"Suraya, saya tahu, awak masih tunggu saya," Ilham
masih tidak puas memujuk. Suraya telah cuba untuk mengelak dari bertembung
Ilham. Tapi tidak berjaya. Ilham tetap berjaya mendekatinya.
"Awak nak apa lagi? Saya tak mungkin boleh terima
awak," Suraya cuba memahamkan Ilham.
"Walaupun saya ceraikan Aqilah?" Suraya terdiam.
Itu kali pertama Ilham berbicara soal penceraian. Suraya memandang tajam Ilham.
"Apa yang awak mahukan dalam perkahwinan Ilham? Awak
fikir kalau awak bercerai dengan Aqilah, awak akan bahagia dengan orang lain?
Awak masih kekal dalam perkahwinan ini kerana awak masih cintakan Aqilah. Awak
cuma kecewa dengan dia. Awak patut beri peluang untuk awak dan dia sama-sama
bina balik perkahwinan ini!" Suraya cuba menasihati. Perceraian. Ia bukan
sesuatu yang boleh diterima Suraya.
"Tak mungkin dapat dibaiki lagi Suraya. Aqilah, dia
meminta cerai dari saya," Ilham menahan air mata. Suraya menarik nafas.
Dia tidak mahu tersekat dalam kemelut rumah tangga Ilham.
"Jadi awak patut balik dan pujuk dia. Awak masih
cintakan dia. Sebab itu awak sedih dan tertekan bila dia minta cerai. Jauh di
sudut hati awak, awak tak mahu ceraikan dia bukan?" Suraya masih cuba
menasihati. Ilham merenung Suraya. Benar, dia cintakan Aqilah. Sama sekali dia
tidak akan menceraikan Aqilah. Hanya, kehadiran Suraya turut menggugah hati dan
perasaannya. Dia sudah jatuh cinta dengan Suraya.
"Tapi saya cintakan awak Suraya!" Ilham meluahkan
yakin. Suraya mengerutkan wajah tidak mengerti.
"Dan saya cintakan orang lain!" Suraya berbicara
keras dan melangkah laju meninggalkan Ilham.