"Suraya," saat menoleh, Suraya seakan tidak
percaya dengan pandangannya.
"Macam tak percaya. Apa Suraya buat dekat sini?"
Ilham tersenyum memandang Suraya yang masih diam terkaku.
Suraya memandang Ilham. Tiga tahun yang lalu, setelah
dikhabarkan lelaki itu telah bertunang, Suraya mengambil keputusan untuk tidak
lagi berhubung dengannya. Mereka bukanlah kekasih, buukan juga sahaat baik,
cuma berhubung atas keperluan tugas sebagai ahli dalam persatuan yang sama.
Cuma, hatinya, hatinya tidak kuat untuk terus mendepani lelaki.
"Ilham," Suraya berbicara juga, menyebut nama
lelaki yang pernah mengisi ruang hatinya.
Ilham mengambil tempat di sisi Suraya. Jatung Suraya
berdegup kencang. Pertemuan ini benar-benar tidak dijangka. Dia memandang ke
hadapan. Green Park kelihatan dipenuhi pengunjung yang beriadah mahupun
pelancong yang mahu melawat Istana Buckingham.
"Saya dengar pasal Suraya dari Najmi," Ilham
memulakan bicara. Suraya masih diam, dalam fikiran cuba memproses apa yang
sedang berlaku.
"Bukan sebab Suraya ikut saya, Suraya pilih Universiti
London?" Suraya mengerutkan wajah, spontan dia berpaling menatap lelaki di
sisinya.
"Saya bergurau. Saya tahu, Suraya tidak tahu saya di
sini," Ilham turut berpaling menatap wajah Suraya beberapa ketika sebelum
sama-sama berpaling memandang kembali ke hadapan. Padang hijau dan pohon yang
merendang.
Sudah dikatakan, mereka bukan sahabat baik, mahupun teman
mesra. Perkenalan dan perhubungan sebatas rakan sekerja. Jika tidak kerana
tugasan, mana mungkin untuk mereka berbicara. Suraya canggung dan Ilham hanya
berdiam.
Musim luruh yang sudah hampir tiba. Walau pohon masih hijau
daunnya, angin yang terhembus luar biasa dinginnya. Sudah seminggu di sini,
Suraya masih belum biasa. Kot yang tersarung dikemaskan sambil memeluk tubuh
erat. Dingin yang menyapa tubuh tidak terasa di dalam hati. Hatinya hangat.
Suraya berhati-hati menjeling Ilham dengan hujung mata. Ilham. Dia masih
mencari tempat Ilham di hatinya.