DHIA merengus perlahan. Kerasnya
kepala Qara kali ini buat dia hilang sabar. Kalau pertimbangannya hilang nanti,
memang dihantuk kepala Qara ke dinding. Biar kawannya itu tersedar terus. Dia
sudah nampak jalan yang terang di hadapan, namun Qara tetap juga memilih
mengikut jalan gelap.
“Aku nak tolong kau tak mahu. Akid
nak tolong kau tak nak.”
“Kau dan Akid dah banyak sangat
tolong aku. Aku tak akan terima pertolongan daripada korang lagi.” Tegas Qara.
Pujuklah macam mana pun, dia tetap tidak akan menerima pertolongan sebesar itu
daripada Dhia dan Akid.
“Habis apa gunakan kami jadi kawan
kau?”
“Kau ingat, kawan tu cuma untuk
diminta pertolongan aje ke?”
Dia berkawan dengan Dhia, ikhlas
kerana dia perlukan kawan. Tempat untuk berkongsi segala sesuatu yang berlaku
dalam hidupnya. Bukannya dengan maksud tertentu. Jauh sekali mahu menumpang
senang kemewahan yang Dhia miliki. Kawannya itu silap jika menganggap dia jenis
kawan yang tahu mengambil kesempatan.
“Kau marah ke?” Dhia serba salah.
Mulutnya memang suka terlepas cakap.
“Kau ingat aku ni kayu ke?”
“Maaf...” pinta Dhia pantas. Kesal
kerana kurang memahami Qara. Kawannya itu tidak akan meminta pertolongan jika
tidak terdesak. Malah kali ini, ketika benar-benar terdesak pun Qara tidak mahu
dibantu. Qara hanya berserah kepada nasib semata-mata.
“Aku ni selalu menyusahkan kau,
kan?”
“Kau merepek apa ni?” Tinggi nada
suara Dhia.
Nada setinggi itu mengundang
banyak mata ke arah mereka yang berdiri di tepi meja yang memuatkan makanan.
Ada yang kelihatan hairan, tidak kurang juga yang mencebik seolah-olah
mengejek. Mungkin kerana berasa terganggu dengan perbualan mereka.
Hari ini hari ulang tahun Razita
yang ke-35 tahun. Entah kerana apa, mak su Akid itu mahu meraikannya di Hotel
Vistana, tidak ada siapa pun yang tahu. Dan seperti biasa, Akid dan Dhia
mengugut Qara dengan pelbagai ugutan jika dia tidak hadir. Tetap juga Qara
mengalah walaupun dia sangat malas.
“Aku dah cakap banyak kali dengan
kau, aku tak suka kau cakap macam ni dengan aku. Kita dah kawan lama dan aku
tak pernah anggap kau tu menyusahkan aku. Kau aje yang suka fikir bukan-bukan.
Macamlah aku ni teruk benar,” rungut Dhia bagaikan tidak puas hati. Inilah yang
paling tidak digemari tentang Qara. Suka sangat merendah diri tidak kena
tempat.
“Kalau ya pun kau janganlah cakap
kuat benar.”
“Dah kau yang cari pasal dulu!”
“Perlahanlah sikit. Tu... mak
mentua kau dah jeling-jeling kat sini.”
Dhia juga nampak Hajah Yasirah
asyik memandang dia dan Qara. Tapi sengaja dia tidak mahu peduli. Kalau tidak
ada Qara, dia tidak teringin datang. Baiklah duduk di rumah daripada datang ke
majlis yang dirasakan tidak penting. Daripada potong kek bertingkat-tingkat,
baiklah buat kenduri kesyukuran.
“Kalau kau tak nak aku dan Akid
tolong kau, kau terima pertolongan Abang Haq.”
Mata Qara membulat. Geram. “Gila!”
“Gila apanya? Dalam masa tak
sampai sebulan aku tak rasa kau boleh dapatkan duit beratus-ratus ribu tu. Kalau
kau cagarkan rumah, bayaran bulanan pinjaman tentu tinggi. Kau tak akan mampu. Silap-silap
rumah kau kena sita dan kemudian kena lelong. Kau nak ke macam tu?”
“Tak nak...”
“Dah tu kau nak pinjam Ah Long?
Lepas tu kau tak dapat bayar, kau kena jual. Kau nak macam tu?”
“Aku lebih rela hilang rumah tu
daripada hilang maruah diri.”
“Dah tu macam mana kau nak selesaikan
masalah kau ni?”
Qara bungkam. Dia sayangkan rumah
peninggalan arwah neneknya itu. Di situ dia dibesarkan. Malah di situ ada
kenangan dia bersama-sama ibu dan ayahnya. Namun kemunculan sepasang suami
isteri pada suatu petang berserta surat perjanjian yang ditandatangani ayahnya,
memaksa dia melepaskan rumah itu. Tidak mungkin dia mampu membayar hutang yang
bukan sedikit itu.
Dia memang tahu ayahnya pernah
gagal dalam perniagaan ketika dia masih sangat kecil. Neneknya asyik
mengulang-ulang cerita itu, seperti mahu menyampaikan sesuatu padanya. Mungkin
hutang itu. Bila ditanya kenapa baru sekarang mereka muncul, mudah saja alasan
yang diberi. Baru pulang ke tanah air setelah menetap berpuluh-puluh tahun di
bumi orang. Saat kawannya yang bertugas sebagai peguam mengesahkan kesahihan
surat perjanjian tersebut, hampir saja dia pengsan.
Lantaran itu, diam-diam dia
mencari rumah sewa kerana harga rumah neneknya itu hampir menyamai jumlah
hutang ayahnya. Hendak membuat pinjaman, tidak mungkin. Hutang belajarnya pun
masih belum langsai.
“Aku macam terpaksa lepaskan rumah
tu. Tak buat pinjaman dan jadikan rumah tu cagaran. Jual terus rasanya lagi
mudah. Bulan-bulan aku taklah sakit sangat nak bayar nanti.” Datar suara Qara.
Sedihnya bukan kepalang. Selama ini, itu saja harta yang dia ada. Kalau yang
itu juga diambil, dia benar-benar sudah tidak memiliki apa-apa.
“Mana boleh! Rumah tu kau sayang
sangat.”
“Ya... tapi aku dah tak ada
pilihan lain lagi. Aku tak mampu,” jelas Qara sebak.
“Aku tak boleh terima kau jadi
lemah macam nilah!”
“Aku reda ajelah Dhia. Nak buat
macam mana lagi?”
“Aku tak fahamlah dengan kau ni
Qara! Jalan ada, kenapa tak nak ikut?”
Kelat senyuman Qara. Berkata-kata
memang mudah, tapi yang memikul pundaknya. Bagi Dhia, Haq itulah jalan penyelesaian
untuk setiap masalah yang dihadapi. Tapi baginya tidak. Cukup dengan memikirkan
Hajah Yasirah, dia tahu jalan hidupnya kalau dengan Haq tidak akan mudah. “Aku
keluar kejap, nak pergi ladies. Kau
balik semula ke meja. Kepala Akid aku tengok dah terjenguk-jenguk. Takut benar
aku bawak lari bini dia,” gurau Qara.
Keputusan sudah dibuat. Dia akan
melepaskan rumah kesayangannya itu. Rumah sewa pun dia sudah dapat. Biarlah dia
berkongsi rumah dengan orang yang tidak dikenali, asalkan setiap bulan dia
tidak rasa terbeban. Niat hendak ke luar negara, nampaknya terpaksa
ditangguhkan buat sementara waktu.
Maaf nek, Qara tak dapat
pertahankan rumah kita walaupun Qara dah janji dengan nenek, ucapnya dalam
hati.
“Aku ikut kau,” kata Dhia.
“Tak payah. Aku pergi sekejap
aje.”
Qara nampak beratnya hati Dhia,
tapi di ketika ini dia perlukan sedikit ruang untuk dirinya. Bukannya mudah
membuat keputusan yang bertentangan dengan hati. Namun dia akur, hidup ini
bukan dalam kawalannya. Atur dan susun macam mana rapi pun, tetap juga belum
tentu menjamin apa-apa.
“Qara...”
Qara pekakkan telinga dan terus
melangkah. Syahil bukan lagi gangguan dalam hidupnya. Hatinya sudah tidak
terusik lagi, malah kalau bertembung di tepi jalan pun dia akan buat-buat tidak
kenal pada lelaki itu.
“Qara...”
Pantas Qara merentap lengannya.
Tidak rela disentuh Syahil. Dia rasa jijik. Menyesal pula kerana tidak
membenarkan Dhia ikut dengannya. “Jangan berani kau sentuh aku!” tengking Qara
kuat. Mujur mereka sudah ada di luar dewan. Kalau tidak tentu kecoh.
Mulut Syahil melopong. Terkejut
melihat Qara yang menyinga hanya disebabkan dia memegang lengan itu. Kata ganti
‘kau’ dan ‘aku’ pula membuatkan dia terkesima. Setahunya, Qara bukan jenis
kasar begitu. Wanita itu sudah berubah. Yang tidak berubah hanya manis wajahnya
tetap sama.
“Awak apa khabar?”
“Kita kenal ke?” tanya Qara
kembali.
“Jangan buat-buat tak kenal saya,
Qara. Lama benar rasanya saya tak tengok awak.”
“Mungkin yang lama awak tak jumpa
tu Qara lain. Bukan saya.”
“Qara...”
Qara terus berlalu. Sudah tidak
ada apa yang hendak dibualkan dengan Syahil. Cerita mereka sudah tamat pada
hari Syahil memegang tangan tuk kadi dan menikah dengan Elma. Dia bukan terlalu
baik hati, masih boleh menjadi kawan setelah cinta putus di tengah jalan.
“PEREMPUAN keji!” jerit Elma
sebaik saja melihat Qara keluar dari tandas. Terus ditolak kuat tubuh Qara
sehingga santak ke dinding. Dengan lengan yang diletakkan di leher Qara, wanita
itu tidak mampu bergerak ke mana-mana. Berombak kasar dadanya dengan mata yang
tajam menombak muka Qara.
“Dasar anak yatim piatu tak sedar
diri!” Elma makin menghenyakkan lengannya ke leher Qara.
Akibat terkejut dengan serangan
Elma yang tiba-tiba, Qara terpanar. Dunia bagaikan kosong dan sepi. Yang terasa
sesak, hanyalah nafasnya yang tersekat kerana lengan Elma.
“Dah tak ada jantan lain ke dalam
dunia ni sampai laki aku pun kau nak goda? Memang betina murahan!”
Tetap juga Qara bungkam. Nafasnya
terasa semakin lama semakin memberat. Sampai setakat ini sajakah hayatnya di
dunia ini? Kalau benar begitu, dia akur. Sudah tidak ada apa-apa yang tinggal
untuknya di dunia yang penuh warna-warni. Mula-mula ayahnya pergi akibat deman
denggi. Ibunya menyusul kerana kemalangan. Kemudian neneknya pergi kerana
terjatuh di dalam bilik air selepas mengangkat wuduk.
Ya, kini dia hanya sendiri! Kalau
malam ini malam terakhirnya, dia tidak ada bantahan.
Lantas, perlahan-lahan mata
dipejamkan rapat-rapat. Selamat tinggal Dhia, aku sayangkan kau!
“Hoi... bodoh! Buka mata kau!”
tengking Elma kuat.
Qara tetap juga kaku. Dia dengar
jeritan Elma yang seperti puntianak, namun dia tidak mahu membuka matanya. Dia
bimbang kalau dia membuka mata, dia harus berhadapan sekali lagi dengan seribu
satu macam kerenah dunia. Dia sudah tidak kuat lagi.
“Kurang ajar!”
Belum pun sempat tangan kanan Elma
jatuh ke pipi Qara, Haq pantas menolak tubuh langsing itu. Elma yang tidak
bersedia, jatuh tertiarap mencium lantai. Sedangkan Qara tetap juga kaku dengan
mata terpejam. Nafasnya turun naik dalam gerakkan yang kasar. Dunia masih
terasa sepi dan kosong.
“Qara...” panggil Haq perlahan.
Tidak ada jawapan. Qara tidak ubah
seperti patung bernyawa.
“Apa yang kau dah buat pada Qara?”
marah Haq pada Elma.
Perlahan-lahan Elma duduk. Kakinya
sakit. Kasut tumit tinggi berwarna hijau terang yang tersarung di kakinya,
patah di kanan. Bibirnya terasa berdenyut-denyut perlahan. Hidungnya juga
sakit. Terasa ada sesuatu yang mengalir, dia menyapu dengan belakang tangan.
Darah! Mukanya terus memucat. Lambat-lambat dia bangun.
“Jadi apa-apa pada Qara, aku
tahulah nak buat apa pada kau nanti!”
“I... I... I tak buat apa-apa,”
sangkal Elma tergagap-gagap.
Haq genggam tangan kanannya. Kalau
tidak mengenangkan Elma itu perempuan, memang dapat buku limanya hari ini.
Matanya tidak buta untuk melihat apa yang berlaku. Mulanya dia hanya memerhati.
Yakin, Qara mampu menghadapi Elma tanpa bantuannya. Namun bila Qara hanya
bungkam seperti menyerahkan segala-galanya pada Elma, hatinya terasa lain
macam. Bila Qara langsung tidak bergerak sedangkan tangan Elma sudah naik ke
atas, sabarnya sudah hilang.
“Berambus!” jerit Haq geram.
Dengan langkah yang
terdengkot-dengkot, Elma mengheret kaki. Sakit terasa di seluruh tubuhnya. Haq
kemudian menghampiri Qara. Wanita itu tetap tidak berubah. Lantas kedua-dua
bahu Qara dipegang dan digoncang-goncang perlahan.
“Qara...”
Tidak ada reaksi. Kalau nafas Qara
tidak turun naik, dia akan mengatakan yang wanita itu sudah tidak bernyawa.
“Qara...”
Tetap juga sunyi dan sepi. Haq
kian panik. Janganlah sesuatu berlaku pada Qara.
“Qara!” Makin kuat tubuh Qara
digoncang. Tidak tahu harus berbuat apa, terus tangannya menampar pipi mulus
Qara. Tidak kuat, tidak juga perlahan. Namun itu membuatkan mata Qara terbuka.
Tidak sampai tiga saat, air mata wanita itu meluncur laju membasahi pipi.
“Qara...”
Haq sudah melihat Qara menangis
banyak kali, tapi inilah tangisan Qara yang paling teruk pernah dia lihat.
Lantas kedua-dua tangan Qara dipegang erat, walau hati teringin membawa sekujur
tubuh kurus itu ke dalam pelukannya. Bukan mahu mengambil kesempatan, sekadar
mahu menenangkan dan meminjamkan semangatnya pada Qara. Wanita itu dilihat
sangat kasihan hari ini.
“Kahwin dengan saya, saya akan
jaga awak macam saya jaga nyawa saya sendiri.”
Qara angkat muka walaupun matanya
masih berair.
“Jadi isteri saya? Biarkan masalah
awak jadi masalah saya?” pinta Haq sekali lagi. Kali ini dia yakin, dia melamar
Qara bukan lagi kerana Irham. Tapi kerana diri Qara sendiri.
“Bawa saya pergi dari sini. Saya
dah lama tak rasa bahagia...”
“Qara...” Haq mengerti maksud
Qara, namun dia masih inginkan kepastian.
“Awak janji, tolong janji
bahagiakan saya,” tangis Qara terus.