Home Novel Cinta Leraikan Mimpi
Leraikan Mimpi
Lynn Suraya
3/1/2015 14:07:01
58,918
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

"Suraya masih cintakan saya?" Ilham luahkan juga. Pertemuan semula dengan Suraya di negara yang asing ini baginya takdir yang paling bermakna. Dia sedar perasaan Suraya terhadapnya sejak awal lagi. Dia sendiri menyenangi Suraya. Gadis itu ayu, sopan dan manis. Malah yang lebih memikat hati Ilham, Suraya gadis yang berprinsip dan pandai menjaga maruah diri. Segalanya tentang Suraya memang menawan hatinya. Cuma, sebelum mengenali Suraya, hati Ilham sudah lama dimiliki. Aqilah, teman satu sekolah. Janji yang diikat setelah tamat persekolahan membawa mereka ke jinjang perkahwinan. Mana mungkin untuk dia lupakan Aqilah dan janji mereka. Juga, dia masih mencintai Aqilah. Gadis yang pertama bertakhta di hatinya.

Namun, seperti hati Ilham yang beralih arah, hati Aqilah juga dilanda badai. Hampir lima tahun berjanji dan berhubungan dari jauh, hati Aqilah turut disentuh insan lain. Dalam keliru dan tidak mahu dianggap curang dan berkhianat, Aqilah diamkan saja perasaannya dan meneruskan juga ikatan janji yang telah termeterai. Menerima Ilham sebagai suami.

Tapi tidak mudah. Menerima Ilham bila dihatinya tersimpan nama lelaki yang lain. Bukan Aqilah tidak mencuba. Dia mencuba untuk melupakan Khairul. Teman sekuliah yang begitu mesra dan memahami. Ternyata, Ilham dan Khairul jauh berbeza. Ilham seorang yang dingin dan tidak banyak berbicara. Aqilah tahu, Ilham sangat mencintainya. Namun, cinta semata tidak mencukupi. Aqilah mengharapkan lebih dari itu. Dalam diam dia berhubung dengan Khairul. Tidak lebih sebagai sahabat baik. Aqilah sedar dia isteri orang namun, Khairul masih sahabat baiknya.

"Saya tak pernah cintakan awak Ilham, Maya yang sebutkan soal itu pada Kak Sofia. Bukan kehendak saya. Mungkin saya mengagumi awak tapi tidak cinta sama sekali," Suraya berbicara perlahan. Dia sendiri masih tidak pasti dengan hatinya. Namun, Ilham adalah suami orang. Dan dia tidak akan sekali-kali merosakkan rumah tangga orang.

Sudah hampir setahun dia meninggalkan Malaysia. Meninggalkan Aqilah. Saat mengetahui Aqilah mencintai lelaki lain dan masih berhubungan dengan lelaki itu, Ilham seperti hilang akal. Isteri yang dicintainya sepenuh hati boleh curang dengannya. Dia cuba meminta penjelasan. Namun Aqilah hanya mendiamkan diri dan akhirnya meminta untuk berpisah sementara. Kebetulan tawaran melanjutkan pengajian ke luar negara diterima. Aqilah berkeras untuk terus tinggal dan bekerja di Malaysia walaupun sebelum berkahwin mereka sudah berjanji untuk sama-sama ke luar negara apabila Ilham menyambung pengajian. Ilham kecewa. Biarpun dihambat rasa bersalah, Aqilah yakinkan Ilham dia akan setia menanti Ilham di Malaysia. Biarlah perpisahan ini menjadi penentu hala tuju perhubungan mereka.

Kehadiran Suraya benar-benar menghidupkan kembali jiwanya. Saat dia khabarkan masalah yang berlaku dalam perhubungannya dengan Aqilah, Kak Sofia menyebut soal Suraya. Dia dapat merasakan, Suraya memang ada hati dengannya cuma dia masih tidak pasti kebenarannya sehingga Kak Sofia sendiri membenarkannya. Namun, dia sudah berkahwin dan dia masih mahu meyakini Aqilah.

"Tapi, kalau saya melamar Suraya, Suraya boleh terima?" Ilham berkata tiba-tiba. Itu yang ingin diucapkan sejak pertemuan semula dengan Suraya. Dia mahu bersama Suraya. Dia mahu bahagia kembali.

Suraya terpaku mendengar kata-kata Ilham. Tiba-tiba mimpi 3 tahun lalu menjelma dalam ingatan.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.