BERBANDING menghadiri majlis
perkahwinan Dhia dan Akid di rumah Datuk Kamil dengan Haji Lukman, Qara lebih
suka di sini. Mungkin keadaan di sini jauh lebih santai. Atau lebih tepat lagi,
yang akan dilihat duduk di atas pelamin esok hanya Dhia dan Akid. Syahil yang
menjengkelkan itu tidak ada.
Ya... sejak hari dia menangis
beria-ia dan memukul Haq, dia sudah tidak sedih lagi.
Lelaki itu sudah dibakulsampahkan
dan ditendang jauh-jauh. Tidak ada untung mengingati lelaki yang kini sudah
menjadi milik Elma. Tanpa Syahil, dia tidak mungkin akan mati.
Ah... malas dah nak fikirkan
tentang Syahil tu, rungut hatinya.
“Tapi... perlu ke Dhia dan Akid paksa aku
tidur di rumah ni malam ni? Aku bukannya boleh tolong apa-apa pun sebab
semuanya dah siap. Kalau tidur rumah aku pun bukannya tak boleh datang esok,”
kata Qara pada diri sendiri.
“Kami berdua tak akan kawan dengan kau sampai
bila-bila kalau kau tak nak tidur!”
Itu ugutan pengantin baru itu,
sudahnya rela dalam paksa Qara ikutkan saja kerenah mereka. Dia anggap
kedatangannya adalah hadiah buat Dhia dan Akid. Meskipun sudah jelas lagi
bersuluh, kedua-duanya menggunakan kelemahannya demi memancing simpati dan rasa
takutnya.
Kalau Akid yang tidak mahu
berkawan dengannya, dia tahan lagi. Kalau Dhia? Memang dia tidak tahan!
“Aku doakan kau dan Akid akan
jalani hidup yang sangat bahagia, Dhia.”
Ada senyuman di bibirnya. Bukan
untuk sesiapa tapi untuk meraikan kebahagiaan dan kegembiraan yang bakal
melingkari hidup Dhia dan Akid. Sebagai kawan, melihat mereka bersama merupakan
impiannya. Dalam hubungan mereka, sedikit sebanyak dia juga ada peranannya.
Kemudian Qara duduk di atas tilam
bercadar hitam putih bercorak bunga besar-besar. Keluhan dilepaskan bebas ke
udara. Beg kecil berisi pakaiannya, hanya dibiarkan tersadai di penjuru bilik. Kemudian suasana di ruang yang agak luas itu
diamati satu per satu. Lengkap dengan katil bersaiz king, almari pakaian, almari solek, pendingin hawa, kipas berwarna
hitam yang tidak berpusing dan bilik air.
Namanya bilik tetamu, tapi
besarnya melebihi bilik utama di Rumah Purple.
“Untung Akid dan Dhia sebab
dibesarkan dalam keluarga yang berada,” ujarnya tenang.
Lambat-lambat, badan direbahkan
dia atas tilam. Kakinya hanya dibiarkan menyentuh lantai. Bukan berniat
melelapkan mata, hanya sekadar merehatkan diri seketika. Sebentar lagi dia mahu
mencari Dhia. Kawannya itu pantas menghilangkan diri selepas membawa dia ke
bilik ini.
Namun empuknya tilam yang tebalnya
entah berapa inci, ditambah suhu
pendingin hawa yang tidak diketahui berapa, buat mata Qara makin lama makin
mengecil. Lantas perlahan-lahan keadaan yang memang sedia sunyi jadi bertambah
sepi. Yang kedengaran hanyalah desisan turun naik nafas Qara yang sangat
perlahan.
Malangnya, hanya seketika Qara
sempat dibuai mimpi sebelum telinganya mendengar tangisan halus.
Terus dia berdiri tegak. Kepala
terasa sedikit berdenyut-denyut kerana tindakan yang bingkas. Memicit-micit
perlahan sisi dahi dengan tangan kanan, telinganya dibuka lebar-lebar. Mahu
mendengar sama ada tangisan itu hanya ilusinya semata-mata, atau memang ada
yang sedang menangis.
“Hantu ke?” tanya Qara sendiri.
Liur ditelan berkali-kali. Mata
mula melingas ke kanan dan ke kiri. Janganlah ada yang tidak diundang
berhampiran dengannya. Dia bukanlah terlalu penakut, tapi kalau ada yang
berambut mayang mengurai dengan muka yang hodoh muncul di hadapannya, kalau pun
tidak koma tentu dia bakal pengsan beberapa hari.
“Tak ada pun?”
Qara terus duduk di atas katil.
Kepala yang tadinya sedikit berdenyut-denyut semakin hilang. Namun sekali lagi
tangisan yang sama mencecah telinganya. Sah... memang bukan ilusi.
“Suara Irham ke?” tanya Qara
sendiri.
Sejak sampai hampir dua jam lalu,
dia memang tidak nampak bayang-bayang anak itu. Sedangkan yang kempunan mahu
dilihat hanya Irham. Bukan juga bapa kepada anak itu yang sangat sukar ditelah
sikapnya. Kadang-kadang Haq sangat memahami, tapi di lain ketika sikap lelaki
itu sangat menyebalkan. Bukan sekali dua terbit keinginan di hatinya untuk
menampar pipi Haq kerana geram. Itu pun tidak mampu direalisasikan. Bimbang
sekali dia menampar Haq, berkali-kali lelaki itu membalas.
Mahu berbirat pipi aku ni, detik
hati kecil Qara.
Bila tangisan kecil itu masih
tidak mahu berhenti, perlahan-lahan Qara mengatur langkah. Telinganya sedaya
mungkin mengawasi jarak. Mahu tahu di mana sebenarnya lokasi tangisan. Namun
beberapa bilik dijengah, dia masih tidak menemui apa-apa. Sedangkan suara
tangisan masih tetap bergema.
“Tak ada ke yang memujuk?” rungut
Qara tidak puas hati. Kasihan pula mendengar bunyi tangisan yang
bertali-temali.
Semakin bunyi tangisan kuat,
semakin panjang langkah Qara. Dia mahu cepat sampai. Kalau memang tidak ada
sesiapa, biarkan saja dia memujuk. Tidak elok membiarkan anak kecil menangis
dalam kadar masa yang lama. Bimbang perut yang tidak sebesar mana itu kembung.
“Irham...”
Bulat mata Qara saat matanya
melihat sekujur tubuh Ilham di atas katil. Puas diamati, tidak ada sesiapa di
dalam bilik yang lebih besar daripada bilik yang dihuni tadi. Anak itu hanya
melayan tangis sendiri. Merah padam muka Irham dengan air mata yang
berjurai-jurai di pipi.
Tanpa berfikir panjang, terus Qara
meluru masuk. Langsung tidak terfikir yang ketika ini dia mungkin sudah
menceroboh bilik Haq. Yang ada dalam fikirannya, mahu memujuk Irham supaya
berhenti menangis.
“Irham, sayang... kenapa ni?”
Tubuh kecil Irham disambar. Terus
dicium bertalu-talu pipi yang masih berair itu. Tapi kemudian dia baru
terfikirkan Haq. Dipusingkan kepalanya ke kanan dan ke kiri, ke depan dan ke
belakang. Kemudian dia berdiri tegak. Mahu mendengar kalau-kalau ada bunyi di
dalam bilik. Tidak ada!
“Kesiannya Irham, kena tinggal
sorang-sorang ya?” Diusap-usap penuh kasih pipi mulus itu.
Tidak ada jawapan. Irham tetap
dengan tangisan yang seperti tidak mahu mereda.
“Papa Irham pergi mana, sayang?”
Geram pula hatinya dengan sikap
tidak bertanggungjawab Haq. Sudah tahu Irham itu masih sangat kecil,
ditinggal-tinggalkan begitu saja. Bila anak itu menangis, seorang pun tidak
mendengar.
“Jom... aunty jaga Irham. Kita
masuk bilik yang paling hujung ya nak?”
Dengan tangan kanan mengelek
Irham, tangan kiri mencapai botol susu anak itu, Qara membawa Irham pergi. Dia
lebih selesa memujuk tangis Irham di dalam bilik tetamu itu daripada bilik yang
tidak diketahui milik siapa. Hanya hatinya dapat merasakan yang bilik itu
kepunyaan Haq.
BERKERUT dahi Haq sebaik saja
melihat Irham tidak ada di atas katil. Sebelum keluar daripada biliknya tadi,
anak itu dilihat sudah tertidur pulas. Bila dicuit-cuit pipi mongel itu dengan
jari telunjuknya beberapa kali, tetap juga Irham tidak memberikan apa-apa
reaksi. Memang mengantuk benar.
“Ke manalah anak papa ni pergi?”
tanya Haq sambil menggeleng.
Selepas beberapa hari berlalu,
Hajah Yasirah terus-menerus mendesaknya supaya berkahwin. Bila dia tidak
mengatakan apa-apa, mulalah uminya memadankan dia dengan calon-calon yang
kebanyakannya pernah menjadi kawan masa kecilnya. Kesimpulan yang dapat dibuat,
dia tidak berkenan dengan kelima-lima calon menantu pilihan uminya itu. Tidak
ada yang kena dengan seleranya.
Akibatnya, Hajah Yasirah mogok
suara dengannya. Langsung tidak mahu memandang mukanya, bercakap jauh sekali.
“Umi...” desis Haq perlahan.
Kemudian dia meninggalkan
biliknya. Mahu mencari Irham yang diyakini ada bersama-sama Rosnah. Tidak
mungkin Haji Lukman kerana dia baru saja berselisih dengan walidnya itu. Akid
dan Dhia, pun tidak juga kerana pasangan pengantin baru itu tidak ada di rumah.
Hajah Yasirah? Hem... kerat mati pun uminya itu tidak mungkin akan memegang
Irham. Razita? Mak sunya itu adik kepada uminya, kalau sudah namanya
adik-beradik, perangai tentu saja serupa.
Irham hanya dipandang sebelah mata
saja oleh Razita. Sama seperti Hajah Yasirah!
“Kak Ros letak Irham kat mana?
Saya nak ambil dia,” tanya Haq sebaik saja melihat Rosnah di dapur.
“Irham?”
Haq angguk. Suaranya tidak
perlahan dan dia yakin Rosnah dapat mendengar dengan jelas.
“Bukan Irham ada dengan Haq ke
tadi?” tanya Rosnah kembali. Mukanya sedikit pelik.
“Tadi memang ada dengan saya tapi
saya tinggalkan dia dalam bilik sebab lena benar dia tidur. Tapi baru sekejap
tadi saya naik, dia dah tak ada.”
“Hah?” Rosnah terpanar. “Kak Ros
tak ada ambil dia,” sambungnya cuak.
Muka Haq berubah serta-merta. “Kak
Ros tak ada ambik dia?” tanya Haq sekali lagi.
Rosnah geleng pantas. Pinggan di
tangannya diletakkan di atas meja.
“Ada orang lain yang ambil tak?”
Mak Pah yang tugasnya memasak di rumah Haji Lukman cuba menyedapkan hati Haq
dan Rosnah. Yakin, Irham tidak mungkin akan ke mana-mana. Tapi mengenangkan
majlis perkahwinan Akid yang bakal berlangsung esok, memang rumah ini tidak
lekang dengan orang. Ada-ada saja yang bertandang demi memastikan majlis yang
bakal berlangsung sempurna.
“Ke mana anak saya pergi Kak Ros?”
“Tuan Haji tak ambil?” tanya
Rosnah.
Haq geleng. Matanya membelingas ke
sana ke sini, manalah tahu ada yang sedang memegang Irham.
“Hajah?” Mak Pah pula menduga.
Haq geleng lagi. Mukanya pucat
tidak berdarah. Zaman sekarang, manusia makin hilang kemanusiaan. Di rumah
sendiri pun jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Ya ALLAH, janganlah
sesuatu yang buruk menimpa Irham.
“Abang... kenapa kau nampak panik
aje ni?” tanya Akid yang muncul tiba-tiba.
“Irham tak ada dalam bilik Haq,”
jawab Rosnah perlahan.
Haq terus meninggalkan kawasan
dapur. Setiap bilik yang ada di tingkat bawah digeledah. Kemudian dia berlari
menuju ke tingkat atas. Mungkin Irham ada di salah sebuah bilik yang belum
dilihat. Sedangkan Akid hanya mengikut langkah gopohnya.
“Apa yang kecoh-kecoh sangat ni
Haq?” tanya Hajah Yasirah tidak mengerti.
“Irham hilang dari bilik abang,”
jawab Akid bagi pihak Haq.
“Irham aje pun, itu pun nak bising
ke?” bentak Hajah Yasirah. Melihat beberapa kepala saudara-mara mereka
terjenguk-jenguk, hatinya sebal bukan kepalang. Tidak berbaloi mendapat malu
hanya disebabkan Irham.
“Umi ni kenapa?”
“Kenapa dengan umi?” Mata Hajah
Yasirah terjegil.
Akid geleng kepala. Malas melayan
angin Hajah Yasirah yang datang tidak tepat waktu. Dia betul-betul bengang
dengan uminya yang tidak pernah hendak menyenangkan hati Haq. Kalau hari lain
tidak mengapa juga. Ini ketika Haq sedang risaukan Irham pun masih juga hendak
marah-marah.
Dhia yang melihat perbalahan
suaminya dan ibu mentuanya, bergegas mahu ke bilik tetamu yang menempatkan
Qara. Tidak mahu Qara turut terkena tempias kemarahan Hajah Yasirah. Melalui
pengamatannya, dia yakin umi Akid itu tidak sukakan Qara. Tangan yang dihulur
Qara ketika sampai tadi pun seperti hendak dengan tidak saja disambut. “Jom
kita tengok Qara,” ajak Dhia pada Akid. Tidak mahu melihat rupa tegang
suaminya.
“Tak payah kacau Qaralah. Agaknya
dia tengah tidur sebab masa sampai tadi dia nampak penat.”
“Kejap aje,” gesa Dhia.
Tidak mahu mengecewakan Dhia,
akhirnya Akid bergerak juga bila lengannya diheret.
“Qara!”
Qara pandang pintu yang terbuka
luas. Melihat Dhia dan Akid di hadapannya, dia tersenyum. Jari telunjuknya
dibawa ke bibir. Tidak mahu mereka membuat bising kerana Irham sedang tidur.
Biarlah anak kecil itu tidur selama mana yang dimahukan. Jenuh juga dia menepuk
punggung kecil itu demi memujuk mata Irham.
“Apa yang kau buat ni Qara? Kecoh
serumah kata Irham hilang.”
Muka Qara berubah. Dia rasa
bersalah walau niatnya baik.
“Dahlah tu Dhia, yang penting
Irham tak ke mana-mana. Tapi aku terpaksa ambil budak kecil ni Qara. Papa dia
dah macam cacing kepanasan. Sebelum dia bakar kau hidup-hidup, biar aku
pulangkan anak dia dulu.”
Malangnya, belum pun Akid
mengangkat tubuh kecil Irham, Haq sudah meluru masuk.
“Siapa yang beri awak hak bawa
Irham keluar dari bilik saya?” sergah Haq kuat.
Badan Qara bergegar kerana
terkejut. Tidak menyangka setinggi itu nada suara yang Haq berikan padanya.
“Awak ingat awak tu siapa?”
Qara ketap bibir rapat-rapat.
Matanya terasa panas. Namun dia cuba untuk bertenang. Faham, kalau dia di
tempat Haq mungkin dia akan panik juga.
“Saya minta maaf. Saya tak niat
nak susahkan sesiapa. Kebetulan tadi saya dengar Irham nangis tak henti-henti,
saya kesian sebab tu saya ambil dia. Kalau duduk dalam bilik awak tu saya rasa
tak manis, jadi saya bawa dia ke sini.
Tak tahu pula yang tindakan saya tu menyusahkan orang lain,” luah Qara rendah.
Haq terus mencempung Irham yang
masih tidur. “Lain kali fikir dulu sebelum bertindak. Menyusahkan orang aje!”
Kemudian dia pergi dengan raut muka garang.
Malunya Qara tidak terkira, lalu
dia tersenyum kelat pada Dhia dan Akid. “Aku kena balik sekarang sebab aku baru
dapat panggilan daripada bos, dia mintak aku datang ke pejabat sekarang.”
“Kau tipu...” kata Dhia sebak.
Kecewa bila Haq marahkan Qara seperti Qara sudah melakukan kesalahan yang
besar. Tak mungkin Qara akan ke pejabat ketika jarum jam sudah mencecah ke
angka 10.00 malam.
“Aku pergi dulu!” Qara capai beg
yang tersadai di lantai dan terus pergi. Sampainya hati Haq memalukan dia di
hadapan Akid dan Dhia.