Home Novel Cinta KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 9

Qara pejamkan matanya rapat-rapat. Tidak mahu air matanya tumpah sekali lagi. Cukup-cukuplah dia menangisi cinta Syahil yang tidak menjanjikan apa-apa. Dia mahu nampak kuat di mata lelaki itu. Mahu Syahil tahu yang dia tidak akan mati hanya kerana patah hati. Namun bila Syahil dan Elma muncul di hadapannya, hati dan tubuhnya terasa seakan-akan melemah dengan sendirinya.

“Qara!” panggil Syahil sedikit kuat.

Qara tidak menoleh. Berterusan memandang Syahil hanya membuatkan dia jadi sedih. Lebih daripada itu, dia tidak mahu melihat betapa mesranya Syahil melayan Elma. Kekuatannya belum sampai ke tahap itu.

“Qara!” Kali ini lebih kuat panggilan Syahil. Hatinya sakit melihat Qara terus beku.

Syahil berdiri di sisi Qara yang sudah pun bersandar di dinding Butik Pengantin Nelly. Qara dengar suaranya. Wanita itu tahu dia ada di situ. Namun Qara langsung tidak mengangkat muka memandangnya. Sangkaannya pada hubungan Qara dan Haq menjadi semakin melebar.

“Saya cakap dengan awak, Qara!”

“Jadi?” Datar saja nada Qara. Tidak mengerti mengapa Syahil menjejakinya sampai ke luar butik.

“Ada yang nak saya tanyakan pada awak ni,” kata Syahil bagaikan mendesak.

“Apa?” Masih nada yang sama Qara berikan.

Makin sakit hati Syahil jadinya. “Yang awak dingin sangat ni kenapa?”

Kali ini Qara memusingkan badannya. Ketiadaan Elma membuatkan hatinya sedikit lega. Tidaklah hatinya terus terluka.

“Apa yang awak harapkan lepas apa yang jadi? Saya layan awak macam dulu?”

“Tidaklah macam tu. Tapi perlu ke nak dingin sangat?”

Sinis bibir Qara mencebik. Sekuat mana pun dia, kadang-kadang terbit juga perasaan ingin membalas perbuatan Syahil padanya. Namun sampai ke hari ini, dia terus memujuk hati supaya reda. Bukan hanya Syahil satu-satunya lelaki di dalam dunia ini. Dia tidak boleh terlalu mengikut hati.

“Masuklah Syahil, tak elok Elma tengok awak cari saya macam ni.”

“Dia tak kisah. Dia faham.”

“Hati perempuan lembut, mudah tersentuh. Bila dia tak bersuara bukan bermakna dia tak kisah. Awak kena tahu tu.”

“Kan saya dah kata yang dia tak kisah. Yang awak peduli sangat pasal Elma tu kenapa?” Syahil sedikit membentak. Ketenangan Qara mencabar kesabarannya. Hilang rasa bersalah yang dibendung dalam sekelip mata.

“Kenapa awak nak marah saya?”

“Mana ada saya marahkan awak!” sangkal Syahil, sedangkan suaranya tinggi.

Qara gigit bibir perlahan. Keliru melihat keadaan Syahil. Sepatutnya dia yang marahkan Syahil, tapi kenapa seperti terbalik?

“Apa yang awak buat datang dengan Haq ke sini?”

“Apa maksud awak ni?”

“Apa hubungan awak dengan Haq?”

Terpanar Qara dengan soalan kedua daripada Syahil. Namun dia mengerti kini. Hanya kerana melihat dia bersama-sama Haq, Syahil sanggup meninggalkan Elma yang kedengaran masih marah-marah. Diam-diam dia mencari sesuatu pada wajah Syahil. Cemburu? Tidak ada. Marah? Ya... Syahil nampak seperti marah benar dan dia rasa agak aneh dengan kemarahan Syahil. Setahunya, lelaki itu bukan jenis mudah melenting. Syahil selalu saja tenang dalam apa pun keadaan.

“Untuk apa soalan itu ditanyakan pada saya sedangkan antara kita dah selesai?”

“Selama ini awak tipu saya kan?”

Kecil mata Qara kerana renungannya yang tajam pada Syahil. Mudah benar rupanya menjadi seorang Syahil.

“Awak tuduh saya?” Ketawa sinis Qara kedengaran. Sejujurnya ketika ini, dia bukannya mahu ketawa. Dia mahu menangis.

“Dalam diam tanpa pengetahuan saya, awak jalinkan hubungan dengan Haq, kan?”

Haq? Kenapa mesti lelaki yang baru muncul dalam hidupnya itu yang mahu dijadikan penyebab?

“Sampai hati awak, Syahil...”

“Jangan cuba nak berselindung!”

Kepala Qara menggeleng. Rasa kecewa dan marahnya bergabung menjadi satu. “Kalau awak yang bersalah, jangan cuba lambakkan kesalahan awak atas bahu saya. Cubaan awak untuk menghilangkan rasa bersalah dan berdosa awak pada saya tak akan berhasil. Tahu kenapa?” Kata-kata, sengaja Qara hentikan. Terkilan berladung dalam hatinya. Syahil memang benar-benar kejam.

Bungkam. Syahil hanya mendengar.

“Sebab saya bukan awak yang anggap cinta tu boleh dijual beli. Saya bukan awak dan saya tak mungkin jadi macam awak...”

Syahil tidak membalas kerana gagal mencari diksi yang sesuai untuk membela diri. Kata-kata Qara dalam nada yang tenang seperti menampar pipinya. Sakit bukan setakat di pipi, tapi di hati lebih terasa. Bila melihat mata Qara yang memerah, dia tersandar lemah di sisi wanita itu.

“Apa yang kau buat dengan Qara?” tanya Akid garang. Matanya bercincin merenung Syahil.

“Akid...” tegur Haq. Tidak mahu Akid mengeruhkan keadaan.

“Aku tak suka dia buat Qara macam ni. Dah ada Elma, masih juga nak kejar Qara. Dia nak apa lagi?”

“Kau kena jaga hati Dhia sama. Aku tak nak sebab hal ni jejaskan hubungan kau dengan Dhia. Tak lama lagi dah nak kahwin pun,” pujuk Haq.

“Dhia pun tak suka Syahil buat Qara macam ni,” sanggah Akid geram.

“Akid... aku... aku...” Tergagap-gagap suara Syahil. Sudahnya dia hanya diam.

Bila Qara berpaling membelakangkan mereka semua, Haq terasa sesuatu di hatinya. Dia tahu ketika ini Qara sedang menitiskan air mata. Di kiri ada Dhia, di kanan ada luka yang Syahil ukir. Kalau pun Qara mahu lari, wanita itu tetap juga tidak akan ke mana-mana. Persahabatan yang utuh telah mengikat kuat hati Qara.

Bukan salah Qara!

Bukan juga silap Qara kerana bersahabat dengan Dhia.

Yang bodoh, hanya Syahil! Lelaki itu yang tidak tahu menjaga cinta sendiri.

“Kau dah pilih Elma sebagai bakal isteri kau. Lepaskan Qara, dia berhak dapatkan lelaki yang jauh lebih baik daripada kau. Lelaki yang tahu hargai dia, yang tak pernah takut untuk hidup susah bersama-sama dia. Dan yang lebih penting, boleh terima Qara walaupun Qara cuma anak yatim piatu. Jangan ganggu Qara lagi. Dia dah cukup terluka sebab kau,” kata Haq panjang lebar.

Sungguh... dia terasa seperti mahu menghapuskan air mata di pipi Qara.

Dia tahu Syahil abang Dhia. Tapi apa yang telah Syahil buat pada Qara benar-benar telah menghilangkan rasa hormatnya pada lelaki itu. Tidak berbaik-baik dengan Syahil pun tidak mengapa. Tidak akan menjadi kudis. Yang bakal jadi suami Dhia, Akid. Bukannya dia.

Makin bergegar bahu Qara, dia rasa sebak dengan apa yang diungkapkan Haq.

Kenapa Syahil tidak berfikiran seperti Haq? Kenapa Haq seperti membelanya?

“Aku... aku...” Sekali lagi Syahil tergagap-gagap.

Dia menghela nafas panjang sebelum menghembuskannya sekali lalu. Hatinya galau. Mukanya terasa tebal berinci-inci. Segan kerana Haq yang baru dikenali itu selamba saja menegurnya di hadapan Akid. Sedangkan Qara langsung tidak bergerak ke mana-mana. Dia menyesal kerana mengekori Qara.

“Aku tak niat nak kacau hidup Qara, aku hanya inginkan penjelasan.”

“Penjelasan apa?” Akid yang bertanya. Sedangkan Qara dan Haq hanya diam.

“Apa hubungan Qara dengan Haq?”

Qara memusingkan tubuhnya. Air mata di pipi diseka kasar. Hilang malunya kerana menangis di hadapan mereka. Hatinya seperti ditusuk duri. Sudah dijelaskan, tetap juga Syahil tidak mahu percaya.

“Apa maksud kau sebenarnya ni Syahil?”

Mencerun mata Akid. Hilang sabar, memang abang Dhia ini dicepuknya juga.

“Aku nampak Qara dengan Haq dalam butik tadi. Aku...”

“Kenapa kalau aku ada hubungan dengan Qara?”

Tiga pasang mata menombak muka tenang Haq dengan ekspresi yang berbeza. Akid dengan rupa tidak mengerti. Syahil dengan riak terkejut. Dan Qara, hanya nampak kosong ada di mana-mana. Blur!

“Qara kata dia tak ada apa-apa hubungan dengan kau. Qara kata dia tak pernah curang dengan aku.” Syahil yang paling cepat kembali ke dunia nyata.

Lepas bebas ketawa Haq. Tapi sinis! Kecil saja Syahil di matanya.

“Kalau dah Qara cakap macam tu, apa perlunya kau ulang tanya sekali lagi soalan yang sama?”

Syahil gigit bibir. Termalu lagi dia di hadapan Haq yang nampak sangat berkarisma. Hari ini saja berkali-kali air mukanya dipijak bakal abang ipar Dhia itu.

Kepala Qara menggeleng. Kesal. Lantas, dia melangkah pergi. Sudah tidak melihat keperluan dia ada di situ. Dalam diam, dia berdoa biarlah hari ini hari terakhir dia berjumpa dengan Syahil. Bimbang jika keadaan sama berulang, tangan kanannya kelak terletak elok di pipi lelaki itu.

“Qara!”

Dia dengar suara Haq memanggil namanya, namun Qara makin melajukan langkah. Ikutkan hati dia mahu lari selaju mungkin. Tidak mahu Haq terus melihat mata dan mukanya yang sembap. Ya... dia berterima kasih kepada lelaki itu. Tapi air mukanya sudah tidak ada untuk berhadapan dengan Haq.

“Qara!”

Qara menetapkan hati, kuda-kuda dipasang. Dia benar-benar mahu lari kerana Haq makin mendekat. Baru selangkah hendak memecut laju, lengannya ditarik kasar. Kaku terus pergerakannya.

“Nak ke mana?” tanya Haq perlahan. “Nak lari ke mana?” ulang Haq masih dalam nada yang sama.

“Saya nak balik,” jawab Qara lemah.

“Dengan cara berlari?” duga Haq. Mata Qara masih berkaca-kaca.

Qara gigit bibir. Dia tidak mahu menangis tapi air matanya tetap juga mahu keluar. Saat tangan kanan Haq menadah air matanya yang mengalir ke dagu dan hampir menitis ke lantai, tangisan Qara berhamburan. Tubuhnya melorot ke bawah perlahan-lahan. Ternyata, hari ini lebih sakit dibandingkan hari Syahil berterus terang tempoh hari.

Haq hanya melihat tanpa memujuk. Kalau dengan cara menangis Qara dapat menghapuskan kesedihan di hati, biarlah Qara menangis selama mana yang Qara mahu. Dia akur, ada keadaan di mana pujukan yang diberi hanya membuatkan hati yang terluka jadi lebih luka. Qara sudah cukup terluka, dia tidak mahu menambah luka itu.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.