KEPALA Dhia menggeleng lagi untuk
ke sekian kalinya. Katalah apa pun, bagilah alasan panjang berjela pun. Tetap
juga dia tidak setuju. Baginya, apa yang baru keluar daripada bibir Akid memang
langsung tidak masuk akal. Macamlah tidak ada orang lain di dalam dunia ini.
“Abang Haq single, Qara pun single
juga. Apa masalahnya kalau yang single
tu kita jadikan double?”
“Tetap juga tak boleh!” Dhia tetap
berkeras dengan pendiriannya.
“Lah... Qara pun belum tau
apa-apa, Dhia yang lebih-lebih tolak. Entah-entah Qara tak kisah pun.”
“Qara mesti kisah punya, Dhia
tahu.”
“Akid tak rasalah yang Qara tu
kisah. Dia bukan jenis banyak kerenah pun.”
Bulat mata Dhia menikam Akid.
Kurang setuju dengan kata-kata tersebut. Baik Akid mahu pun Haq, dirasakan
terlalu mementingkan diri sendiri. Hanya disebabkan tidak ada pilihan, maka
sepakat memilih Qara. Mereka bagaikan memilih kawan baiknya itu pada saat pilihan lain sudah tidak ada.
Adakah di mata mereka berdua, Qara
itu benar-benar tidak ada harga?
Takkanlah jalan fikiran Akid dan
Haq sama seperti segelintir masyarakat yang hanya memikirkan soal harta dan
darjat?
“Kalau pun Qara tak banyak
kerenah, perlu ke kita ambil kesempatan?”
Akid diam seketika. Lain yang dia
cuba sampaikan, lain pula pemahaman Dhia. Memanglah isterinya itu jenis yang
kurang sabar. Dia mengajak berbincang, tapi Dhia anggap dia sengaja mencari
sebab untuk bertengkar.
“Dia nilah! Suka sangat fikir yang
bukan-bukan,” rengus Akid sambil mengeluh.
“Apa pula? Akid yang kata Abang
Haq hanya nampak Qara aje.”
“Memang abang cakap macam tu,
takkanlah Akid nak tokok tambah pula?”
“Hah... dah betullah tu! Apa
bezanya pun kalau pilih salah satu daripada calon pilihan umi? Irham tetap juga
dapat ibu.”
“Calon pilihan umi?” Bibir Akid
senget sedikit. Ngeri membayangkannya.
“Habis tu takkanlah calon pilihan
Siti Nurhaliza pula, kan?”
Usai Dhia berkata, Akid sudah
melambakkan ketawa. Dalam keadaan mereka serius, sempat lagi Dhia membuat
kelakar. Memanglah isterinya itu tidak ketawa, tapi hatinya rasa digeletek.
Banyak-banyak nama, kenapalah mesti nama isteri Datuk K itu juga yang disebut
Dhia.
Macam kartun, detik hati Akid. Itu
tidak berani dizahirkan. Bimbang muncung Dhia panjang sedepa.
“Calon umi semuanya tak menepati
piawaianlah, Dhia.”
“Eh... memilih pula!” tempelak
Dhia selamba.
“Abang tu nak cari isteri, ibu
kepada Irham. Takkanlah nak tangkap muat aje. Karang kalau Irham dibaling
keluar dari tingkap, Dhia nak bertanggungjawab?”
“Kenapa Dhia pula yang kena?”
“Sebab Dhia yang suruh abang pilih
calon umi.”
“Habis tu takkanlah Qara kot?”
“Qaralah. Qara aje yang abang
fikir paling sesuai untuk dia dan Irham.”
Dhia tarik muka. Bukannya dia
tidak setuju Haq menjadikan Qara isteri. Tapi dia tidak mahu pisang berbuah dua
kali. Dulu, dia beria-ia mahu Qara dengan Syahil. Sudahnya hubungan itu tidak
ke mana. Qara kecewa dan dia sendiri bimbang kekecewaan itu akan menjejaskan
persahabatan mereka. Mujur juga Qara jenis rasional.
Kini, sekali lagi? Jika
ditakdirkan hubungan Qara dan Haq bermasalah, masih akan rasionalkah Qara?
“Tak bolehlah, Akid. Dhia tak
setuju.” Nada suara Dhia turun sedikit.
“Dhia...” Akid nampak betapa Dhia
cuba melindungi Qara.
“Cara Abang Haq macam sengaja nak
gunakan Qara untuk jaga Irham aje.”
“Dhia pun nampakkan betapa Qara tu
sukakan Irham? Senyum dia lebar sampai ke telinga kalau nampak Irham.”
Akid teringat ketika majlis
perkahwinannya bulan lepas. Memang gempar sedikit keadaan rumahnya bila Haq
muncul bersama-sama Qara seawal pukul 6.45 pagi. Muncung panjang bibir Hajah
Yasirah. Tajam mata uminya menatap muka Qara. Sudahnya, Qara hanya duduk di
dalam bilik tetamu sambil ditemani Irham. Makan pun dihantar Haq. Qara hanya
muncul ketika sesi bergambar. Itu pun selepas jenuh dipaksa Haq.
“Tapi takkanlah sampai nak kena
kahwin kot Akid?”
“Biarlah mereka kahwin. Akid rasa
tu lagi bagus daripada bercinta-cinta macam nak rak dan lepas tu kecewa.”
Dhia tahu, Akid menujukan
kata-kata itu pada Syahil.
“Dhia rasa Qara boleh dapat orang
yang lebih baik lagi.”
Akid mengeluh panjang. Kata-kata
Dhia sedikit mengecilkan hatinya. Yang mereka sedang bualkan, Haq. Lelaki itu
abangnya, satu-satunya abang yang dia ada di dalam dunia ini. Macam mana dia
cuba bersikap tenang pun, bila ada yang mencubit Haq tetap juga dia terasa
sama.
“Adakah Dhia rasa abang tak baik?”
Dhia terpanar. Terlalu mahu
melindungi Qara buat dia terlupa hakikat bahawa Akid dan Haq itu abang dan
adik.
Lalu tangan kasar Akid dicapai,
dikucup sayang. Kesalnya datang menderu-deru. Inilah satu-satunya lelaki yang
mampu bertahan melayan kerenahnya. Kurang dan lebih dirinya, diterima Akid
seadanya. Marah dan rajuknya tidak pernah tidak dipujuk. Dia berbahagia menjadi
isteri Akid. Malah dia selalu berdoa, biarlah hidup matinya bersama-sama Akid.
Dia tidak mahu menjadi isteri Akid setakat di dunia, kalau boleh biarlah sampai
bersambung di syurga kelak.
“Maaf... Dhia bukan nak
rendah-rendahkan Abang Haq. Bukan itu maksud Dhia.”
Akid hanya mendengar. Hatinya
terpujuk. Dhia memang keras kepala dan hati, tapi Dhia tidak pernah malu
memohon maaf jika sudah melakukan kesalahan.
“Yang Dhia maksudkan, Abang Haq tu
duda.”
Mata Akid membuntang. Ada gelakkan
halus di bibirnya. “Apa masalahnya?”
“Qara tu anak dara lagilah.”
“Akid tak sangka Dhia yang nampak
moden rupa-rupanya kolot juga ya? Zaman sekarang orang dah tak peduli dah sama
ada duda atau bujang. Yang penting gembira dan bahagia. Janda pun laku tau
sekarang ni?” usik Akid pada Dhia. Isterinya itu ada-ada saja!
“Ada anak lagi. Macam tak kena aje
Dhia rasa...”
“Itu pun jadi masalah ke? Bukan
abang nak kahwin dengan Dhia pun tapi dengan Qara.”
Pantas Dhia jeling Akid. Dia
serius, suaminya itu main-main pula.
“Lagipun... dudalah bagus. Banyak
pengalaman!”
Beberapa saat kemudian, bergema
jeritan Akid. Perit lengannya gara-gara menerima cubitan berbisa Dhia. Tapi
sedikit pun dia tidak terasa hati. Salah dia juga. Muka Dhia punyalah serius,
masih ada hati hendak main-main. Kalau lengannya ini lebam untuk masa beberapa
hari, memang padanlah dengan mukanya.
Namun jauh di sudut hati, dia
berharap dan berdoa. Kalau memang jodoh Haq dengan Qara, biarlah segala-galanya
dipermudahkan.
“Dhia tak sukalah Qara dengan
Abang Haq...”
Terus Akid tepuk dahi. Dhia...
alahai kenapa susah sangat?
HAQ terus melabuhkan punggung
berhadapan dengan Dhia yang hanya duduk termenung di ruang tamu. Entah apa yang
adik iparnya itu fikirkan, dia tidak tahu. Tapi dia benar-benar berterima kasih
bila Akid bagaikan memberi ruang padanya untuk berbicara secara empat mata
dengan Dhia.
“Akid kata, Dhia tak setuju kalau
Abang Haq dengan Qara,” kata Haq tenang.
Dhia cuba tersenyum pada Haq.
Namun senyumnya kelat tidak bergula.
“Abang Haq dah cakap pada Qara
ke?” tanya Dhia ingin tahu.
“Abang Haq tak cakap lagi.”
“Abang Haq tak payah cakaplah.
Biarkan cerita ni habis setakat ni aje,” pinta Dhia dalam nada perlahan.
Memang dia pernah marahkan Haq
tempoh hari, tapi ketika itu Haq sudah melakukan kesalahan pada Qara. Hari ini
Haq tidak buat apa-apa. Hanya sekadar mahu menyebut apa yang telah disebut Akid
padanya. Makanya, tidak perlulah dia hendak melenting seperti perempuan
meroyan.
“Kenapa?”
“Jangan ganggu Qara. Qara berhak
tentukan apa yang dia mahukan.”
“Mana kita tahu Qara tak setuju
jadi isteri Abang Haq? Kita tak pernah tanya dia.”
Haq sedar, meyakinkan Akid tentu
saja tidak sesukar meyakinkan Dhia. Namun selagi mampu dia akan cuba berusaha.
Dia sudah berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Baik dan buruk juga sudah
dipertimbangkan. Kesimpulannya, hatinya yakin hanya Qara yang dia mahu. Memang
rasa cinta dan sayang untuk Qara tidak pernah ada dalam hatinya, tapi Qara
selalu ada dalam fikirannya.
“Tak adil untuk Qara, Abang Haq.”
“Abang Haq bukan nak aniaya hidup
dia, Dhia...”
“Qara tu dah tak ada sesiapa dalam
dunia ni.” Dhia cuba menyedarkan Haq.
Senyuman Haq melebar. Rasa sayang
Dhia pada Qara membuatkan hatinya tersentuh. Sungguhlah, ALLAH itu tidak kejam!
Diambil seluruh ahli keluarga Qara, tapi digantikan dengan seorang Dhia yang
tentunya mampu menceriakan hidup Qara. Jika Dhia tidak kisah, dia juga mahu
menjadi orang penting dalam hidup Qara.
Tapi kalau diterangkan, mahukah
Dhia percaya?
“Salah satu sebab Abang Haq nak
Qara, sebab itu juga.”
Dahi Dhia sedikit berlapis-lapis.
Bukannya dia tidak tahu sebab sebenar. Adakah Haq cuba menipunya demi
mendapatkan sokongannya?
“Bukan sebab Irham?”
“Itu mungkin sebab utama. Tapi
Abang Haq nak Dhia tahu, bukan cuma sebab Irham, Abang Haq nak jadikan Qara
isteri. Abang Haq pun jadi sebab juga. Abang Haq fikir dah sampai masa Abang
Haq mulakan hidup baru. Bina keluarga sempurna, ada isteri dan anak. Umur Abang
Haq dah makin banyak,” terang Haq jujur.
Tahun hadapan, umurnya genap 31
tahun. Tapi dalam usia ini, sudah banyak yang dapat dicapai. Pelajarannya boleh
dibanggakan. Kerjaya juga tidak ada masalah kerana dia bekerja di Sutera
Printing Sdn. Bhd. yang dimiliki Haji Lukman.
Sampai satu masa kelak, dia dan Akidlah yang akan menjadi teraju utama
syarikat percetakan itu.
Dia bersyukur dengan
pencapaiannya. Namun dalam pada bersyukur, dia harus memikirkan soal keluarga
juga. Benar kata walidnya, sampai bila dia hendak membesarkan Irham sendiri.
Lambat-laun Irham tentu mahu punya seorang ibu. Dia sendiri, sampai bila hendak
begini?
Kadang-kadang fikiran nakalnya
menerawang ke satu destinasi yang tidak sepatutnya dilawati. Dia inginkan
jari-jemari halus memicit-micit lembut bahu dan kepalanya jika terasa letih.
Mahukan kepulangannya daripada kerja disambut dengan senyuman manis. Mahukan
pelukan erat pada saat hatinya tidak tenteram. Malah lebih jauh lagi, dia mahu
malam-malamnya ditemani seorang perempuan bergelar isteri.
Untuk semua fikiran nakal itu, dia
hanya nampak seraut wajah dengan lesung pipit di kiri dan kanan.
Ya... dia hanya nampak Qara Nisa!
Jadi salahkah jika dia mahu Qara
yang ada di fikirannya, benar-benar ada di sisinya?
“Kenapa mesti Qara?”
“Sebab Qara ada semua kualiti yang
Abang Haq nak. Dan lagi, bila Qara jadi isteri Abang Haq, dia tak mungkin akan
sambung pelajaran ke luar negara. Takkah itu berita baik untuk Dhia?”
Akhirnya, setelah beberapa minit
masa berlalu, senyuman yang benar-benar ikhlas terbit juga di bibir Dhia.
Mungkin memang ini jalan yang telah ditetapkan untuk Qara. Bercinta dengan
abang kandungnya, tapi mengakhiri zaman bujang dengan abang iparnya. Hidup ini
memang benar-benar misteri!
Haq yang melihat senyuman itu,
menarik nafas lega. Tahu, Dhia sudah yakin pada kesungguhannya. Selepas ini dia
perlu meyakinkan tuan punya diri pula. Kalau Qara tidak mahu? Entahlah! Malas
dia hendak berfikir hal yang negatif. Dia percaya, bila memikirkan yang
baik-baik, mengharapkan yang baik-baik, yang didatangkan akan baik-baik juga.
“Abang Haq janji tak akan
sia-siakan Qara?”
“Insya-ALLAH... kawan Dhia tu akan
gembira dan bahagia di sisi Abang Haq.”
“Tak niat nak buat apa-apa kontrak
kan lepas kahwin?”
Terkedu sesaat dua, akhirnya Haq
ketawa perlahan. Kontrak perkahwinan dengan Qara? Melayari mimpi asing-asing? Tidak mungkin! Qara harus bermimpi bersama-samanya.