"Akak akan terima abang Ilham?" Najmi tiba-tiba
bertanya. Lama sudah tidak bertemu anak muda ini. Jarak antara London dan
Manchester tidak begitu mengizinkan untuk mereka selalu bertemu. Namun,
hubungan Suraya dan Najmi yang sangat rapat seperti kakak dan adik membuatkan
mereka berkomunikasi secara maya hampir saban hari. Segala tentang Ilham diceritakan
kepada Najmi. Suraya juga tahu, Najmi dan Ilham turut berhubung antara satu
sama lain dari semasa ke semasa. Malah, Ilham turut meminta Najmi memujuk
Suraya untuk menerimanya.
"Najmi rasa akak patut ke terima?" Suraya yang
tidak punya jawapan memulangkan pertanyaan kepada Najmi. Najmi terdiam. Hatinya
berbelah bahagi. Sejak sekian lama dia mahu meluahkan rasa. Tapi Najmi sedar
Suraya tidak mungkin menerima perasaannya. Tambahan pula ketika ini Ilham sedang
merebut hati Suraya. Satu-satunya lelaki yang pernah singgah di hati Suraya.
"Terima sajalah, akak kan suka abang Ilham," Najmi
menjawab separuh hati. Dia juga sukakan Ilham. Sebagai lelaki, dia turut
mengagumi Ilham dan menganggapnya sebagai abang dan senior yang dihormati.
Membandingkan dia dengan Ilham pastinya dia tewas. Dia tidak mahu merosakkan
hubungan baiknya dengan Suraya semata-mata dengan berterus-terang soal hatinya.
Dia tahu, Suraya tidak akan melayan lelaki yang ada tujuan tertentu
mendekatinya. Suraya baik dengannya hanya kerana jarak umur yang memisahkan
usia mereka sejauh 5 tahun menyebabkan Suraya menganggapnya sebagai adik
sahaja. Malah, Suraya juga tidak begitu mahu melayan Ilham walaupun mereka
berada di universiti yang sama kerana Ilham sukakannya. Itulah Suraya, dia
jarang melayan dan rapat dengan lelaki. Najmi yang ringan mulut ini sahaja
kebetulan diterima dengan senang hati oleh Suraya kerana Najmi selalu bertanya
dan meminta pandangan Suraya yang lebih dewasa daripadanya. Cuma, tanpa Najmi
sedari perasaannya lama-kelamaan turut berubah. Dia tidak pernah menyangka
untuk jatuh cinta dengan wanita yang jauh berusia daripadanya. Tapi kehadiran
Suraya mengubah segala-galanya.
"Aida," akhirnya setelah beberapa bulan, Suraya
bertemu juga Aida. Itupun setelah memujuk Najmi menemaninya menaiki keretapi
dan feri ke Ireland. Najmi pada mulanya mencadangkan untuk mengajak Ilham
sekali namun Suraya segera membantah. Dia tidak betah bertemu Ilham. Dia masih
tidak dapat memutuskan kata hatinya.
Tubuh kecil Aida dipeluknya erat. Lama sekali Suraya tidak
bertemu gadis kecil molek itu. Tubuh Aida yang kurus kelihatan sedikit berisi
dibalut baju yang tebal. Aida tersenyum dan tertawa riang. Dia begitu gembira
dapat menemui Suraya. Dia turut rasa bersalah kerana tidak dapat menyambut
kedatangan Suraya ke London dahulu kerana terlalu sibuk dengan praktikal dan
tugasan akademik.
"Kak Su makin cantik," Aida memuji sambil merenung
wajah kakak angkat kesayangannya.
"Aida makin comel," Suraya membalas. Mereka
tertawa. Najmi hanya memerhati dan tersenyum melihat dua gadis yang begitu
mesra itu begitu riang bertemu.