JARUM jam tepat di angka 5.00 pagi ketika Haq terdengar pintu
biliknya diketuk bertalu-talu. Kalau pintu plastik, pada ketukan ketiga mungkin
pintu biliknya sudah roboh. Si pengetuk di luar sana bagaikan tidak sabar-sabar
mahu bertemu muka dengannya. Mujur bilik umi dan walidnya terletak di tingkat
bawah, kalau selajur memang masak Hajah
Yasirah membebel sampai bengkak telinga.“Ada apa ni? Kalut semacam aje,”
tanya Haq malas saat melihat Dhia dan Akid terpacul di hadapan matanya.
“Kalau sebelum pukul 7.00 pagi
nanti Qara tak ada kat dalam rumah ni, saya tak akan bersanding.”
“Hah?” Haq terpanar. Tidak
mengerti.
Dhia merengus kuat. Matanya
melihat Irham yang nyenyak di atas tilam. Lantas, dia menarik pintu bilik Haq.
Tidak mahu anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu terganggu lena hanya
gara-gara orang dewasa. Lagipun hatinya masih berbuku dengan Haq. Tidak
mustahil suaranya boleh naik tinggi melangit.
“Dhia...” Akid mula panik. Mukanya
berubah.
Dia kenal Dhia, dia tahu siapa
Dhia. Kalau Dhia sudah berkata, isterinya itu akan mengotakannya. Lama menyulam
cinta dengan Dhia membuatkan dia cukup kenal dengan perangai Dhia. Isterinya
itu bukan setakat keras kepala, hati jauh lebih keras lagi.
“Dhia cakap dengan abang Akid!”
pintas Dhia tegas walau nadanya pada Akid tidak tinggi.
“Apa kena-mengena Qara dengan
majlis persandingan korang berdua?”
“Qara kawan baik saya!”
“Jadi?” Haq pamer muka kayu.
Mamainya sudah hilang dan kini dia mengerti mengapa adik dan adik iparnya
muncul tiba-tiba.
“Saya tak main-main dengan apa
yang saya kata. Jangan Abang Haq ingat saya bergurau.”
Gara-gara Haq memarahi Qara
disebabkan Irham, sepanjang malam matanya tidak mahu lelap. Pujukan Akid juga
gagal mengundang rasa mengantuknya. Yang asyik berulang tayang dalam mindanya,
kata-kata Haq yang dirasakan sangat keterlaluan. Juga muka suram Qara ketika
meninggalkan rumah Hajah Lukman. Sedikit pun Qara tidak berpaling ke belakang.
Hanya langkah Qara dilihat memberat. Qara bagaikan sedang mengheret beban
kesedihan yang sangat dalam.
Dia tahu Qara malu. Lantaran itu
Qara buat-buat tidak dengar pujukannya.
“Sampai sanggup malukan keluarga?”
“Kalau Abang Haq boleh malukan
Qara, kenapa saya nak takut malu?”
“Itu dua hal yang berbeza, Dhia,”
sangkal Haq.
“Saya tak nak tahu. Yang saya
tahu, kalau sebelum pukul 7.00 Qara tak ada di sini, saya tetap dengan
keputusan saya. Apa nak jadi pun jadilah, saya dah tak peduli lagi.”
Haq bungkam. Dia tahu Dhia sengaja
mengugutnya. Pandangan mata Akid yang tajam menikam, buat dia sesak nafas. Rasa tidak puas hati jelas terpeta di raut
adiknya itu. Malam tadi, dia bukan hanya mengecewakan Qara, turut diheret Dhia
dan Akid sekali.
Dia tahu dia salah, berkata-kata
tanpa menggunakan akal yang waras kerana perasaan gusar. Malah sebelum
meninggalkan bilik tetamu yang dihuni Qara pun,
dia sedar betapa teruknya dia. Sanggup marahkan Qara sampai begitu
sekali. Selepas mendengar penjelasan Qara pun, tetap juga dia mengeraskan hati.
Ego yang melangit tinggi memaksa dia meninggalkan Qara begitu saja. Sempat
ditempelak wanita itu dengan kata-kata yang kasar.
“Kalau Abang Haq tetap tak nak?”
“Terpulanglah, tapi kalau umi
tanya saya akan terus terang kata semuanya sebab Abang Haq!”
Terkelu lidah Haq saat Dhia
meninggalkan dia dan Akid begitu saja. Muka Dhia yang selalunya manis tampak
garang. Kalau Dhia itu harimau, tentu dia sudah dibaham awal-awal lagi. Bahkan
suara lemah lembut Dhia setiap kali berbual-bual dengannya juga tidak
kedengaran lagi.
“Bini kau ke tu?” tanya Haq
beberapa saat kemudian.
“Takkanlah bini pengawal
keselamatan kat syarikat walid pula?”
“Garang!”
“Kau yang buat dia jadi gitu,”
sinis Akid selamba. Bukan hanya Dhia, dia juga marahkan Haq. Cuma bezanya, dia
tidaklah marah-marah macam isterinya itu.
“Kenapa aku pula?”
“Kau halau Qara.”
Berkerut dahi Haq. Dia marahkan
Qara kerana mengambil Irham dari biliknya, itu dia akui. Tapi dituduh menghalau
Qara, itu dia tidak dapat terima. Sekejam mana pun dia, bukan caranya menghalau
tetamu.
“Penting sangat ke Qara dalam
hidup Dhia?”
Melihat persahabatan Qara dan Dhia
yang terlalu rapat, dia rasa kagum. Mereka berdua nampak seperti saling
menyokong antara satu sama lain.
Akid senyum walaupun terasa payah.
“Tak sepenting Dhia dalam hidup Qara sebab kalau tak ada Dhia, Qara langsung
tak ada sesiapa dalam dunia ni. Selama ini, bagi Qara... Dhia tu satu-satunya
saudara yang dia ada,” terang Akid jelas. Dia tidak mahu Haq
memperkecil-kecilkan ikatan persahabatan antara Qara dan Dhia.
Haq mengeluh. Rambut yang
berserabai ditolak sedikit.
“Aku bersalah pada Qara. Aku
bukannya berterima kasih pada dia sebab tengokkan Irham, aku tengking dia
lagi.”
Kemudian dia berpaling ke
belakang, menolak pintu biliknya perlahan-lahan. Irham masih lena seperti tadi.
Tetap tubuh kecil itu mengereng ke kanan.
Masih juga ibu jari kanan terletak elok di dalam mulut. Langsung tidak
peduli pada apa yang berlaku. Kalau dia mendekatkan telinganya pada bibir
Irham, tentu dengkur halus akan kedengaran jelas.
Kenapa Irham mudah berhenti nangis
kalau dipujuk Qara? Tanya hatinya sendiri.
MAHU saja Qara rebah saat Haq terpacak di hadapan pagar rumahnya seawal
pukul 6.15 pagi. Di tangan kanan Haq ada Irham. Kepala anak itu terkulai di
bahu. Itu meyakinkannya yang Irham sedang tidur. Atau barangkali ketika
diangkat dari katil, mata Irham masih terpejam rapat. Bila terus mengamati baju
yang tersarung di tubuh kecil itu, dia semakin pasti. Baju tidur sama yang
Irham pakai malam tadi.
“Qara...” panggil Haq perlahan.
“Awak ni dah gila ke apa?”
Bagaimana Haq tergamak membawa
Irham keluar rumah seawal ini, dia benar-benar tidak habis fikir.
“Awak tak kesiankan Irham ke? Awak
ingat budak kecik tu kuat macam awak ke?” tanya Qara bertalu-talu.
Kalau dilihat cara Haq marah
padanya malam tadi, tentu sayang Haq pada Irham menggunung tinggi. Tapi melihat
Haq yang seperti tidak mengambil berat soal kesihatan Irham, dia jadi sangsi.
Takkanlah Haq itu dungu sangat untuk tahu yang anak kecil mudah dijangkiti
penyakit, apalagi bila terdedah pada cuaca yang dingin.
“Saya tahu,” jawab Haq datar.
“Kalau dah tahu kenapa awak bawa
juga dia keluar masa macam ni?”
Melihat Qara yang beria-ia
memarahinya hanya sebab Irham, Haq hendak tersenyum. Reaksi Qara menujukan
betapa wanita itu mengambil berat soal Irham. Macam Irham itu anak sendiri.
Baju tidur lengan panjang dengan gambar bintangkecil-kecil berwarna hitam membuatkan Qara seperti remaja berusia
16 tahun.
Betul, Qara nampak sangat comel!
Muka Qara nampak segar biarpun mata Qara seperti sembap.
Ya, salah aku! Aku yang tidak tahu
mengawal mulut bila marah beraja di hati.
“Kalau awak kasihankan Irham, ikut
saya balik rumah walid saya,” pinta Haq tenang.
“Untuk apa?” Qara menjawab pantas.
“Untuk sama-sama raikan majlis
perkahwinan Dhia dan Akid sebab mereka berdua kawan rapat awak.”
“Saya dah pernah pergi majlis
mereka sekali. Kalau kali ni saya tak pergi, tentu tak apa-apa.”
“Siapa kata? Awak tahu kan yang
mereka sayangkan awak?”
Qara senyum pahit. Hakikat itu tidak mahu disangkal kerana
itulah kebenarannya. Dia juga sayangkan Dhia dan Akid. “Ya... mereka kawan
saya, mereka saudara saya dunia akhirat,” ujar Qara sebak. Tanpa mereka,
hidupnya tentu sepi. Namun berada bersama-sama mereka juga sebenarnya bukanlah
mudah.
Enggang dan pipit, sudah dikata
orang tua dulu, tak mungkin dapat terbang seiring.
Apalagi dia bukan jenis pipit
biasa. Tarafnya jauh lebih rendah. Dia pipit yang tidak punya apa-apa, termasuk
sebuah keluarga. Yang dia ada, hanya kasih sayang dan kesetiaan. Itu pun
bukannya ada harga di mata orang lain.
Ya... hanya Dhia dan Akid yang
tidak pernah kisah siapa dirinya.
“Kalau macam tu ikut saya,” pujuk
Haq penuh harap.
Qara geleng. Hatinya sudah tawar
benar untuk kembali ke sana.
“Qara jangan macam ni...”
“Baliklah,” suruh Qara tanpa
emosi. Tidak mengerti, mengapa setiap kali bertemu Haq, ada-ada saja kejadian
yang tidak diingini berlaku. Kalau bukan dia yang membuat perangai, Haq yang
mula dulu.
“Saya tak nak ikut. Akid dan Dhia
tentu faham.”
“Qara tolonglah!”
“Jangan paksa saya buat apa yang
saya tak nak buat Haq. Lagipun kejap lagi saya kena kerja,” bohongnya lancar.
Hatinya masih berbekas dengan
kata-kata Haq. Dia tahu kehadirannya di rumah besar itu tidak dialu-alukan,
sama seperti di rumah keluarga Dhia. Agaknya, nasib orang yang tak punya
apa-apa, memang begini. Atau mungkin, hati orang miskin harganya kurang.
Lantaran itu boleh ditolak dan ditarik sesuka hati seperti yang sedang Haq
lakukan ketika ini. Semalam menengking, hari ini memujuk bagaikan tidak ada
apa-apa yang berlaku.
Qara tipu, itu yang terdetik di
hati Haq.
“Hari ni hari Ahad, Qara.
Kebanyakan orang yang bekerja di pejabat cuti.”
“Sebab saya orang miskin, saya tak
boleh kira hari Ahad atau hari apa. Setiap hari bagi orang macam saya, tetap
sama. Hari untuk mencari duit supaya hidup tak merempat mengharap belas ihsan
orang lain.”
Qara mungkin tidak berniat
menyindirnya, tapi Haq terasa juga.
“Kaya atau miskin tak ada bezanya
Qara,” katanya rendah. Mata Qara sudah tidak bersinar. Tanda yang ketika ini
Qara sedang dibaluti kesedihan.
Kenapa mesti aku jahat benar pada
Qara?
“Banyak bezanya. Kalau kita kaya,
orang tak akan berani pijak air muka kita.”
Tangan Qara hanya diam di sisi,
tapi Haq terasa pipinya pijar. Yakin, kali ini memang Qara sedang menyindirnya.
Hanya Qara menggunakan cara yang paling halus. Namun bisanya tetap terasa
mencucuk-cucuk. Dia marahkan Qara, memang benar. Tapi demi ALLAH... dia tidak
berniat sebesar kuman pun untuk memijak air muka wanita itu. Dia bukan sejahat
itu.
Tapi kalau dijelaskan, mahukah
Qara percaya? Mungkin saja penjelasannya hanya akan memburukkan keadaan.
Baik-baik ada peluang memujuk Qara ikut dengannya, langsung tinggal debu.
“Maaf, saya tahu saya tak patut
marahkan awak. Kalau awak rasa nak marahkan saya balik, saya terima.”
“Baliklah...” suruh Qara sekali
lagi.
Haq geleng laju-laju. “Saya tak
akan balik kalau awak tak ikut dan kalau awak tetap degil, saya tak akan ke
mana-mana. Saya akan terus duduk depan ni. Kejap lagi Irham bangun, dia akan
melalak sebab saya tertinggal susu dia kat rumah.” Laju Haq berkata, bimbang
kalau-kalau Qara akan berpaling dan pergi.
“Bapa jenis apa awak ni? Anak satu
pun tak terjaga.”
Sengihan Haq kelihatan. “Nak cepat
sangat tadi, terus lupa,” balasnya selamba.
Qara mahu tetap dengan
pendiriannya, tapi bila Irham bergerak sedikit dan muka kecil itu seperti
mencebik, dia mengeluh. Demi anak yang tidak tahu apa-apa itu, dia akan
mengalah kali ini.
“Tunggu kat kereta. Bagi saya masa
15 minit untuk bersiap,” putusnya.
“Okey!” Hanya itu yang Haq jawab.
Namun hatinya lega bukan kepalang. Tidak sia-sia Akid menyuruh dia membawa
Irham dalam usaha memujuk Qara. Betullah seperti yang adiknya itu kata, Irham
merupakan senjata paling ampuh untuk mencairkan hati batu milik Qara Nisa.
Mungkin lain kali bila melibatkan Qara, dia boleh menggunakan Irham lagi.
Mungkin bila dia ajak Qara kahwin
nanti macam cadangan Akid hari tu?
Kahwin? Kahwin dengan Qara yang
baru malam tadi ditengking? Sah... otaknya benar-benar sudah tidak boleh diguna
pakai lagi.