Najmi ternganga menerima panggilan berbaur amarah dari
Ilham. Suraya cintakan dia? Najmi ragu-ragu. Tidak pasti untuk memberi reaksi,
hanya menadah telinga mendengar kata-kata Ilham. Soalan demi soalan yang
dilontarkan Ilham tidak mampu dijawabnya. Dia cuma cuba menenangkan Ilham.
Namun, dia tidak menemukan kata-kata yang sesuai.
Panggilan daripada Ilham berlangsung lebih lima belas minit.
Panas telinga dengan gelombang telefon serta luahan tidak puas hati Ilham.
Suraya, dia mahu menghubungi gadis itu dan meminta penjelasan namun, dia ragu.
Jauh di sudut hati Najmi, dia gembira mendengar berita Suraya mencintainya.
Namun, dia sedar, barangkali itu hanyalah muslihat Suraya untuk melepaskan diri
dari Ilham. Biarpun sekadar kebohongan, dia mahu menikmati seketika satu
hakikat bahawa gadis yang sekian lama bertakhta dalam hatinya turut mengaku
mencintainya.
"Suraya," Najmi menyebut perlahan nama itu. Hujung
minggu ini Suraya akan bertandang ke Manchester. Biarlah ketika itu nanti
Suraya menerangkan sendiri apa yang telah berlaku.