Teragak-agak jari-jemari Qara
membantu Dhia menyiapkan bunga telur untuk majlis perkahwinan Dhia yang hanya
tinggal beberapa minggu sahaja. Ikutkan dia tidaklah mahir mana, malah
berkali-kali dicadangkan pada Dhia supaya beli di kedai. Tentu lebih cantik
lagi. Apalagi bagi anak orang kaya seperti Dhia, duit tentu bukan menjadi
masalah besar.
“Macam tak cantik aje aku buat
Dhia,” kata Qara sambil membelek-belek bunga telur berwarna silverhitam di tangannya.
“Apanya yang tak cantik? Aku
tengok macam elok aje,” kata Dhia selamba.
“Elok apa macam ni? Ada lima
kelopak, tapi setiap kelopak saiznya tak sama. Ada yang kecik, ada yang besar.”
Keluhan Qara kedengaran perlahan.
Dia tidak puas hati dengan hasil kerjanya.
“Eh, kau ni! Mengeluh macam orang
ada masalah besar aje.”
“Bunga telur kau ni tak lawa.
Karang orang kata apa pula? Buat nama aje anak Datuk tapi bunga telur entah
apa-apa.”
Sebagai kawan baik Dhia, dia
mahukan yang terbaik untuk Dhia. Kalau boleh biarlah majlis perkahwinan yang
bakal berlangsung dua minggu lagi itu menjadi kenangan terindah dalam hidupnya.
Selepas ini, entah bagaimana corak perjalanan hidup mereka berdua. Keputusannya
sudah bulat. Sudah tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuknya. Semuanya sudah
dibawa pergi.
“Lantaklah orang nak kata apa.
Yang penting aku happy.”
“Nanti ibu dan ayah kau malu.”
Bibir Dhia mencebik meluat. Sampai
ke hari ini, marahnya pada Datuk Kamil dan Datin Jalilah masih belum reda.
Gara-gara ugutan mereka, hati Qara terluka. Hanya hal itu tidak pernah disentuh
lagi. Biarlah dia dan Qara bertingkah seperti Syahil tidak pernah wujud dalam
hidup Qara.
Cukup-cukuplah dia melihat
tangisan Qara. Dia tidak mahu Qara menangis lagi bila kisah cinta tidak
kesampaian itu disebut.
“Aku peduli apa!”
“Dhia... itu ibu dan ayah kau.
Hargai mereka, sayang mereka selagi mereka masih ada sebab kau tak akan tahu
sampai setakat mana kau boleh sayangkan mereka. Berbakti untuk mereka,” tegur
Qara ikhlas.
“Aku bukannya tak nak hargai ibu
dan ayah aku.” Muram air muka Dhia.
“Jangan jadi macam aku, Dhia. Aku
langsung tak ada kesempatan balas jasa ibu dan ayah aku,” lirih suara Qara.
Hidup tanpa keluarga, langsung
tidak ada keindahannya. Semuanya terasa hambar.
“Sebab mereka, kau...”
Kepala Qara menggeleng pantas.
Pada bibirnya, ada senyuman. Tidak mahu Dhia terus mengungkit. Baginya, yang
sudah itu biarlah sudah. Memang luka hatinya tidak mudah untuk disembuhkan.
Cintanya bukan cinta pura-pura, tapi tidak ada sesiapa menjanjikan yang setiap
kisah cinta itu perlu berakhir dengan bahagia. Dia salah seorang daripada yang
tidak bahagia itu. Tapi dia terima apa yang berlaku dengan berlapang dada.
Jodoh tidak ada, siapa dia hendak
mempersoalkannya?
“Aku tetap tak dapat terima Qara.”
Perlahan suara Dhia.
Hubungannya dengan Syahil kini
menjadi renggang. Dia ke Timur, Syahil ke Barat. Ada juga abangnya itu
cuba-cuba mengajak dia berbual-bual. Namun dia sentiasa berusaha mengelak.
Sudah tidak ada apa yang hendak dikatakan pada Syahil. Semuanya sudah diluahkan
dan akhirnya, Syahil memilih meninggalkan Qara.
“Kau tak boleh buat macam tu.”
Dhia hanya diam. Tidak mahu
mengulas perkara itu lagi. Hatinya tidak
selembut hati Qara.
Qara mengerti, lalu dia ikut diam.
Bahasa tubuh Dhia bukannya sukar untuk dibaca kerana mereka sudah lama saling
berkongsi rasa.
“Kau tetap nak buat bunga telur ni
ke Dhia?” Qara ubah topik.
“Yalah, dah separuh pun kan kita
buat?” Mata, Dhia halakan di kawasan sekitar rumah milik Qara yang sudah tidak
kelihatan seperti rumah. Di mana-mana saja terdapat barang-barang
perkahwinannya. Walaupun rumah Datuk Kamil jauh lebih besar dibandingkan rumah
teres setingkat ini, dia lebih selesa di sini. Tidak besar tapi penuh dengan
kasih sayang. Tidak kosong seperti rumah tempat dia membesar selama ini.
“Kelopak bunga ni...”
“Alah, sedangkan kelopak bunga
hidup pun tak sama. Inikan pula kelopak buatan tangan kita yang memang tak
seni. Biar ajelah. Aku kahwin sekali aje, jadi biarlah aku tentukan nak buat
apa untuk majlis aku tu nanti.”
“Okeylah kalau kau dah kata macam
tu. Tapi nanti jangan menyesal pula ya.”
“Tak akan!”
Suasana di ruang tamu yang
keseluruhannya dicat dengan warna ungu kembali sepi. Baik Qara, mahupun Dhia, kedua-duanya
begitu tekun dengan kerja-kerja menyiapkan bunga telur untuk majlis perkahwinan
Dhia. Malah sudah beberapa hari mereka berdua tidak tidur malam. Masa sudah
suntuk benar. Buatnya bunga telur itu tidak siap, tentu haru jadinya.
“Apa perancangan kau lepas ni
Qara?” tanya Dhia tiba-tiba. Dia bersandar di dinding.
“Buat masa ni aku masih belum
fikir lagi. Tapi...” Qara menelan liur beberapa kali. Mulut ingin meluah kata,
namun hati seakan-akan enggan. Masa bagaikan tidak sesuai.
“Tapi?” Muka Dhia jelas terpeta
rasa ingin tahu.
Bunga telur di tangan yang masih
belum siap, Qara letak di atas lantai. Apa yang mahu dikatakan pada Dhia
bukannya perkara main-main. Tersilap kata, Dhia tentu akan merajuk panjang
dengannya.
“Aku rasa macam nak sambung
belajar.”
Dada Dhia yang tadi hampir meletup
kerana menahan debar, kembali berdegup secara normal. Kalau itu yang Qara mahu
buat, dia menyokong penuh. Daripada mengenangkan Syahil yang tidak tahu
menghargai, baiklah Qara menambahkan ilmu di dada. Ada juga faedahnya.
“Kat mana?”
“Aku dah lama duduk kat Malaysia,
ingat nak tukar angin di luar negara pula,” ujar Qara tenang.
Terkejut. Dhia terpanar untuk masa
beberapa detik. Cuba memproses kata-kata Qara yang tidak diduga.
“Kau nak tinggalkan aku?” tanyanya
sedikit tinggi.
“Kau dah ada Akid,” balas Qara
pantas. Tetap juga dalam nada tenang. Api lawannya air.
“Kau dan Akid dua orang yang
berbeza. Kalau kau betul nak sambung belajar, aku sokong. Tapi... tak perlulah
sampai ke luar negara. Jauh dan kau tak ada sesiapa kat sana,” luah Dhia
pantas. Dia tidak mahu Qara ke luar negara kerana hatinya kuat mengatakan,
sekali Qara pergi, kawannya itu tidak mungkin akan kembali sampai bila-bila.
Persahabatan mereka akan habis begitu saja.
Tidak! Qara tidak boleh ke
mana-mana dan dia akan pastikan Qara tidak akan ke mana-mana.
“Sana atau sini, sama aje Dhia.
Aku tetap dah tak ada sesiapa. Aku sebatang kara di bumi Malaysia ni.”
“Habis aku ni siapa? Bukan
siapa-siapa juga?” Suara Dhia naik setakah. Hatinya sakit dengan kata-kata Qara.
Qara hanya diam. Tidak tahu hendak
menjawab apa.
MUKA Dhia masam. Dia rasa marah
tapi tidak tahu dia lebih marahkan siapa. Qara yang hendak ke luar negara, atau
Syahil yang telah melapah-lapah hati Qara hingga kawannya itu mahu membawa
diri? Atau barangkali, ibu dan ayahnya yang selalu menganggap harta dan pangkat
itu raja kepada kehidupan?
“Sudahlah tu, tak eloklah Dhia
tayang muka macam tu. Nampak buruk,” usik Akid.
Dhia yang geram, pantas memukul
bahu Akid. Tunangnya itu tidak tahu betapa hatinya gusar. Bimbang kalau-kalau
Qara mengotakan apa yang dikata. Dia tidak mahu kehilangan kawan sebaik Qara.
“Biarlah Qara pergi kalau itu yang
terbaik untuk dia.”
“Mana boleh!” bangkang Dhia
beria-ia. Kepalanya menggeleng sungguh-sungguh.
“Qara dah cukup dewasa untuk
tentukan apa yang dia nak dalam hidup,” pujuk Akid lembut.
“Bukan itu yang Qara nak. Dhia
tahu!”
“Tapi itu yang dia cakap pada Dhia
kan?”
“Qara nak pergi sebab dia kecewa
dengan abang. Abang pun satu, main ikut aje cakap ibu dan ayah. Takut sangat
hidup susah. Padahal dia bukannya budak kecik yang makan nak kena bersuap,”
bebel Dhia. Dia bercakap seolah-olah yang ada di hadapannya ketika ini Syahil,
bukan Akid.
“Mungkin bila bertukar angin, hati
Qara akan terpujuk.”
“Tak boleh! Tak boleh! Qara tak
boleh pergi. Dhia tak nak Qara pergi.”
Hatinya libang-libu dengan apa
yang diberitahu Qara, lantaran itu dia bertemu Akid di rumah lelaki itu. Tidak
betah terus pulang ke rumah. Bimbang kalau-kalau dia mengamuk di hadapan ibu
dan ayahnya. Lebih bimbang jika hari ini muka Syahil benar-benar bertanda
dikerjakan.
“Dhia tak boleh macam ni. Qara...”
“Dhia tetap tak nak Qara pergi!
Hati Dhia kata, sekali ni kalau Qara pergi, Qara mungkin tak akan kembali lagi.
Hati Qara dah hancur dan Qara rasa dah tak ada apa-apa untuk dia terus bertahan
di sini.” Nada yang tadinya kuat, perlahan-lahan bertukar rendah. Kolam matanya
terasa hangat.
Sejak sekolah rendah, dia dan Qara
sudah bersahabat. Selama ini mereka jatuh dan bangun bersama. Sentiasa ada
antara satu sama lain. Kalau tiba-tiba Qara hilang daripada pandangan mata, dia
tidak dapat menerimanya.
“Habis tu Dhia nak buat macam
mana?” tanya Akid ingin tahu. Kasihan pula dia melihat Dhia nampak tidak keruan
seperti ini.
“Dhia kena cari jalan supaya Qara
tak pergi.”
“Macam mana?”
“Dhia tak tahu. Puas Dhia fikir
sepanjang perjalanan datang ke sini tadi. Tapi otak Dhia buntu. Dhia tak jumpa
cara untuk pastikan Qara tak ke mana-mana,” luah Dhia kesal. “Tolonglah Dhia,
Akid. Dhia tak nak Qara pergi...” pinta Dhia pada Akid. Matanya yang berkaca
menikam anak mata Akid. Hanya pada lelaki itu dia sandarkan harapan.
Baru saja Akid hendak membuka
mulut, Haq muncul bersama-sama Ihram membuatkan kata-katanya mati begitu saja.
“Dhia... dah lama sampai?” sapa
Haq dengan senyuman.
“Baru lagi,” balas Dhia perlahan.
Dia memegang tangan kecil Irham. Terasa pegangannya berbalas, dia tersenyum.
“Irham...” panggil Dhia lembut.
Diusik-usik pipi Irham geram.
Haq pandang Akid, bertanya tanpa
suara. Mata Dhia yang merah dan raut yang tidak ceria membuatkan dia sedikit
pelik. Bila Akid menjongketkan bahu, dia mengerti. Mungkin sesuatu telah
berlaku dan sesuatu itu tentunya tidak ada kaitan dengannya. Dia pun bukannya
kenal benar dengan Dhia. Ketika dia dan Irham pulang ke tanah air, Dhia sudah
bergelar tunangan Akid.
“Buat macam rumah sendiri aje
Dhia. Abang Haq nak bawa Irham ambil angin kat taman mini umi sekejap.”
“Yalah...” balas Dhia.
Saat tubuh Haq dan Ihram hilang
daripada pandangan, Akid kembali memberikan tumpuan kepada Dhia yang jelas
masih bersedih. Dia tahu betapa Dhia sayangkan Qara. Ketika dia cuba memikat
Dhia di universiti, wanita kesayangannya itu menyuruh dia mengambil hati Qara
terlebih dahulu. Kalau Qara kata okey, barulah Dhia akan menerimanya. Mujur
juga Qara memang tidak ada masalah dengannya. Kalau tidak, impian memiliki Dhia
hanya tinggal impian semata-mata. Sedangkan, pertama kali terpandangkan Dhia,
terasa jantungnya berdegup kencang.
“Dhia...”
Dhia mengeluh perlahan. Majlis
perkahwinannya sudah dekat benar, namun bukan itu yang dia gusarkan.
“Apa kata kalau kita kahwinkan
Qara dengan Abang Haq?”
Mulut Dhia melopong sedikit. Tidak
percaya dengan idea spontan Akid. Langsung dia tidak terfikir. “Akid kalau nak
bagi idea pun, agak-agaklah sikit. Qara baru putus cinta kot. Takkanlah
senang-senang aje nak suruh dia kahwin?”
“Kenapa kalau Qara baru putus
cinta? Bukan salah Qara pun. Abang Dhia pun satu, ada ke lebih pilih harta
daripada cinta,” kata Akid bagaikan merungut. Tidak puas hati dengan Syahil yang
tidak setia.
Terbungkam Dhia. Memang Syahil
yang bersalah. Tapi siapa dia hendak memaksa?
“Ini aje satu-satunya jalan yang
Akid nampak untuk pastikan Qara tak ke mana-mana.”