Tertunduk
Qara mendengar setiap luahan yang diucapkan Syahil. Tidak cukup kuat mahu
menatap seraut wajah yang telah bertapak dalam hati dan hidupnya. Ketika ini,
ada pelbagai rasa menghunjam hatinya yang paling dalam. Dunianya yang memang
tidak indah mana, semakin malap jadinya.
Dulu,
Syahil yang beria-ia mengejar dirinya. Setiap alasannya dipangkas dengan mudah.
Bila tidak diendahkan, Syahil menggunakan Dhia sebagai orang tengah. Lama-lama
hatinya mencair dengan sendiri. Kini, setelah hatinya dicuri, lain pula mahunya
lelaki itu.
“Saya
minta maaf Qara. Benar-benar minta maaf,” pinta Syahil dengan suara merendah.
Qara
terasa matanya panas, namun cepat-cepat dipejamkan rapat. Tidak mahu Syahil
melihat betapa murah air matanya. Lelaki tidak punya pendirian tetap seperti
Syahil tidak harus ditangisi. Lelaki yang hanya tahu menabur janji tetapi tidak
tahu mengotakkannya, tidak boleh dibiarkan berbangga melihat air mata
perempuan. Kalau pun air matanya mahu tumpah, biarkan melimpah di belakang
lelaki itu.
“Saya
minta maaf,” ulang Syahil sekali lagi.
“Mudah
ya meminta maaf?” sinis Qara perlahan.
“Saya
tahu saya dah patahkan hati awak. Tapi saya tak ada pilihan lain lagi. Ayah
suruh saya buat pilihan.”
“Awak
tak pilih saya.” Usai berkata-kata, Qara tergelak perlahan. Dia mengetawakan
kebodohan diri sendiri. Ternyata hatinya tidak begitu berharga, kerana itu
Syahil memilih melepaskannya tanpa ada usaha untuk berjuang.
Itukah
yang Syahil namakan cinta selama ini?
“Dan
awak.... sebenarnya tak pernah pilih saya,” kata Qara bila sunyi mula mengambil
tempat.
“Saya
pilih awak, Qara!” sangkal Syahil pantas.
“Kalau
awak pilih saya, awak rasa hari ni akan wujud ke?”
“Saya
pilih awak. Dari dulu sampai sekarang pun saya tetap pilih awak. Tapi ayah yang
tak pilih awak. Ibu yang tak pilih awak,” ujar Syahil. Dia mahu Qara tahu yang
dia tidak pernah berniat mahu mempermainkan hati dan perasaan Qara. Wanita itu
tidak boleh menuduh yang bukan-bukan padanya.
“Dan
awak... cuma akur? Langsung tak nak pertahankan saya di mata mereka? Tak peduli
pada apa yang kita ada selama ni?”
“Sokongan
Dhia tak cukup kuat,” beritahu Syahil kecewa.
Qara
terasa jantungnya bagaikan direntap ke luar. Dia sebenarnya berkasih dengan
siapa selama ini? Tiba-tiba saja dia terasa seperti tidak mengenali Syahil.
Lelaki itu berkata-kata bukan seperti lelaki. Lebih kepada perempuan yang
lemah, yang sentiasa mengharapkan sokongan orang lain.
“Kerana
sokongan Dhia tak kuat, awak terus mengalah? Saya macam tak percaya yang tengah
berdiri depan saya ni awak, Syahil. Lelaki yang saya sayang!”
Syahil
terdiam. Pipinya terasa seperti ditampar dengan kata-kata Qara yang sarat
terkandung sindiran.
“Saya
tak sangka awak selemah ini,” selar Qara tenang.
“Saya
tak lemah!” sangkal Syahil. Rasa malunya hilang berganti marah. Dia lelaki dan
dia bukan lemah.
“Habis
awak nak saya gelar awak apa lepas dengar alasan tak masuk akal awak tu? Saya
bercinta dengan awak. Saya kekasih awak, bukan kekasih Dhia. Jadi kenapa pula
Dhia yang nak kena pertahankan hubungan kita? Tugas tu sepatutnya tergalas di
bahu awak, bukan adik awak.”
“Bukannya
senang nak berhadapan dengan ibu dan ayah, Qara.” Syahil masih berusaha membela
diri. Dia mahu Qara mengerti.
“Sebab
tu awak ambil jalan mudah lepaskan saya dan hubungan kita. Kan?”
“Saya
terpaksa! Kalau ibu dan ayah tak kisah, saya tak akan lepaskan awak macam ni.
Saya sayangkan awak. Saya tak pernah menipu!”
Tegas
kata-kata Syahil. Kata-kata sayangnya juga begitu jelas menampar gegendang
telinga Qara. Namun itu semua sudah tidak ada apa-apa makna di matanya. Syahil
sudah pun membuat keputusan.
“Apa
pilihan yang diberi pada awak?” Qara ingin tahu.
Kalau
harus kehilangan Syahil, dia akur walau hatinya luka. Apa gunanya
mempertahankan hubungan yang ada jika Syahil serapuh itu? Sedangkan selama ini,
dia mengharapkan seorang lelaki yang akan melindunginya dalam apa pun keadaan.
Menerima kurang dan lebih dirinya, seadanya. Sayang sekali, rupa-rupanya dia
menyandarkan harapan pada bahu yang salah.
“Ayah
kata, pilih antara awak dan Elma. Dan kalau saya pilih awak, saya akan hilang
harta benda,” ujar Syahil perlahan. Hampir-hampir saja suaranya tidak
kedengaran. Dia malu pada Qara, namun dia harus juga berterus terang.
Mahu
saja Qara meraung. Sampainya hati Syahil menjual hatinya hanya kerana harta dan
kemewahan.
“Adakah
cinta saya langsung tak berharga?”
Syahil
tertunduk. Dia tahu dia bersalah pada Qara. Tapi demi masa depannya yang masih
jauh, dia harus melupakan Qara. Manusia tidak mungkin boleh hidup hanya dengan
cinta semata-mata. Cintanya pada Qara akan cuba dialihkan pada Elma dan dia
percaya tugas itu tidak sukar. Sejak kecil, dia dan Elma memang sudah saling
mengenali. Elma pun memang sudah lama menaruh hati padanya.
“Murah
benar ke cinta saya ni Syahil?” tanya Qara bagaikan mendesak.
“Saya
tak biasa hidup susah selama ni.”
“Kita
masih muda Syahil, kita masih ada masa untuk kumpul harta benda yang awak suka
sangat tu,” kata Qara rendah. Dia berusaha menenangkan diri. Baginya,
meyakinkan Syahil mungkin usaha yang terakhir. Mana tahu mata lelaki itu akan
terbuka dengan kata-katanya.
“Saya
dah biasa hidup senang selama ni Qara.”
Apa
bezanya tak biasa hidup susah dengan sudah biasa hidup senang?
Qara
semakin pasti. Usaha terakhirnya hanya sia-sia. Patutnya dia tahu, pada saat
Syahil sudah membuat keputusan, sudah tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi.
Hanya menerima meskipun pahit.
“Ulat
dalam batu pun boleh makan, apalagi awak yang cukup segala sifat,” sinis Qara
kecewa.
Dua
tahun menyulam cinta dengan Syahil, inikah penamatnya?
“Awak
dah cukup dewasa, dah ada kerjaya yang boleh menjamin masa depan. Patutnya dah
tak ada sebab untuk takut pada kesusahan.”
“Hidup
tak semudah itu, Qara...”
Kepala
Qara menggeleng perlahan. Dia berusaha mengukir segaris senyuman, walau bibir
terasa seakan-akan terkoyak. “Hidup ni memang tak mudah, tapi tak juga susah
Syahil. Apa yang kita mahukan, kita sendiri yang tentukan. Bukan ibu dan ayah
awak, jauh sekali Dhia.”
Syahil
terdiam. Mati kata-kata mahu membalas kata-kata Qara yang tidak ada salahnya.
Melihat riak keruh wanita itu, hatinya sedih. Dia sukakan Qara, namun dia lebih
sukakan kehidupan mewah yang dijanjikan Datuk Kamil jika dia memilih hidup
bersama-sama Elma.
“Saya
tak nak hidup merempat...”
Qara
tidak tahu sama ada dia patut ketawa ataupun menangis dengan luahan Syahil itu.
Dulu, Syahil kata sanggup susah senang bersama-sama dengannya. Sekarang, baru
saja digertak, hati lelaki itu kecut.
Lelaki,
betullah... lain di mulut lain juga di hati.
“Kenapa
awak fikir awak akan merempat kalau hidup dengan saya?”
“Sebab...
sebab...” Syahil tidak meneruskan kata-kata. Hanya matanya saja menombak muka
Qara. Wanita itu tidak pernah tidak nampak menarik di mata lelakinya. Kalau
Qara anak orang berada, hari ini dan detik ini juga dia akan melamar wanita itu
menjadi suri dalam hidupnya. Sayangnya, Qara tidak punya apa-apa. Qara hanya
anak yatim piatu yang setiap hari membanting tulang empat kerat demi meneruskan
kelangsungan hidup.
Kening
Qara terjongket. Dia bertanya tanpa suara. Tahu, kalau Syahil meneruskan
kata-kata, hatinya akan jadi lebih parah. Tapi dia tetap mahu mendengar.
Ditakdirkan hubungan mereka sampai di sini, biarkan segala-galanya jelas.
Paling tidak, dia cuba bersikap adil pada diri sendiri.
Sedangkan
Syahil hanya bungkam. Bibir ingin menyebut, namun hati bagaikan enggan
bekerjasama.
“Kenapa?”
Qara tidak mampu terus melihat kebekuan Syahil.
“Tak
ada apa-apa,” balas Syahil gugup.
“Terus
terang aje. Sekurang-kurangnya saya ada banyak alasan untuk cepat-cepat lupakan
awak nanti.”
Syahil
renung mata Qara dalam-dalam. Entah kenapa, hatinya terasa seperti tidak dapat
menerima kata-kata Qara kali ini.
“Awak
nak lupakan saya?”
Sinis
Qara membalas renungan Syahil. “Lepas awak tolak saya sebab kemewahan, adakah
awak masih berharap saya akan terus ingat awak?” Kepalanya menggeleng. Jauh di
sudut hatinya yang paling dalam, dia rasa kesal sendiri. Tidak percaya dia
boleh terjebak dengan lelaki yang sangat mementingkan diri seperti Syahil.
Puas
aku mengelak daripada ditemukan dengan lelaki begini, sudahnya terkena juga. Ya
ALLAH... dugaan-Mu berat, tapi aku akan menghadapinya dengan reda. Aku
pasrahkan segala-galanya hanya pada-MU, detik hati kecil Qara sendiri.
“Tak...”
“Jadi
apa maksud awak cakap macam tu?”
Hanya
gelengan Syahil sebagai jawapan. Dia membuang pandang ke hadapan. Bukan tidak
dipujuk Datuk Kamil dan Datin Jalilah supaya menerima Qara. Malah, Dhia ikut
sama memujuk. Hanya pujukan mereka gagal. Sebaliknya dia diberikan pilihan yang
langsung tidak kena dengan jiwanya.
“Kita
dah bersama selama dua tahun Qara. Ada banyak kenangan yang kita kongsi. Boleh
ke awak lupakan saya?”
Qara
makin tidak faham. Air muka Syahil nampak keruh. Syahil bagaikan tidak rela
melepaskan ikatan hati dengannya.
“Boleh
saya tanya pada awak sesuatu?’
“Tanyalah...”
Lemah saja cara Syahil menjawab. Hilang Qara bermakna separuh daripada hatinya
hilang. Tapi kalau hilang kemewahan, dia mungkin akan hilang kewarasan.
“Awak
betul-betul sayangkan saya selama ni?”
“Awak
ragu-ragu dengan saya?”
Sekelip
mata, rupa keruh Syahil bertukar menjadi tegang. Qara boleh marahkan dia, tapi
Qara tidak boleh sangsi dengan cintanya.
“Kalau
betul awak sayangkan saya, lepaskan kemewahan. Hidup dengan saya dan kita bina
keluarga kita sendiri dengan cara kita,” kata Qara menduga.
Keluhan
Syahil muntah. Qara menangis dalam hati.
“Saya...
saya tak boleh.”
“Kenapa?”
“Saya
tak boleh walaupun saya memang nak hidup dengan awak. Keluarga Elma kaya,
sedangkan awak tak ada siapa-siapa. Awak cuma anak yatim piatu...”
Cuma
anak yatim piatu? Kenapa itu yang disebut Syahil. Sejak bila menjadi anak tak
punya orang tua itu satu hukuman?
Syahil,
awak sangat kejam!
“Dulu
lagi awak dah tahu yang ibu dan ayah awak tak pernah suka saya berkawan dengan
Dhia. Kenapa awak tetap dekati saya?” tanya Qara sebak. Status sebagai anak
yatim piatu, ditolak ke tepi.
“Saya
ingat saya boleh lembutkan hati ibu dan ayah. Tapi saya silap.”
“Hati
saya bukan bola yang awak boleh tendang sesuka hati.”
“Qara...”
Pantas
Qara menepis saat terasa jemari kasar Syahil berlabuh di atas bahunya. Kalau
dulu dia tidak suka diperlakukan begitu, sekarang lagilah dia tidak suka. Dia
mungkin tidak berharta seperti Syahil, tapi dia masih punya harga diri. Biar
cintanya dianggap murah, asal dirinya dipandang tinggi.
“Jangan
berani sentuh saya!” Sedikit tinggi nada suaranya.
“Maaf...”
Tidak
mahu terus membiarkan Syahil mengelar-ngelar hatinya, Qara bangun dengan hati
walang.
“Mulai
hari ni, saya anggap awak tak pernah muncul dalam hidup saya. Selamat
berbahagia di sisi Elma.”
Terus
Qara angkat kaki. Namun setitis air matanya gugur juga seiring langkah yang
diambil. Selama dua tahun ini, dia rupa-rupanya hanya mengejar bayang. Tuhan...