"Suraya masih
cintakan saya?" Ilham luahkan juga. Pertemuan semula dengan Suraya di
negara yang asing ini baginya takdir yang paling bermakna. Dia sedar perasaan
Suraya terhadapnya sejak awal lagi. Dia sendiri menyenangi Suraya. Gadis itu
ayu, sopan dan manis. Malah yang lebih memikat hati Ilham, Suraya gadis yang
berprinsip dan pandai menjaga maruah diri. Segalanya tentang Suraya memang
menawan hatinya. Cuma, sebelum mengenali Suraya, hati Ilham sudah lama
dimiliki. Aqilah, teman satu sekolah. Janji yang diikat setelah tamat
persekolahan membawa mereka ke jinjang perkahwinan. Mana
mungkin untuk dia lupakan Aqilah dan janji mereka. Juga, dia masih mencintai
Aqilah. Gadis yang pertama bertakhta di hatinya.
Namun, seperti hati Ilham yang beralih arah, hati Aqilah
juga dilanda badai. Hampir lima tahun berjanji dan berhubungan dari jauh, hati
Aqilah turut disentuh insan lain. Dalam keliru dan tidak mahu dianggap curang
dan berkhianat, Aqilah diamkan saja perasaannya dan meneruskan juga ikatan
janji yang telah termeterai. Menerima Ilham sebagai suami.
Tapi tidak mudah. Menerima Ilham bila dihatinya tersimpan
nama lelaki yang lain. Bukan Aqilah tidak mencuba. Dia mencuba untuk melupakan
Khairul. Teman sekuliah yang begitu mesra dan memahami. Ternyata, Ilham dan
Khairul jauh berbeza. Ilham seorang yang dingin dan tidak banyak berbicara.
Aqilah tahu, Ilham sangat mencintainya. Namun, cinta semata tidak mencukupi.
Aqilah mengharapkan lebih dari itu. Dalam diam dia berhubung dengan Khairul.
Tidak lebih sebagai sahabat baik. Aqilah sedar dia isteri orang namun, Khairul
masih sahabat baiknya.
"Saya tak pernah cintakan awak Ilham, Maya yang
sebutkan soal itu pada Kak Sofia. Bukan kehendak saya. Mungkin saya mengagumi
awak tapi tidak cinta sama sekali," Suraya berbicara perlahan. Dia sendiri
masih tidak pasti dengan hatinya. Namun, Ilham adalah suami orang. Dan dia
tidak akan sekali-kali merosakkan rumah tangga orang.
Sudah hampir setahun dia
meninggalkan Malaysia. Meninggalkan Aqilah. Saat mengetahui Aqilah mencintai
lelaki lain dan masih berhubungan dengan lelaki itu, Ilham seperti hilang akal.
Isteri yang dicintainya sepenuh hati boleh curang dengannya. Dia cuba meminta
penjelasan. Namun Aqilah hanya mendiamkan diri dan akhirnya meminta untuk
berpisah sementara. Kebetulan tawaran melanjutkan pengajian ke luar negara
diterima. Aqilah berkeras untuk terus tinggal dan bekerja di Malaysia walaupun
sebelum berkahwin mereka sudah berjanji untuk sama-sama ke luar negara apabila
Ilham menyambung pengajian. Ilham kecewa. Biarpun dihambat rasa bersalah,
Aqilah yakinkan Ilham dia akan setia menanti Ilham di Malaysia. Biarlah perpisahan
ini menjadi penentu hala tuju perhubungan mereka.
Kehadiran Suraya benar-benar menghidupkan kembali jiwanya.
Saat dia khabarkan masalah yang berlaku dalam perhubungannya dengan Aqilah, Kak
Sofia menyebut soal Suraya. Dia dapat merasakan, Suraya memang ada hati dengannya cuma dia
masih tidak pasti kebenarannya sehingga Kak Sofia sendiri membenarkannya. Namun, dia sudah
berkahwin dan dia masih mahu meyakini Aqilah.
"Tapi, kalau saya melamar Suraya, Suraya boleh
terima?" Ilham berkata tiba-tiba. Itu yang ingin diucapkan sejak pertemuan
semula dengan Suraya. Dia mahu bersama Suraya. Dia mahu bahagia kembali.
Suraya terpaku mendengar kata-kata Ilham. Tiba-tiba mimpi 3
tahun lalu menjelma dalam ingatan.