Bab 15
SEDAR tak sedar, Thia sudah hampir masuk ke semester dua. Keputusan
peperiksaan di semester yang lepas benar-benar menyuntik semangat Thia untuk
terus berusaha.
Sepanjang cuti semester, Rizqi sering bertandang
ke rumahnya. Kadangkala mengajak Thia makan di luar, pergi bersiar-siar di
pantai dan pelbagai aktiviti yang Rizqi anjurkan untuk Thia.
Walaupun begitu,
Puan Seha tetap menemani Thia kerana dia sendiri tidak yakin dengan tahap
kematangan anaknya melayan seorang lelaki yang belum halal untuk dibawa ke sana
dan ke mari.
Sebagai ibu, dia tidak membantah namun tidak juga menggalakkan
anaknya.
Genap hari jadinya yang ke-19, Rizqi
menghadiahkan seutas rantai bersalut emas putih berbentuk bulan yang terletak
cantik. Thia terpana melihat hadiah secantik itu dan dia segera menolak namun Rizqi
tetap berdegil.
Dia kata, sekiranya Thia enggan menerima hadiah itu, dia akan
hantar rombongan meminang ke rumah Thia dengan serta-merta.
Thia runsing jika Rizqi serius berkata-kata. Lalu
dia akur menerima dalam keadaan yang terpaksa. Dia menganggap Rizqi tidak lebih
daripada seorang sahabat kerana sememangnya dia tidak punya apa-apa perasaan
terhadap Rizqi dan Rizqi juga jauh lebih tua daripadanya. Dia sedar Rizqi
terlalu baik melayaninya.
Namun begitu dia tidak pernah mengambil
kesempatan di atas kebaikan Rizqi. Ternyata dia menghormati Rizqi seperti mana Rizqi
menghormati dirinya.
Dia menyambut tali persahabatan yang dihulurkan Rifqi atas
dasar kepercayaan semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Dia tidak mahu rasa
terbeban dengan hal remeh-temeh yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat.
Kini masuk semester ketiga, Thia sedikit serius
berbanding sebelumnya. Dia tidak mahu lalai dalam pelajaran. Harapan ibu tidak
boleh dipandang sepi. Dia ingin meraih segulung diploma dengan keputusan yang
cemerlang.
Pengorbanan ibunya yang sering kali mendoakan kejayaannya siang dan malam
harus membuahkan hasil.
Begitu juga dengan Pak Lang yang berkorban dari
segi tenaga dan wang ringgit harus dijadikan penguat semangat untuk dia tidak
cuai dan sentiasa bermuhasabah diri.
Pada awal semester baru, Thia agak letih menyusun
jadualnya. Dia juga melibatkan diri dalam kelab pasukan bola jaring dan
badminton. Dia tidak mahu cemerlang dalam akademik saja. Dalam bidang
kokurikulum juga harus dititik-beratkan.
Thia bertambah sibuk apabila kelab pasukan bola
jaring yang disertainya mahu mengadakan satu ekspedisi ke hutan yang terletak
di Pahang. Dia terpaksa menguruskan pelbagai agenda untuk ekspedisi tersebut.
Selain kelab pasukan bola jaring, kelab-kelab lain turut ikut serta.
Pada
awalnya Thia tidak setuju untuk menurut serta. Mujurlah ramai yang turut
menyertai ekspedisi itu jadi dia akhirnya setuju juga untuk melibatkan diri.
Pada suatu petang, Thia ke pejabat Hal Ehwal
Akademik untuk minta surat kebenaran bagi ekspedisi yang bakal dijalankan. Tiba
sahaja kakinya di depan pejabat, dia melihat sekelompok pelajar perempuan yang
sedang hangat bergosip dan salah seorang perempuan di situ adalah Yaya.
Apabila saja matanya terpandang rupa paras Yaya, serta-merta
dia teringatkan Raihan. Sejurus itu, dia menghempas nafas berat seakan mengeluh
dengan nasib diri. Dia melangkah dengan perlahan menuju ke pejabat dengan
menundukkan sedikit wajahnya melintasi Yaya dan kumpulannya.
“Wow! Look at there. A woman just
walked like an idiot,” tempik Yaya sedikit keras. Berdengung telinga Thia
mendengarnya. Entah kenapa Thia terasa dengan ayat itu. Siapa lagi perempuan
yang baru saja lalu kalau bukan dia tapi dia tidak peduli pun. Terus jalan!
“Hey you!” jerit Yaya pada Thia apabila
dia melihat Thia hanya berjalan tanpa menolehnya. Dia fikir dia cantik sangat
agaknya sampai orang terpaksa menoleh memandangnya setiap kali bertembung.
Thia berhentikan gerak kakinya namun dia tidak
berpaling menoleh Yaya. Dia biarkan saja Yaya yang menegurnya terlebih dahulu. Kini,
Yaya sekarang bertentang dengan Thia. Saling berhadapan!
“I got to ask. Do you know Raihan?”
soal Yaya dengan wajah yang bengis. Jari telunjuknya hampir dengan hidung Thia
namun Thia hanya pandang dengan riak muka yang tenang. Dia tergelak kecil tetapi
cukup menyakitkan hati Yaya.
“Tak kut. Ke… kenal, ya?” Thia menafikan dan juga
mengiakan.
Yaya semakin geram mendengar suara Thia yang
berbaur kelucuan dan seperti mengejek dan menyindir pedas. Matanya terjegil
keluar macam makhluk asing bentuknya.
Dia sudah hilang sabar dengan Thia sejak
hari pertama dia menjejakkan kaki ke kampus. Lebih-lebih lagi selepas insiden
di mana Raihan menemaninya menonton wayang.
Raihan seolah-olah menyembunyikan sesuatu
daripadanya malah Raihan tahu nama Thia. Apabila mulutnya lincah bertanya
perihal Thia, Raihan hanya mendiamkan diri seakan dirinya tidak wujud di situ.
“Listen here, nuts! I want you stay
away from Raihan. He’s mine. You got it? Now you can turn around, and
mind your own monkey business, idiot!” Yaya selamba mengherdik Thia seperti
melakonkan watak perempuan sihir. Dia tersenyum sinis pada Thia seolah-olah dia
sudah menang dan Thia sudah kalah. Mukanya memang sungguh berkeyakinan!
Thia mengeluh lantas ketawa kecil. Dia mahu membuli
Yaya semula.
“In life, you get too close, my dear. Just relax,
okay? Habis basah muka aku kena tempias. Amboi, speaking London.
Bajet orang putih ke ni? Padahal sambal belacan, tempoyak, budu semua pun kau
sental. Ceh! Err… I think, you’ve been through a traumatic experience for
past few days. Right?” perli Thia. Mulutnya tersenyum menyenget.
Yaya semakin hilang pertimbangan tatkala mendengar
kata-kata nista yang dilempar oleh Thia.
“Kau… kau jangan sampai aku gigit kau!” Yaya
menakut-nakutkan Thia. Pandai pun bertutur dalam Bahasa Melayu. Sekali lagi Thia
ketawa dengan ancaman lembut daripada Yaya.
“Kau nak gigit aku? Kenapa? Kau ni spesies anjing
ke?” Terguling-guling Thia ketawa kali ini. Yaya dirasakan bukan garang tetapi
lucu.
Yaya sudah mengepal penumbuk. Hanya tunggu masa
saja untuk menghadiahkan kepada Thia. Gadis itu tampak sehalus semut saja pada
matanya.
“Memang kau kurang ajar, kan? Macam tak pernah
pergi sekolah. Jangan sampai aku terajang kau dekat sini,” Yaya tidak jemu
mengancam. Sudah selalu begitu. Dia masih mampu bersabar walaupun mukanya sudah
merah-kemarahan. Hanya menunggu masa yang betul-betul klimaks untuk menyerang Thia.
“Hee… takutnya dia nak terajang. Please…
jangan terajang aku. Aku takut sangat,” Thia berpura-pura seperti sedang
ketakutan. Tidak lama kemudian, dia tergelak sinis.
“Kau memang sengaja nak bermain dengan api, kan?”
ucap Yaya berbaur ancaman lagi. Bosan betul Thia mendengarnya. Sengaja Thia
memainkan jarinya di hujung rambut, memintal perlahan dan tiba-tiba dia mencuit
pipi Yaya. Pantas dan selaju 250km/jam!
“Kau api? Tapi tak panas pun pipi kau? Kenapa aku
rasa pipi kau seram sejuk aje? Takut dengan aku, eh? Ops! Thia, don’t touch
that bull,” ujar Thia dengan penuh keberanian. Berpura-pura gedik juga.
Mulut Yaya ternganga tatkala melihat keberanian Thia
menyentuh pipinya. Urat di kepalanya jelas kelihatan. Hatinya sudah mendidih
dan panas menggelegak. Badannya menggigil melihat Thia yang tersenyum sinis.
Dia tidak mampu memeram sabar lagi.
“Hoi! Siapa kau nak sentuh aku, hah?” Melengking
suara Yaya seraya menolak tubuh Thia ke belakang dan jelas Thia terkejut dengan
aksi Yaya yang mendadak. Dia terasa tubuhnya terundur ke belakang. Dadanya
sakit akibat tolakan Yaya yang kuat. Dia gagal mengawal tubuhnya dan seperti
mahu tumbang.
Tiba-tiba ada tangan yang mencengkam bahunya.
Tubuhnya tidak jadi jatuh. Matanya pantas menoleh. Dia melihat Raihan sudah
memegang kejap kedua-dua belah bahunya.
Sekelip mata keadaan berubah. Thia terkejut
dengan kewujudan Raihan di situ. Dia memandang Raihan dan lelaki itu membalas
pandangannya.
Jantungnya berdegup kencang apabila terkena panahan mata Raihan
yang memukau. Cepat-cepat dia melarikan pandangan. Gugup apabila ditenung
sebegitu. Sesaat kemudian, dia beranjak sedikit menjauhi Raihan bagi mengusir
rasa gelisah di hatinya.
“Raihan? You are here?” Tiba-tiba Yaya
bersuara manja dan berlemak.
Raihan mengalihkan pandangan ke arah Yaya pula.
Raut wajah Yaya langsung berubah. Tidak lagi seperti harimau betina malah
tersenyum saja. Apabila melihat Raihan tidak menyambut senyumannya sebentar
tadi, dia mara ke depan. Kali ini, dia mahu menyakiti hati Thia pula.
“Kenapa dengan dia?” tanya Raihan kepada Yaya.
Raihan membawa anak matanya menentang Thia. Yaya turut berpaling melihat Thia.
Dia mencebik, sinis.
“Oh, perempuan tu. Jangan dilayan perempuan tak
guna tu. Patut ke tadi dia lempang pipi I? Tak pasal-pasal aje. Tu yang I
tolak dia tadi. Padan muka. Nak menangislah tu,” bohong Yaya. Dia sedaya upaya hendak
memburukkan nama Thia di depan Raihan.
Raihan mendiamkan diri tanpa memberi sebarang
komen. Dia menjeling Thia yang membisu sahaja. Wajah itu keruh dan seperti
bersedih di matanya.
Senyap. Thia yang mendengar pembohongan Yaya
lantas memandang Raihan buat seketika. Anak matanya bagaikan berkata-kata
seperti meraih pengertian daripada Raihan supaya lelaki itu tidak mempercayai
kata-kata Yaya namun Raihan hanya terus mendiamkan diri.
Dia berasa kecewa namun matanya kekal memandang dua
hamba ALLAH yang berdiri di hadapannya dengan nafas yang sesak. Hatinya sudah
hancur lumat. Dia seperti mahu rebah di situ juga. Sempat dia menjeling sekilas
pada Raihan yang tidak menolehnya.
Dirinya kelihatan tenang namun hatinya
berdarah. Malu dan sakit hati berselirat dalam jiwa. Ah! Dia berasa terpinggir
saja di situ!
Tanpa berfikir panjang, Thia memutuskan untuk
meninggalkan tempat itu tanpa masuk ke pejabat. Dia tidak mampu lagi hendak berdiri
lama di situ.
TIBA di bilik, Thia termenung panjang. Dia berteleku di atas katilnya.
Tiba-tiba tubir matanya memberat bagai menampung mutiara jernih yang bila-bila
masa akan memecahkan empangan.
Akhirnya Thia tidak mampu lagi menahan air
matanya. Hatinya meruntun pilu. Rasa kecewa sudah meresap di segenap ruang hati
sehingga tiada ruang kekosongan untuk mengisi sedikit kekuatan. Dia benar-benar
rasa terhina.
Fitri yang baru saja keluar dari bilik air
terkejut mendengar tangisan Thia.
“Thia, kau menangis?” Fitri meluru mendapatkan Thia.
Dia duduk di sebelah Thia sambil memeluk bahu rakannya itu. Serentak itu Thia
merebahkan kepalanya di dada Fitri. Dia rasa terpukul dengan penghinaan Yaya
terhadap dirinya.
“Eh! Kenapa ni, Thia? Siapa buat kau menangis?” Fitri
masih lagi memujuk Thia namun Thia terus saja menangis. Tangisannya memecah
gegendang telinga Fitri.
“Fit, aku benci Yaya. Aku benci perempuan tu!” tutur
Thia lantang seperti melepaskan rasa marahnya kepada Yaya. Menggigil seluruh
tubuhnya.
“Apa yang Yaya dah buat pada kau? Dia pukul kau?”
soal Fitri pantas. Thia tidak menjawab. Dia biarkan tangisannya reda sedikit
lantas dia menghela nafas dalam-dalam.
“Yaya hina aku perempuan tak guna. Dia tuduh aku
lempang pipi dia padahal aku cuma cuit aje pipi dia. Aku bukan lempang dia, Fit.
Aku taklah kejam macam tu,” bicaranya perlahan. Tiba-tiba Lisa dan Yani masuk
ke dalam bilik. Mereka terkejut melihat keadaan Thia yang sedang menangis.
“Thia, kenapa dengan kau?” spontan Lisa dan Yani
menyoal sekali gus. Fitri menceritakan hal sebenar yang terjadi kepada Lisa dan
Yani bagi pihak Thia. Kembang kempis hidung mereka berdua mendengar cerita yang
dibawa. Masing-masing mengawal kesabaran.
“Yajul tu memang dah lama request nak makan
kaki aku…” marah Yani namun nadanya perlahan saja. Fitri yang mendengarnya
tergelak dalam hati.
‘Dia ni cakap memang pakai kepala lutut. Kalau
dia bagi Yaya makan kaki dia, dia nak pakai kaki apa?’ sanggah Fitri. Sempat
dia berlelucon lagi dalam diam.
“Hee… matilah naknya perempuan tu!” Lisa turut
menyumpah seranah Yaya. Mukanya berapi-api menahan rasa geram yang bertimpa-timpa.
“Aku malulah,” kata Thia selepas keadaan sedikit
tenang.
“Biarkan aje dia, Thia. Tak ada guna pun kita nak
cari gaduh dengan orang macam tu. Lantaklah dia nak cakap apa pun. Dia kan,
memang ada masalah dengan kau,” pujuk Lisa lembut. Berharap agar temannya itu tidak
terlalu mengambil hati.
“Tapi dia cakap macam tu depan Raihan. Tu yang
aku rasa down sangat.” Thia sudah terlepas cakap. Dia pantas memandang
ketiga-tiga wajah rakannya yang sedang berkerut. ‘Aduh! Macam mana boleh tersasul
pulak ni?’ Thia mengomel sendirian. Dia berdoa semoga rakan-rakannya tidak
mendengar bibirnya menyebut nama Raihan. Keadaan beralih sunyi seketika.
“Raihan? Siapa Raihan?” soal Lisa kepada Thia.
Nama Raihan agak pelik di pendengarannya. Seingat-ingat dia, nama Raihan tidak
pernah meniti di bibir Thia.
“Kumpulan nasyid tu ke?” teka Yani. Laju saja Fitri
mengetuk kepalanya dengan pen yang terletak di atas meja sisi katil Thia. Dia
menggosok kepalanya dengan tapak tangan. Hendak membalas, pen pula tak ada.
“Thia, cakaplah siapa Raihan tu?” desak Lisa lagi
apabila Thia masih tidak menjawab soalannya. Dia menggoncang bahu Thia. Dalam
masa yang sama, dia turut geram dengan Yani yang mencelah dengan soalan yang tiada
kena-mengena.
“Raihan tu… boyfriend Yaya,” jawab Thia
tersekat-sekat. Dia tahu rahsia hatinya kian terserlah. Dia tidak mampu untuk
menyembunyikan apa-apa lagi. Biarlah…
“Raihan tu boyfriend Yaya? Yang kita
pernah jumpa dekat panggung wayang tu?” soal Fitri. Thia teragak-agak untuk
menganggukkan kepala.
“Oh, jadi kau rasa down sebab Yaya kutuk
kau depan Raihan? Okey, aku faham sekarang,” Yani mencelah sambil
menganggukkan kepalanya berkali-kali. Dia sudah memahami situasi sebenar. Thia sebenarnya
sedih kerana Yaya mengenakannya di depan Raihan.
“The real picture is, Thia rasa down
sebab Yaya kutuk dia depan Raihan dan Raihan sebenarnya adalah lelaki yang Thia
suka. Kesimpulannya, Thia suka Raihan!” jelas Lisa lebih terang dan lengkap.
Gaya dia bercerita begitu bersungguh-sungguh.
Thia mengalihkan pandangan tanpa menentang mata sesiapa
pun. Telinganya mendengar rakan-rakannya yang sibuk ketawa riang. Mukanya cuak.
Oh, God! They laugh at me. Of course! Aku yang brutal tiba-tiba
jatuh cinta. So embarrassing! Silap-silap, dia orang tak nak respect
aku lagi, Thia bermonolog.
“Apa yang kau orang sukakan sangat ni? Tak payah
mengarutlah,” Thia masih ada hati mahu menafikan. Dia mematah-matah jarinya
satu per satu bagi melawan rasa tidak keruan yang kian mencengkam sanubari.
Sungguh dia malu pada diri sendiri.
“Ada hati lagi nak sembunyikan daripada kita.
Tengok tu dia dah menggelabah semacam. Muka pun dah merah. Ala… suka cakap ajelah
suka. Kita orang open minded. Don’t worry,” giat Fitri. Thia sudah tidak
tahu macam mana rupanya sekarang. Rasa malu berpikul-pikul.
“Ceritalah pada kita orang. Macam mana kau boleh
tangkap cintan dengan Raihan tu? Sebab dia teramatlah kacak?” soal Yani. Dia
suka melihat Thia yang menggelabah.
“Kacak? Excuse me! Ramai lagi lelaki kacak
daripada dia dekat kampus ni. Nonsense!” Thia menyangkal telahan Yani
tadi. Mukanya bersahaja. Sememangnya dia sudah jatuh hati dengan Raihan. Dia
sendiri tidak percaya dengan apa yang dialami sekarang ini.
“Memanglah tapi dia masuk dalam top list
kau, kan?” duga Yani lagi. Thia hanya menjongketkan bahu. Enggan mengiakan dan
enggan menidakkan.
“Okey, kita serius. Apa yang kau rasa sebenarnya
terhadap Raihan?” Lisa mula menyoal dengan bersungguh-sungguh.
Thia terdiam seketika. ‘Mungkin aku perlu
berterus-terang saja,’ fikirnya. Setelah itu, dia mula memunggah kembali kenangan
di mana buat kali pertama dia bersua muka dengan Raihan. Dalam beberapa minit,
tercetus hilai ketawanya yang halus.
“Hmm… first time aku jumpa dia… dekat kafe.
Pada mulanya aku tak perasan pun dia duduk depan aku. Memang aku buat tak tahu aje.
Kau orang pun kenal aku, kan? Aku memang tak reti pun nak usha orang
jauh sekali lelaki.
Seriously, aku tak pernah rasa macam ni dengan
mana-mana lelaki selain dia. Inilah kali pertama, aku suka pada seseorang tapi
orang tu pulak tak suka pada aku,” luah Thia sedikit kesal. Terselit sendu dari
nada suaranya. Dia menyambung lagi.
“I don't know how to illustrate my feeling
towards him. Every time aku terserempak dengan dia, aku terus lupa dengan
orang sekeliling aku. It’s only him I want to see. Gila, kan?” luah Thia
sambil bibirnya menguntumkan senyuman. Wajahnya ditundukkan dan bermain-main
dengan jarinya. Dia seolah-olah dalam dunianya sendiri.
“He’s totally different from other guys.
Perasaan aku tak sama bila aku ada dengan lelaki lain. Dengan dia, macam-macam
perasaan timbul bila dia muncul depan aku. Rasa marah, geram, benci, menggelabah,
suka… semua bercampur aduk.
Kadang-kadang aku tertanya-tanya pada diri aku
sendiri, apa yang membuatkan aku boleh jatuh hati kat dia. Pada wajah dia? Mata
dia? Hidung dia atau mulut dia? Semua tu ada pada lelaki lain tapi kenapa aku
tetap suka pada dia. Bukan juga pada budi pekerti dia.
Apabila tiada jawapan yang pasti, aku mula
menidakkan perasaan ni tapi ternyata perasaan ni dah lama ada dalam hati aku
cuma aku saja yang menafikan. Aku sendiri tak sedar sejak bila perasaan suka tu
muncul.” Masing-masing terus mendengar dengan teliti.
“Apa perasaan kau bila kau tahu dia tu boyfriend
Yaya?” tanya Yani macam gaya wartawan. Mukanya serius dan dia tidak pernah serius
sebegitu melainkan di dalam dewan peperiksaan.
“Bila aku tahu dia kenal Yaya dan dia juga
merangkap teman lelaki Yaya, terus terang aku cakap, aku rasa kecewa sangat.
Sampai satu tahap tu hati aku hancur macam kena blend! Tersentap gila.
Tapi iman aku kuat lagi.
Aku masih boleh bezakan apa yang baik dan apa yang
buruk. Teruk kan, bila orang macam aku tak pernah jatuh cinta dan tiba-tiba
terjatuh cinta. Pada boyfriendorang pulak tu. Memang cari bala aku ni,”
ucapnya penuh dengan kekesalan.
“Kau rasa kau memang dah jatuh cinta ke?” soal
Lisa penuh minat. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia pernah bercinta atau
tidak.
Thia senyap seketika sebelum berkata-kata. “Soal
cinta adalah soal hati. Macam aku cerita sebelum ni, aku tertanya-tanya kenapa
aku boleh suka pada dia padahal aku tak nampak pun apa yang baik sangat pasal
dia. Berkawan pun tak pernah. Aku akhirnya dapat jawapan untuk semua soalan tu.
Cintakan seseorang tidak memerlukan sebab atau
ganjaran di sebaliknya. Cukup kita sendiri sedar rasa cinta itu dengan
sendirinya. Bagi aku, cinta tak meletakkan apa-apa syarat mahupun bergantung
kepada kesempurnaan seseorang.
Kita hanya pandang dia dari hati yang ikhlas
tanpa ada paksaan. Cinta juga datang daripada ALLAH dan aku yakin kalau ALLAH
tidak mengizinkan rasa ini, aku takkan jatuh cinta pada dia,” terang Thia
panjang berjela. Ternyata dia sudah jatuh cinta walaupun dia tahu cintanya
tidak berbalas.
“Amboi… Thia!
Kau cakap macam Doctor Love sekarang, kan? Sejak bila? Aku macam
tak percaya lagi ni,” usik Lisa. Dia tertegun mendengar Thia bermadah cinta.
Sebelum ini, Thia pantang menyebut tentang cinta. Pasti naik angin. Apa yang
terjadi kini, Thia bagaikan seorang pencinta yang sudah berpengalaman.
“Sejak kenal dia agaknya,” Thia bercakap sambil
gelak ketawa. Dia juga tidak menyangka keadaan berubah sebegitu sekali. Lama-kelamaan
ketawanya mati.
“Tapi aku takkan dapat dialah. Nak buat macam
mana. Sekarang ni aku cuba untuk benci dia sebab dia tu sengal! Ada ke patut
dia percaya bulat-bulat cakap Yaya yang aku lempang awek dia tu. Seganas-ganas
aku pun, tak adalah sampai nak dera anak orang. Muka aku ni ada macam muka mak
tiri agaknya.” Dalam sekelip mata Thia sudah tukar corak perbualan dan tidak mengalirkan
air mata lagi.
“Kejap aje kau boleh cool balik, kan? Tapi
aku ingat lagi kau cakap yang kau tak mungkin jatuh cinta, takkan menangis
sebab lelaki. Tapi tadi… you’re so pathetic! Real mature, ha?
Sekarang apa dah jadi ni? Kau cerita pada aku. Dah termakan balik dengan
kata-kata kau tu?” Lisa memulangkan paku buah keras. Dia suka melihat Thia menggelupur
mencari jawapan.
Thia berdehem halus. Terkulat-kulat dia mencari
jawapan lantas dibiarkan saja sindiran Lisa ditiup angin lalu. Dia mengaku
sekarang, Tuhan telah menunjukkan apa yang dia pernah kata sudah terkena pada
batang hidungnya sendiri namun dia tidak menyesal kerana rasa cinta itu juga
datang dengan keizinan ALLAH cuma dia tidak boleh melebihi cinta yang masih
belum mendapat keberkatan daripada yang mutlak.
“Apa yang aku boleh komen bagi pihak Thia, kita
jangan sesekali bercakap besar, riak dan takbur. Sesungguhnya ALLAH tidak suka
dengan orang yang bersifat sebegitu,” Yani menyampuk dengan penuh gaya.
Thia ketawa melihat gelagat Yani. Dia
menganggukkan kepala tanda setuju. Mujurlah Yani mencelah.
“Cara kau ceramah tadi macam ustazah ‘Semanis
Kurma’. Tu… kau nasihat untuk diri kau sendiri ke?” Fitri menyindir. Dia memang
suka cari gaduh dengan Yani.
“Yalah. Untuk aku, kau, Thia dan Lisa. Tak salah
kita saling mengingatkan. Kita hidup ni tak lama. Jadi, kenalah beringat
selalu,” Yani membidas. Fitri ingin membalas namun ayatnya mati apabila dia
melihat Yani bingkas bangun menuju ke bilik air.
“Sekarang… aku nak rest sekejap. Petang ni
aku ada latihan bola jaring. Kau orang nak ikut? Boleh main sama-sama.” Thia
merebahkan badannya di dada katil. Rasa letih amat membebani tubuhnya.
“Boleh jugak. Dah lama aku tak exercise.
Asyik makan… tidur aje. Otak pun dah jadi lembap. Mesti dah bersarang lemak
tepu dalam otak aku ni,” komen Fitri sambil menggeleng kepala. Thia pun
menggeleng juga. Selepas itu, matanya beralih memandang Lisa. Ternyata Lisa
masih memikirkan pelawaannya tadi.
“Aku tak dapat ikutlah. Aku ada hal sikit petang
ni,” Lisa mengelak. Untuk mengatakan hal yang sebenar, dia takut pelbagai
soalan diajukan. Untuk berbohong yang dia ada kelas, Fitri pula sekelas
dengannya.
“Kau nak pergi mana? Dating? Itu ajelah
yang kau tahu. Bertaubatlah, Lisa… bertaubatlah,” Fitri menasihati Lisa namun
ia kedengaran seperti gurauan pula.
Daripada gayanya, Thia tahu Lisa enggan disoal
apa-apa lagi. Dia sekadar memandang Lisa tanpa mengulas. Sudahnya, dia hanya
melelapkan mata yang sememangnya sudah memberat.