Qara pejamkan matanya rapat-rapat.
Tidak mahu air matanya tumpah sekali lagi. Cukup-cukuplah dia menangisi cinta
Syahil yang tidak menjanjikan apa-apa. Dia mahu nampak kuat di mata lelaki itu.
Mahu Syahil tahu yang dia tidak akan mati hanya kerana patah hati. Namun bila
Syahil dan Elma muncul di hadapannya, hati dan tubuhnya terasa seakan-akan
melemah dengan sendirinya.
“Qara!” panggil Syahil sedikit
kuat.
Qara tidak menoleh. Berterusan
memandang Syahil hanya membuatkan dia jadi sedih. Lebih daripada itu, dia tidak
mahu melihat betapa mesranya Syahil melayan Elma. Kekuatannya belum sampai ke
tahap itu.
“Qara!” Kali ini lebih kuat
panggilan Syahil. Hatinya sakit melihat Qara terus beku.
Syahil berdiri di sisi Qara yang
sudah pun bersandar di dinding Butik Pengantin Nelly. Qara dengar suaranya. Wanita
itu tahu dia ada di situ. Namun Qara langsung tidak mengangkat muka
memandangnya. Sangkaannya pada hubungan Qara dan Haq menjadi semakin melebar.
“Saya cakap dengan awak, Qara!”
“Jadi?” Datar saja nada Qara.
Tidak mengerti mengapa Syahil menjejakinya sampai ke luar butik.
“Ada yang nak saya tanyakan pada
awak ni,” kata Syahil bagaikan mendesak.
“Apa?” Masih nada yang sama Qara
berikan.
Makin sakit hati Syahil jadinya.
“Yang awak dingin sangat ni kenapa?”
Kali ini Qara memusingkan
badannya. Ketiadaan Elma membuatkan hatinya sedikit lega. Tidaklah hatinya
terus terluka.
“Apa yang awak harapkan lepas apa
yang jadi? Saya layan awak macam dulu?”
“Tidaklah macam tu. Tapi perlu ke
nak dingin sangat?”
Sinis bibir Qara mencebik. Sekuat
mana pun dia, kadang-kadang terbit juga perasaan ingin membalas perbuatan
Syahil padanya. Namun sampai ke hari ini, dia terus memujuk hati supaya reda.
Bukan hanya Syahil satu-satunya lelaki di dalam dunia ini. Dia tidak boleh
terlalu mengikut hati.
“Masuklah Syahil, tak elok Elma
tengok awak cari saya macam ni.”
“Dia tak kisah. Dia faham.”
“Hati perempuan lembut, mudah
tersentuh. Bila dia tak bersuara bukan bermakna dia tak kisah. Awak kena tahu
tu.”
“Kan saya dah kata yang dia tak
kisah. Yang awak peduli sangat pasal Elma tu kenapa?” Syahil sedikit membentak.
Ketenangan Qara mencabar kesabarannya. Hilang rasa bersalah yang dibendung
dalam sekelip mata.
“Kenapa awak nak marah saya?”
“Mana ada saya marahkan awak!”
sangkal Syahil, sedangkan suaranya tinggi.
Qara gigit bibir perlahan. Keliru
melihat keadaan Syahil. Sepatutnya dia yang marahkan Syahil, tapi kenapa
seperti terbalik?
“Apa yang awak buat datang dengan
Haq ke sini?”
“Apa maksud awak ni?”
“Apa hubungan awak dengan Haq?”
Terpanar Qara dengan soalan kedua
daripada Syahil. Namun dia mengerti kini. Hanya kerana melihat dia bersama-sama
Haq, Syahil sanggup meninggalkan Elma yang kedengaran masih marah-marah.
Diam-diam dia mencari sesuatu pada wajah Syahil. Cemburu? Tidak ada. Marah?
Ya... Syahil nampak seperti marah benar dan dia rasa agak aneh dengan kemarahan
Syahil. Setahunya, lelaki itu bukan jenis mudah melenting. Syahil selalu saja
tenang dalam apa pun keadaan.
“Untuk apa soalan itu ditanyakan
pada saya sedangkan antara kita dah selesai?”
“Selama ini awak tipu saya kan?”
Kecil mata Qara kerana renungannya
yang tajam pada Syahil. Mudah benar rupanya menjadi seorang Syahil.
“Awak tuduh saya?” Ketawa sinis
Qara kedengaran. Sejujurnya ketika ini, dia bukannya mahu ketawa. Dia mahu
menangis.
“Dalam diam tanpa pengetahuan
saya, awak jalinkan hubungan dengan Haq, kan?”
Haq? Kenapa mesti lelaki yang baru
muncul dalam hidupnya itu yang mahu dijadikan penyebab?
“Sampai hati awak, Syahil...”
“Jangan cuba nak berselindung!”
Kepala Qara menggeleng. Rasa
kecewa dan marahnya bergabung menjadi satu. “Kalau awak yang bersalah, jangan
cuba lambakkan kesalahan awak atas bahu saya. Cubaan awak untuk menghilangkan
rasa bersalah dan berdosa awak pada saya tak akan berhasil. Tahu kenapa?”
Kata-kata, sengaja Qara hentikan. Terkilan berladung dalam hatinya. Syahil
memang benar-benar kejam.
Bungkam. Syahil hanya mendengar.
“Sebab saya bukan awak yang anggap
cinta tu boleh dijual beli. Saya bukan awak dan saya tak mungkin jadi macam
awak...”
Syahil tidak membalas kerana gagal
mencari diksi yang sesuai untuk membela diri. Kata-kata Qara dalam nada yang
tenang seperti menampar pipinya. Sakit bukan setakat di pipi, tapi di hati
lebih terasa. Bila melihat mata Qara yang memerah, dia tersandar lemah di sisi wanita
itu.
“Apa yang kau buat dengan Qara?”
tanya Akid garang. Matanya bercincin merenung Syahil.
“Akid...” tegur Haq. Tidak mahu
Akid mengeruhkan keadaan.
“Aku tak suka dia buat Qara macam
ni. Dah ada Elma, masih juga nak kejar Qara. Dia nak apa lagi?”
“Kau kena jaga hati Dhia sama. Aku
tak nak sebab hal ni jejaskan hubungan kau dengan Dhia. Tak lama lagi dah nak
kahwin pun,” pujuk Haq.
“Dhia pun tak suka Syahil buat
Qara macam ni,” sanggah Akid geram.
“Akid... aku... aku...”
Tergagap-gagap suara Syahil. Sudahnya dia hanya diam.
Bila Qara berpaling membelakangkan
mereka semua, Haq terasa sesuatu di hatinya. Dia tahu ketika ini Qara sedang
menitiskan air mata. Di kiri ada Dhia, di kanan ada luka yang Syahil ukir.
Kalau pun Qara mahu lari, wanita itu tetap juga tidak akan ke mana-mana.
Persahabatan yang utuh telah mengikat kuat hati Qara.
Bukan salah Qara!
Bukan juga silap Qara kerana
bersahabat dengan Dhia.
Yang bodoh, hanya Syahil! Lelaki
itu yang tidak tahu menjaga cinta sendiri.
“Kau dah pilih Elma sebagai bakal
isteri kau. Lepaskan Qara, dia berhak dapatkan lelaki yang jauh lebih baik
daripada kau. Lelaki yang tahu hargai dia, yang tak pernah takut untuk hidup
susah bersama-sama dia. Dan yang lebih penting, boleh terima Qara walaupun Qara
cuma anak yatim piatu. Jangan ganggu Qara lagi. Dia dah cukup terluka sebab
kau,” kata Haq panjang lebar.
Sungguh... dia terasa seperti mahu
menghapuskan air mata di pipi Qara.
Dia tahu Syahil abang Dhia. Tapi
apa yang telah Syahil buat pada Qara benar-benar telah menghilangkan rasa
hormatnya pada lelaki itu. Tidak berbaik-baik dengan Syahil pun tidak mengapa.
Tidak akan menjadi kudis. Yang bakal
jadi suami Dhia, Akid. Bukannya dia.
Makin bergegar bahu Qara, dia rasa
sebak dengan apa yang diungkapkan Haq.
Kenapa Syahil tidak berfikiran
seperti Haq? Kenapa Haq seperti membelanya?
“Aku... aku...” Sekali lagi Syahil
tergagap-gagap.
Dia menghela nafas panjang sebelum
menghembuskannya sekali lalu. Hatinya galau. Mukanya terasa tebal berinci-inci.
Segan kerana Haq yang baru dikenali itu selamba saja menegurnya di hadapan
Akid. Sedangkan Qara langsung tidak bergerak ke mana-mana. Dia menyesal kerana
mengekori Qara.
“Aku tak niat nak kacau hidup
Qara, aku hanya inginkan penjelasan.”
“Penjelasan apa?” Akid yang
bertanya. Sedangkan Qara dan Haq hanya diam.
“Apa hubungan Qara dengan Haq?”
Qara memusingkan tubuhnya. Air
mata di pipi diseka kasar. Hilang malunya kerana menangis di hadapan mereka.
Hatinya seperti ditusuk duri. Sudah dijelaskan, tetap juga Syahil tidak mahu
percaya.
“Apa maksud kau sebenarnya ni
Syahil?”
Mencerun mata Akid. Hilang sabar,
memang abang Dhia ini dicepuknya juga.
“Aku nampak Qara dengan Haq dalam
butik tadi. Aku...”
“Kenapa kalau aku ada hubungan
dengan Qara?”
Tiga pasang mata menombak muka
tenang Haq dengan ekspresi yang berbeza. Akid dengan rupa tidak mengerti.
Syahil dengan riak terkejut. Dan Qara, hanya nampak kosong ada di mana-mana. Blur!
“Qara kata dia tak ada apa-apa
hubungan dengan kau. Qara kata dia tak pernah curang dengan aku.” Syahil yang
paling cepat kembali ke dunia nyata.
Lepas bebas ketawa Haq. Tapi
sinis! Kecil saja Syahil di matanya.
“Kalau dah Qara cakap macam tu,
apa perlunya kau ulang tanya sekali lagi soalan yang sama?”
Syahil gigit bibir. Termalu lagi
dia di hadapan Haq yang nampak sangat berkarisma. Hari ini saja berkali-kali
air mukanya dipijak bakal abang ipar Dhia itu.
Kepala Qara menggeleng. Kesal.
Lantas, dia melangkah pergi. Sudah tidak melihat keperluan dia ada di situ.
Dalam diam, dia berdoa biarlah hari ini hari terakhir dia berjumpa dengan
Syahil. Bimbang jika keadaan sama berulang, tangan kanannya kelak terletak elok
di pipi lelaki itu.
“Qara!”
Dia dengar suara Haq memanggil
namanya, namun Qara makin melajukan langkah. Ikutkan hati dia mahu lari selaju
mungkin. Tidak mahu Haq terus melihat mata dan mukanya yang sembap. Ya... dia
berterima kasih kepada lelaki itu. Tapi air mukanya sudah tidak ada untuk
berhadapan dengan Haq.
“Qara!”
Qara menetapkan hati, kuda-kuda
dipasang. Dia benar-benar mahu lari kerana Haq makin mendekat. Baru selangkah
hendak memecut laju, lengannya ditarik kasar. Kaku terus pergerakannya.
“Nak ke mana?” tanya Haq perlahan.
“Nak lari ke mana?” ulang Haq masih dalam nada yang sama.
“Saya nak balik,” jawab Qara
lemah.
“Dengan cara berlari?” duga Haq.
Mata Qara masih berkaca-kaca.
Qara gigit bibir. Dia
tidak mahu menangis tapi air matanya tetap juga mahu keluar. Saat tangan kanan
Haq menadah air matanya yang mengalir ke dagu dan hampir menitis ke lantai,
tangisan Qara berhamburan. Tubuhnya melorot ke bawah perlahan-lahan. Ternyata,
hari ini lebih sakit dibandingkan hari Syahil berterus terang tempoh hari.
Haq hanya melihat
tanpa memujuk. Kalau dengan cara menangis Qara dapat menghapuskan kesedihan di
hati, biarlah Qara menangis selama mana yang Qara mahu. Dia akur, ada keadaan
di mana pujukan yang diberi hanya membuatkan hati yang terluka jadi lebih luka.
Qara sudah cukup terluka, dia tidak mahu menambah luka itu.