Home Novel Cinta KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 8

Sementara menanti Dhia mencuba baju pengantin yang sudah siap dijahit, Qara hanya duduk santai sambil tangan lancar menyelak helai demi helai gambar baju pengantin milik Butik Pengantin Nelly. Ada pelbagai warna dan fesyen. Daripada baju pengantin yang lengkap untuk para Muslim dan Muslimah, sampailah kepada baju pengantin ala Barat yang singkat, sendat dan jarang.

Kalau dikenakan ke tubuh, dia tidak tahu bahagian mana dulu yang dilihat oleh tetamu yang datang. Muka pengantin yang tentunya berseri-seri kerana bergelar raja sehari, atau tubuh pengantin yang hampir-hampir menampakkan apa yang tidak patut diperlihatkan pada orang.

“Macam nak tayang kat orang aje,” kata Qara perlahan. Kemudian dia tergelak sendiri.

“Apa yang kelakar sangat tu Qara?” tanya Akid tiba-tiba.

Qara berpaling ke belakang. Terkejut bila disergah secara spontan. Melihat Akid berdiri tegak dengan dahi berlapis-lapis sedikit, dia tersenyum. Sangkanya siapalah yang tahu namanya di sini selain daripada Dhia dan Nelly. Namun melihat seraut wajah tenang di sisi tunang Dhia itu, senyumnya mati. Haq! Lelaki itu hanya memandangnya sekilas sebelum mengalihkan pandangan ke kawasan sekitar.

Kenapa mesti dia dipertemukan dengan Haq sekali lagi? Sampai ke hari ini, malunya pada Haq tidak pernah hilang.

“Kau buat apa kat sini Akid?”

“Tak mungkin aku datang sebab nak makan nasi kan?” Akid cuba membuat kelakar.

Haq yang masih berdiri, hanya tersenyum. Geli hati bila Akid selamba saja mengenakan Qara yang mungkin tidak bersedia. Adiknya itu memang tahu bagaimana hendak membuat loyar buruk.

“Buat kelakar eh?” Qara geram.

Ketawa Akid lepas bebas walaupun tidak sekuat mana. “Hidup kita ni terlalu singkat Qara. Jadinya, kita mesti selalu senyum dan ketawa.”

Akhirnya Qara tersenyum juga. Ya, hidup ini memang singkat. Lantaran itu, dia harus membuat keputusan yang paling baik untuk dirinya. Sama ada Dhia setuju atau tidak, dia akan tetap menyambung pelajarannya ke luar negara. Negara mana, masih belum diputuskan. Mungkin selepas majlis perkahwinan Dhia dan Akid nanti dia harus melihat-lihat negara mana yang sesuai untuknya.

Tentang Dhia, dia yakin Akid akan menjaga Dhia dengan baik.

“Dhia kata kau tak dapat datang, sebab tu aku temankan dia,” kata Qara.

Meetingaku selesai awal. Tu yang berkejar ke sini, terpaksa heret abang aku sekali.”

Dia menjeling Haq sekilas. Abangnya itu hanya diam, langsung tidak membuka mulut seperti selalu. Spontan cadangan untuk menyatukan Haq dengan Qara menjengah benaknya. Dhia nampak tidak bersetuju dengan ideanya, tapi tidak juga melarang. Mana tahu, memang jodoh abangnya dengan kawan Dhia itu.

Haq dapat isteri. Irham dapat ibu. Dan Dhia, tidak perlu lagi susah hati kalau-kalau Qara hendak belajar di luar negara.

“Mana Dhia?”

“Cuba baju kat dalam sana. Kalau masih ada yang tak puas hati, sempat betulkan lagi.”

“Kau dah tengok ke baju Dhia tu?”

“Tak lagi.”

“Kenapa?”

“Nanti masa korang kahwin, aku tengoklah. Kalau tengok sekarang takut seri Dhia hilang pula,” gurau Qara selamba. Usai berkata, dia tergelak. Dia cuba bertingkah seperti biasa dengan Akid, seolah-olah yang ada di ruang yang dipenuhi barang dan baju pengantin itu, hanya ada dia dan Akid. Namun tetap juga terasa kejanggalannya. Haq benar-benar telah menjadi gangguan dalam hidupnya.

Mendengar ketawa Qara yang pertama kali, Haq pandang muka wanita itu. Lunak saja suara itu di telinganya membuatkan dia terasa seperti dipukau. Mahu mendengar lagi dan lagi ketawa itu.

Huh... gila! Kenapa aku boleh fikir yang bukan-bukan ni?

“Aku pergi tengok Dhia kejaplah. Kau duduk sini temankan abang aku tau!”

Belum sempat Qara menjawab, Akid sudah melangkah laju. Dadanya berdebar-debar. Tidak selesa ditinggalkan hanya berdua dengan Haq. Matanya melingas mencari pekerja butik yang selalunya ada, tapi seorang pun tidak ada. Masing-masing bagaikan berpakat membiarkan dia dan Haq di situ.

Haq duduk di sofa berhadapan dengan Qara. Wanita itu dilihat kembali tunduk memandang album di tangan.

“Ehem...” Haq berdehem. Cuba menarik perhatian Qara. Rimas, bila berdiam diri begini.

Qara panggung kepala. Kemudian tersenyum, kelat.

“Sihat?” tanya Haq perlahan. Lembut saja nada suaranya.

“Alhamdulillah, sihat seadanya.”

Haq senyum. Bila Qara kembali menjatuhkan kepala ke bawah, dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Qara nampak ramah dan mesra bila dengan Akid. Namun wanita itu jadi sedingin ais bila berhadapan dengannya. Mulut Qara nampak berat hendak membalas pertanyaannya.

“Tak nak cuba baju pengganti?” Haq cuba memancing bual.

“Nak buat apa? Belum nak kahwin lagi,” balas Qara pantas. Dia memandang Haq.

Haq senyum tapi dia tidak tahu untuk apa dia tersenyum. Bukan ada yang lucu pun dengan kata-kata Qara. Hari ini wanita itu mengenakan seluar jean hitam dan blaus berwarna merah hati yang dipadankan dengan selendang bercorak abstrak. Cantik saja lilitan selendang itu membelit kepala Qara.

Agaknya, rambut Qara macam mana ya? Lurus, keriting halus atau ikal mayang?

Haq gigit bibir. Tidak faham dengan fikiran sendiri. Makin lama makin banyak saja hendak tahu tentang Qara.

“Kenapa belum nak kahwin? Umur sama dengan Dhia, kan?”

“Belum jodoh, nak buat macam mana?”

“Ke... memilih sangat?” duga Haq.

“Setiap orang, terutamanya perempuan, mengimpikan untuk berkahwin sekali aje dalam seumur hidup. Jadi, salah ke kalau saya memilih?”

Haq geleng. Qara kelihatan sedikit tegang. Beberapa hari lepas Akid memberitahunya tentang Qara yang pernah bercinta dengan Syahil. Kemudian Syahil menolak Qara kerana diugut Datuk Kamil dan Datin Jalilah. Cerita itu membuatkan dia teringat pada hinaan Datuk Kamil pada Qara. Tanda tanyanya sudah terjawab kini.

Masih bersedihkah Qara kerana ditinggalkan Syahil? Tapi lelaki seperti Syahil itu sebenarnya tidak layak menerima kesedihan Qara.

“Hidup ni tak boleh dijangka, Qara. Kita memang boleh buat pilihan, tapi pada akhirnya belum tentu pilihan kita tu akan kekal jadi pilihan kita,” luah Haq tenang. Dia terkenangkan diri sendiri.

“Maksud awak?”

Belum sempat Haq menjawab pertanyaan Qara, muncul Nelly. Melopong mulut wanita elegan itu melihat Qara bersama-sama seorang lelaki.

“Qara?” Tajam mata Nelly menatap Qara.

“Apa?” tanya Qara pelik. Riak Nelly nampak lain macam. Yakin, Nelly sedang cuba membaca fikirannya. Sepupu Dhia itu bukannya boleh dipercayai sangat. Mudah saja membuat andaian. Bila mata Nelly sekejap padanya dan sekejap pula pada Haq, dia sedar. Nelly sudah salah sangka!

“Yang handsomeni siapa?”

“Dia ni abang...”

“Hai... saya, Haq. Apa khabar?” Haq pantas memotong kata-kata Qara. Reaksi Qara yang nampak kalut, mencuit hatinya.

“Sihat. I, Nelly sepupu Dhia.” Ramah Nelly memperkenalkan diri.

Haq senyum nipis. Padanlah Qara kalut semacam.

Boyfriend baru Qara ya?”

“Kak Nelly...” Mata Qara sudah membulat.

“Diamlah! Kak Nelly bukan tanya pada Qara pun, Kak Nelly tanya pada Haq. Kalau Kak Nelly tanya pada Qara, bukannya mudah dapat jawapan.”

“Kak Nelly...” Qara terasa seperti hendak menangis. Tidak suka dengan mulut lepas Nelly. Segannya dia pada Haq bukan kepalang. Kalaulah dia tahu dia bakal menghadapi situasi seperti ini, dia lebih rela mengikut Akid melihat Dhia mencuba baju pengantin. Lepas ini tentu Haq akan menganggap yang bukan-bukan padanya.

Haq tergelak perlahan. Merah padam pada muka Qara buat dia rasa lucu.

“Datang sini nak cuba baju pengantin ke? Bila nak langsungnya? Nak yang macam mana?” Bertalu-talu soalan di bibir Nelly. Dia langsung tidak memberi peluang pada Qara untuk bersuara.

Baginya, Haq jauh lebih menarik dibandingkan Syahil. Air muka pun tenang, apalagi dengan rupa yang sedap mata memandang. Meskipun agak terkejut kerana semudah itu Qara mendapat pengganti, dia tetap mendoakan yang baik-baik untuk Qara. Syahil menolak Qara, bukan bermakna dunia Qara sudah berhenti berpusing.

Dan bagaikan berjanji, Syahil dan Elma tiba-tiba saja muncul di dalam ruangan yang sama. Muka Qara pucat tidak berdarah. Nelly kelihatan terpanar, terkejut kerana baru saja difikirkan sepupunya itu. Sedangkan Haq tetap juga mempamerkan air muka tenang. Lewat ekor matanya, dia memandang Qara.

Sungguh... ada simpati membenih dalam hatinya kala ini. Kenapa mesti ada lelaki yang menganggap hati seorang perempuan itu murah?

“Kau nak apa datang ke sini?” tanya Nelly dengan nada kurang mesra. Meskipun Syahil itu sepupunya, dia tetap tidak suka dengan apa yang dibuat pada Qara.

Syahil pandang Qara sekilas, dadanya yang ketat sejak Qara pergi beberapa hari lalu terasa seakan-akan lapang. Kemudian matanya jatuh ke arah Haq. Tidak mengerti, mengapa Haq ada di sisi Qara? Apa pula tujuan mereka berdua ke sini? Mencari baju kahwin seperti dia dan Elma?

Tapi... sejak bila pula Qara dan Haq bercinta? Atau selama ini, dalam diam Qara berlaku curang padanya?

Syahil kembali memandang Qara. Kali ini tajam matanya. Dia inginkan penjelasan daripada Qara. Sedangkan Haq hanya menjadi pemerhati. Dia nampak betapa canggungnya Qara. Mana ada perempuan yang gembira melihat bekas kekasih datang ke butik pengantin dengan kekasih baru.

“Nak cari baju pengantinlah. Itu pun masih nak tanya ke?” Elma menjawab meluat.

“Aku tak tanya kaulah!”

“Syahil jawab ke, aku jawab ke, tetap juga tak ada beza sebab aku dan Syahil tak lama lagi akan jadi suami isteri. Kami akan jadi pasangan yang paling bahagia dalam dunia ni.”

Qara gigit bibir. Kata-kata Elma menggores hatinya.

“Tak payah nak menunjuk sangatlah!”

Muka Elma berubah. “Kau ni... nama aje cousin Syahil tapi tak pernahnya nak menyenangkan hati Syahil,” kata Elma geram.

Nelly hanya mencebik. Sejak zaman sekolah lagi dia memang tidak pernah sukakan Elma. Bakal isteri Syahil itu suka membangga diri. Bagi Elma, dengan adanya wang ringgit apa pun boleh dilakukan.

“Kak Nelly... kalau Dhia dah selesai cuba baju, Kak Nelly bagi tahu dia yang saya tunggu dia kat luar.”

“Tapi kan Qara dengan Haq nak...”

“Saya keluar dulu,” potong Qara pantas. Tidak mahu mendengar kata-kata Nelly.

Lantas, kaki terus diayun pantas. Dia seperti ingin meraung di hadapan mereka semua kerana luka hatinya yang belum pun sembuh, ditoreh lagi. Bukannya dia tidak tahu Elma sengaja mahu menyakitkan hatinya. Kalau Nelly tidak ada, tentu lebih teruk lagi dia dikenakan bakal isteri Syahil itu.

“Ni semua kau punya pasal!” marah Nelly pada Elma.

Terus Syahil mengayun langkah, mengejar Qara. Dia perlukan penjelasan.

“Syahil, you nak ke mana tu?” jerit Elma kuat.

Syahil dengar, tapi dia tidak langsung berpaling. Marah dan rajuk Elma akan dipujuk dan kerja itu tidak sukar. Namun marah dalam hatinya akan bertukar menjadi api jika tidak tahu cerita sebenar. Bertanya pada Haq, tidak mungkin. Satu-satunya yang boleh diharap hanyalah Qara. Yang pasti, dia tidak rela sepanjang bergelar kekasihnya, Qara juga berkasih dengan Haq. Dia rasa dikhianati!

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.