pinggan dan gelas yang telah dibasuhnya.

Malas betul hendak melihat wajah anak majikannya itu. Macam manalah malam ni bolehlah pula anak majikannya ini balik ke sini. Kalau dia tau tadi, takdelah dia hendak menawarkan dirinya membantu bibik dan bermalam di sini.

" Tak ... aku tak nak apa-apa. Cuma aku nak cakap sikit. Sedap kau masak tadi. Tak sangka kau pandai masak," puji Tengku Razlan ikhlas.

Zara masih terus membelakangkan Tengku Razlan kerana dia masih belum selesai membilas pinggan dan gelas yang dibasuhnya. Dia hanya mencebikkan bibirnya sebelum menjawab pertanyaan lelaki tersebut.

" Terima kasihlah kalau pujian tu ikhlas. Kalau Tengku nak ... saya boleh jea ajarkan Cik Lisa."

" Amboi! Baiknya kau. Aku belum cakap apa-apa ... kau dah tawarkan diri nak mengajar yea "

" Lah! Macam tu pun baik ke? Itu perkara biasa jealah. Buat apa nak kedekut-kedekut ilmu. Ilmu ni kena berkongsi sebab itu disarankan oleh Islam. Lagipun, lagi banyak ilmu kita kongsi dengan orang, lagi banyaklah juga ilmu yang bakal diperolehi oleh kita nanti. Lepas tu, pahala pun dapat.

Lagipun, nanti bila Cik Lisa dan Tengku dah kahwin ... dan Cik Lisa masakkan masakan yang saya ajar tu dan Tengku pun suka sebab dapat makan sedap ... lepas tu Tengku tambah sayang kat dia, mmm ... saya pun akan dapat pahala juga! Kiranya macam kita buat satu kerja tapi dapat keuntungan berganda. Senangkan nak dapat pahala untuk bekal akhirat. Rugilah kalau saya tak buat," selamba Zara bercakap. Begitu bersahaja sehingga tergelak Tengku Razlan mendengarkan kata-kata gadis itu.

" Wow! Hari ni ... cara kau cakap macam cara orang bisness cakaplah ... buat satu kerja tapi dapat banyak untung. Kau ni memang pandaikan part-part bercakap ni. Jadi ustazah .. kau boleh. Jadi doktor pun kau boleh. Agak-agaknyalah kan ... kalau kau ni aku letak kat marketing department selepas kau habis kontrak dengan mama aku ... kau nak tak? Mesti kau dapat yakinkan ramai potential clients aku dengan hujah-hujah bernas engkau tu dan syarikat aku pun bolehlah dapat lagi banyak tender atau projek."

" Terima kasih Tengku atas tawaran Tengku tu. Saya bukannya menolak rezeki, tetapi ... maaflah Tengku. Selepas habis kontrak dengan mama Tengku ni ... saya kena balik kampung. Saya nak berbakti dengan orang tua saya pula. Mandatori kata ayah saya. Takde alasan."

Tercetus tawa kecil dari bibir merah lelaki itu. Wajah pembantu peribadi mamanya itu dipandang lama sebelum dia kembali bersuara.

" Kiranya ... kau ni anak mithali jugalah yea! Tapikan ... aku tak percayalah cakap kau. Entah-entah kau balik kampung sebab dah ada orang nak datang pinang kau tak?" sakat Tengku Razlan sambil melihat gadis itu membilas gelas yang terakhir di dalam sinki.

" Kalau pun iya ... jadi apa masalahnya. Banyak sangat soalanlah. Saya rasakan ... Tengku ni sepatutnya jadi polis atau mata-mata gelap tau. Ataupun lawyer. Bukannya ahli perniagaan," balas Zara sambil membulat-bulatkan matanya sebab geram sangat dengan anak tunggal majikannya itu. Kain lap tangan yang kering dicapainya dan dia segera menggelap kering tangannya yang basah. Kemudian dia memandang tepat ke mata lelaki yang banyak soalan ni!

" Kalau aku polis ... dah lama aku tangkap dan dakwa kau. Kalau aku lawyer, dah lama aku saman kau ...," balas lelaki itu dengan senyum yang semakin melebar di bibirnya yang merah itu.

" Atas kesalahan apa Tengku nak tangkap atau saman saya ni? Sebab saya selalu melawan cakap Tengku ke? Hello ... ni negara demokrasi yea. Semua orang boleh bersuara," jawab Zara sambil menjeling tajam lelaki di hadapannya.

" Atas kesalahan yang orang perempuan macam kau selalu buatlah."

" Dan ... apakah benda tu? Cuba bagi tahu saya sikit!"

" Adalah! Mana boleh bagitahu kau. Kau tu masih di bawah pemerhatian aku. Kalau aku bagitahu kau nanti, 'penyiasatan' yang sedang berjalan akan terganggu," jawab Tengku Razlan sambil tersenyum penuh makna. Semakin tajam jelingan gadis itu mendengarkan jawapannya.

" Ni ... kenapa senyum-senyum pulak ni?" tanya Zara lagi. Geram pulalah dia tengok muka lelaki ni yang masih tersenyum-senyum memandang ke arahnya.

" Hai! Senyum pun salah. Kau tahu tak yang kau tu beruntung sebab aku suka senyum kat kau. Ramai perempuan kat luar sana tu akan buat apa saja untuk tengok aku senyum kat diorang tau!"

" Eeeii ... sengal betullah Tengku ni! Itu dioranglah. Bukannya saya. Saya lain!"

" Okay ... okay. Aku usik jea. Janganlah marah. Kau ni garang betullah dengan aku. Ni ... apa kata nanti bila kau nak balik kampung kau, aku ikut kau balik kampung kau ... boleh tak? Bukannya apa. Aku cuma nak menyenangkan kerja kau jea. So, nanti tak payahlah kau susah-susah angkut beg-beg baju kau naik turun bas," kata Tengku Razlan sambil mengenyitkan matanya sedikit. Dia dapat melihat air muka gadis di depannya itu berubah sedikit mendengarkan cadangannya.

" Siapa kata saya naik bas," balas Zara pula sambil tersenyum sinis.

" Hah! Aku tahu. Ni mesti kau cadang nak naik teksikan? Mahal tau tambang teksi. Baik aku jea yang hantar kau balik kampung. Dapatlah kau jimatkan duit kau tu. gaji kau pun bukannya banyak sangat kan!"

" Eeiii ... tak payahlah Tengku nak menyusahkan diri Tengku tu. Sebenarnya kampung saya tu jauh sangat. Patah pinggang Tengku tu nanti. Lagipun, harga minyak kan dah naik. Kesian Tengku nanti."

" Takkanlah jauh sangat kampung kau tu. Aku biasalah jalan jauh-jauh ni. Ke London ... ke Morroco ... lepas tu drive dari Toronto ke New York ... takde pun pinggang aku ni patah. Kalau setakat kampung kau yang sekadar kat dalam Malaysia ni, pinggang aku ni kuat lagi tau! Pasal duit minyak kau janganlah susah hati. Aku ada duitlah."

" Susahlah nak cakap dengan orang macam Tengku ni. Saya ... saya ni ... saya ni sebenarnya tak sukalah nanti girlfriends Tengku yang berkoyan-koyan tu datang berduyun-duyun ke kampung saya dan lepas tu buat huru-hara kat kampung saya yang aman damai tu." Zara menjawab lagi sambil mengaru-garu dahinya sedikit.

" Banyak alasan kau kan.Kau ni memang tak pernah nak baik sangka kat aku. Cara kau cakap ni macamlah aku ni si pembawa malang pula."

" Tak ... tak ... bukan macam tu maksud saya. Tapi ... betulkan! Kat mana ada Tengku, kat situ mesti ada girlfriends Tengku atau sekurang-kurangnya Cik Lisa. Susah tau! Malaslah nak cakap dah. Ni ... balik pada perkara asal ... Tengku ke dapur ni kenapa? Nak air atau nak minta saya ajar Cik Lisa masak lauk yang saya masak tadi? Saya ok jea .. Tengku set timenya?

" Aku ni manalah ada apa-apa dengan Lisa. Ni ...mmm ... aku sebenarnya nak minta kau tolong masakkan nasi lemak sambal udang untuk sarapan esok."

" In sha allah Tengku. Ada apa-apa perintah lagi ke Tengku? Akan patik junjung di bahu jemala patik ini Tengku" tanya Zara sinis bila dilihatnya lelaki itu masih lagi tidak beredar dari situ

" Mmm ... terima kasih sebab tadi buatkan aku segelas besar jus oren yang sangat sedap."

" Oh! Sama-sama. Tak payah puji-puji saya. Memang kerja saya pun. Ni ... yang Tengku masih tercegat lagi kat sini kenapa? Ada apa-apa lagi ke? Saya dah penat ni. Mengantuk pun ada. Saya nak rehat pula," Zara memberi alasan.

Dia rimas sebenarnya dengan pertanyaan demi pertanyaan yang dilemparkan oleh lelaki ini. Selain itu, dia juga merasa kurang senang dengan cara lelaki itu bercakap dengannya pada malam ini. Nada bahasanya lebih mesra dari biasa. Baik semacam jea. Eeeiii ... ngeri pula gegendang telinganya mendengar. Entah-entah ada muslihat.

" Mmmm ... takde apa-apalah. Okaylah. Selamat malam."

Terus Tengku Razlan beredar dari situ. Zara menarik nafasnya panjang. Namun matanya masih memerhatikan lelaki sehingga kelibat lelaki itu hilang dari pandangannya.


Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh noma