Bab 11
TELEFON bimbit Thia berbunyi tanda ada satu pesanan ringkas masuk. Dia baru sahaja
hendak melelapkan mata tiba-tiba terasa bengang dengan penghantar mesej
tersebut.
“Kacau betullah!” bentaknya. Dengan malas dia membaca
mesej tersebut. Kemudian dia menguntum senyuman namun tidak pula dia membalas
malah dia membiarkannya saja dan menutup matanya kembali. Mulutnya menguap
luas. Kelopak matanya benar-benar terasa berat. Dia letih kerana semalaman dia
berjaga mengadap buku sementelah jadual minggu ini padat dengan ujian.
Thia cuba melelapkan mata. Beberapa minit sudah
berlalu namun matanya tidak pula mengantuk.
“Isy! Tadi bukan main mengantuk sangat. Masa nak tidur
ni, kau tak nak pulak tidur. Karang aku bangun study, masa itulah kau
berat aje nak buka.” Thia mendengus kasar.
Fitri dan Yani sudah lama berdengkur. Dia cuba
mengiringkan badannya dan menarik gebar sehingga paras dada. Dia menutup
mukanya dengan bantal. Matanya terkatup rapat. Akhirnya dia dibuai lena.
Tidak lama kemudian, sekilas pandang… matanya
menangkap bayangan sekujur tubuh yang sedang membelakangkannya. Gambaran itu
galak berlayar di minda. Bayangan seorang lelaki seakan dia pernah melihatnya
sebelum ini.
Thia cuba mengamati dari jauh tetapi lelaki itu enggan
berpaling. Dia mengatur langkahnya perlahan menuju ke arah di mana lelaki itu
sedang berdiri. Otaknya likat dengan tanda tanya.
Beberapa langkah diambil, Thia makin menghampiri. Lelaki
itu masih lagi membelakangkannya seolah-olah tidak menyedari kehadirannya di
situ dan apabila tubuhnya sudah menghampiri, tangannya pantas diletakkan di
atas bahu lelaki misteri itu.
Mata lelaki itu memandang Thia sedalam-dalamnya dan dia
pula membalas pandangan lelaki itu dengan penuh rasa cinta. Dia melontarkan
senyuman manis. Sekelip mata, tubuh kecilnya erat dirangkul oleh lelaki misteri
itu.
Thia berasa selamat ketika di dalam pelukan hangat
lelaki itu. Nyaman sekali. Dia mengeratkan lagi pelukan sehingga desah nafas lelaki
itu terasa di ubun-ubunnya. Setitis air mata mengalir di pipinya yang gebu
sehingga mengeluarkan esakan halus.
Lantas… lelaki misteri itu merenggangkan rangkulan.
Kedua-dua tapak tangannya sudah berada di pipi Thia. Dia menyeka air mata yang
menitis di pipi gadisnya. Dia kemudiannya meletakkan bibir pada dahi Thia
seakan mahu memujuk kekasih hatinya agar tidak berduka lagi.
Thia mendambakan lagi pujuk rayu lelaki itu. Bagaikan
memahami isi hatinya, lelaki itu sekali lagi mencium dahinya, menjalar ke pipi,
akhirnya jatuh di bibirnya, lembut dan penuh syahdu.
Tiba-tiba Thia terjaga dari tidur dengan nafas yang
tercungap-cungap. Dia memandang sekeliling. Hari masih lagi gelap. Gebar yang
menyelubungi tubuh hanya menutupi kakinya sahaja. Dia mencapai telefon bimbit
di sisi katil. Jam sudah mencecah enam pagi. Dia meraup mukanya yang berpeluh
dingin. Mimpinya sebentar tadi cukup menyesakkan dada. Dia tidak faham akan
maksud mimpinya itu.
Susuk tubuh lelaki misteri yang menjelma dalam
mimpinya itu bagaikan amat dikenali meskipun wajahnya amat kabur. Dia tidak
dapat mengecam dengan baik walaupun dia cuba memejamkan matanya buat seketika.
Thia
yang tidak berputus asa, cuba lagi memerah otaknya agar dapat melihat kembali
bayangan wajah lelaki yang datang singgah ke dalam mimpinya tadi. Namun dia
hampa. Sesungguhnya dia sudah lupa siapa yang datang dalam mimpinya yang indah
itu. Kemudian dia bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Usai mengerjakan solat Subuh, telefon bimbitnya
berdering. Dia melihat nama ‘Amir’ terpampang di skrin telefonnya. Thia sekadar
tersenyum dan menggelengkan kepala. Hampir setiap pagi Rizqi menelefonnya
semata-mata untuk mengejutkannya bangun menunaikan solat Subuh. Namun dia tidak
ambil kisah malah dia berasa selesa kerana setiap hari ada ‘jam loceng’ mahal
yang mengejutkannya.
“Assalamualaikum. Ya, Amir. Saya dah bangun dah,” Thia
pantas berkata sebelum Rizqi menyoal apa-apa. Dia melabuhkan punggung di atas
katilnya lantas memeluk bantal. Kedinginan dinihari jelas terasa.
“Waalaikumussalam. Eh, awal Thia bangun hari ni?” Rizqi
bertanya. Semenjak nombor telefon Thia berjaya dimiliki, hampir setiap hari dia
menelefon Thia. Dia tidak melepaskan peluang yang ada. Sememangnya dia sudah
jatuh hati pada Thia.
Tidak sangka Thia menulis nombor telefonnya di atas
tisu dan disorokkan di bawah dashboard kereta. Seminggu selepas dia
menghantar Thia ke asrama, dia menghantar keretanya ke kedai untuk dicuci. Salah
seorang pekerja di kedai tersebut yang menyerahkan tisu bernombor itu
kepadanya. Kalau tidak, sampai bila-bila dia tidak akan berhubung dengan Thia.
“Saya bangun awal sebab nak study. Esok pagi
saya ada test,” bohong Thia. Sejurus itu, dia menggigit bibirnya. Terasa
bersalah pula menipu. ‘Ah! Tak apa, tipu sunat. Takkan aku nak cerita aku mimpi
kena cium. Panjang pula soalnya nanti,’ gumamnya.
“Oh, baguslah kalau Thia dah bangun. Err… semalam
kenapa Thia tak balas mesej saya? Lama saya tunggu. Nak call takut
mengganggu pulak. Thia busy, ya?”
“Em... semalam saya tengah study dalam bilik. Handphone
pula charge dekat luar. Saya tak dengar bunyi mesej masuk. Sorry,”
Thia berbohong lagi. Lantak kaulah Thia. Asyik menipu orang aje kerja kau
sekarang. Thia mengutuk dirinya sendiri. Sungguh dia terasa berat bahu kirinya.
“Rajinnya buah hati Puan Seha ni. Untung ibu Thia dapat
anak macam Thia. Rajin, pandai, err… cantik. Hmm… saya pun untung juga,” Rizqi
memuji bangga. Kembang hidung Thia mendengar pujian tersebut namun terus kuncup
kembali apabila mendengar ayat terakhir daripada Rizqi tadi.
“Kenapa pulak awak yang untung?” tanya Thia pantas.
“Saya untunglah sebab… sebab… hmm… sebab…” Rizqi malu
untuk melafazkan. Dia masih berkira-kira untuk berterus-terang dengan Thia
berkisar tentang hatinya tetapi bimbang jika Thia menolak.
“Sebab, sebab… sebab apa?!” Thia mencelah. Dia melantangkan
volume suara. Terhegeh-hegeh! Thia menggerutu geram. Rizqi seperti
sengaja melengah-lengahkan masa.
Suasana sepi seketika. Rizqi di hujung telefon turut
mendiamkan diri. Terkejut tentunya ditengking sebegitu. Sedar akan ketelanjuran
diri, Thia menepuk mulutnya berkali-kali sampai mulutnya terasa kebas. Menyesal
kerana terlepas kata.
Masih diam. Sungguh Rizqi terkedu dengan jeritan Thia
sebentar tadi. Tidak sangka Thia sanggup meninggikan suara kepadanya. Dia rasa
bersalah kerana buat Thia marah. Lain yang dirancang, lain pula yang menjadi.
Dia berasa kecewa tiba-tiba. Rasa hendak menangis pun ada.
“Amir? Are you still there?”Thia
bersuara lembut pula namun Rizqi mendiamkan diri lagi. Masih terkejut dengan
tengkingan maut daripada Thia tadi.
“Amir, I’m so sorry. Saya tak sengaja tinggikan
suara. Awak marahkan saya?”
“Eh, taklah. Saya yang salah. Bukan Thia. Saya mengaku
sejak kenal Thia saya selalu jadi gagap. Tak tahulah apa pasal,” ujar Rizqi
tenang lantas ketawa kecil. Berpura-pura buat lawak yang tidak berapa lawak
sangat. Thia pula sudah ketawa terbahak-bahak. Berlakon! Dia maklum Rizqi
sengaja kata begitu sedangkan dia yang bersalah pada awalnya. Dia yang tidak
semena-mena meninggikan suara. Rasa bersalah kian mencengkam lubuk hatinya
terhadap lelaki berlesung pipit seperti Jericho Rosales itu.
“Sejak kenal saya awak jadi gagap? How sweet. Ha…
kan dah kena curse dengan saya.” Thia tersenyum meleret. Sebenarnya
ingin memujuk Rizqi.
“Saya… sweet?” Suara garau Rizqi bertukar
romantis. Dia bagaikan sudah kemaruk dengan Thia. Sungguh pelik dengan perasaan
yang sedang bergolak di segenap hatinya kini. Thia semakin kerap mengganggu
ketenteraman hidupnya. Walaupun begitu, hatinya tetap bimbang tentang
penerimaan Thia terhadap dirinya yang jauh lebih berusia. Thia terlalu muda
untuk diikat dalam sebuah ikatan yang sah.
Thia mematikan senyuman apabila suara Rizqi
meremangkan bulu tengkuknya. Dia menelan air liur satu per satu. Rizqi seolah-olah
ingin bermanja dengannya menjadikan dia semakin tidak selesa. Tangan kiri
diramas-ramas perlahan.
Sesaat kemudian, Thia mula memikirkan jalan keluar
bagi situasi yang mula berubah menjadi semakin ‘mesra’ ini. Lalu dengan yakin
dia berkata.
“Yes. As sweet as cotton candy. Dulu masa saya
kecik, saya suka gila makan cotton candy. Tapi suka yang warna pink
aje. Kalau ibu saya beli warna lain, saya tak nak. Lepas tu mulalah menangis
hentak-hentak kaki. Padahal rasanya sama aje. Kelakar, kan?” Thia menukar corak
perbualan. Dia ketawa bagi mengawal perasaannya yang semakin dilanda gelisah.
Namun tidak bagi Rizqi yang hanya mendiamkan diri mendengar lawak Thia tadi.
Macam tiada perasaan langsung.
Ketawa Thia reda serta-merta malah dia jadi marah pula
apabila Rizqi tidak ketawa dengan lawak yang direka. Dia malu sendiri.
“Kalau macam tu, Thia anggaplah saya ni macam cotton
candy warna pink. Yang selalu Thia cari, yang selalu Thia suka…
setiap masa,” balas Rizqi dengan nada yang lebih romantis dari yang tadi.
Makin tergamam Thia dibuatnya. Bibirnya diketap
rapat-rapat. Bingung. Tiba-tiba dia berasa malu untuk berbual-bual lagi dengan
Rizqi.
“Err... tapi kulit awak warna coklat, bukan warna pink.
Jadi, saya tak bolehlah nak suka pada awak. Sorry,” Thia bersuara serius
pula. Dia yakin Rizqi faham akan maksudnya yang tersirat.
“Demi Thia, saya sanggup pergi kedai, cat diri saya
warna pink. Okey?” gurau Rizqi sambil gelak. Namun sempat juga dia
membayangkan mukanya nanti berwarna merah jambu. Takut!
Otak Thia kian berpusing-pusing untuk hadam kata-kata
Rizqi tadi. Dia mati-mati ingat Rizqi faham maksud ayatnya. Segera dia menepuk
dahinya pula. Lelaki itu sudah jauh berangan.
“Apa-apa sajalah Amir. Awak catlah badan awak tu
sorang-sorang. Malas saya nak melayan awak lagi. Okeylah saya nak study
ni. Next time kita borak-borak lagi. Bye.”Tit! Thia
pantas memutuskan talian. Tidak mahu mendengar sepatah ayat pun lagi.
HENTAKAN pintu bilik yang agak kuat mengganggu konsentrasi Thia. Dia bingkas
bangun dari katil dan menjengah. Wajah sugul Lisa sudah terpampang di depan
matanya. Tanpa lengah dia menuju ke arah Lisa yang duduk di birai katil.
“Lisa, kenapa muka kau pucat? Sakit ke?” soal Thia
penuh bimbang. Muka Lisa diraih dengan kedua-dua belah tangannya. “Muka masam,
mata bengkak, rambut kusut masai. Hai, nak pergi bukan main cantik. Balik, muka
dah macam penjenayah. Peliklah aku dengan kau ni,” sambung Thia lagi.
Lisa menolak tangan Thia dari terus memegang pipinya.
“Aku tak apa-apa. Tak payahlah kau risau. I’m just…
fine,” lemah saja Lisa bersuara.
“I’m just fine.” Thia mengajuk cakap Lisa.
Geram melihat Lisa yang masih lagi ada hati ingin menyembunyikan sesuatu yang
sudah jelas.
“Kalau kau okey, kenapa muka kau ni macam baru lepas
menangis? Murung, tak happy. Selalunya kalau orang baru lepas keluar
berjalan dengan kawan mukanya ceria. Kau macam mati laki pulak. Kau ingat aku
budak autistik ke yang boleh ditipu?” ujar Thia sedikit keras namun Lisa masih
tidak peduli dengan omongannya. Lisa sekadar menadah telinga saja.
“Kau tak nak share dengan aku tak apa. Aku
sikit pun tak ambil hati tapi kau fikirlah. Jangan bebankan diri kau dengan
masalah yang kau sendiri cari. Kita kan, tak lama lagi nak final exam.
Aku tak nak kau hilang fokus. Kita baru saja first semester. Panjang
lagi masa kita dekat sini. Kita datang sini bukan nak enjoy. Boleh enjoy
tapi kenalah ikut masa. Kau kena ingat tanggungjawab kau as a student and
most important, as a daughter of your parents,” Thia menasihati Lisa namun Lisa
terus-terusan menunduk. Enggan menatap wajahnya.
“A… aku cuma rindu pada familyaku. Itu saja,”
balas Lisa lambat-lambat.
Thia menjeling tajam ke arah Lisa. “Betul ke itu saja problem
kau?”
“Yes. Trust me,” tegas Lisa mudah. Thia
sekadar menghela nafasnya. Ternyata Lisa masih tidak mahu berkongsi masalah. Apa
kudratnya lagi untuk memaksa.
“Hmm... aku harap memang tu sajalah masalah kau
sekarang. Kita kan, nak masuk cuti semester dah. Relakslah, babe. Tak
lama saja pun. Sabar, eh?” pujuk Thia lembut.
Lisa menganggukkan kepala. Dia memberi senyuman kepada
Thia.
“Dah, kau pergi mandi. Lepas tu kita study
sama-sama,” perintah Thia. Dia hendak bangun dari katil namun Lisa segera menahannya.
Sepantas kilat tubuhnya didakap oleh Lisa. Gadis itu tersedu-sedu dalam
dakapannya seolah-olah ingin melemparkan segala penderitaan.
Melihat reaksi Lisa itu, Thia jadi terkedu tetapi dia
tetap membalas seadanya. Dia mengusap tubuh Lisa dan membiarkan Lisa menangis
semahu-mahunya. Tiga minit kemudian, Lisa kembali tenang namun sedu masih ada.
Lelehan air mata melekat di pipinya.
“Kenapa kau menangis? Cakap dengan aku siapa yang buat
kau sedih macam ni?” Thia benar-benar tersentap melihat Lisa beria-ia menangis.
Hidungnya merah dan matanya membengkak. Air matanya bagaikan tidak mahu
berhenti daripada terus mengalir.
Lisa seperti sedang memikul masalah yang
berat. Apa masalah yang sedang membelenggu rakannya itu? Adakah Lisa telah
melakukan kesalahan kepada seseorang? Pelbagai persoalan mengasak di fikiran Thia.
Mendengar suara Thia yang lembut memujuk, Lisa makin
mengongoi. Dia tidak mampu melakukan apa-apa selain menangis dan terus
menangis. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia kecewa dan kesal dengan
dirinya yang lemah. Setiap denyutan nadinya melaungkan rasa gundah yang tidak
terperi.
“Please, tell me what happened? Benda takkan
selesai kalau kau terus menangis. Aku cuba nak tolong kau, Lisa. Mungkin bila
kau luah pada aku, hati kau jadi tenteram sikit?” Thia masih lagi mahu
melembutkan hati Lisa. Dia ingin tahu apa yang sudah berlaku sehingga Lisa jadi
begitu sedih dan tertekan.
“Aku tak boleh. Tolong jangan desak aku lagi. Ini
bukan masa yang sesuai untuk aku cerita. Bagi aku sikit masa.” Lisa tetap
berkeras menjadikan Thia berasa terkilan dengan sikapnya yang degil. Thia hanya
membiarkan apabila dia meramas-ramas tangan rakannya itu.
“Thia, janji dengan aku yang kau takkan putuskan
persahabatan kita walau apa pun terjadi. Janji dengan aku, Thia?” Lisa bersuara
persis budak kecil. Dia mencari anak mata Thia. Kukuh genggamannya pada
kedua-dua tapak tangan Thia untuk mencuri sedikit kekuatan.
Thia senyum lantas mengangguk kepala.
“Janji?” Bukan isyarat yang Lisa mahukan daripada Thia
tetapi kata-kata yang memberi dia semangat.
“Ya, Lisa.”
“Betul janji?” tekan Lisa lagi masih tidak berpuas
hati namun Thia tiba-tiba terasa bengang pula. Lisa seperti mak cik tua yang
sudah nyanyuk.
“Ya, aku janji. Cross my heart. Tak mungkin aku
sanggup putuskan persahabatan kita berempat. Walaupun kita semua kenal tak
sampai setahun, tapi cukup untuk aku sayangkan persahabatan kita ni,” jujur Thia
berkata walaupun hatinya penuh dengan tanda tanya.
Akhirnya Lisa berasa lega biarpun Thia masih belum maklum
lagi akan kekhilafan dirinya. Cukuplah dengan kata-kata perangsang daripada Thia
buat sementara waktu ini.