Home Novel Cinta Leraikan Mimpi
Leraikan Mimpi
Lynn Suraya
3/1/2015 14:07:01
58,859
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Najmi berlari. Cuba menjejaki kelibat Suraya. Dia tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Namun, dia sedar Suraya terluka. Mungkin kerana Ilham. Mungkin Suraya benar-benar tidak sukakan Ilham. Atau, mungkin Suraya sedaya-upaya mahu menafikan perasaannya terhadap Ilham. Najmi tidak tahu. Dia tidak mengerti hati Suraya. Namun, dia jelas dengan hatinya. Dia hanya cintakan Suraya dan mahu membahagiakan Suraya. Dengan apa cara sekalipun.

Suraya sedang berteleku di tempat menunggu bas terakhir yang mereka naiki. Najmi tersenyum. Tenang seketika bila Suraya tidak menghilang jauh. Barangkali bandar Manchester masih terlalu asing untuk Suraya bertindak di luar jangkaan. Suraya, gadis itu sentiasa rasional dan tidak terlalu mengikut perasaan. Setiap tindakan yang dilakukan seringkali difikirkan sebab dan akibat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Mungkin kerana itu hatinya masih tidak mampu menerima Ilham. Suraya terlalu memikirkan kebahagiaan insan lain. Bimbang menjadi penyebab kehancuran rumahtangga orang!

Najmi mendekati perlahan. Suraya masih menunduk. Mujur tidak ramai yang turut menunggu. Hanya sepasang remaja berbangsa Inggeris yang berdiri tidak jauh dari pondok menunggu. Najmi melabuhkan punggung di sis Suraya dengan perlahan. Namun, masih mampu memancing perhatian Suraya. Suraya perlahan berpaling memastikan individu yang mengambil tempat di sisinya. Najmi tersengih. Pandangan Suraya tertancap pada warna biru lebam di pipi kiri Najmi. Hatinya dipagut rasa bersalah.

"Akak okey? Saya minta maaf..." Suraya menggeleng sambil pandangannya masih merenung wajah Najmi. Kenapa dia melibatkan Najmi dalam isu ini? Tidak semena-mena lelaki itu turut tersepit dalam kemelut hubungan mereka. Suraya menyesal di dalam hati.

"Akak yang patut minta maaf. Bila Ilham bagitahu Najmi pasal perkara ini?" Suraya kembali menunduk. Tidak sanggup lagi menatap wajah Najmi dengan perasaan bersalah yang menggunung di dalam dada.

"Erm... dua tiga hari lalu..." Suraya mengerutkan dahi mendengar kenyataan dari mulut Najmi yang ditutur lambat-lambat.

"Dua tiga hari lalu? Kenapa Najmi tak beritahu akak? Akak boleh terangkan..."

"Saya faham. Akak cuma nak mengelak dari abang Ilham. Cuma tak sangka abang Ilham boleh terlalu mengikut perasaan. Mungkin dia sangat cintakan akak," pandangan Najmi jatuh ke wajah Suraya yang masih muram. Cinta? Apa sajalah makna cinta yang melukakan hati banyak pihak? Ilham terluka kerana cintakan Aqilah dan terus terluka kerana terus menagih cintanya. Suraya, dia simpati pada Ilham. Namun, hatinya tidak begitu mudah untuk menerima. Kenangan mimpinya 3 tahun lalu sentiasa membayangi. Saat dia khabarkan kepada Maria tentang mimpi itu, Suraya bimbang. Walaupun dia tidak pasti siapa perempuan yang dinikahi Ilham kali kedua dalam mimpinya, dia bimbang perempuan itu adalah dia. Dia tidak mahu menjadi penyebab wanita lain terluka. Walau sebelum itu dia lebih bimbang Ilham tidak bahagia dengan perkahwinannya yang menyebabkan Ilham berkahwin buat kali kedua yang ternyata memang benar Ilham tidak bahagia. Suraya simpati dan kasihankan Ilham. Namun, hatinya masih keras tidak dapat menerima Ilham yang masih suami orang. Dia juga tidak mahu Ilham menceraikan Aqilah. Itu bermakna dia menjadi sebab sebuah ikatan suci perkahwinan terlerai. Dia keliru dan serba-salah. Dia bimbang, lama-kelamaan hatinya dipujuk juga oleh Ilham. Dan mimpi yang kembali menghantuinya itu akan jadi kenyataan.

Tiba-tiba telefon bimbit Najmi berbunyi. Suraya berpaling bila Najmi beranjak menjauhinya untuk menjawab panggilan. Najmi masih tinggal setahun lagi sebelum menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda. Cadangannya, Najmi mahu terus melanjutkan pengajian di bidang sarjana selepas itu. Anak muda itu penuh impian dan cita-cita. Jauh di sudut hati Suraya mengagumi Najmi. Sentiasa nampak tenang. Najmi sering bertanya pelbagai perkara kepada Suraya. Selalunya tentang perkara-perkara umum. Mahasiswa pengajian ekonomi politik di Universiti Manchester yang begitu gemar berbahas isu-isu semasa berkaitan politik dan global. Kadang-kala Suraya sendiri tidak banyak ambil tahu tentang isu semasa, namun senang berbual dengan Najmi yang suka berkongsi pandangannya bila Suraya hanya menjawab tidak pasti pada pertanyaan yang diutarakan.

Ilham juga gemar berbahas dan berbicara. Malah Ilham lebih dalam pembacaan dan lebih luas pemikirannya. Bila Ilham mula berbicara, ramai yang mendengar hanya mengangguk dan mengia. Jarang ada yang mempersoalkan. Suraya tahu, itu yang menyebabkan Ilham tampak berkaliber berbanding lelaki lain yang dikenalinya. Itu juga yang menyebabkan dia mengagumi Ilham dalam diam. Dia juga tahu, bukan dia seorang punya perasaan seperti itu. Ramai lagi teman-temannya yang mengagumi Ilham. Bila mendapat tahu Ilham sudah bertunang dan memilih Aqilah sebagai pasangan hidup, ramai yang kecewa, tidak kurang juga yang tidak puas hati. Aqilah, nama yang asing. Ilham memilih kekasih zaman sekolahnya. Siapa menyangka lelaki seperti Ilham menyembunyikan kekasih bertahun-tahun lamanya?

"Aida akan temankan abang Ilham ke stesen keretapi. Abang Ilham akan pulang terus ke London," Najmi menyampaikan. Suraya mengangguk.

"Akak akan tinggal dengan kawan Aida, Salma malam ini bukan?" Najmi meminta kepastian. Memang itu rencananya. Bermalam di bilik Salma, teman Aida juga teman sekampus Najmi. Salma juga mengambil persediaan sebelum ke luar negeri di kolej yang sama dengan Aida dan Najmi. Cuma, berbanding Najmi yang mengambil bidang ekonomi politik dan Aida memilih perubatan, Salma memilih bidang kejuruteraan.

"Ya, akak dah beli tiket balik esok. Tak kan nak buang pula kan," Suraya memberi kepastian.

"Kalau macam tu, saya bawa akak terus ke rumah Salma. Aida juga akan terus ke sana selepas hantar abang Ilham ke stesen keretapi," Najmi memutuskan. Suraya mengangguk namun dia terus menatap wajah tenang dan selamba lelaki itu. Najmi, langsung tidak meminta sebarang penjelasan daripadanya. Malah langsung tidak memarahinya. Adakah benar Najmi memahami? Bagaimana mungkin Najmi begitu memahami? Pandangan Suraya jatuh lagi ke pipi Najmi yang membiru lebam. Cuaca yang dingin menyebabkan warna biru kelihatan lebih jelas. Suraya menelan liur. Separuh hatinya dilanda rasa bersalah. Separuh lagi begitu menghargai Najmi.

"Najmi tak nak tanya akak apa-apa?" Suraya cuba bertanya lagi. Barangkali Najmi masih ragu-ragu untuk berkongsi. Najmi memandang Suraya. Terlalu banyak rasanya persoalan yang bermain di fikiran. Terlalu banyak penjelasan yang dia mahukan dari Suraya. Namun, segalanya seakan tersekat di dalam dada. Senyuman Suraya, itu saja yang dia mahukan.

"Sampai bila muka akak nak terus monyok macam tu?" Najmi berbicara sambil tersengih. Suraya mengerutkan wajah sebelum mengukir senyuman. Najmi lega. Suraya masih boleh tersenyum tenang.

"Kalau akak nak cerita, akak ceritalah. Saya tak akan paksa akak," Najmi memandang ke hujung jalan. Kelibat bas yang masih belum kelihatan. Senyuman manis Suraya hakikatnya menggetarkan jiwa lelakinya. Suraya diam. Dia tidak mahu melibatkan Najmi, namun, dia mahu berkongsi apa yang terbuku di dalam hatinya.

"Akak pernah mimpi, 3 tahun lalu," Najmi kembali berpaling menatap wajah Suraya. Memberi perhatian pada setiap butir bicara Suraya.

"Ilham bernikah 2 kali," Najmi mengerutkan dahi. Mimpi? Ilham bernikah dua kali?

"3 tahun lalu, mungkin akak memang sukakan Ilham. Akak bermimpi 3 kali tentang dia. 2 mimpi pertama jadi nyata. Dan mimpi kali ketiga. Tentang Ilham bernikah 2 kali. Akak bimbang turut jadi nyata," Suraya meluah bicara. Najmi masih mengerutkan wajah. Mimpi? Suraya mimpikan Ilham? Adakah Suraya sangat mencintai Ilham sehingga terbawa ke dalam mimpinya? Tiba-tiba terasa jantung Najmi ditusuk tajam. Pedih dan sakit. Benarlah, Suraya cintakan Ilham. Bukan sedikit. Malah teramat. Suraya berpaling bila Najmi hanya berdiam.

"Akak tidak tahu siapa perempuan yang dinikahi Ilham buat kali kedua. Akak, cuma mengharap ia bukan akak!" Suraya menyambung bicaranya. Tegas. Tidak. Tidak sekali-kali! Najmi mengangguk perlahan. Walau dia tahu, memang Ilham di hati Suraya. Namun pengakuan itu cukup melukakan hatinya. Adakah ruang lagi untuknya? Atau dari awal lagi dia memang tidak pernah punya peluang?

"Barangkali memang sudah jodoh akak dengan abang Ilham. Bagaimana akak lari sekalipun, kalau itu sudah takdir yang tertulis, akak tidak boleh mengelak," Najmi membalas. Namun, nadanya lemah. Suraya menghela nafas. Takdir. Benarkah dia tidak boleh mengelak?

"Tapi akak mesti mengelak. Akak, tak mungkin akan merobohkan kebahagiaan orang lain," Suraya bersuara perlahan. Dia perlu cari jalan untuk mengelak takdir itu menjadi takdirnya.

"Abang Ilham tak bahagia kak. Apa salahnya jika akak dan abang Ilham cuba untuk bina hidup bersama dan bahagia?" kata Najmi seperti menikam jatungnya sendiri. Suraya. Kebahagiaan gadis itu adalah lebih utama.

"Najmi pernah jatuh cinta?" Suraya tiba-tiba bertanya. Pertanyaan yang menyebabkan Najmi bungkam.

"Cinta pertama bukankah paling bermakna bagi seorang lelaki? Najmi rasa, mungkinkah untuk Najmi lupakan perempuan pertama yang betakhta dalam hati Najmi?" Suraya berbicara tenang. Separuh hatinya sedar, Ilham bukan sepenuh hati mencintainya. Kecewa terhadap Aqilah membuatkan hatinya beralih kepada Suraya. Biarpun Ilham pernah mengisi hatinya, Suraya pantas melupakan Ilham sejak mengetahui lelaki itu sudah berpunya. Bagi Suraya, sukar baginya untuk terus mencintai lelaki yang hatinya sudah terisi nama perempuan lain.

Cinta pertama Najmi adalah gadis di hadapannya saat ini. Sejak mengenali Suraya, benar dia cuma menganggap Suraya sebagai seorang kakak. Namun, hati ini hanya Tuhan yang menentukan. Dia jatuh cinta dengan gadis yang lebih tua. Suraya. Benarkah dia tidak mungkin dapat melupakan Suraya? Melupakan cinta pertama? Benarkah lelaki seperti itu? Najmi masih merenung wajah Suraya.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.