QARA hanya menyandarkan tubuhnya di tepi dinding. Di dalam pantri, masih kedengaran betapa
rancaknya kawan-kawannya bercerita topik-topik hangat. Salah satu daripadanya,
tentang dia. Lebih tepat lagi, tentang Syahil yang memilih Elma dan sekali gus
menjadikan dia mangsa ‘reject’.
Hatinya di dalam terusik lagi.
Hanya semakin masa berlalu, semakin tenang. Cakap-cakap orang sekeliling
tentang hubungannya dengan Syahil yang tak ke mana, tidak lagi menjejaskan
emosinya.
Syahil tidak bekerja satu pejabat
dengannya, namun kerana kerapnya Syahil bertemu dengannya membuatkan lelaki itu
cukup popular dalam kalangan kawan-kawannya. Dengan raut muka yang menarik,
ditambah penampilan yang bergaya, siapa melihat pasti wujud rasa ingin tahu.
Tapi itu hanya sejarah, sejarah
yang tidak manis dan tentu saja tidak akan pernah berulang. Kata-kata bahawa
sejarah pasti berulang memang tidak boleh disangkal kerana memang ada bukti
bagi banyak perkara. Hanya tidak diguna pakai bila menyangkut soal hubungan dia
dan Syahil.
Sekali dia terkena, hatinya tak
akan berpaling lagi!
“Kau rasa Qara frust gila tak?” tanya Dino bersemangat.
“Tak dapat lelaki macam Syahil tu,
gila kau kalau Qara tu tak frust.
Silap-silap makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi tak basahlah,” jawab
Fairuz sambil menyingsing lengan baju hingga ke paras siku. Air Milo 3 dalam 1
di dalam cawan dikacau-kacau cermat. Perutnya sudah mula berkeroncong meskipun
jarum jam baru menunjukkan pukul 10.30 pagi.
“Tapi aku tengok Qara tu selamba
aje. Tak nampak sedih pun.”
“Itu kat muka, hati dia kau boleh
tengok ke?” Bibir Dino terjuih-juih ke depan.
“Hati aku sendiri pun aku tak dapat tengok,
apalagi hati orang lain,” akui Zarina.
“Lawak kau tak kelakar okey!” Dino
tarik nafas.
Serentak ketawa Zarina dan Dino
terlepas bebas. Terlupa seketika di mana mereka berada. Tapi kalau teringat pun
mereka peduli apa. Selagi Tuan Bakri tidak mendengar, selagi itu mereka tidak
peduli. Di pejabat ini, satu-satunya orang yang mereka gerun hanyalah bos
mereka itu. Lain-lain, masih boleh dibawa bergurau.
“Yang kau tiba-tiba aje diam
kenapa Fairuz?” Suara Dino yang terkepit kedengaran lagi selepas ketawanya reda.
“Entah kau ni. Kenapa?” Perlahan
Zarina senggol Fairuz.
“Aku rasa, Qara tu yang bodoh.
Burung dah ada kat tangan, yang tak ikat betul-betul siapa suruh?”
Fairuz kesal bagi pihak Qara.
Kalaulah dia tahu Qara selembap itu, baiklah dia saja yang memikat Syahil.
Bukan sekali dua jantungnya berdetak pantas saat terpandangkan lelaki itu, acap
kali benar hingga dadanya terasa sakit. Tapi mengenangkan Qara itu kawan yang
hari-hari ditemui di pejabat, dibuang jauh perasaannya.
Kini yang rugi bukan setakat Qara,
malah dia juga.
Bodoh? Aku digelar bodoh? Qara
gigit bibir perlahan-lahan. Itukah anggapan orang padanya kerana gagal memiliki
Syahil?
“Dah orang tak nak, takkanlah nak
terhegeh-hegeh kot?”
“Eh... ni bukan zaman perigi
mencari timba, Zarina. Ni zaman pat-pat siku lipat, siapa cepat dia yang
dapat.”
“Kalau kau kat tempat Qara apa
yang kau nak buat?” Dino menduga Fairuz.
Fairuz tersengih-sengih bagaikan
kerang busuk. “Aku akan buat apa aje!”
“Walaupun perkara salah?”
“Mestilah! Macam mana kita berdosa
pun, kalau kita bertaubat ALLAH pasti akan maafkan. Lagipun... kena peluk
dengan lelaki segagah Syahil, orang bodoh macam Qara aje yang tak mahu. Orang
pandai macam aku, belum pun Syahil buat apa-apa pada aku, tentu aku dah terkam
dia dulu. Masa tu... memang tak lepaslah jawabnya,” kata Fairuz tanpa sedikit
pun terselit rasa bersalah.
“Peluk aje?” Kening Dino yang
ala-ala sotong terangkat-angkat. Dia tergelak-gelak.
Zarina yang mendengar soalan Dino,
sudah tersenyum-senyum.
“Kau rasa?”
Dino geleng dengan bibir mencebik.
“Aku tak rasa kau jenis yang cukup hanya dengan satu pelukan. Kau tentu aje nak
lebih daripada tu. Kau mesti nak...”
Qara terus berlalu, niat asalnya
batal. Tidak sanggup mendengar perbualan tiga serangkai di dalam sana yang
sudah menyimpang jauh. Mereka bercakap seolah-olah neraka itu tidak wujud. Yang ada hanya syurga dan semua orang bakal
masuk ke sana. Mereka bercakap tentang taubat tapi niat untuk berbuat salah
memang terang-terang sudah ada.
Tiga serangkai! Gelaran itu memang
diberikan kepada tiga sahabat itu. Pantang ke mana-mana, mereka pasti bertiga.
Sesekali berbuat baik, mereka akan bertiga, buat jahat seperti sekarang ini pun
bertiga juga.
Agaknya, kalau masuk syurga bertiga. Masuk neraka pun...
Qara geleng-geleng kepala. Tidak
mahu membayangkan sesuatu yang mengerikan seperti itu. Mereka masuk syurga atau
sebaliknya, bukan ditentukan olehnya. Hari ini mungkin mereka menjaja
ceritanya, bercakap dan membayangkan
sesuatu yang tidak patut dibayangkan, esok-esok siapa yang boleh jangka kalau-kalau
hidayah ALLAH sampai kepada mereka. Tidak mustahil juga jika mereka berubah
menjadi baik. Dia pula yang tiba-tiba mengambil tempat mereka. Semua itu kuasa
ALLAH. Hanya dia tidak pernah putus berdoa supaya diberikan sekeping hati yang
tidak hitam.
“Kata tadi ambil air, kenapa mug tu masih kosong?” tegur Nazmah
pelik.
Qara tersenyum lebar demi
menyembunyikan rasa yang berladung di hati. Berapa lama masa yang diperlukan
untuk semua orang berhenti berbicara tentang hubungan dia dan Syahil yang belum
pun dimaknakan sudah kecundang separuh jalan? Lagipun bukan hanya dia yang
pernah putus cinta di Teguh Publisher Sdn. Bhd. milik Tuan Bakri ini.
Sungguh... dia
rimas dan dia lemas!
“BERAPA lama lagi masa yang Haq
nak ambil untuk carikan budak ni ibu? 10 tahun lagi?” sembur Hajah Yasirah
sebaik saja Haq muncul. Hatinya sakit bukan kepalang. Sudahlah Mak Pah cuti
kerana mempunyai masalah keluarga. Baru saja Rosnah hendak masak, Irham sudah
melalak-lalak membingitkan seisi rumah.
Sudahnya dia yang terpaksa memujuk
anak kecil itu. Meluatnya rasa ketika menggendong tubuh ringan itu, TUHAN saja
yang tahu. Kalau bukan anak Haq, agaknya sudah diletakkan di luar rumah. Dia
bukannya tidak penyayang, tapi memang dia tidak boleh pandang muka Irham.
“Umi sabarlah sikit, Haq tengah
usahakan.”
Haq ambil Irham di tangan Hajah
Yasirah. Ketika uminya menjerit-jerit di telefon tadi, dia masih berada di
dalam bilik mesyuarat. Dengan muka yang tebal berinci-inci, terpaksa dia balik.
Mujur saja Haji Lukman tidak banyak bunyi. Akid pula siap menendang kakinya
menyuruh dia segera balik ke rumah.
“Umi tak nampak pun Haq usaha.
Yang umi nampak, anak Haq ni makin lama makin nak buat perangai.”
Panjang sedepa muncung Hajah
Yasirah. Kesal kerana terpaksa menyentuh Irham.
“Haq usaha senyap-senyap, sebab tu
umi tak nampak.”
“Umi tak peduli!”
Jerkahan kuat Hajah Yasirah
menyebabkan tubuh Irham bergegar sedikit. Terkejut dan itu menjadikan
tangisannya semakin nyaring. Haq terpaksa merapatkan lagi tubuh kecil itu di
dalam pelukannya.
“Umi janganlah jerit. Kesian
Irham,” pinta Haq penuh harap.
“Umi peduli apa?”
“Umi, tolonglah. Haq tahu umi tak
suka dia tapi jangan layan dia teruk macam ni. Tak bagus untuk tumbesaran dia.”
“Haq cuba nak ajar umi?” Terjegil
mata Hajah Yasirah.
Haq serba salah. Cakap salah,
uminya melenting. Cakap betul pun tetap juga kemarahan uminya itu yang
diterima. Sejujurnya dia tidak tahu bagaimana lagi mahu mengambil hati orang
tua itu. Makin dia diam, makin galak Hajah Yasirah meletakkan dia di dalam
jurang yang dalam. Seolah-olah, tidak ada ampun untuk kesalahan bagi anak yang
membelakangi orang tua.
Tapi Irham... apa salah anaknya?
“Haq suka kan kalau umi jadi
gila?”
“Umi cakap apa ni?”
“Kalau setiap hari kena dengar
Irham melalak, memang umi bakal jadi gila.”
Aduhai... umi! Kenapa perlu
dibesar-besarkan hal yang remeh-temeh?
Belum pernah tercatat di dalam
mana-mana rekod di dunia, manusia jadi gila hanya kerana tidak tahan dengan
tangisan seorang anak kecil. Nampak benar Hajah Yasirah sengaja memprovokasi Haq.
“Haq, pindah...”
“Tak boleh!”
Keluhan kasar Haq kedengaran juga.
Sesabar mana pun dia, tetap ada tahapnya. Kalau sudah keterlaluan begini,
sampai bila dia boleh bertahan?
“Haq nak pindah umi tak kasi.
Irham nangis umi tak suka dengar. Umi nak Haq buat apa ni?”
“Bagi Irham pada ibu dia!”
Sekali lagi, tidak jemukah Hajah
Yasirah meminta benda yang sama berulang-ulang? Sedangkan Haq yang mendengar,
sudah cukup muak dan mahu saja termuntah darah.
“Haq dah pernah cakap pada umi
kan?”
“Haq pun sama juga! Umi suruh
kahwin Haq tak nak. Umi suruh Haq pulangkan Irham pada ibu dia pun Haq tak nak
juga. Salah umi ke?”
Peningnya kepala Haq dengan
kerenah Hajah Yasirah.
“Kalau umi nak sangat Haq kahwin,
bagi Haq masa sebulan. Haq akan carikan ibu untuk Irham.”
“Kalau tak jumpa?”
“Haq kahwin dengan mana-mana calon
pilihan umi!” Malas dia terus berbalah dengan Hajah Yasirah. Pada akhirnya,
yang akan mengalah tetap juga dia.
“Baik! Umi pegang kata-kata Haq.
Sampai masa jangan berdalih!”
Hajah Yasirah pergi. Haq tersandar
lesu sambil memangku Irham yang sudah pun tertidur. Anak kecil ini pun aneh
juga. Mana tidak anehnya kalau tidak boleh dipegang orang lain. Balik-balik dia
dan Rosnah. Bila dengan Qara pun Irham boleh berhenti menangis, itu menjadikan tahap
kepelikan anaknya itu bertambah.
“Sebab Irhamlah ni nenek suruh
papa kahwin. Tapi papa nak kahwin dengan siapa ni? Aunty Qara, Irham suka?”
Mata Irham yang tertutup,
tiba-tiba berbuka seketika sebelum tutup kembali. Haq terkedu!
“Qara, Irham nak awak jadi umi
dia. Saya rasa... saya pun nak awak juga!” Usai berkata, Haq ketawa kecil.