"Kak Su!" anak muda itu masih termengah-mengah
menarik nafas. Sambil membetulkan kot tebal yang menyarung tubuhnya, dia
mengukir senyuman.
"Tak sangka akak datang juga," pandangannya masih
melekat pada wajah gadis itu. Seakan tidak percaya. Setelah tiga tahun, gadis
itu muncul juga.
"Akak pun macam tak percaya," Suraya bersuara
sambil tertawa. Dia memerhati sekeliling.
"Najmi seorang saja?" Najmi tersenyum sambil
mengangguk. Troli beg Suraya disorongnya.
"Aida tak dapat datang, dia sibuk dengan praktikal.
Akak fahamlah, pelajar perubatan," Suraya mengangguk. Aida dan Najmi yang
dikenali lebih 3 tahun lalu semasa mereka berdua sedang mengikuti program
persediaan pelajar ke luar negara. Setelah tamat, kedua-dua mereka terbang ke
United Kingdom, Aida ke Ireland manakala Najmi di Manchester.
'Akak datang U.K., saya akan jadi pemandu pelancong sepenuh
masa akak," Najmi pernah berkata-kata seperti itu sebelum pergi. Suraya
hanya tersenyum dan mengangguk. Dia memang mahu ke sana. Memang impiannya untuk
melanjutkan pengajian ke luar negara. Bukan tidak layak, malah keputusan yang
diperoleh sepanjang pengajian sentiasa terbaik. Barangkali masih belum ada
rezeki dan dia sendiri memilih universiti di dalam negara untuk meneruskan
pengajian.