Malam
ini entah apa yang tak kena dengan Irham, Haq benar-benar tidak tahu. Puas
dipujuk, puas ditepuk tetap juga Ihram tidak berhenti menangis. Kalau berhenti
pun, hanya beberapa minit. Kemudian tidak lama selepas itu, tangisan anaknya
itu kembali bergema membingitkan suasana.
Hendak
dikatakan lapar, sudah berbotol-botol susu disua ke mulut comel itu. Tidak pula
Irham menolak. Hendak dikatakan merajuk, awal-awal lagi dia sudah bersedia.
Jangan sampai rajuk si kecil berpanjangan. Kembung perut juga rasanya tidak
mungkin. Minyak angin sudah disapu awal-awal lagi. Bila ditepuk-tepuk perlahan
perut itu, tidak kedengaran seperti berangin.
“Irham...
Irham kenapa ni sayang? Kenapa terus nangis macam ni?” tanya Haq lembut.
Air
mata Irham disapu dengan ibu jari kanannya. Kepala anaknya itu diusap-usap
penuh kasih sayang. Kalau dibawa ke klinik pun bukannya ada apa sangat yang
boleh dilakukan oleh doktor. Lainlah kalau-kalau ada tanda Irham diserang demam
panas. Suhu badan Irham pun sedang elok saja bila dirasa dengan tangannya.
“Irham
tidurlah. Orang semua nak tidur...”
Irham
tetap juga menghamburkan tangis. Langsung tidak ada tanda-tanda hendak
berhenti. Tangannya terangkat-angkat ke atas. Manakala kaki bergesel-gesel
sesama sendiri. Merah padam muka putihnya.
Gusar
Haq kian menjadi-jadi. Tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Mahu bertanya Hajah
Yasirah, dia bimbang uminya itu tidak sudi. Silap-silap, suara leteran uminya
yang kuat akan menyebabkan tangisan Irham kian menjadi-jadi. Bukannya dia tidak
kenal siapa Hajah Yasirah itu.
Mahu
membangunkan Rosnah, dia tidak sampai hati. Sudahlah seharian wanita itu
menjaga Ihram, takkanlah tengah-tengah malam buta begini pun dia masih tidak
membenarkan Rosnah berehat.
“Anak
papa tidurlah. Esok papa kena jumpa client pagi-pagi lagi. Kalau Irham terus
nangis macam ni, macam mana papa nak bangun pagi? Kalau papa tak bangun pagi
tentu client papa lari. Kalau dia lari, kita nak
makan apa nanti? Papa nak beli susu Ihram macam mana? Baju Irham lagi.”
Terus
juga Haq berkata. Nada suaranya tetap juga lembut. Tidak guna marah-marah
kerana Irham tidak mungkin mengerti. Bukan juga caranya melayan orang dengan
kasar, apalagi dengan anak sekecil Irham. Sampai ke hari ini, dia tidak pernah
percaya kekerasan mampu melenturkan manusia.
“Irham
dengar tak apa papa kata ni?”
“Yang
pergi bercakap dengan Irham tu buat apa? Bukan faham pun!” sergah Hajah Yasirah
tiba-tiba.
Haq
pandang muka pintu yang terbuka luas. Kelihatan tiga kujur tubuh berdiri tegak
di situ. Keluhan kasar kedengaran melepasi bibirnya. Kesal kerana tidak menutup
pintu.
“Umi...”
seru Haq perlahan.
“Kenapa?
Salah ke apa yang umi cakapkan ni? Haq cakap sampai mulut berbuih-buih pun
Irham tak akan faham. Silap-silap sampai esok pagi pun Irham tak berhenti
nangis. Ganggu orang lain nak tidur aje,” marah Hajah Yasirah geram.
Haji
Lukman yang berdiri di sisi Hajah Yasirah hanya menggeleng. Tidak suka dengan
kata-kata isterinya itu. Sedangkan Akid yang juga ada di situ mengetap bibir.
Uminya bukannya mahu membantu, sebaliknya hanya menambahkan keserabutan Haq.
“Suruh
Irham diam cepatlah!”
“Yas
ni kenapa?”
“Yas
pula yang salah? Anak Haq yang buatkan abang tak dapat tidur. Kenapa Yas pula
yang abang tegur?”
“Sebab
Irham tak tahu apa-apa. Yang tahu tu Yas. Memang padanlah kalau Yas yang
ditegur.”
“Eh...
abang ni!”
“Tak
betul apa yang abang cakap?”
Haq
tolak anak rambut yang berjurai ke belakang. Resah bila tangisan Irham
bergabung dengan suara umi dan walidnya. Dan apa yang tidak
diingini, berlaku juga. Kalau boleh, memang dia tidak mahu umi dan
walidnya berbalah begitu hanya gara-gara Irham. Itu hanya menyebabkan Hajah
Yasirah semakin tidak sukakan Irham. Padahal, dia berusaha keras menempatkan
Irham dalam hati uminya itu.
“Isyh...
cakap dengan abang ni memang tak ada kesudahan!” protes Hajah Yasirah sakit
hati.
Tajam
matanya menyorot Irham. Mata anak itu sudah terpejam, namun suara tetap saja
nyaring mengalahkan hari siang.
“Itulah
Haq! Degil tak nak dengar cakap umi. Sanggup pula kahwin senyap-senyap kat
London tu. Tak pernah nak mintak restu umi dan walid, tahu-tahu balik bawak
anak. Entah siapa ibu Irham ni agaknya sampai kecik-kecik pun dah pandai
susahkan orang. Sekarang dah jadi macam ni, siapa yang susah?”
Haq
tersenyum juga walau senyumnya tawar tidak bergula. Kata-kata Hajah Yasirah
sangat tajam. Sejak hari pertama dia menjejakkan kaki ke rumah ini bersama-sama
Irham dan kini usia anak itu sudah mencecah umur 50 hari, uminya tetap juga
tidak jemu-jemu menyebut perkara yang sama.
“Umi
kalau tak ungkit benda yang sama tak boleh ke?”
Bulat
mata Hajah Yasirah menombak mata Akid. Sakit hati bila Akid selalu saja menjadi
pembela Haq.
“Yang
Akid melebih kenapa? Macamlah umi cakap pasal Akid!”
“Akid
tahu umi cakap pasal abang. Tapi agak-agaklah kalau nak bercakap. Hari dah pagi
kot.”
“Suka
hati umilah!”
“Daripada
umi ungkit benda yang dah berlaku, lebih baik umi tolong abang pujuk Irham.
Kalau dia dah tidur, umi pun boleh tidur lena sampai ke pagi. Tak ada lagi
orang nak kacau,” kata Akid menyindir.
“Eh...
tak ada masa umi nak pujuk! Bukan umi yang suruh dia nangis pun.”
“Cucu
umi juga kan?” Akid tidak mahu mengalah.
“Umi
peduli apa!”
Haq
mengeluh. Muka Haji Lukman ditatap, diam-diam mengharapkan walidnya campur
tangan. Dalam keadaan Irham yang masih menangis, dia tidak ada hati melihat umi
dan adiknya berbalah. Kalau mahu berbalah pun janganlah sekarang. Dia tidak
sampai hati melihat Irham terus menangis begitu.
“Sudahlah
tu. Malam-malam pun masih nak bergaduh macam budak-budak. Akid pergi panggil
Rosnah, biar dia tolong Haq.”
Akur
dengan arahan Haji Lukman, Akid pantas mengayun kaki. Tidak betah berhadapan
dengan Hajah Yasirah kala hatinya panas. Bimbang sabarnya tidak mampu terus
dibendung kerana uminya semakin hari dirasakan semakin teruk saja melayan Haq
dan Irham. Dia tidak punya hati selembut Haq meskipun mereka dilahirkan
daripada perut yang sama.
Kemudian
Haji Lukman berpaling ke sisi kanan selepas bayangan Akid hilang. Muka
Hajah Yasirah dilihat masam mencuka. Bibir keringnya sengaja dimuncungkan.
Dalam keadaan marah begini, isteri yang sudah berpuluh-puluh tahun menemaninya,
nampak lebih tua lima tahun.
“Kalau
Yas tak nak tolong Haq, lebih baik Yas masuk tidur. Yas ada kat sini bukannya
membantu apa-apa pun. Buat tangisan Irham makin tinggi aje,” tempelak Haji Lukman
selamba. Jika Hajah Yasirah hendak terasa, dia sudah tidak peduli. Isterinya
itu bukannya tahu menjaga hati Haq. Cakap-cakap Hajah Yasirah selalu saja lepas
seperti bom.
“Abang
memang sengaja nak sakitkan hati Yas,” protes Hajah Yasirah.
“Dah
tu Yas nak pujuk Irham?”
“Tak
ingin Yas!”
“Kalau
macam tu lebih baik Yas masuk bilik.” Terus Haji Lukman menolak perlahan tubuh
sederhana Hajah Yasirah.
Hilang
saja mereka berdua, Haq melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya tidak perlu
dia terus menadah telinga mendengar kata-kata berbisa Hajah Yasirah. Tapinya,
hanya untuk saat ini saja. Esok-esok tentu ada lagi. Selagi marah uminya belum
reda, selagi itulah dia harus bersabar.
Tapi
tidak juga dia mahu menyalahkan Hajah Yasirah. Uminya tidak tahu apa-apa.
“Haq...
Irham kenapa?” tanya Rosnah tiba-tiba.
Haq
senyum kelat. Rasa bersalah melihat Rosnah yang muncul bersama-sama Akid.
“Nangis tak berhenti. Maaflah saya susahkan Kak Ros lagi. Puas saya pujuk tapi
dia tetap juga menangis. Saya dah tak tahu nak buat apa,” luah Haq tenang. Dia
tidak kisah mendengar tangisan Irham. Tapi dia tidak mahu ada apa-apa menimpa
anak itu. Dia terlalu sayangkan Irham.
“Biar
Kak Ros bawa dia tidur dengan Kak Ros ya?”
“Tak
apa ke?” Haq serba salah. Mujurlah Rosnah mahu melayan kerenah Irham. Kalau
pembantu rumah lain, mungkin awal-awal lagi sudah cabut lari.
“Tak
apa,” kata Rosnah sambil tersenyum. Dia terus mencempung tubuh kecil Ihram.
“Terima
kasih Kak Ros.”
Rosnah
angguk sambil berlalu bersama-sama Irham yang masih menangis.
“Lega?”
tanya Akid sambil melabuhkan punggung di sisi Haq. Abangnya nampak sedikit
berserabut.
Haq
ketawa perlahan. “Tak juga,” balasnya kemudian.
“Kak
Ros dah ambil Irham pun tak lega?”
“Nak
lega macam mana kalau aku dah susahkan Kak Ros tu. Dahlah sepanjang hari jaga
Irham, malam pun nak kena jaga juga,” keluh Haq kesal. Memanglah Rosnah
pembantu di rumah mereka, tapi dia tetap tidak sampai hati. Tugas Rosnah
menjaga Irham selesai sebaik saja dia balik daripada kerja.
“Kak
Ros tak kisah pun, kau tu aje yang risau tak menentu.”
“Kau
ingat Kak Ros tu robot ke? Tak tahu nak berehat?”
“Kalau
dia robot, kau nak ke bagi dia jaga Irham tu?”
“Memang
taklah! Karang berkecai pula anak aku dikerjakan Kak Ros tu sebab robot mana
ada perasaan.”
Usai
Haq berkata-kata, pecah ketawa mereka berdua. Geli hati membayangkan jika
Rosnah benar-benar robot yang tidak tahu erti penat, tetapi langsung tidak
mempunyai hati. Namun beberapa detik berlalu, suasana kembali sepi.
“Bila
kau nak beritahu umi, bang?”
“Maksud
kau?” Haq kembali bertanya tanpa menjawab pertanyaan Akid.
“Aku
tahu kau faham apa yang aku tanyakan. Tapi kau sengaja aje tak nak faham.”
Haq
meraup muka beberapa kali. Ikutkan hati dia mahu menyuruh Akid kembali ke bilik
kerana dia mahu berehat. Tubuhnya terasa benar-benar letih. Matanya sudah
benar-benar mengantuk. Akhir-akhir ini rezeki mereka agak murah. Itu bermakna
kerja mereka juga semakin bertambah.
Sejak
Irham ada di dalam hidupnya, dia bukan lagi seperti Haq yang dulu. Dia sudah
tidak ada masa untuk diri sendiri kerana semua masanya ditumpahkan pada anak
kecil itu. Yang memisahkan mereka berdua, hanya waktu kerja. Lain daripada itu,
dia milik Irham sepenuhnya.
“Cakap
ajelah pada umi. Aku tak sampai hatilah tengok umi asyik sindir kau. Lepas tu
ungkit-ungkit pasal Irham. Kau tak sakit hati ke dengar?”
“Tak
pun,” jawab Haq selamba.
“Kau
jangan nak menipu sangatlah abang. Kalau aku yang tak ada kaitan rasa sakit
hati dengar, kau tentulah lagi sakit. Kan?”
Haq
senyum. Kepala Akid diketuk dengan hujung jarinya. Bila Akid menolak perlahan
bahunya, dia ketawa perlahan. Jarak dan masa tidak pernah mampu memisahkan
kemesraan dia dengan satu-satunya adik yang dia ada itu.
“Aku
bukan tak nak terus terang dengan umi, tapi kalau aku terus terang lagilah umi
naik hantu.”
“Kau
tak cuba lagi kan?”
“Tak
payah cuba pun aku dah tahu. Kau pun bukannya tak tahu perangai umi tu.”
“Tapi
sampai bila kau nak bertahan?”
“Kau
jangan risau, aku akan buat sampai umi terima Irham. Itu janji aku.”
Akid
mengeluh tidak puas hati. Tidak suka dengan apa yang Haq katakan. Baginya kalau
ada jalan mudah, tidak perlu memilih jalan yang sukar.
“Macam
mana dengan persiapan perkahwinan kau dengan Dhia? Semuanya okey?” tanya Haq.
Dia cuba mengalihkan perhatian Akid. Tahu, adiknya itu berniat baik padanya.
Namun dia tidak mahu terburu-buru. Bimbang lain yang diharapkan, lain pula yang
bakal terjadi kelak.
“Setakat
ni okey aje. Harapnya okeylah terus sampai ke hari langsung nanti.”
“Ada
apa-apa yang nak aku tolong?”
Akid
geleng. Semuanya sudah disiapkan Hajah Yasirah. Dia tidak melakukan apa-apa.
“Dah ready nak jadi suami orang?” usik Haq sambil
tergelak-gelak.
Terus
Akid tumbuk bahu Haq. Ketawa Haq terus bersambung. Namun dalam ketawanya yang
panjang, dia bagaikan ternampak seraut wajah milik Qara. Qara yang nampak
bahagia memegang Irham. Qara yang tenang mengaku ibu kepada Irham. Qara yang
merah muka bila penipuan yang dibuat terbongkar dalam sekelip mata. Qara yang
berwajah sugul mendengar kata-kata berupa hinaan daripada Datuk Kamil. Dan Qara
yang berusaha tersenyum di hadapan Dhia walaupun dia pasti hati Qara retak
seribu.
Tapi
sampai ke hari ini, dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Perbualan
Datuk Kamil dan Qara, hanya sedikit yang singgah di telinganya. Pun begitu, dia
kagum. Qara tidak melatah mendengar kata-kata berbisa Datuk Kamil. Kalau orang
lain, mungkin lelaki bergaya itu bakal dihadiahkan lima jari.
“Aku
nk tidur dah. Kau pun tidur juga. Mata kau dah merah tu.”
Kata-kata
Akid mencantas pergi bayangan Qara. “Yalah, selamat malam. Jangan mimpi hantu,”
usik Haq pada Akid.
Bila
Akid menunjuk tangan kanan yang sudah dikepal, dia tersenyum sambil menggeleng.
Akid mudah marah, tapi adiknya itu punya sekeping hati yang sangat baik.