"Ingat lagi ketika Ilham cedera tahun lalu?" Maria
sudah membuat muka. Suraya tahu, dia muak mendengar soal Ilham. Walau Suraya
tidak berkata dan beria menafikan, hati Suraya memang terisi nama Ilham. Hampir
tiap detik dan ketika, nama itu meniti di bibir Suraya. Namun, Suraya tidak
boleh begitu lagi. Ilham. Dia sudah berpunya. Suraya sudah tidak ada peluang
lagi.
"Maria, ini penting. Aku janji, ini kali terakhir aku
bicara soal Ilham. Aku juga sudah lupakan dia. Cuma, aku perlu bicara tentang
ini. Tentang mimpi ini. Atau aku bimbang ia bakal jadi nyata," Suraya
menatap wajah Maria yang mulai ditaburi tanda tanya.
"Mimpi? Mimpi apa?" Maria menatap wajah Suraya
penuh perhatian.
"Sebelum dia cedera dulu, aku mimpi dia cedera.
Terlantar di wad beberapa lama. Syukur, dia cuma cedera ringan dan hanya
memerluka pembedahan kecil," Suraya besungguh bercerita. Maria masih
mendengar, dalam hati dia kasihankan Suraya. Suraya benar-benar cintakan Ilham,
masih bimbangkan Ilham.
"Dan aku mimpi buat kali ke dua," Suraya
melanjutkan, cuba memancing perhatian Maria.
"Aku mimpi dia bertunang," Suraya berbicara yakin.
Maria memandang ragu.
"Aku tidak bercerita dahulu sebab tak mahu kau sangka
yang bukan-bukan dan anggap aku suka pada dia," Suraya berbicara perlahan.
Maria tersenyum pahit. Hakikatnya, Suraya memang sukakan Ilham.
"Dan aku tak sangka ia benar. Aku tak sangka waktu itu,
Ilham benar-benar tunangan orang! Siapa sangka, Ilham yang seperti itu
hakikatnya sudah berpunya?" Suraya meneruskan bicara walau suaranya makin
tidak bermaya. Ilham. Lelaki itu jarang-jarang berbicara dengan perempuan,
sangat menjaga pandangan dan hanya berkata-kata yang perlu sahaja. Namun, bila
dia mula berkata, padangannya mengagumkan dan membuat ramai terpesona. Ya, itu
membuatkan Suraya turut terpesona. Cuma, tiada yang menyangka, dalam diam hati
Ilham sudah dimiliki. Ramai menyangka Ilham hanya mahu tumpukan perhatian pada
pelajaran dan membina kerjaya yang dia impikan. Ilham. Dia lelaki yang tidak
terjangka.
Maria menyentuh tangan Suraya. Dia tahu, hati Suraya
terluka. Walaupun brtepuk sebelah tangan, perasaan cinta itu masih dinamakan
cinta. Dan cinta, sama ada berjaya dimiliki atau tidak, pasti saja membekas
luka.
"Jangan risau, aku sudah boleh lupakan dia. Dan aku
mengharapkan yang dia bahagia," Suraya mengukir senyuman meyakinkan. Dan
dia memang yakin. Saat mengetahui Ilham sudah bertunang, dia nekad ini petanda
untuk melupakan Ilham dan dia sudah mampu melupakan Ilham setelah beberapa
bulan berlalu. Cuma, dia teringatkan sesuatu. Sesuatu yang perlu diluahkan.
"Cuma, aku mimpi lagi untuk kali ketiga," Suraya
terdiam. Maria masih menanti sambil tersenyum memandang Suraya.
"Dia kahwin kali dua kali. Maksud aku poligami,"
Suraya menutur lambat-lambat. Maria mengerutkan wajah cuma mengerti.
"Dan ia menakutkan aku,"
"Isteri kedua dia...." Maria menunjukkan jari ke
arah Suraya. Suraya menarik nafas sambil menggeleng.
"Aku tak tahu dan aku tak ingat. Cuma, kenapa aku
bermimpi seperti itu? Setelah dua kali jadi nyata, aku tak harap untuk kali
ketiga ini jadi nyata juga. Aku, benar-benar berharap dia bahagia!" Suraya
bicara sungguh-sungguh. Maria hanya mengangguk. Mimpi. Barangkali hanya mainan
tidur.
"Dan, kerana aku diamkan 2 mimpi itu, ia jadi nyata.
Aku bimbang mimpi kali ketiga ini turut jadi nyata," Suraya mengerutkan
wajah sambil merenung Maria. Maria diam. Mimpi. Ia hanya mimpi.